Ahad, 27 Mac 2016

Panggung wayang gambar atau cineplex?

ADA dua bahan tentang filem tempatan, aku terbaca sepanjang minggu lalu yang menarik perhatianku. Pertama, kejayaan filem Munafik arahan Syamsul Yusof, pengarah muda yang punya sentuhan emas. Hampir kesemua filem arahannya menjadi dan berjaya menghasilkan kutipan pecah panggung. Filem terbarunya ini telah berjaya mengutip RM17 juta setakat ini selepas 26 hari tayangan. Masih ditayangkan ketika artikel ini ditulis.

Dalam masa sama aku terbaca juga lewat internet luahan rasa Shuhaimi Zulkefli, seorang penggiat dan pembikin filem generasi terkini. Beliau tidak senang dengan keadaan industri filem tanah air mutakhir ini. Tulisannya – Kenapa Filem Kita Tak Mampu Setaraf Filem Barat? boleh dilayari di internet.

Anak muda ini mencatatkan tentang salah satu sebab kenapa filem kita tidak mampu bersaing dan setaraf filem Hollywood mahupun Bollywood ialah faktor panggung atau pawagam.

Menurut beliau, di Amerika mempunyai 40,000 panggung wayang dan 14,000 panggung di India. Di Malaysia pula, panggung wayang kita hanya berjumlah tidak sampai 150 buah. Semua ini termasuk panggung GSC, TGV, MBO dan panggung kepunyaan pihak swasta. Satu berbandingan menarik perlu direnungkan bersama oleh semua pihak terlibat industri perfileman tanah air.

Beliau turut menyentuh tentang hasil kutipan filem kita yang perlu dibahagi dua, 50-50 dengan tauke panggung. Beliau memberi contoh koleksi pecah panggung RM17 juta filem Polis Evo yang kos pembikinannya sekitar RM4 juta. Produser hanya mendapat pulangan sebanyak RM6 juta setelah dikongsi dengan tauke panggung.

Mengikut pandangan aku, ini satu jumlah pembahagian keuntungan yang berat sebelah. Tetapi pihak panggung mungkin ada sebab tertentu sehingga sistem pembahagian ini telah diguna pakai dan berlanjutan sejak aku mengarah filem sulungku pada era 80-an. Hampir 30 tahun tanpa perubahan yang memberi ruang lebih selesa kepada produser untuk sama menikmati laba keuntungan daripada hasil jerih-perih menghasilkan sesebuah filem.

Dari dulu bila aku berbual dan berbincang dengan rakan-rakan seindustri tentang isu panggung ini, selalunya kami sependapat dengan akhir kalam perbincangan kami - kita bagai nak mampus mengarah dan shooting dengan tak cukup tidur tapi bila filem siap, tauke panggung juga yang untung.  

Berbalik kepada pandangan anak muda ini, aku rasa nasib sama juga bakal dilalui oleh Syamsul dengan filem Munafiknya dan juga produser lain yang bernasib baik filem mereka berjaya mencipta fenomena pecah panggung. Aku perhatikan sejak dahulu lagi mereka yang terlibat dalam industri filem tempatan baik penerbit dan pihak agensi kerajaan kurang memberi perhatian khusus kepada aspek penayangan dan panggung. Mungkinkah aku silap beranggapan demikian?

Apakah tidak ada cara atau solusi untuk membaik pulih keadaan ini?

Tiba-tiba benak akalku didatangi ilham yang aku rasa boleh dikongsi bersama dengan penggiat, pembikin dan produser filem tempatan. Tidak kiralah boleh dilaksanakan atau tidak ideaku ini. Itu masalah kedua. Paling penting aku mahu melepaskan apa aku fikirkan ini.

Kebelakangan ini aku perhatikan tokoh-tokoh usahawan baik wanita atau lelaki yang berjaya mula berminat membiayai pasukan bola sepak negeri tertentu. Ada juga tokoh usahawan sukses ini sehinggakan berkesanggupan membina hotel selain membaik pulih stadium.

Secara peribadi aku lihat perkembangan ini menarik dan mampu membantu meningkatkan ekonomi orang Melayu. Aku terfikir kenapa tidak tokoh-tokoh usahawan Melayu berjaya ini melabur dengan membina dan mewujudkan rangkaian panggung untuk membantu menayangkan filem-filem Melayu dan tempatan. Mungkin sistem pembahagian koleksi 50-50 boleh dikurangkan sehingga 60-40 atau 70-30 dengan memihak kepada produser. Apa pun masalah pembahagian untung boleh dirundingkan sesama kita. Paling penting produser tempatan boleh bernafas dan ada lebih banyak pilihan untuk menayangkan filem terbitan mereka.

