Ahad, 28 Februari 2016

Pengarahan konvensional & video bantu

SENI filem dan pembikinan filem tidak dinafikan merupakan the highest form of art – kerja seni bertaraf paling tinggi.

Filem adalah kombinasi seni dan sains yang melibatkan pelaburan dana. Jumlah dana boleh sahaja dalam nilai paling asas atau sehingga mencapai nilai jutaan dan bilion untuk menghasilkan kerja seni bernama filem.

Sepanjang minggu lalu, aku terlibat dengan tugasan pos produksi untuk menghasilkan satu promo pendek sebuah filem. Tugasan ini memerlukan aku terlibat dan memantau proses color grading – penggredan warna.

Penggredan warna ini dilakukan setelah promo pendek filem tersebut siap di sunting.

Apa aku ingin nukilkan bukan bagaimana proses penggredan warna dilakukan. Aku ingin menulis kesempatan aku bertemu dan berinteraksi dengan pembikin filem muda ketika melakukan proses tersebut.

Topik perbualan kami ini yang ingin aku kongsikan dengan pembaca kolumku minggu ini.

Beberapa minggu sebelum ini aku bertemu dan bertugas bersama sekelompok pembikin filem generasi muda Melayu. Aku terlibat dengan mereka ketika proses penyuntingan promo pendek filem tersebut sebelum ke proses penggredan warna.

Di studio pos produksi penggredan warna tersebut aku berpeluang mengenali, bersembang dan berinteraksi dengan tenaga kerja juga generasi muda. Mereka terdiri daripada berbagai bangsa. Ada daripada luar negara selain tenaga kerja tempatan.

Petugas proses penggredan warna untuk promo pendek filem ini merupakan seorang pemuda Perancis berusia awal 40-an.

Pengurus merangkap orang nombor satu studio pos produksi awal 50-an berasal dari Australia. Topik perbualan kami pada waktu rehat ketika membuat penggredan warna berkisar cara pembikinan dan pengarahan filem dahulu berbanding sekarang.

Bila mereka mengetahui aku pernah mengarah dua filem cereka hampir 30 tahun lampau, mereka bertanya aku tentang perbezaan cara mengarah filem dahulu berbanding sekarang.

Perbezaan mengarah filem dengan menggunakan kemudahan terkini video assist (VA - video bantu) berbanding mengarah secara lama.

Soalan sama diajukan kepadaku oleh kelompok pembikin filem anak-anak muda Melayu semasa aku memantau penyuntingan promo filem ini beberapa minggu sebelum ini.

Menariknya, satu soalan serupa tetapi ditimbulkan dua kelompok filmmaker berlainan bangsa dan dari negara dunia.

Apa itu mengarah dengan kemudahan bantuan VA?

VA adalah sistem digunakan dalam pembikinan filem yang membolehkan pengarah dan kru terlibat dalam sesuatu penggambaran filem melihat versi video rakaman babak dilakukan dengan segera selepas babak tersebut berhasil dirakamkan atau difilemkan lewat kamera filem.

Sistem ini menggunakan sebuah alat peranti kecil dipasang di dalam kamera filem. Dengan menggunakan monitor atau skrin TV membolehkan pengarah melihat babak yang bakal dan ketika dirakamkan sama seperti dilihat oleh jurukamera melalui kameranya.

Ini memastikan babak filem yang mahu dirakamkan mengikut sudut dan bingkai frame yang dirangka, dibayangkan dan dihajati oleh pengarah.

Kemudahan ini membolehkan tenaga produksi terlibat dalam pembikinan sesebuah filem daripada pengarah, pengarah fotografi, pengarah seni, para pelakon, tenaga teknikal dan kru melihat rupa bentuk babak yang bakal dan sesudah dirakamkan.

Selalunya, babak-babak dilihat lewat VA ketika rakaman dilakukan sudah hampir 90% sama seperti babak-babak bakal ditayangkan di skrin panggung nanti walau tanpa muzik latar, kesan bunyi dan penggredan warna. Melainkan shot dan babak tersebut melibatkan penggunaan CGI – Computer Generated Images. Paling penting shot asas yang mahu dicipta dan diwujudkan pengarah dapat dilihat ketika itu juga. Begitulah canggih teknologi pembikinan filem era sekarang.

Cuba bandingkan proses penggambaran filem secara lama, konvensional tanpa bantuan VA.

Cara pengarahan konvensional ialah sebelum sesuatu babak itu dirakamkan, pengarah akan berbincang dan menerangkan kepada pengarah fotografi, sekali gus merangkap jurukamera tentang komposisi dan rupa bentuk suasana yang mahu diwujudkan oleh pengarah dalam bingkai atau frame kamera.

Komposisi merangkumi aksi, pergerakan pelakon dalam keluasan bingkai kamera.

