Ahad, 22 Mei 2016

Ke Cannes, apa pilihan kita?

UNTUK pertama kalinya, minggu lalu aku gagal melunasi rutin mingguanku menulis untuk kolum Lantera. Aku dihambat oleh kesibukan peribadi yang tidak dapat dielakkan. Maaf kepada pembaca setia kolumku ini.

Sepanjang minggu lalu dan sebelumnya aku terbaca berita tentang beberapa filem kita dipilih untuk tayangan di Cannes Film Festival 2016. Festival berprestij dan tersohor dunia ini berlangsung daripada 11 sehingga hari ini, 22 Mei, 2016.

Cannes Film Festival yang berlangsung di bandar peranginan laut di Cannes, Perancis ini punya sejarah panjang. Bermula pada 1947 dengan penyertaan dari 16 negara. Tahun ini festival sudah berusia 69 tahun.

Dari mula aku berkecimpung dalam bidang perfileman sejak tiga dekad lalu, aku lihat peluang penyertaan di Cannes Film Festival menjadi cita-cita serta impian hampir semua pengarah dan pembikin filem tanah air dan rantau ini. Bahkan ia impian hampir semua pengarah dan pembikin filem seantero dunia. Mereka mengimpikan peluang filem-filem arahan mereka ditayangkan di festival tersebut. Walaupun belum ada filem-filem negara kita berjaya bertanding untuk merebut anugerah utama Palme d’Or tetapi penghormatan untuk penyertaan tayangan khas dalam acara Director’s Fortnight sudah dikira satu kejayaan.

Siri Director’s Fortnight ini bermula dari 1969 merupakan acara bukan kompetitif. Acara ini lebih kepada tayangan filem arahan pengarah baharu dan berpotensi daripada serata dunia. Acara ini juga cuba membantu dan membuka ruang kepada pengarah dan penerbit mencari pembekal dan pengedar untuk pengedaran filem-filem mereka ke seluruh dunia.

Selain itu harapan dengan penayangan di acara Director’s Fortnight membuahkan peluang mencari dana yang lebih luas daripada pelabur-pelabur untuk produksi filem-filem mereka seterusnya.

Pengarah dan filem Malaysia pertama diberi peluang menyertai acara Director’s Fortnight ialah pengarah Uwei Hj Shaari lewat filemnya, Kaki Bakar pada 1995.

Filem ini asalnya merupakan produksi telefilem untuk tayangan stesen televisyen. Telefilem ini dirakam menggunakan format Beta video tetapi dinaiktarafkan ke bentuk filem. Atas sebab-sebab tertentu telefilem ini tidak ditayangkan lewat slot stesen televisyen.

Uwei telah mengambil usaha menaik tarafkan telefilem tersebut ke format filem 35mm melalui proses di Australia.

Filem Kaki Bakar dilakonkan oleh Khalid Salleh dan Azizah Mahzan telah mengangkat nama Uwei sebagai pengarah Melayu pertama mendapat penghormatan filemnya ditayangkan di acara Cannes Film Festival. Pengarah Uwei adalah perintis dan pembuka jalan untuk karya pembikin-pembikin filem lain dan anak semua bangsa Malaysia mula diterima di Cannes Film Festival. Tahniah dan terima kasih Uwei!

Selepas 14 tahun Uwei dan Kaki Bakarnya, sebuah lagi filem Malaysia berjaya ditayangkan lewat acara Director’s Fortnight ialah filem arahan Chris Chong, Karaoke (2008) di Cannes Film Festival ke-62 pada 2009.

Tahun ini ada lima filem Malaysia dipilih menyertai acara Goes To Cannes atas daya usaha Finas di bawah kelolaan Ketua Pengarah Finas, Datuk Kamil Othman. Negara-negara lain yang pernah menyertai acara Goes To Cannes sebelum ini ialah Dubai, United Arab Emirates dan Guadalajara, Mexico.

Ini adalah pertama kali Malaysia menyertai acara Malaysia Goes To Cannes. Program ini diwujudkan sebagai inisiatif untuk membolehkan penerbit filem mempamerkan filem-filem mereka kepada ejen jualan dan pengedar filem untuk pasaran global. Ini merupakan langkah awal untuk filem-filem kita menembusi pasaran antarabangsa.

Acara Malaysia Goes To Cannes berlangsung pada 17 Mei 2016. Filem-filem ini akan diperkenalkan oleh pengeluar dan pengarah filem yang terlibat. Keratan atau promo filem-filem tersebut berdurasi 15 minit setiap satu akan ditayangkan pada majlis di Palais.