Jika idea ini boleh dipertimbangkan oleh jutawan-jutawan Melayu yang sukses ini, satu kajian perlu dilakukan bagi menjamin pihak pelabur (bakal tuan punya panggung) dan produser mendapat keuntungan untuk jangka masa panjang.     

Aku teringat pada awal 90-an, seorang rakanku merupakan orang nombor satu di sebuah stesen televisyen swasta pernah cuba mewujudkan rangkaian panggung cineplex di bandar-bandar bersaiz sederhana dan bandar-bandar utama di gugusan tanah rancangan Felda bagi membantu produser Melayu menayangkan filem mereka. Rangkaian panggung cineplex bakal diwujudkan itu merupakan anak syarikat stesen televisyen swasta tersebut.

Ketika itu panggung wayang atau pawagam konvensional mula melabuhkan tirai. Gaya dan corak menonton wayang mula berubah dengan lahirnya konsep cineplex. Panggung wayang konvensional selalunya boleh menampung saiz penonton paling kecil 500 orang jika semua tiket terjual untuk setiap satu tayangan.

Idea cineplex hanya memerlukan kapasiti penonton antara 100-200 orang untuk setiap tayangan, sangat praktikal dan diyakini boleh diusahakan pembinaannya di bandar sederhana dan kecil. Paling penting di bandar-bandar inilah beradanya bilangan besar penonton filem Melayu.

Tetapi kertas cadangan yang telah diluluskan oleh pihak berwajib tidak berjaya direalisasikan. Aku tidak tahu mengapa dan aku tidak pernah bertanya rakanku, apatah lagi beliau tidak lama memegang jawatan tersebut.

Cadangan itu 'dipetisejukkan' tetapi idea rakanku itu merangsang aku menulis satu skrip yang boleh diolah untuk drama TV atau filem cereka berjudul Panggung Wayang Gambar.

Lewat skrip ini, aku membayangkan konflik antara seorang kaya yang mahu membina panggung wayang dengan seorang anak muda graduan menganggur  dilantiknya untuk mengurus panggung wayang bakal dibinanya nanti. Anak muda ini lulus bidang filem tetapi tidak mahu bekerja dalam bidang filem. Anak muda ini bengang dengan masalah cetak rompak yang berleluasa. Penat buat filem tetapi lanun yang kaut untung.

Anak muda ini mencadangkan pembinaan panggung wayang cara baharu dan terkini iaitu cineplex di pekan salah satu gugusan Felda. Tetapi cadangan ini ditentang oleh orang kaya tersebut kerana dia mahu membina panggung wayang di bandar.

Dengan terbinanya panggung wayang gambar berkonsepkan cineplex di pekan Felda itu, anak muda itu bercadang menjadikan panggung wayang itu pusat kegiatan seni untuk golongan remaja. Terbayang di fikiran anak muda itu, sebagai pengurus dia akan menjadikan cineplex itu juga galeri lukisan. Ada ruang untuk penjualan filem-filem dan kaset lagu-lagu tempatan. Penjualan terus kepada pembeli dan peminat. Sekurang-kurangnya usaha kecilnya ini boleh membantu membanteras jenayah lanun cetak rompak. Tetapi semua ini gagal, kenapa?

Pada akhir cerita, orang kaya bakal tauke panggung wayang gambar ditahan pihak berkuasa kerana terlibat rasuah!

Aku masih mencari skrip tulisan tanganku itu sekarang. Aku tidak ingat di mana aku simpan. Paling penting idea skrip Panggung Wayang Gambar masih bertahan melekat di mindaku sehingga kini.

Ahad, 20 Mac 2016

Dinsman pencetus adaptasi filem ke teater?

DALAM buku Kritikan Filem Mansor Bin Puteh, beliau bukan setakat menulis artikel dan kritikan filem sahaja. Bab 24 dalam buku itu, beliau menulis tentang persembahan teater yang diadaptasi daripada filem Esok Untuk Siapa? arahan Jins Shamsudin.

Filem terbitan 1982 oleh ISE Film Productions ini melakukan keseluruhan penggambaran di Kelantan. Dibintangi antaranya Jins Shamsudin, Noor Kumalasari dan Latif Ibrahim (arwah).

