Ahad, 29 Mei 2016

Empat dekad kepergian P Ramlee

HARI ini 29 Mei 2016 genap 43 tahun pemergian Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Tokoh ikonik bangsa Melayu khasnya dan anak semua bangsa Malaysia amnya.

P Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh meninggal dunia pada 29 Mei 1973 ketika berusia 44 tahun. Tokoh seni tersohor negara ini masih dikenali sebagai penyanyi, pemuzik, pelakon dan pengarah filem walaupun kepergiannya sudah melebihi empat dekad.

Ketika hidupnya, beliau telah menghasilkan 66 buah filem dan mencipta ratusan lagu. Zaman kegemilangannya ketika beliau berkarya dalam bidang seni suara, muzik dan perfileman di Singapura di antara era 50-an sehingga awal 60-an.

P Ramlee memenangi anugerah dan dinobatkan Pelakon Versatile - Pelakon Serba Boleh lewat filem Ibu Mertuaku di Festival Filem Asia ke-10 di Tokyo, Jepun pada 1963.

Populariti P Ramlee mula menurun bila beliau berpindah ke Kuala Lumpur pada 1964. Filem-filem arahan beliau semasa di Studio Merdeka, Hulu Kelang (tapak Finas sekarang) kurang mendapat sambutan. Kesemua 18 filem arahan beliau di Malaysia gagal menjadi filem pecah panggung berbanding filem-filem arahannya ketika di Jalan Ampas, Singapura.

Kemunculan televisyen dan perubahan cita rasa muzik generasi muda ketika itu merupakan penyumbang kepada kejatuhan dan era gelap beliau sebagai seorang seniman serba boleh dan popular.

Selain faktor-faktor di atas, perkembangan filem-filem serantau terutamanya filem-filem keluaran Indonesia yang sudah bertukar kepada filem berwarna berbanding filem-filem kita yang masih dalam bentuk hitam putih. Penonton kita lebih tertarik dan teruja untuk menonton filem-filem daripada Indonesia.

Impian P Ramlee sebelum meninggal dunia ingin menerbitkan dan mengarah filem dalam bentuk warna. Sayang impian beliau tidak kesampaian.

Penghujung usia beliau adalah suasana amat berbeza dan bertentangan dengan zaman kegemilangannya ketika beliau mula mencipta nama sebagai penyanyi, pelakon dan pengarah filem di Singapura. Dua keadaan yang amat kontras dan ironik. Beliau dicemuh dan disisihkan. Lagu-lagu beliau ditolak dan diboo ketika mengadakan pertunjukan. Filem-filemnya gagal menarik penonton ke panggung. P Ramlee mengakhiri hidupnya dengan episod dipenuhi kepedihan, kesedihan dan kepiluan.

Sehinggakan ramai tidak percaya P Ramlee meninggalkan kita dalam keadaan daif tanpa berduit dan pokai – a very sad ending buat seorang seniman dan karyawan besar dan sehebat beliau. Pengakhiran hidup yang sungguh tragis!

Dokumentari tentang P Ramlee yang disiarkan lewat History Channel pada 2010 arahan Shuhaimi Baba banyak menyentuh dan membongkar tahun-tahun terakhir hidup P Ramlee setelah kembali semula ke tanah airnya sendiri pada 1964.

Dipaparkan dalam dokumentari ini bagaimana P Ramlee dinafikan peluang untuk mendapat dana bagi membuka syarikat filemnya sendiri.

Kertas kerja beliau tidak mendapat sokongan daripada pihak bank dan kerajaan. Beliau disisih oleh RTM. Lewat dokumentari ini, kita mengetahui insiden P Ramlee terpaksa menunggu di kantin Angkasapuri, sementara isterinya, Saloma menjalani rakaman rancangan hiburan di studio RTM. Layanan yang pastinya bukan untuk seorang seniman agung. Tanpa diberi peluang untuk muncul di kaca televisyen ketika beliau dihimpit kesempitan hidup.

Menonton dokumentari ini, kita akan dapat informasi daripada orang-orang yang pernah bersama P Ramlee ketika zaman kejatuhannya. Pengisahan first hand terus dan jujur terutamanya daripada anaknya sendiri, Allahyarham Nasir P Ramlee.

Buku tulisan, Daniyal Abd Kadir berjudul ‘Membedah P Ramlee’ juga ada menceritakan tentang kekecewaan P Ramlee di penghujung hayatnya. Daniyal menyertakan dalam bukunya satu keratan akhbar temu bual di antara pemberita dengan P Ramlee. Dalam temu bual tersebut, P Ramlee menyatakan kesedihannya tentang penolakan orang-orang Melayu terhadap filem dan lagu-lagu ciptaannya. P Ramlee meluahkan rasa sedih dan kurang senang hatinya tentang sikap orang Melayu berpendidikan Inggeris yang kononnya punya status dan kelas yang tinggi tidak menghargai hasil karyanya.