Lima filem terpilih untuk program Malaysia Goes To Cannes ialah filem arahan Saw Teong Hin, You Mean The World To Me; filem berbahasa Hokkien, Pekak - arahan Mohd Khairul Azri; Cho We Jun dengan filem Taiping Adagio; Redha arahan Tunku Mona Riza dan filem dokumentari Hoka Hey, A Good Day To Die oleh Harold Monfils, seorang pengarah dan pembikin filem bebas berbangsa Belanda. Beliau telah menetap di Malaysia sejak 1995.

Terkini filem Tamil tempatan, Jagat dan filem pecah panggung arahan Syamsul Yusof, Munafik turut tersenarai dalam program tersebut. Filem Jagat juga terpilih untuk Festival Filem Asia New York tahun ini.

Filem-filem ini dipamer dan ditayangkan di Marche du Film – salah satu acara terbesar jual beli filem atau film market.

Pastinya perkembangan terkini ini memberi suntikan semangat kepada pembikin filem tanah air untuk menghasilkan karya-karya lebih bermutu dan bertaraf dunia. Aku tertarik membaca pandangan serta respons pembikin dan pengarah filem tanah air terhadap perkembangan terkini ini.

Pandangan daripada dua tokoh perfileman tanah air, Datuk Yusof Haslam dan Datuk Rosyam Nor menarik juga untuk direnungi. Yusof berpandangan pembikinan filem tanah air masih perlu mengambil perkiraan nilai komersial tanpa menyisihkan keperluan dan nilai seni dalam berkarya. Beliau lebih mahu melihat filem Melayu dan Malaysia menjadi ‘raja’ di negara sendiri dahulu sebelum mengejar impian untuk ke luar negara.

Aku secara peribadi tidak ada masalah dengan pendapat beliau itu. Cuma aku rasa usaha untuk mencari pasaran luar dan dunia perlu dilakukan seiring dengan usaha menjadi ‘raja’ di negara sendiri dengan kadar segera. Pemikiran, perancangan pemasaran dan tenaga berkarya kreatif untuk menembusi pasaran antarabangsa semestinya setara dengan usaha me‘raja’kan filem dalam negara.

Aku berpandangan kita tidak ada masa yang lumayan kerana hampir tiga dekad tiada usaha konkrit pihak berwajib membantu pembikin filem tempatan menghasilkan filem kita yang bertaraf dunia. Banyak masa dan sumber dana telah terbuang dan terbazir. Dalam mengejar impian tiada istilah gopoh. Hanya ada cepat atau lambat – siapa cepat dia dapat, siapa lambat dia tertinggal. Dunia tidak akan menunggu kita!

Pandangan Rosyam juga tidak kurang menarik untuk direnung fikirkan oleh karyawan filem kita. Menurut beliau menghasilkan filem adalah untuk meraih pulangan modal dan pelaburan. Sememangnya inilah tujuan asas dan utama para pelabur melabur dalam pembikinan sesebuah filem. Kenyataan ini tidak boleh dinafikan – ini adalah realiti. Setiap peniaga mahukan keuntungan. Produser filem adalah peniaga. Noktah.

Aku paling setuju dengan pandangan Rosyam -  filem yang baik akan ‘bergerak’ dengan sendiri untuk mendapat pengiktirafan dan mempunyai perjalanan yang tidak perlu diatur. Filem yang baik akan ada ‘nyawa’nya tersendiri.

Kedua ikon filem Melayu ini tidak menyimpan cita dan impian untuk karya mereka dibawa ke Cannes. Aku pasti mereka ada alasan tersendiri. Pendirian mereka ini membuat aku teringat pandangan dan pendapat seorang pengkritik filem yang lantang dan amat tidak disenangi oleh sebahagian penggiat filem kita. Si pengkritik ini pernah menyatakan pandangannya tentang festival filem peringkat antarabangsa seperti Cannes Film Festival yang punya agenda tersembunyi.

Menurut beliau untuk membawa filem kita terutamanya filem-filem negara dunia ketiga, hasilkan filem memaparkan kemiskinan, sokong pengaruh seks sejenis dan penentangan terhadap Islam. Angkatlah isu-isu ini untuk mendapat peluang menyertai festival bertaraf antarabangsa.

Sejak kebelakangan ini, filem-filem yang menang anugerah di festival-festival filem antarabangsa seperti Cannes ada kecenderungan ciri-ciri ini.

Tiada yang mustahil dalam filem. Renungkanlah!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...