Tombiruo



NASIR JANI BAKAL ARAH FILEM ADAPTASI NOVEL THRILLER NOMBOR SATU MALAYSIA

Azyyati Ahmad 
17 Disember 2014

KUALA LUMPUR: Setelah hampir tiga dekad menghilang, pengarah veteran, Nasir Jani tampil mengarah filem baru adaptasi novel thriller nombor satu Malaysia karya Ramlee Awang Murshid.


Kali terakhir Nasir duduk di kerusi pengarah adalah 27 tahun lalu, ketika menghasilkan dua buah filem sekitar tahun 80an iaitu Kembara Seniman Jalanan dan Rosana Cinta 87.


Namun menurut Nasir, dia tidak menghilangkan diri tetapi aktiviti seninya banyak tertumpu di belakang tabir.


"Saya mungkin sudah lama tidak mengarah, tetapi saya tak hilang. Saya masih lagi aktif menulis dan membuat kerja-kerja di sebalik tabir tetapi cuma tak menggunakan nama ‘Nasir Jani’” jelas Nasir yang mempunyai kolum tetap di akhbar Sinar Harian.


Bakal mengarahkan filem ‘Tombiruo: Penunggu Rimba’, kata Nasir, kerana minatnya terhadap hasil karya Ramlee membuatkan dirinya tertarik untuk menerima tawaran ini.


“Novel-novel Ramlee telah diperkenalkan oleh anak saya beberapa tahun dahulu dan sehingga kini saya sudah ‘khatam’ kesemua 24 novel hasil tulisan Ramlee.


Apabila Ramlee datang sendiri berjumpa dengan saya dan menawarkan peluang ini, saya terima dengan hati yang terbuka kerana saya sendiri adalah peminat novel-novelnya.


Sebagai pengarah saya akui, tanggungjawab yang digalas amat berat terutama dalam memvisualkan sebuah novel popular” katanya yang ditemui di sidang media filem Tombiruo: Penunggu Rimba.


'Tombiruo: Penunggu Rimba' hasil nukilan Ramlee Awang Murshid telah diterbitkan pada tahun 1998 sehingga kini telah terjual hampir 70,000 naskhah serta telah diulang cetak kali ke 14.


Filem aksi ini merupakan kerjasama antara syarikat Layar Sunan, Karangkraf Media Group dan Ideate Media serta merupakan filemm adaptasi ketiga bagi Karangkraf selepas Ombak Rindu dan Manisnya Cinta di Cappadocia.


Filem Tombiruo: Penunggu Rimba menceritakan mengenai mitos yang wujud di dalam lagenda hutan tebal masyarakat di Sabah yang sebenarnya adalah seorang manusia yang berwajah tidak sempurna yang bertindak sebagai penjaga rimba.


Novel yang diterbitkan pada tahun 1998 ini sehingga kini telah terjual hampir 70,000 naskhah serta telah diulang cetak kali ke 14.


Dalam majlis yang sama, penulisnya Ramlee yang cukup terkenal dengan genre thriller dan pengembaraan aksi berkata, hatinya terbuka untuk membenarkan karyanya kali ini diangkat ke layar perak kerana adanya kerjasama bersama Karangkraf.


"Sebelum ini memang ada lamaran mahu novel saya difilemkan, tetapi saya tolak kerana saya cerewet dalam membenarkan karya saya diolah.


"Apabila ada tawaran begini, dalam masa yang sama Karangkraf turut bertindak sebagai penerbit filem. Saya terima kerana bekerja dengan Karangkraf lebih bebas dan lebih bertolak ansur,” katanya yang sudah menghasilkan 24 novel di bawah terbitan Karangkraf.


Filem yang akan menjalani pengambaran di Sabah ini akan memulakan produksi pada pertengahan tahun hadapan.


Pihak produksi dijangka akan mengumumkan barisan pelakon yang akan membintangi filem Tombiruo: Penunggu Rimba ini tidak lama lagi.


Sumber asalhttp://www.astroawani.com/berita-hiburan/nasir-jani-bakal-arah-filem-adaptasi-novel-thriller-nombor-satu-malaysia-50393 (17 Dis 2014)



*****    *****    *****    *****    *****    *****    *****    

MENJADI OTAI YANG BERBISA
Norden Mohamed
17 Dis 2014

Semalam, saya menghadiri majlis sidang akhbar filem Tombiruo. Filem ini adalah adaptasi daripada novel Tombiruo atau Semangat Hutan karya novelis Ramlee Awang Murshid. Dalam usianya yang baharu 47 tahun, Ramlee sudah menulis 27 buah novel. Akhir-akhir ini beliau dapat menulis dua buah novel dalam setahun. Dengan usia dan tahap prolifiknya, Ramlee boleh dianggap sebagai seorang otai, atau old timer jika dibandingkan dengan ratusan lagi novelis popular yang jauh lebih muda daripadanya.

Filem Tombiruo pula bakal diarahkan oleh Nasir Jani,  pengarah yang  ada imej rebellious ketika usia mudanya. Di antara filem yang mendapat sentuhan beliau ialah Kembara Seniman Jalanan yang turut dibintangi oleh Datuk M Nasir. Setelah lama meninggalkan dunia pengarahan dan bekerja di belakang tabir, Nasir bersetuju membuat comeback setelah 27 tahun  menyepi. Pengacara majlis menggelarnya sebagai otai. Walaupun sudah berusia 60 tahun, perawakannya seperti orang berusia 40-an.