P Ramlee juga meluahkan kekesalannya terhadap generasi muda ketika itu yang lebih meminati filem-filem Barat dan Hindustan. Mereka memandang rendah filem Melayu. Secara sinis beliau juga menyatakan bahawa peminat-peminatnya sudah tua dan tidak tengok wayang lagi sebab mereka sudah ‘sembahyang’.

Kenapa pada hari kita memperingati 43 tahun pemergian seorang Seniman Agung kebanggaan negara dan ikon bangsa Melayu, aku lebih banyak menceritakan episod sedih dan kesengsaraan hidup di penghujung hidup P Ramlee?

Aku membesar dan melalui era P Ramlee ketika beliau di puncak kegemilangannya pada awal 60-an ketika aku masih di sekolah rendah. Aku juga melalui dan melihat serta tahu bagaimana P Ramlee menempuh zaman kejatuhannya pada lewat 60-an sehingga awal 70-an.

Aku menonton hampir kesemua filem flopnya di panggung Lido, Melaka. Di antaranya, filem pertama arahannya di Merdeka Studio, Si Tora Harimau Jadian. Diikuti filem-filem Sesudah Subuh, 6 Jahanam, Ragam P Ramlee, Sabarudin Tukang Kasut, Do Re Mi, Anak Bapak, Keluarga 69, Gerimis dan filem terakhirnya Laksamana Do Re Mi.

P Ramlee meninggal dunia ketika aku di alam remaja dan sedang menuntut di tingkatan enam atas. Aku juga melihat bagaimana P Ramlee selepas pemergiannya buat selama-lamanya meninggalkan kita, tiba-tiba disanjung dan dipuja semula oleh bangsanya. Sungguh ironis dan kontradik dengan layanan diterima ketika beliau masih hidup.

Insan yang ketika penghujung hidupnya seperti tidak dirasai kewujudannya oleh bangsanya sendiri tetapi ketiadaannya tiba-tiba diratapi dan ditangisi.

Aku jujur dengan apa aku tuliskan kerana semua ini adalah pengalaman peribadiku. Aku tidak perlu kajian ilmiah untuk menulis tentang P Ramlee. Aku melihat, merasa dan membesar dengan apa sahaja yang berkaitan dengan P Ramlee – baik filem-filem dan lagu-lagunya.

Pada aku P Ramlee adalah seniman terpinggir dan dipinggirkan oleh bangsanya sendiri. Beliau menepati kata-kata sang bijak pandai – bagaikan lilin membakar diri sendiri demi menerangi yang lain!

Penghargaan dan sanjungan hanya diberikan kepada P Ramlee selepas kematiannya.

Nama Jalan Parry di tengah-tengah ibu kota, Kuala Lumpur ditukar kepada Jalan P Ramlee pada 1982. Hanya selepas 9 tahun selepas kematiannya usaha ini dilakukan bagi mengingati sumbangan dan jasa beliau kepada seni hiburan tanah air.

Tetapi jalan yang sepatutnya merupakan penghormatan kepada beliau sekarang dicemari dengan deretan bar dan dihuni pelacur daripada segenap pelosok dunia mencari pelanggan setiap malam. Apa sudah jadi?

Paling ironik, tidak sampai 1 kilometer dari penghujung jalan ini, terletaknya pusara Allahyarham P Ramlee di kawasan perkuburan Ampang. Jika kita jujur menghargai dan sayangkan P Ramlee, renung fikirkanlah sendiri, apa rumusan dan andaian boleh kita peroleh dari senario ini.

Selepas 13 tahun kepergiannya, pada 1986 sebuah Memorial P Ramlee telah dibina di rumah peninggalannya di Setapak, Kuala Lumpur. Usaha ini sebagai penghormatan terhadap jasa dan sumbangannya kepada seni dan hiburan Malaysia.

Selain nama jalan dan bangunan diberi persalinan nama gah P Ramlee, banyak pihak dan juga individu menganugerahkan pangkat darjat dan gelaran kepada beliau.

Selepas 17 tahun P Ramlee meninggal dunia, Kerajaan Malaysia menganugerahkan gelaran kehormatan Tan Sri kepada beliau pada 1990.

Kerajaan Negeri Sarawak pula memberi penghormatan kepada P Ramlee selepas 36 tahun pemergian beliau dengan anugerah gelaran kehormatan ‘Datuk Amar’.

Paling terkini, pada 24 Mei lalu lewat laporan berita Bernama, diumumkan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) pula akan dinaik taraf sebagai universiti selewat-lewatnya Oktober ini.

Nama baharu Aswara ialah Universiti P Ramlee. Al-Fatihah buat roh Allahyarham Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh AKA P Ramlee.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...