Elemen-elemen ini perlu selari pergerakan kamera jika shot untuk babak bakal dirakam memerlukan kamera bergerak.

Selalunya kamera bergerak atas dolly track – peralatan serupa landasan atau rel kereta api.

Sering juga kamera bergerak menggunakan kren untuk merakam shot paras rendah sehingga ke paras tinggi. Semua pengarah filem, baik tempatan mahupun luar negara sebelum wujudnya kemudahan VA menggunakan kaedah kerja serupa dan sama seperti di atas.

Melalui proses ini, aku seperti pengarah lain, aku akan bermula dengan melihat melalui lensa kamera untuk membuat komposisi shot dan pergerakan pelakon dan kamera. Setelah aku membuat komposisi pergerakan pelakon dan kamera untuk sesuatu shot, aku akan tunjukkan kepada jurukamera komposisi yang aku mahu wujudkan dalam framing.

Setelah puas hati dengan pergerakan asas kamera, latihan untuk pelakon dijalankan bagi memastikan pergerakan atau blocking mereka selari dengan keluasan bingkai dan pergerakan kamera.

Latihan kamera dan pergerakan pelakon ini paling penting untuk memastikan pergerakan dan kedudukan pelakon sentiasa dalam frame atau bingkai kamera.

Sememangnya satu tugas renyah dan memerlukan masa dan kesabaran untuk mendapatkan komposisi shot dan sudut kamera dimahukan oleh pengarah.

Segala apa yang mahu diwujudkan dalam frame atau bingkai kamera itu hanya pengarah sahaja yang nampak dalam mindanya. Visual atau shot dimahukannya itu dipindahkan ke minda dan pandangan jurukamera lewat komposisi kamera dan pergerakan pelakon yang dilakukan ketika rehearsal atau latihan bersama dengan kamera.

Proses ini dikenali sebagai camera rehearsal. Bila pengarah berpuas hati dengan latihan kamera dan pergerakan pelakon, barulah rakaman shot untuk babak tersebut dilakukan.

Pengarah akan memberi arahan - Camera... Action! Ketika take atau rakaman dilakukan hanya jurukamera sahaja dapat melihat melalui kameranya dan memastikan apa dimahukan pengarah berada dalam bingkai kamera. Pengarah hanya berada di sisi jurukamera memastikan lakonan pelakon sampai ke tahap dimahukannya berdasar cerita terkandung dalam skrip.

Maknanya, bila kamera mula merakamkan shot, pengarah hanya berserah dan meletakkan kepercayaan seratus peratus kepada jurukamera untuk menghasilkan visual dibayangkannya.

Sangat penting kefahaman cara bekerja dan kemahuan artistik seseorang pengarah mampu dihayati sepenuhnya oleh pengarah fotografi merangkap jurukamera.

Apa juga kesilapan melibatkan aspek teknikal terutamanya dalam memastikan komposisi shot terletak di bahu jurukamera. Jika berlaku kesilapan teknikal hanya diketahui beberapa hari dan ada kalanya seminggu selepas footage atau bahan yang dirakamkan selesai melalui proses di makmal.

Di makmal, bahan filem dirakam dalam bentuk negatif diproses ke positif, dipanggil rushes – bahan awal dalam bentuk filem tanpa suara.

Waktu menonton rushes merupakan masa paling ‘mengerikan’ semua tenaga kerja serta pelakon dan paling kecut perut ialah pengarah. Jika ada kesilapan hanya akan baharu diketahui ketika itu. Paling mahu dielakkan oleh semua terlibat ialah reshoot – penggambaran semula!

Dengan teknologi VA sekarang, pengarah hanya perlu berbincang dengan pengarah fotografi di depan monitor TV dan memberitahu bentuk, ukuran bingkai atau framing shot dan suasana pencahayaan dimahukan dengan mengarah jurukamera mewujudkan shot tersebut lewat kamera filem.

Gambaran shot yang dimahukan pengarah terus dan jelas dapat disaksikan melalui skrin monitor TV oleh semua terlibat di saat itu.

Apa yang ada dan mahu dibayangkan pengarah boleh dilihat dan dikongsikan bersama dengan semua tenaga kerja dan kr terlibat dengan cepat dan pantas.

Dengan cara konvensional, hanya pengarah dan jurukamera yang tahu shot bakal dirakamkan. Tetapi kecanggihan teknologi VA membolehkan semua tenaga produksi tahu shot dan babak yang mahu dicipta, dirakamkan oleh pengarah dengan pantas dan serentak. Mudahkan?

Ahad, 21 Februari 2016

KSJ, siapa bakal produsernya?

SELEPAS pertemuan pada petang 1 Jun 1984 bersamaan 2 Ramadan 1404 itu, aku seperti tidak percaya M Nasir mahu aku terlibat dalam projek filemnya.

Aku dipertanggungjawabkan menulis lakon layar dan seterusnya mengarah filem pertama lakonan M Nasir.