Turut hadir di majlis itu ialah mereka dalam bidang seni persembahan seperti Pyanhabib, Ito Blues Gang dan juga Datuk M. Nasir. Saya lihat sebahagian besar para hadirin begitu teruja dengan kehadiran mereka ini walaupun lebih dua pertiga daripada mereka adalah daripada golongan muda. Ramai yang ingin berselfie dengan mereka untuk kenangan dan kebanggaan. ‘Mengapa, ya?’ Fikir saya. ‘Oh, mereka adalah otai; otai yang berbisa!’  

Otai adalah slanga yang membawa konotasi seseorang yang telah berusia tetapi masih punyai energi. Mereka bertenaga daripada segi idea dan juga fizikal. Oleh kerana mereka sentiasa membaca, menelaah, berfikir, menulis mahupun berkarya, maka minda mereka sentiasa segar dengan idea, rumusan dan saranan yang baharu. Amalan sentiasa mengasah fikiran dengan santapan minda inilah yang juga mentrampilkan mereka dengan personaliti fizikal yang segak seperti orang muda.

Jika kita sudah berusia, apakah kita boleh kategorikan diri kita sebagai seorang otai? Andainya kita masih muda, apakah kita boleh menjadi seorang otai apabila sudah berusia kelak? Segala-galanya bergantung kepada cara kita melihat dan menangani apa isu, masalah mahupun peluang yang mendatang.

The wise old man, mengikut istilah seorang pakar psikologi terkenal Carl Jung, adalah seorang tua yang bestari yang memahami makna atau falsafah apa yang berlaku di sekelilingnya. Dengan memahami maksud kejadian, dia boleh membuat kesimpulan dan keputusan yang bijak.   

Kita lihat ramai juga insan-insan yang walaupun sudah lanjut usianya, tetapi fikiran dan pandangan yang mereka zahirkan ini masih semasa dan tidak ketinggalan zaman. Dalam kehidupan yang semakin pantas berubah ini, kita juga mesti dapat menyesuaikan diri dengan keadaan dan apa jua perkembangan. Orang muda, mahupun yang sudah berusia tidak boleh ketinggalan, apatah lagi menolak segala perubahan yang sedang berlaku di sekeliling kita.  

Perkembangan dan perubahan teknologi pada hari ini berlaku begitu pantas. Jika kita ingin ikuti setiap perkembangan itu, kita akan kepenatan mengejarnya. Sebaliknya jika kita menolaknya, kita akan jauh ketinggalan. Ini akan menjadikan kita letih dan akhirnya tidak mahu berubah. Kita tercicir juga. Pada asasnya, seseorang otai perlu pandai menggunakan kemudahan teknologi semasa seperti aplikasi telefon pintar, televisyen, pengangkutan, perbankan dan juga sistem di tempat awam.

Segala kemudahan yang ada itu sebenarnya hanyalah perhiasan bagi seseorang otai kerana ia menjadikan seseorang otai itu up-to-date dengan teknologi agar dia tidak tercangak-cangak dengan segala perubahan itu. Namun, prinsip bagi segala kemudahan itu ialah untuk memudahkan dan bukannya untuk menyusahkan. Mesti menjadi pengendali dan bukan hamba kepada teknologi. Ramai orang yang misalnya, mati kutu sebaik sahaja telefonnya habis bateri. Dia tidak boleh lagi bersembang panjang kerana siang malam hanya menulis entri yang pendek-pendek.

Untuk menjadi otai adalah menjadi seorang manusia yang mesra dengan manusia di sekelilingnya kerana dia hidup di alam manusia. Dia mesra dengan alam kerana dia hidup di dunia dan tubuhnya terjadi daripada unsur-unsur alam itu sendiri. Apabila dia memahami manusia dan mengerti prinsip-prinsip alam, dia tahu segala kejadian yang datang itu berputar dan berulang-ulang. Zahirnya sahaja ada perbezaan namun prinsipnya serupa.

Kerana itu, dia sudah dapat mengagak apa yang bakal terjadi esok hanya berdasarkan pengalaman semalam. Dia boleh mentafsir bahawa esok dia akan tersenyum kerana semalam dia sudah puas menangis. Dia mampu menelah kesudahan sesuatu itu sebelum dia memulakan langkah.   

Semua pandangan hasil renungannya ini dikongsi dan disebarkan kepada semua manusia di sekelilingnya. Mereka digelar otai yang berbisa ~ sudah tua tetapi masih tangkas dalam menangani apa yang mendatang. Padahal, kita juga boleh jadi otai seperti mereka jika kita fahami pola kehidupan itu sebenarnya berputar dan berulang-ulang seperti seluruh galaksi di cakerawala.



*****    *****    *****    *****    *****    *****    *****    

KARYA RAMLEE AWANG MURSHID DIGARAP KE PELBAGAI MEDIA

Azyyati Ahmad
18 Disember 2014

KUALA LUMPUR: Ideate Media bakal memaksimumkan potensi komersial karya Ramlee Awang Murshid yang terkenal dengan penghasilan novel bergenre thriller dan pengembaraan penuh aksi.