Sejujurnya aku masih sukar untuk percaya telah bertemu dengan M Nasir beberapa jam sebelum ini.

Bukan kerana rasa kagum terhadap seorang penyanyi popular sudi datang ke rumahku tetapi lebih kepada tawaran beliau kemukakan kepadaku – mengarah filem berjudul

Kembara Seniman Jalanan (KSJ). Biar betul? Aku seperti tidak percaya aku ditawarkan peluang mengarah filem pertamaku.

Filem ini juga mencatatkan sejarah kemunculan pertama M Nasir dalam filem. Macam-macam fikiran, soal jawab bermain di mindaku sambil menunggu waktu berbuka senja itu.

Apakah aku sudah bersedia untuk memikul tanggung jawab seorang pengarah filem? Ini bukan projek bernilai seribu atau dua tiga ribu ringgit. Kos untuk menghasilkan sesebuah filem era 80-an ialah di antara RM150,000 ke RM250,000.

Ini satu jumlah besar ketika itu. Pastinya tanggungjawab bakal terbeban di bahuku pun besar dan berat.

Untuk pengetahuan generasi sekarang, jumlah tersebut hampir sama nilainya dengan bajet RM1.5 hingga RM3 juta untuk menghasilkan sesebuah filem sekarang.

Harga tiket menonton di pawagam 30 tahun lalu ialah antara RM1 untuk tempat duduk kelas tiga (paling depan dan hampir dengan skrin) dan RM2.50 ke RM3 untuk kelas satu dan bahagian atas atau kelas khas – circle seats.

Cuba bandingkan harga tiket sekarang yang rata-ratanya berharga antara RM11 hingga RM15 untuk semua tempat duduk. Zaman berubah dan nilai wang pun berubah.

Berbalik kepada tawaran mengarah filem daripada M Nasir. Perasaanku bercampur-baur, takut dan berani untuk memikul tugas mengarah filem KSJ ini.

Tetapi aku yakinkan diriku untuk berfikiran positif. Dengan pengalaman bekerja selama ini di bidang filem iklan dan ditambah pengalaman menjadi penolong pengarah kepada pengarah filem Hafsham, Rahim Razali dan Shuhaimi Baba memberi aku keyakinan dan keberanian.

Peluang mengarah filem cereka yang muncul lebih awal daripada jangkaanku ini mesti aku manfaatkan sebaik mungkin. Paling penting aku rasa dekat dan boleh relate dengan idea mahu diangkat oleh M Nasir lewat naskhah karyanya itu.

Secara peribadi aku rasakan satu semangat baru dan cetusan hati anak muda segenerasiku ketika itu ada dalam skrip asal M Nasir.

Ini ditambah dengan lagu-lagu ciptaan M Nasir khususnya untuk kumpulan Kembara yang lebih ‘merakyat’ sifatnya.

Lagu-lagu Ekspres Rakyat, Impian Anak Jalanan, Perjuangan, Kolar Biru, Empat Penjuru, Senandung Buruh Kasar, Impian Seorang Nelayan, Ayahku dan Angkasawan dan Duit di antara lagu-lagu yang ada elemen mewakili suara rakyat marhaen.

Sememangnya M Nasir dan Kumpulan Kembara banyak merakamkan lagu mengisahkan kehidupan dan alam di samping lagu-lagu yang puitis liriknya.

Aku rasa elemen ini yang perlu aku terjemahkan ke bentuk visual lewat filem KSJ. Pandangan ini tidak aku nyatakan kepada M Nasir. Ia bermain dalam fikiranku sebagai persediaan awal untuk aku memahami apa yang mahu disurahkan oleh M Nasir secara sinematik lewat skrip yang ditulisnya itu.

Kesimpulannya, aku lihat M Nasir mahu melontarkan idea tentang perjuangan seorang penyanyi lagu-lagu rakyat di tengah keghairahan khalayak mencandui lagu-lagu cinta dan putus cinta.

Dalam perbincangan kami tadi, aku beritahu M Nasir aku baharu sahaja mendapat tawaran daripada Finas bagi mengikuti kursus jangka pendek filem dan video di Crosswind Film Studio, London selama tiga bulan. Kursus tersebut bermula dari September hingga November, 1984. Lebih kurang tiga bulan dari hari perjumpaan pertama kami itu.

Aku nyatakan kepada M Nasir walaupun aku akan berada di luar negara tetapi kami sepakat akan mula berusaha mencari produser yang berminat melabur dalam projek filem ini mulai saat itu.

Ketika pertemuan dengan M Nasir itu, aku sempat bertanya beliau kenapa dan mengapa mahu melibatkan aku dalam projek filemnya itu. Menurut M Nasir, beliau mengikuti hasil kerjaku lewat filem-filem Mekanik dan Matinya Seorang Patriot.