Dalam satu sidang media filem "Tombiruo: Penunggu Rimba" pada Selasa, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zainir Aminullah mengumumkan Ideate mempunyai hak eksklusif ke atas kesemua karya Ramlee yang diterbitkan oleh Karangkraf.


Kata Zainir, pihaknya sudah lama mencari karya tempatan seperti ini yang mempunyai potensi untuk dikembangkan ke pelbagai medium komersial.


"Pengumuman ini bermakna, Ideate mempunyai hak eksklusif ke atas kesemua karya Ramlee Awang Murshid terbitan Karangkraf untuk dijadikan filem, siri televisyen, komik, digital produk dan cabang media yang lain.


"Ini kerana Ideate melihat karya-karya yang dihasilkan Ramlee memiliki karakter yang kuat, epik dan penuh aksi yang amat berpadanan untuk diangkat ke bidang komersial dan antarabangsa,” jelas Zainir.


Zainir berkata, adaptasi novel  thriller "Tombiruo: Penunggu Rimba" ini ke layar perak merupakan satu permulaan awal buat Ideate Media.


"Ini merupakan langkah pertama yang baik buat Ideate Media dalam menjadikan karya Ramlee kepada francais transmedia" katanya.


Zainir turut berkata, untuk penggambaran filem tersebut, pihaknya sedang menimbangkan kerjasama dengan Pinewood Iskandar Malaysia Studios.


“Buat masa sekarang, pihak penerbitan sedang dalam rangka kerja menguatkan struktur cerita dan watak dalam filem ini.


"Insyallah, mungkin ada kerjasama dengan Pinewood Iskandar Malaysia Studios, bergantung pada permintaan jalan cerita” kata Zainir.


Selain Ideate, filem aksi ini juga terbitan bersama syarikat Layar Sunan dan Karangkraf Media Group.


"Tombiruo: Penunggu Rimba" berkisarkan mitos yang wujud di dalam legenda hutan tebal masyarakat di Sabah yang dianggap hantu atau roh jahat.


Namun, ia sebenarnya seorang manusia berwajah tidak sempurna yang bertindak sebagai penjaga rimba.


Novel yang diterbitkan pada tahun 1998 ini sehingga kini telah terjual hampir 70,000 naskhah serta telah diulang cetak kali ke-14.


Ramlee sendiri telah menghasilkan 24 novel di bawah terbitan Karangkraf dan terkenal sebagai novelis thriller nombor satu negara.



Filem arahan Nasir Jani ini akan menjalani penggambaran di Sabah ini akan memulakan produksi pada pertengahan tahun hadapan.



*****    *****    *****    *****    *****    *****    *****    

TOMBIRUO: PENUNGGU RIMBA UJI KEMAMPUAN NASIR JANI
Akmaliah Razak
1 Januari 2015

PELUANG pengarahan yang diberikan kepadanya hanyalah untuk dua filem sahaja iaitu Kembara Seniman Jalanan dan Rozana Cinta 87 ketika era 80-an. Menyelak perjalanan seninya, terlalu banyak cabaran dan dugaan yang terpaksa ditempuh pengarah ini dalam menyampaikan karyanya.

Enggan ‘menggali’ lagi kontroversi hebat yang pernah ditempuhnya pada satu ketika dahulu, Nasir Jani kini bangkit dengan semangat baharu. Malah, kemunculannya pada kali ini masih berpaksikan jiwa yang cukup besar untuk sama-sama memajukan industri perfileman.

Sentuhan pengarahan yang ditinggalkan lebih dua dekad itu kini diuji oleh novelis thriller, Ramlee Awang Murshid, dalam merealisasikan novelnya, Tombiruo: Penunggu Rimba ke layar perak.

Hadir di majlis pra pelancaran filem terbitan Kumpulan Media Karangkraf, Layar Sunan dan Ideate Media ini, Nasir turut berkongsi beberapa perkara mengenai kemunculannya menerusi filem ketiganya ini.

Apabila diberi tanggungjawab ini oleh novelis, Ramlee Awang Murshid, dalam menjayakan filem ini, bagaimanakah perasaan anda?

Sejujurnya, saya rasa amat gembira apabila diberi peluang ini. Mana tidaknya selama 27 tahun, saya langsung tidak mendapat peluang untuk mengarah. Walaupun sudah lebih dua dekad tidak menghasilkan sebarang filem, namun jiwa saya untuk mengarah masih menebal.

Sejak dahulu hingga kini, minat saya dalam industri tetap sama. Saya bersyukur kerana masih ada ruang saya dalam industri atas bantuan Ramlee, Karangkraf dan Ideate Media.

Cukup lama anda tidak mengarah, apakah cabaran yang paling besar perlu anda hadapi?

Mengenai cabaran dalam menjayakan filem ini, saya lebih membimbangkan diri saya sendiri. Adakah saya mampu untuk menyampaikan apa yang telah Ramlee gambarkan menerusi novelnya ke layar perak?

Perkara ini sering bermain di fikiran saya kerana saya tahu novel ini ramai pembaca. Saya risau, sekiranya ia tidak mampu memuaskan pembaca sebelum ini dan tidak memenuhi gambaran mereka. Bukan sahaja di kalangan pembaca, malah saya perlu berdepan dengan cabaran daripada penonton dan peminat karya Ramlee. Itu adalah cabaran yang  paling asas yang perlu saya hadapi.

Dari segi perjalanan cerita, adakah ianya mengalami perubahan dalam membawanya ke layar perak?

Sebenarnya, adaptasi adalah tidak semestinya 100 peratus daripada buku atau novel itu perlu dibawa ke layar. Sebagai contoh karya adaptasi, All The President’s Men, hanya mengambil pertengahan jalan cerita sahaja.

Pun begitu, menerusi filem ini, saya akan cuba sedaya upaya untuk tidak mengubah perjalanan cerita. Bagaimanapun, saya telah berbincang dengan Ramlee mengenai perkara ini dan kami bersetuju untuk mengubah beberapa babak agar ianya bersesuaian dengan zaman kerana Ramlee menulis buku itu pada 20 tahun yang lalu. Sudah tentu ada beberapa perkara yang perlu diubah suai untuk memantapkan lagi jalan cerita.

Adakah anda sudah bersedia untuk berdepan dengan pandangan dan kritikan daripada golongan pembaca dan penonton?

Saya sentiasa bersedia menerima apa jua pandangan dan teguran kerana mereka juga berhak menyuarakan pendapat masing-masing. Namun, sebagai penonton, mereka perlu faham dengan konsep adaptasi.

Saya tak kata yang filem ini 100 peratus sama kerana ada juga yang kita tambah. 20 tahun lalu, mungkin Ramlee ada tertinggal babak-babak menarik dan menerusi konsep visual ini, kita akan keluarkan dalam filem agar ianya menghasilkan karya lebih baik lagi. Apa yang penting, kami tetap mengekalkan roh dan semangat Tombiruo.

Berapa lamakah masa yang diambil menjayakan filem ini?

Saya dan Ramlee mula berbincang mengenai karya ini sejak 2010 lagi. Setiap kali berbincang, kami akan mengumpul input dan menghasilkan draf awal. Sepanjang tempoh itu, sebanyak 13 draf yang telah dibuat apabila ia terus diolah sehingga menghasilkan jalan cerita yang dipersetujui. Malah sehingga kini, ia masih dalam proses penulisan.

Saya seronok bekerjasama dengan Ramlee kerana dia tidak meninggalkan saya terkapai-kapai sendirian. Malah, dia juga tidak lokek dalam memberikan idea dan buah fikiran yang bernas.

Filem ini dijangka bakal menemui penonton pada pertengahan tahun depan, adakah anda sudah bersedia jika berdepan dengan kontroversi atau golongan pengkritik?

Saya berpegang dan percaya kepada ‘let my work do the talking’. Kita tidak boleh memaksa masyarakat untuk menerima kita. Namun, kita kena terima hakikat bahawa manusia berubah dan saya juga inginkan perubahan.

Saya juga seperti  manusia lain yang mahukan pembaharuan dan perubahan yang lebih positif. Lagipun usia saya sudah menjangkau 60 tahun dan banyak perkara yang telah saya lalui.

Semuanya saya simpul dalam lipatan kenangan. Saya berharap agar kehadiran saya dalam industri dipandang dari sudut positif kerana saya juga mahu sama-sama memerah keringat sebagai anak seni.

Selepas Tombiruo, apakah karya lain yang bakal anda hasilkan?

Saya akan meneruskan kerja seni saya dalam bidang pengarahan. Buat masa ini, saya tengah mengumpulkan kawan-kawan saya dahulu untuk mengembalikan zaman kegemilangan Kembara Seniman Jalanan.

Saya berhasrat untuk menghasilkan Kembara Seniman Jalanan 2 yang tetap mengutarakan isu cetak rompak yang kini dilihat makin berleluasa. Saya berharap agar perancangan saya ini akan membuahkan hasil dan semestinya saya akan lebih berhati-hati selepas ini.

Akhir sekali, sebagai orang lama, apa harapan anda dalam industri?

Satu ketika dahulu saya pernah merasai apa itu glamor. Namun, sebenarnya glamor itu tidak membawa kita ke mana-mana dan tidak penting pun. Hampir 30 tahun, saya tidak dapat berkarya dan tidak dapat membantu dalam menambah khazanah seni tanah air.

Apabila diberi peluang untuk kembali, saya tidak berharap untuk mencari glamor atau nama. Saya hanya berdoa agar diberi kesihatan yang baik agar dapat menghasilkan karya sebanyak mungkin kerana 27 tahun saya tertinggal. Selepas segala yang berlaku dalam kehidupan saya, kini saya semakin tenang.

Apa yang menguatkan semangat saya adalah keluarga dan kawan-kawan. Saya tak sangka masih ada lagi kawan-kawan yang tidak berbelah bahagi dalam memberikan semangat dan sokongan. Malah, saya bersyukur kerana mereka masih lagi berada di sisi saya tidak kira susah mahupun senang.