Maksud beliau kerja-kerja art direction atau arahan seni yang aku hasilkan untuk kedua filem tersebut.

Beliau juga mengikuti perkembangan syarikat produksi ZSA Film Productions lewat penerbitan filem pertamanya, Mati Seorang Patriot (1983) arahan Rahim Razali. Syarikat ini diterajui oleh seorang produser muda, Zarul Hisham AlBakri.

Kami melihat Zarul berpotensi untuk terlibat dan membiayai projek filem Kembara Seniman Jalanan ini. Kenapa aku dan M Nasir berpandangan begitu?

Kami merasakan idea dan skrip KSJ mungkin agak sukar diterima oleh produser-produser yang aktif ketika itu.

Kebanyakan mereka adalah daripada kelompok bermentaliti lama – old school. Masih dibayangi cara pembikinan dan idea filem era zaman Jalan Ampas, Singapura.

Di antara ramai produser ketika itu Zarul paling muda dan sebaya dengan kami.

Kami berkongsi pandangan, attitude dan kefahaman yang sama tentang filem dan cita rasa muzik. Kami adalah generasi muda pembikin filem dengan pendekatan berbeza berbanding pembikin filem yang ada ketika itu.

Senang cerita, kami mencari produser yang ‘sekepala’ untuk menghasilkan filem KSJ ini. Zarul juga terpilih bersama dengan aku mengikuti kursus filem jangka pendek tersebut di London.

Untuk kursus ini turut terpilih ialah Mior Hashim Manap, penyunting filem Matinya Seorang Patriot dan Johan Ibrahim, jurukamera yang banyak terlibat dalam filem arahan pengarah terkenal ketika itu, di antaranya Jamil Sulung (arwah), Yassin Salleh dan Jins Shamsudin.

Ketika M Nasir datang bertemu aku buat pertama kalinya dengan tawaran mengarah filem KSJ itu, aku baharu selesai menjalani penggambaran telefilem pertama untuk TV3 berjudul Maria, arahan Shuhaimi Baba.

Selepas pertemuan itu, aku menumpukan sepenuh masa untuk menelaah skrip asal M Nasir sambil mencari idea menulis lakon layarnya.

Dalam masa sama, aku berjaya menemukan M Nasir dengan Zarul. Produser muda ini secara dasarnya setuju untuk menerbitkan KSJ selepas kami balik dari London nanti.

Zarul tertarik dengan idea M Nasir mahu menghasilkan filem bercorak muzikal.

Ketika itu kebanyakan filem-filem Melayu yang dihasilkan bergenre drama dan komedi. Kami beranggapan dengan percubaan genre muzikal ini akan membawa kelainan yang boleh diterima penonton.

Produser sudah aku dan M Nasir ketemui, lalu apa seterusnya?

M Nasir dipertanggungjawabkan untuk mencipta lagu-lagu baharu untuk filem ini. Aku memikul tanggung jawab menghasilkan lakon layar.

Sebelum berangkat ke London, Zarul, M Nasir dan aku bersetuju memulakan pra produksi KSJ, filem kedua syarikat ZSA Films Productions milik Zarul ini pada awal 1985.

Aku berjanji kepada diriku untuk menonton sebanyak mungkin filem ketika di London nanti. Aku perlukan bahan-bahan terkini untuk inspirasi, idea baharu dan kontemporari bagi menghasilkan lakon layar Kembara Seniman Jalanan.

Apakah kota London berjaya memenuhi impian dan kembara sinematikku?

Ahad, 14 Februari 2016

KSJ bermula pada bulan Ramadan

Beberapa minggu kebelakangan ini aku berpeluang bekerjasama dengan beberapa filmmaker dan pengarah filem generasi baharu.

Pertemuan tidak dirancang ini berlaku atas urusan kerja. Kesempatan ini juga membolehkan aku mengenali lebih dekat pembikin, penggiat filem generasi muda kita.

Aku sebenar sangat teruja. Aku bagaikan mendapat suntikan tenaga dan semangat baharu bila berpeluang berinteraksi sambil bertugas dengan anak-anak muda ini untuk penggambaran menyiapkan satu projek promosi untuk sebuah filem.

Lewat sesi tugasan dan pertemuan tersebut aku berkesempatan menyelami pemikiran dan pandangan sinematik pembikin dan penggiat filem generasi baharu ini. Aku dapati kelompok ini khususnya, pandangan mereka lebih terurus dan jelas hala tujunya.

Mereka ini rata-ratanya tahu dan pasti kenapa mereka memilih bidang perfileman sebagai kerjaya mereka.

Ada misi dalam kerja karya dan perjuangan seni mereka. Aku tidak mahu menggunakan ‘input’ ini untuk menggambarkan senario keseluruhan anak-anak muda yang berkecimpung dalam bidang filem ini.