*****    *****    *****    *****    *****    *****    *****    

TOMBIRUO BAKAL MEMULAKAN PENGGAMBARAN
Raziatul Hanum A. Razak
9 Februari 2015

FILEM sulung hasil karya novelis thriller terkenal, Ramlee Awang Murshid, Tombiruo: Penunggu Rimba yang dinanti-nanti sekian lama akhirnya bakal memulakan penggambaran dalam masa terdekat.

Memahami kesukaran untuk memasukkan kesemua elemen dari novel ke filem, Ramlee hanya berharap tiang seri ceritanya itu tidak runtuh. Sementara, pengarah filem itu, Nasir Jani mengambil peluang ini untuk membuktikan tajinya masih tajam dalam mewarnakan karya tersebut.

Ikuti temu bual SINAR HARIAN dengan RAMLEE dan NASIR JANI bagi mengupas lebih lanjut perkembangan filem itu.

SINAR HARIAN: Kenapa Tombiruo : Penunggu Rimba yang dipilih untuk dijadikan filem berbanding karya-karya Ramlee yang lain?

RAMLEE: Sebenarnya pilihan kita antara Tombiruo dengan legasi Sunan (Bagaikan Puteri, Cinta Sang Ratu dan Hijab Sang Pencinta). Tetapi kita melihat daripada bajet. Apabila bajet dihitung, legasi Sunan itu lebih banyak pada bajet. Jadi, kita buat keputusan untuk jalankan Tombiruo dalam bersederhana untuk divisualkan ke filem.

Sejak 2008, kami merancang untuk menerbitkan Tombiruo terlebih dahulu. Insya-ALLAH dari Tombiruo itu nanti ada hasilnya dan dengan bajet itu juga kami akan buat Sunan. Cuma kenapa Tombiruo?

Tombiruo adala novel pertama saya dengan Alaf 21 (Kumpulan Media Karangkraf). Ia begitu istimewa sekali...berlatarbelakangkan Sabah, saya orang Sabah dan saya nak orang Sabah bangga dengan produk ini. Sebab buat julung-julung kali, Tombiruo ini dalam bahasa Kadazan-Dusun dipilih untuk dijadikan filem.

Tombiruo ini sebagai pintu masuk untuk novel-novel lain (karya Ramlee) yang akan diadaptasi.

SINAR HARIAN: Berkenaan pemilihan Nasir Jani sebagai pengarah Tombiruo. Mengapa beliau dipilih?

RAMLEE: Nasir Jani ini kami berjumpa pada tahun 2010. Saya dicadangkan rakan kongsi saya, supaya kita ambil Nasir Jani. Sebab pada tahun 1980-an, Nasir Jani dengan ‘masterpiece’ Kembara Seniman Jalanan mempunyai pemikiran pandangan ‘shot’ yang berbeza berbanding dengan pengarah-pengarah lain.

Jadi, Tombiruo ini adalah satu ‘comeback’ untuk beliau. Saya mengharapkan taji Nasir Jani ini keluar dan ditumpahkan keseluruhannya dengan Tombiruo. Kami berkeyakinan penuh bahawa Nasir Jani mudah bersatu dengan jiwa Tombiruo ini sejak 2010 dan kami meyakini Tombiruo insya-ALLAH akan sukses di tangan beliau.

SINAR HARIAN: Seperti yang kita sedia maklum, karya Ramlee mempunyai ramai pengikut. Adakah itu memberi tekanan kepada Nasir Jani dalam menggalas tanggungjawab sebagai seorang pengarah?

NASIR: Memang seperti yang semua orang tahu, pengikut Ramlee ramai. Pada saya, untuk mengeluarkan Tombiruo itu 100 peratus daripada novel, saya rasa mana-mana pengarah pun di dunia ini tidak akan mampu. Pertama faktor masa. Novelnya 500 muka surat. Kita ada paling tinggi pun 120 minit. Kalau kita ambil satu muka surat satu minit, maknanya 500 minit. 500 minit itu kena kurangkan jadi 120 minit.

Jadi, kami berbincang dan kami cuba...yang terlibat dalam olahan ini daripada novel ke lakon layar bukan saya seorang. Ada rakan kongsi...produser juga. kami berbincang dan saya sebagai pembikin filem, ada cara-cara atau syarat-syarat tertibnya untuk mengolah novel.

Ada peraturannya. Jadi, saya tak boleh lawan atau khianat apa yang saya belajar. Mengadaptasi novel ke filem itu ada caranya, jadi, saya akan ikut seberapa yang dekat dan tidak lari daripada konteksnya.

SINAR HARIAN: Setelah sekian lama tidak mengarah dan kini kembali pada zaman serba baru, berteknologi tinggi yang jauh berbeza dengan zaman dahulu, jadi, adakah itu menjadi cabaran untuk Nasir Jani kembali beraksi?

NASIR: Teknologi itu satu kemudahan. Memudahkan kerja saya. Tetapi cabarannya ialah bagaimana saya nak menggunakan teknologi baru ini untuk beri apa yang Ramlee sebagai penulis novel mahu dan peminat-peminat, penonton serta pembaca novel itu mahukan.

SINAR HARIAN: Sebagai penulis, kongsikan kerisauan-kerisauan yang wujud dalam rangka untuk menghasilkan filem sulung dari karya-karya Ramlee.