Apa aku lihat dan alami bersama kelompok ini tidak semestinya mewakili sikap dan gaya kerja kelompok lain dalam bidang perfileman tanah air.

Aku beruntung bertemu kelompok ini. Mereka punya wawasan dan fokus dalam berkarya. Pastinya, aku meraikan kepelbagaian dari segi sikap, pandangan, cara anak muda generasi sekarang bekerja dan berkarya.

Peluang berinteraksi dengan filmmaker generasi baharu ini memaparkan kepadaku ada di antara mereka yang faham di samping ada masih belum faham keperluan asas melahirkan dan mengarah sesebuah filem. Apa asas penting itu?

Asas paling penting ialah idea, wacana, gagasan, fahaman atau ideologi yang mahu disampaikan dan diangkat lewat naskhah visual masing-masing.

Inilah asas sebenarnya membezakan sikap, attitude dan tujuan seseorang individu menjadi seorang filmmaker.

Aku ada terbaca artikel Hassan Muthalib, seorang pengkritik dan pengkaji filem Melayu dan Malaysia.

Beliau merumuskan tulisan dan pandangan Ku Seman Ku Hussain, wartawan hiburan tentang wacana atau idea dalam filem – idea dalam filem menjadi komen, sindiran atau pun persoalan terhadap sesuatu tetapi tidak sekali-kali dibuat untuk menyampaikan ’mesej’.

Para karyawan hanya tukang cerita yang mempunyai sesuatu untuk dikongsikan dengan khalayak. Semuanya lahir dari renungan dan ia merupakan perspektif mereka tentang keadaan sosiobudaya atau politik di sesuatu masa yang menyentuh perasaan dan akal fikiran mereka.

Jika konsep ini difahami oleh setiap filmmaker baharu mahupun lama secara automatik hal-hal remeh-temeh seperti glamor, populariti, gosip picisan dan isu-isu kurang cerdik yang sering dikaitkan dengan dunia seni hiburan dan filem dapat diletakkan pada tempat dan ketika dirasakan perlu sahaja.

Bukan satu keutamaan.

Idea, wacana dan gagasan dipaparkan secara kreatif lewat penghasilan filem adalah lebih ‘paramount’ – keutamaan paling utama dari segala-galanya.

Apa hubung kaitnya, nukilan di atas dengan janji aku minggu lalu untuk menulis tentang pembikinan filem pertamaku Kembara Seniman Jalanan yang diproduksikan 30 tahun lalu?

Kata kuncinya ialah idea atau wacana. Filem Kembara Seniman Jalanan (KSJ) membawa idea, wacana tentang masalah ekonomi karyawan, seniman Melayu khususnya dan masalah ekonomi bangsa Melayu amnya.

Itulah idea asas dan wacana penting yang aku dan rakan-rakan lain mahu sampaikan lewat filem KSJ. Tetapi idea ini bukan lahir daripada mula M Nasir menulis skrip asalnya.

Skrip asal beliau telah melalui satu proses panjang sebelum dimetamorfosiskan ke bentuk lakon layar asal tulisanku.

Aku akan ceritakan bagaimana skrip asal M Nasir ini berubah dalam melalui proses pembikinan sesebuah filem.

Proses ini penting kerana ia akan menjawab dan menjelaskan beberapa insiden kontroversial dan tindakan ‘brutal’ku setelah KSJ siap dan berjaya ditayangkan seinggalah ke peringkat pencalonan di Festival Filem Malaysia ke-6, 1987.

Semuanya bermula dengan satu panggilan telefon pada pagi 1 Jun 1984 bersamaan 2 Ramadan 1404. Tarikh itu juga adalah hari pertama Sistem Televisyen Malaysia atau TV3 mula bersiaran secara rasmi dipancarkan meliputi kawasan Lembah Kelang sahaja.

Panggilan telefon di rumahku itu datangnya daripada M Nasir. Aku menyewa rumah di Taman Gombak setelah berkahwin dan punya seorang anak berusia 2 tahun. Untuk pengetahuan pembaca ketika itu belum ada lagi handphone atau telefon tangan.

Aku bagaikan tidak percaya, betul ke M Nasir di hujung talian membuat panggilan ini. Ketika itu M Nasir sudah mula dikenali ramai lewat lagu-lagu hitnya, di antaranya Ekspres Rakyat, Hati Emas, Kepadamu Kekasih, Gerhana dan Perjuangan.

Ketika itu beliau berkolaborasi dengan A Ali dan Sahlan dalam kumpulan Kembara. Selain itu banyak lagu ciptaan M Nasir berjaya mempopularkan kumpulan Alleycats dan kumpulan Flybaits dengan lagu klasiknya, Kenangan Lalu pada awal 80-an.

Antara 1980 sehingga 1984, M Nasir dan kumpulannya, Kembara sudah berjaya meletakkan kumpulan mereka sebaris dengan penyanyi dan kumpulan yang top pada awal 80-an seperti Sudirman, Blues Gang, Sweet Charity, Alleycats dan Carefree.