RAMLEE: Sebagai penulis asal, apa yang saya takuti bahawa filem ini tidak boleh menandingi novel. Jadi, sebab itulah saya duduk dalam panel untuk sama-sama meneliti semua lakon layar yang kami buat. Kalau diikutkan di tangan kami sudah ada 14 draf kemudian dengan draf dari rakan kongsi ada empat, jadi ada 18 draf.

Percaya atau tidak, saya masih tak puas hati lagi. Sebab kalau boleh saya nak sedekat-dekat mungkin novel dengan filem itu sendiri.

Saya tahu bahawa setiap filem itu mustahil untuk menterjemahkan keseluruhan visual itu sendiri. tapi, seperti saya katakan tadi, kita ambil yang paling hampir dan kita jangan robohkan tiang-tiang cerita ini. Kalau kita mahu ubah tingkap, ubahlah. Nak ubah dinding, ubahlah tapi, tiang itu jangan diubah.

Apabila tiang diubah, maka runtuhlah ‘rumah’. Dalam perbincangan, perkara ini saya luahkan dan alhamdulillah diambil positif. Cuma dalam lakon layar Tombiruo ini, percaya atau tidak, dari tahun 2008 sampai sekarang saya belum luluskan lagi.

Maksudnya belum memenuhi apa yang saya mahu. Saya tidak mahu ia 100 peratus sama tapi sedekat yang boleh. Jadi, kalau itu boleh dipenuhi, insya-ALLAH kerisauan itu tetap ada tapi berkuranganlah.

SINAR HARIAN: Kenapa proses pra-produksi Tombiruo ini mengambil masa yang terlalu lama?

RAMLEE: Cabarannya adalah mencari dana dan kami bukan tak berusaha. Kami berusaha. Wang bukan segala-galanya tapi wang juga boleh menggerakkan Tombiruo ini. Jadi, perkara paling penting yang menjadi cabaran untuk menerbitkan Tombiruo adalah dana.

Sehingga tahun lalu, Kumpulan Media Karangkraf telah sudi untuk melabur dalam filem ini dan juga syarikat Ideate Media. Alhamdulillah sekarang ini proses Tombiruo sedang berjalan.

SINAR HARIAN: Jadi, sekarang ini filem Tombiruo berada di peringkat apa?

NASIR: Sekarang ini kita dalam proses memantapkan apa yang perlu. Undang-undang pertama mengadaptasi novel ke filem, bukan skrip hebat tapi restu penulis itu. Itu yang beliau sebut tentang tiang seri cerita itu. Jadi, tugas kami sekarang ini ialah memastikan tiang seri itu ada.

Kalau dirobohkan, kena buat semula. Kalau dah ada, cantikkan lagi. Beginilah, pegang kata-kata pengarah filem tersohor dunia termasuk Steven Spielberg. Beliau kata, belum pernah lagi berlaku, bajet meletup ketika proses membuat skrip.

Buatlah skrip selama mana sebab bajet tak akan meletup kerana apabila penggambaran telah dimulakan, itu tak boleh. Kita gunakan kesempatan itu. Itu lebih baik daripada ketika sudah mula penggambaran, baru sedar banyak yang tak betul.

Pada saya, persediaan yang paling penting ialah persediaan yang tidak melibatkan bajet meletup, tidak melibatkan kewangan yang buat kita terus takut untuk teruskan projek ini. Jadi, ubahlah seberapa banyak pun.

SINAR HARIAN: Jangkaan draf filem Tombiruo akan siap?

NASIR: Kata putus bila kemantapan skrip itu akan siap, kita ada ‘dateline’. Insya-ALLAH skrip muktamad sekurang-kurangnya penghujung bulan Februari. Filem ini besar. Contohnya, untuk lokasi sahaja, kalau tak betul-betul susun, akan memakan masa.

SINAR HARIAN: Ramai yang ternanti-nanti dan tertanya-tanya siapakah pelakon yang akan menggalas watak utama dalam filem Tombiruo ini. Jadi, siapakah yang bakal dipilih sebagai pelakon nanti?

RAMLEE: Ada nama-nama yang kita senaraikan seperti Datuk M.Nasir, Bront Palarae, Adi Putera, Fazura, Juliana Evans, Marsha, beberapa orang Sabah...tapi pada akhirnya, kita mengambil keputusan untuk menjalankan uji bakat. Jadi, mereka ini akan datang untuk uji bakat.

Kalau pengarah kata OK, lulus. Kita akan ambil pelakon ini untuk memegang watak Ejim, Amirudin, Wan Suraya. Keputusannya terletak pada uji bakat itu nanti. Tak lama lagi, insya-ALLAH.

SINAR HARIAN: Apa kriteria pelakon utama yang dicari oleh Ramlee?

RAMLEE: Ejim itu sama dengan Amirudin, cuma bezanya satu ada rupa dan satu lagi tiada rupa. Kedua-duanya nampak lelaki. Tapi wajah Ejim itu sendiri yang juga Tombiruo, karakternya memakai topeng dan dalam filem ini juga kita tak akan tunjuk siapa dia sebenarnya. Tapi pelakon itu mestilah ‘fighter’, berbadan sasa dan tahan lasak. Dalam karakter itu sendiri, kita bina karakter itu orang yang tak banyak cakap tapi kelelakian itu mesti ada.

SINAR HARIAN : Apa harapan Nasir Jani sebagai pengarah dalam sesi uji bakat itu nanti?

NASIR : Saya perhatikan juga cerita tentang pelakon-pelakon yang disebut-sebut dan ia sudah menjadi viral. Pada saya begini, untuk berlaku adil kepada semua, kita adakan uji bakat. Ketika uji bakat itu nanti, pelakon yang memang kita sudah senarai pendekkan, kita akan uji bakat mereka.

Siapa-siapa yang berminat nak datang, datanglah. Sebab kita tak tahu siapa yang layak. Mungkin ketika sesi uji bakat, kita jumpa pelakon yang mampu ‘pukul’ semua pelakon lain untuk jadi Tombiruo yang kita cari. Kemungkinan, tiada yang mustahil.

SINAR HARIAN : Maksudnya, kemungkinan pelakon utama itu nanti bukan dalam kalangan pelakon popular?

NASIR : Kemungkinan. Sebab kita tak boleh tahu. Semuanya mungkin. Jangan kita hadkan diri kita dan berfikiran terbuka menjadikan Tombiruo ini sesuatu. Kalau nak gempak, biar gempak habislah.

RAMLEE: Kalau anda biasa baca buku-buku saya, begitulah. Kita sangka dia pembunuh, rupanya orang lain yang membunuh. Jadi, mungkin itu yang berlaku dalam uji bakat. Mungkin kita kata Bront Palarae rupanya M.Nasir.

Mungkin kita kata, Nasir rupanya Adi Putra. Pelakon baharu. Mana tahu kan? Apabila saya masuk dalam industri filem ini, magisnya lain macam. Kalau dalam novel, magisnya saya kawal sendiri tapi kalau filem, magisnya dari segenap arah boleh berlaku.

SINAR HARIAN: Ketika Ramlee menulis Tombiruo, siapakah yang dibayangkan sebagai watak utama itu?

RAMLEE: Dulu saya membayangkan Eman Manan sebab dia bersilat. Tapi masa berubah. Macam watak Sunan saya membayangkan M.Nasir. Tapi apabila masa sudah berubah, tak boleh M.Nasir. Jadi, ketika saya menulis, waktu itu Eman Manan popular.

Sekarang sudah 17 tahun, kita kena ikut masa sekarang. Kalau ikut yang lama, habis kita. Jadi, mahu atau tidak, saya serahkan kepada pengarah, Nasir Jani. Mata beliau ialah mata seorang pengarah. Mata saya ialah mata seorang penulis. Tentu arah kami berbeza dengan cita rasa, pemikiran kami tersendiri.

SINAR HARIAN: Jangkaan Tombiruo akan ditayangkan di pawagam negara lain?

RAMLEE: Insya-ALLAH kita akan sampai ke peringkat global.  Kalau mengikut daripada perbincangan awal, filem ini akan keluar awal 2016 dan kita sudah hampir dengan tarikh untuk mula penggambaran.

SINAR HARIAN: Kata-kata akhir kepada pembaca di luar sana yang menanti karya pertama Ramlee divisualkan.

RAMLEE: Saya sebenarnya sangat terseksa menunggu Tombiruo ini menjadi filem. Apa yang saya mampu berdoa. Kepada pembaca-pembaca buku saya, tolong doakan kejayaan kami untuk ke arah merealisasikan novel Tombiruo ke layar lebar. Doakan kami.

NASIR: Doakan supaya apa yang kami buat ini dengan tenaga dan pemikiran yang digunakan ini untuk melahirkan filem ini dapat memuaskan hati semua orang. Adaptasi novel ke filem sangat kompleks dan susah. Lebih baik saya buat skrip sendiri.

RAMLEE: Lebih baik saya buat novel.

NASIR: Kalau tak mampu puaskan hati 100 peratus tapi sekurang-kurangnya 70 peratus semangat novel itu ada.

Sumber asal: http://www.sinarharian.com.my/wawancara/tombiruo-bakal-mulakan-penggambaran-1.358450 (9 Feb 2015)




*****    *****    *****    *****    *****    *****    *****    

ADAPTASI TOMBIRUO SEMAKIN RUMIT?
Akmaliah Razak
11 Mac 2015

PADA minggu lalu, penulis novel thriller terkenal, Ramlee Awang Murshid, tampil berkongsi kisah mengenai penulisan awalnya menerusi novel, Tombiruo.

Jika di mata Ramlee, Tombiruo itu adalah sesuatu yang meninggalkan kesan nostalgia istimewa kepadanya, namun di mata pengarah filem adaptasi ini, ada sesuatu yang digambarkan pada kali pertama membacanya.

Menurut pengarah yang pernah menghasilkan filem, Kembara Seniman Jalanan dan Cinta Rozana 87, ini, Nasir Jani, mula membuka halaman lebih 500 muka surat itu pada 2010 di mana sebelum ini hanya anak-anaknya sahaja yang menjadikan karya Ramlee sebagai bahan bacaan.

"Saya tidak pernah membaca karya Ramlee sebelum ini, namun saya tahu siapa dia dan novel-novelnya menerusi anak-anak saya.