Selain itu, M Nasir juga merupakan penerbit album selain pencipta lagu dan penulis lirik.

Sepanjang masa tersebut beliau berkarya berpusat di Singapura. Aku pula antara lewat 70-an sehingga 1984 bergiat dalam bidang perfileman berpusat di Kuala Lumpur. Aku bermula dalam bidang filem iklan dan dokumentari. Awal 80-an aku mula bergiat sebagai penolong pengarah dan pengarah seni untuk filem-filem arahan Hafsham, Mekanik, Matinya Seorang Patriot arahan Rahim Razali dan telefilem pertama untuk TV3, Maria arahan Shuhaimi Baba.

Berbalik kepada panggilan telefon M Nasir, beliau mahu bertemu untuk berbincang tentang filem dan skrip filem hasil karya beliau. Aku beri persetujuan untuk bertemu. Akhirnya, kami setuju berjumpa di rumahku petang itu.

Sebelum mengakhiri perbualan aku bertanyakan dari mana beliau mendapat nombor telefon rumahku. M Nasir memberitahu dR Sam memberinya nombor telefonku.

DR Sam merupakan penyanyi genre reggae pertama tanah air. Terkenal dengan lagu Saya Anak Malaysia.

Beliau juga merupakan pelopor kepada fenomena penyanyi jalanan atau buskers. Bila balik daripada menuntut dan merantau di Eropah pada awal 80-an, dR Sam dan rakan-rakannya memperkenalkan dan memulakan kegiatan menyanyi di jalanan di pasar-pasar malam Bangsar, Damansara dan Petaling Jaya. Ketika itu aku memang mengenali dR Sam atau nama sebenarnya, Salim Ibrahim.

Beliau mula muncul sebagai pelakon undangan dalam filem Mekanik (1983) arahan Hafsham di mana aku terlibat sebagai penolong pengarah. DR Sam juga berlakon dalam filem Matinya Seorang Patriot (1984).

Aku juga memikul tugas penolong pengarah dan pengarah seni untuk filem arahan Rahim Razali ini.

Setahun sebelum itu M Nasir menerbitkan album pertama dR Sam berjudul Abu Nawas, merupakan album reggae Melayu pertama dihasilkan.

Maka petang itu M Nasir ditemani oleh dR Sam datang ke rumahku. Kami berbincang tentang keinginan M Nasir untuk terlibat dalam filem setelah mula berjaya dalam bidang nyanyian dan penerbitan album.

M Nasir memberikan aku satu draf skrip berdasarkan idea dan cerita asal yang diilhamkannya.

Menurutnya lagi, beliau ada meminta seorang wartawan dan penulis skrip filem veteran, Hamzah Hussein (arwah) untuk menulis lakon layar berdasarkan skripnya itu.

Tetapi M Nasir merasakan lakon layar tersebut tidak menepati cita rasanya.

Beliau meminta aku untuk menulis lakon layar baharu. Aku bertanya M Nasir sama ada beliau sudah ada produser untuk menerbitkan filemnya.

Beliau menyatakan belum ada lagi. Aku membelek-belek skrip asal yang diklip setebal hampir lebih 100 helai himpunan kertas A4 untuk mencari tajuknya.

Tidak jumpa, lalu aku tanya M Nasir, “Apa title filem lu ni?” “Kembara Seniman Jalanan” jawab M Nasir

Ahad, 7 Februari 2016

Kembara Seniman Jalanan masih relevan?

Februari 2016, genaplah 30 tahun usia filem sulung arahanku, Kembara Seniman Jalanan (KSJ). Filem KSJ memperkenalkan M Nasir (Datuk) ke layar perak ini mula ditayangkan kepada umum pada 22 Februari 1986.

Aku dapati filem KSJ masih mampu mencuri perhatian penggiat seni dan pihak berkuasa terlibat dengan seni hiburan tanah air sehingga sekarang. Awal tahun ini, filem KSJ mencetuskan isu penggunaan babak-babak filem tersebut oleh TPPA Malaysia untuk klip video kempen penerangan mereka lewat alam siber tanpa keizinan penerbit dan tuan punya hak ciptanya. Kekecohan isu ini berjaya diselesaikan dengan penarikan balik klip video tersebut oleh TPPA Malaysia daripada terus viral di internet.

Kesimpulannya, filem sulung arahan dan lakon layar tulisanku berdasarkan skrip asal M Nasir ini masih relevan sehingga kini. Aku percaya kerelevanan filem KSJ kerana idea dan isu yang diangkat lewat naskhahnya – isu cetak rompak dan rasuah. Dua gejala perosak nombor wahid terhadap pembangunan budaya, tamadun bangsa dan negara.