"Pertama kali membaca novel itu, satu perkataan yang saya ungkapkan adalah ‘bodoh’. Bukan kerana jalan ceritanya, namun kerana pondok yang didiami Ejim adalah di bawah pokok di dalam hutan sedangkan ia perlu dibina di atas.

"Namun, secara keseluruhan, penceritaan dalam novel ini amat menarik sekali dengan watak yang dikembangkan. Namun, sekiranya ia bakal diangkat ke layar perak, perlu ada perubahan dari segi latar tempat (pondok) itu terutamanya,” kata Nasir yang mengakui itu adalah novel Melayu pertama yang dibacanya.

Tambah Nasir, dia membaca novel berkenaan setelah diberitahu Ramlee bahawa novelis kelahiran Papar, Sabah itu berhasrat untuk mengangkat karyanya sebagai filem adaptasi.

"Setelah memahami jalan cerita Tombiruo, saya merasakan ada beberapa babak yang perlu diperkemas lagi dan pasti akan ada perubahan kerana ia telah ditulis lebih dua dekad lalu.

"Apabila saya menyuarakan apa yang perlu diubah, Ramlee bersetuju namun sebagai penulis asal, dia tetap ingin memastikan agar ‘tiang seri’ itu tidak boleh diubah sesuka hati. Saya menghormati keputusannya itu,” jelas Nasir lagi.

Ramlee ada hak

Walaupun adaptasi lebih dilihat sebagai sesuatu karya yang diangkat ke layar perak secara keseluruhan, namun Nasir memberitahu bahawa tidak semestinya ia memerlukan terjemahan 100 peratus.

Kata Nasir, perkara itu turut dibincangkan bersama Ramlee kerana pada pandangan awalnya, ia perlu sama dan perubahan yang ketara boleh menjejaskan gambaran peminat berdasarkan imaginasi mereka menerusi novel.

"Ramlee ada mengemukakan beberapa kerisauannya apabila novel itu mengalami banyak perubahan. Malah, sebelum ini pernah berlaku kontroversi di mana penulis asal tidak berpuas hati dengan garapan dan olahan adaptasi.

"Namun, saya menjelaskan perkara ini dengan jelas dengan memberi contoh-contoh terdekat termasuk filem-filem barat yang diadaptasi. Alhamdulillah, dia menerimanya dengan hati yang terbuka.

"Namun, itu tidak bermakna, produksi yang terlibat dalam pembikinan ini boleh berbuat sesuka hati dengan karya berkenaan kerana sebagai pengarah, saya akan memastikan bahawa semangat novel itu mesti dikekalkan,” katanya.

Tidak menganggap campur tangan Ramlee sebagai satu perkara yang merumitkan, dia mengakui bahawa penglibatan Ramlee secara keseluruhan adalah tindakan yang betul dalam memastikan novel itu tidak bercanggah sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati.

"Walaupun Ramlee terlibat dalam pembikinan filem ini, namun hal untuk berkarya tetap diserahkan kepada saya. Saya berhak menjadikan filem itu mengikut apa yang saya mahukan dari segi muzik, pergerakan kamera dan suntingan.

"Dari situ, orang akan tahu itu adalah sentuhan saya tanpa dibayangi oleh sesiapa. Lagipun, kami turut berbincang dan berkongsi idea masing-masing.

"Saya tiada masalah dengan Ramlee kerana dia bukan sahaja datang sebagai penulis asal, malah dalam pembikinan filem ini, dia adalah panel penulis 'screen play' dan juga salah seorang penerbit. Sekiranya ada perkara yang dia tidak puas hati, wajar untuk kita mendengarnya kerana hak itu lebih kepada dia," jelas Nasir lagi.

Tidak perlu terburu-buru

Walaupun sudah belasan draf yang dibina, namun persetujuan masih belum diperoleh daripada ketiga-tiga produksi yang terlibat iaitu Layar Sunan Sdn Bhd, Alaf 21 dan Ideate Media Sdn Bhd.

Tambah Nasir, tempoh masa yang diambil begitu lama tidak memberi kesan atau tekanan buat dirinya selaku pengarah kerana dia tetap berpihak kepada Ramlee dalam soal kemantapan lakon layar.

“Saya hanya berpegang kepada satu prinsip di mana dalam penghasilan karya, proses pembikinan lakon layar tidak memerlukan bajet yang meletup walaupun mengambil masa yang agak lama.

“Saya tidak kisah berapa lama masa yang diambil untuk memantapkan lagi jalan cerita kerana ia tidak melibatkan kos, melainkan jika kita terburu-buru memulakan peringkat seterusnya, baharu tahu ada perkara atau babak yang perlu ditukar.

"Ianya akan menjejaskan perjalanan penggambaran dan proses seterusnya termasuk kos produksi. Ini adalah novel pertama Ramlee dan sudah semestinya proses itu perlu dibuat betul-betul. Tak boleh main-main," katanya.

Jelasnya lagi, menggalas tanggungjawab sebagai pengarah, dia akan memastikan bahawa sentuhannya itu tidak mengecewakan Ramlee dan barisan produksi lain walaupun sudah hampir tiga dekad tidak diberi peluang untuk berada di kerusi itu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...