Aku akan cuba menjejaki semula sejarah pembikinan filem KSJ diproduksikan pada 1985 ini daripada bagaimana mula tercetus idea memproduksikan filem ini sehingga ke peringkat pembikinannya dan seterusnya sehingga tayangannya. Satu kembara seni penuh dugaan, ranjau onak duri yang menuntut kesabaran, ketabahan dan kejituan satu semangat setiakawan – camaraderie tulus ikhlas demi satu perjuangan untuk masa depan lebih baik untuk semua anak bangsa watan ini.

Tetapi sebelum aku meneruskan nukilanku tentang filem KSJ, ada beberapa kenyataan atau informasi perlu aku perjelaskan dahulu kepada peminat dan pembaca terutamanya peminat hardcore dan die hard filem.

Secara peribadi dan sejujurnya aku keberatan untuk menulis tentang kisah di belakang kamera pembikinan filem KSJ ini. Proses pembikinan filem kenali sekarang sebagai – the making of. Jika dibandingkan dengan cara terkini pembikinan filem oleh pengarah era sekarang dengan cara pembikinan filem 30 tahun lalu terlalu amat jauh bezanya – bagai langit dan bumi. Aku percaya kepada ungkapan, masa beredar dan zaman berubah.

Perubahan dan kecanggihan teknologi cuma membantu. Paling penting ialah apa idea atau gagasan mahu disampaikan kepada penonton merupakan tugas paling utama mesti digalas oleh seseorang pengarah filem. Inilah pegangan dan prinsip aku sebagai seorang filmmaker.

Aku juga tidak mahu dianggap masuk bakul angkat sendiri. Aku mahu berlaku adil kepada semua. Aku tidak mahu menyalah gunakan kolumku ini untuk secara tidak langsung mempromosikan ‘kegemilangan lampau’ku.

Jika menduduki kerusi pengarah 30 tahun lalu itu boleh dianggap satu ‘kegemilangan’. Tanggapan dan anggapan yang tidak pernah terlintas di mindaku sejak dahulu, kini dan hingga bila-bila, insya-ALLAH.

Jujurnya, aku lebih berasakan berkerjaya sebagai pengarah filem di Malaysia ketika itu lebih merupakan satu pembaziran masa dan tenaga kreatifku. Banyak masa terpaksa aku buang berdepan dan melayan pertembungan dengan manusia-manusia munafik dan sistem birokratik bobrok.

Sistem yang kononnya mengawal selia dan berfungsi memajukan seni tanah air terutamanya ‘industri’ filem. Realitinya – hampeh!

Ironinya, bidang perfileman dipanggil ‘industri’ itu hanya mampu menerbit dan menghasilkan kurang daripada 15 filem setahun ketika itu. Suasana perfileman tanah air ketika itu dimonopoli bekas pengarah, pelakon dan tenaga kerja daripada studio Jalan Ampas dan studio Cathay Keris, Singapura.

Golongan ini berhijrah ke Kuala Lumpur selepas kedua studio tersebut ditutup pada awal70-an. Membawa bersama mereka sistem dan pendekatan pembikinan filem cara lama. Dengan cerita dan teknik penceritaan masih gaya era 50 dan 60-an.

Para pemodal terdiri daripada usahawan baharu Melayu Bumiputra yang ada keupayaan mengeluar dana sendiri atau memohon pinjaman bank dan skim pinjaman Finas. Finas ditubuhkan pada 1981 dan mula aktif bergerak pada 1982. Begitulah senario ringkas bidang perfileman Melayu pada era akhir 70-an dan awal 80-an.

Berbalik kepada keberatan aku untuk menulis tentang pengalaman mengarah anak sulungku, filem KSJ bermula sejak aku mula menulis kolumku ini. Namun terlepas juga dua atau tiga artikel tentang pengalaman pahit, isu panas dan tindakan kontroversial yang aku ambil dalam proses mempertahankan maruah seni karya sulungku itu dan paling penting maruah, integriti dan harga diriku sebagai seorang filmmaker.

Sejak mula menulis kolum ini, aku mendapat banyak respons daripada pembaca dan peminat mahukan aku menulis pengalaman mengarah filem KSJ. Aku pula tidak tahu kenapa sangat berat dan sukar memenuhi permintaan mereka.

Sejujurnya, aku tidak ada sebab konkrit untuk tidak menulis pengalaman pembikinan filem KSJ. Agaknya bosan dengan keengganan aku menulis, akhirnya keadaan berlalu begitu sahaja.

Tetapi dengan tersiarnya tulisan aku mengenai isu klip video TPPA Malaysia menggunakan babak-babak daripada filem KSJ tanpa izin daripada produsernya, Zarul Hisham AlBakri, tiba-tiba respons dan permintaan daripada pembaca dan peminat meminta aku menulis menceritakan pengalaman mengarah filem KSJ timbul semula.

Aku cuba mencari sebab dan kenapa mereka bersungguh mahukan aku mengimbas kembali sejarah 30 tahun lampau pembikinan filem KSJ. Aku bertemu dengan informasi dan penemuan di luar jangkaanku. Menarik pada pandanganku.

Aku dapati rata-rata pembaca dan peminat filem KSJ berusia antara awal 40-an sehingga pertengahan 60-an. Ramai pembaca dan peminat generasi muda berusia akhir 20-an dan awal 30-an juga berminat dengan filem KSJ.

Generasi ini berpeluang menonton lewat YouTube. Kelompok ini juga mahu aku menulis tentang - the making of KSJ. Aku perhatikan generasi muda ini merupakan peminat baharu muzik bergenre blues dan rock terutamanya muzik kumpulan Wings dan Search. Tidak ketinggalan muzik kumpulan Blues Gang dan Sweet Charity. Pastinya mereka ini bukan peminat rock kapak atau rock leleh jiwang-jiwang.

Berikut adalah respons aku peroleh lewat media baharu mahupun sembang santai secara peribadi.

“Abang Nasir masa filem Kembara Seniman Jalanan keluar wa baharu naik sekolah menengah. Umur wa 15 tahun. Wa simpan rambut panjang sampai sekarang sebab filem abanglah.” Maklum balas lewat perbualan telefon dengan seorang peminat hardcore berusia 45 tahun. Beliau seorang usahawan makanan segera yang sukses.

“Saya belum lahir time tu. Tapi bila dah besar tengok kat tv, internet dan DVD. Rasa filem tu macam baru je. Tulislah macam mana the making of Kembara Seniman Jalanan...pasti menarik kan?” Mesej daripada seorang gadis graduan filem dari kolej tempatan berusia lewat 20-an.

“Bro, gua layan filem Kembara ni dari zaman kolej sampai sekarang. Gua membesar dengan filem ni dan muzik rock. Anak-anak gua pun sekarang boleh layan Kembara Seniman Jalanan dan muzik rock, blues. I’m a corporate punk because of your film, bro!”.

Petikan perbualan aku dengan seorang pengurus produk syarikat elektronik gergasi antarabangsa yang sering menggunakan slanga gua, lu bila kami berinteraksi. Berusia awal 50-an dan merupakan peminat die hard Pyanhabib, Ito dan Ramli Sarip.

Akhirnya, seorang rakan karibku yang baharu memasuki usia 50 tahun berjaya meyakinkan aku untuk menulis tentang pembikinan filem KSJ.

Menurut rakanku ini, ramai generasi Melayu berusia daripada pertengahan 60-an ke bawah sehingga yang berusia awal 40-an membesar dengan filem KSJ. Generasi ini membesar dengan ikon seni tanah air yang muncul pertama kalinya dalam filem KSJ – M Nasir, Ramli Sarip, Ito dan Pyanhabib.

Paling penting menurut rakanku ini, filem KSJ merubah pop culture atau budaya popular generasi muda Melayu amnya. Filem KSJ merubah attitude dan sikap generasi muda 80-an yang seterusnya membezakan mereka daripada generasi zaman pop yeh yeh 60-an.

Pengaruh pop culture dicetuskan oleh filem KSJ mempengaruhi gaya hidup dari aspek fesyen, gaya rambut dan jenis muzik generasi remaja Melayu 80-an. Budaya popular ini berkembang serta diteruskan kumpulan rock ikonik tanah air-Search dan Wings pada era 90-an dan masih berpengaruh sehingga sekarang.

Dialog paling menyengat daripada rakan karibku ini – “Lebih baik abang tulis daripada orang lain menulis pasal filem abang ni selepas abang dah tak ada nanti...” Aku akur. Noktah. Khalas.

Secara peribadi filem pertamaku ini banyak membentuk corak hidup aku lalui seterusnya sama ada dalam bidang filem mahupun kehidupan peribadiku. Filem KSJ tidak menjanjikan aku glamor, kekayaan dan pangkat serta darjat.

Sebaliknya, filem KSJ mengajarkan aku erti perjuangan memartabatkan seni bangsa terutamanya filem Melayu. Filem KSJ juga menemukan aku sepak terajang dalam industri filem dan juga kemunafikan dunia politik tanah air.

Setelah aku mengambil kira dan menimbangkan segala pro dan kontranya, aku memutuskan akan menulis riwayat perjalanan satu kembara seni lewat filem berjudul Kembara Seniman Jalanan. Filem sulung arahanku ini masih meneruskan kembaranya merentasi masa menyedarkan khalayak tentang hak cipta dan kehancuran nilai hidup jika rasuah tidak dibanteras.

Terima kasih kepada pembaca kerana sudi melayan mukadimah panjangku minggu ini. Kita mulakan kembara kita dengan filem Kembara Seniman Jalanan minggu depan. Insya-ALLAH.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...