Jika tidak silap aku, pertama kali M Rajoli (arwah) muncul di layar besar lebar melalui filem ini. Filem Melayu pertama memuatkan babak bacaan talkin dalam bentuk teks sepenuh dan selengkapnya.

Di bab 12, bertajuk Esok Untuk Siapa: Bukan untuk filem jenis melodrama tulen. Menurut Mansor, terlalu banyak isu ingin diceritakan dan diangkat Jins lewat filem ke-4 arahannya dengan menggunakan perkataan ‘esok’ sebagai tajuk. Bermula filem Menanti Hari Esok (1977),

Tiada Esok Bagimu (1979) dan Esok Masih Ada (1980).

Inilah kritikan Mansor tentang filem Esok Untuk Siapa? - paling ketara pengolahan cerita yang meleret-leret dengan babak menggambarkan sesuatu insiden sangat terperinci sehingga filem ini kelihatan seperti filem dokumentari.

Aku menonton filem ini ketika ditayangkan di pawagam dan bukan diprebiu pada hujung 1982. Aku dapati kritikan Mansor dalam artikelnya berasas. Memang merimaskan dan membosankan bila aku terpaksa menyeksa diriku menonton dan disumbat dengan babak pembukaan paling panjang memaparkan bacaan talkin yang lengkap di upacara pengebumian. Selain itu babak kemalangan, di bilik pembedahan dan proses pembikinan kain batik yang dipanjangkan menghilangkan mood menonton. Bosan tahap maksimum aku rasakan terutama babak kemalangan, pembedahan dibina dengan muzik latar mendatar dan gagal membina mood cemas, takut, suspens dan suasana ketidaktentuan nasib bakal menimpa Jiman dan Jamilah atau Milah.

Betullah bila Mansor menyatakan pengarah filem Esok Untuk Siapa? gagal mengawal suasana babak dan masa filem yang perlu diwujudkan. Penonton juga dilonggokkan dan ‘diseksa’ dengan subplot yang jika ditiadakan pasti tidak mencacatkan filem.

Mansor mencatatkan – Satu perkara yang tidak dapat kita nafikan ialah pengarah filem Esok Untuk Siapa? ini tidak dapat mengawal suasana atau scene tetapi sebaliknya membenarkan suasana atau scene itu mengawalnya.

Filem ini mengisahkan kepercayaan nasib malang yang menimpa seseorang lantaran lafaz sumpah yang dilakukan. Watak Jiman (Jins Shamsudin) bersumpah tidak akan kahwin selepas kematian isterinya. Tetapi dia melanggar sumpah dan dikahwinkan dengan Jamilah atau Milah (Noorkumalasari). Jiman ditimpa kemalangan pada malam perkahwinan sehingga dia hilang ingatan – gila.

Milah, seorang wanita kampung malang yang terikat dengan adat dan dikongkong dengan kuasa mutlak seorang lelaki bernama suami.

Seorang kaya pengusaha kilang batik berpangkat datuk diperankan S Roomai Noor (arwah) mahu menjodohkan Milah dengan anaknya, Ihsan (Latif Ibrahim) yang juga adik angkat Jiman. Tetapi Ihsan yang duduk di Kuala Lumpur secara senyap berkahwin dengan gadis bandar lincah, Intan (Fauziah Ahmad Daud).

Milah berdepan dilema bila Ihsan meminta supaya Milah berkahwin dengannya setelah Ihsan menceraikan isteri lincah berasal dari bandar.

Bagi menyelesaikan konflik yang ditimbulkan ini, pengarah mengambil jalan mudah dan klise untuk filem bergenre melodrama tulen. Jalan keluarnya mematikan watak berdepan dengan konflik ini.

Masalah gila Jiman diselesaikan dengan tindakan ibunya diperankan oleh Norizan (arwah) membunuh anaknya sendiri. Bagi menyelesaikan konflik dan masalah Ihsan dan Intan, jalan keluar mudahnya dengan mematikan kedua watak ini. Mereka terbunuh akibat tenggelam dalam kolam mandi dalam bilik air di rumah sendiri akibat mabuk minuman keras.

Apa kaitannya bab 24 dengan bab 12 dalam buku himpunan artikel kritikan filem Mansor ini?

Kedua bab ini menarik perhatian aku kerana kedua-dua artikel mengupas filem sama Esok Untuk Siapa?. Pertama, kritikan tuntas tentang filemnya arahan Jins Shamsudin. Kedua, kritikan dan ulasan tentang adaptasi filem ini ke persembahan teater oleh Dinsman.

Pementasan adaptasi skrip filem ini ke pentas teater masih mengekalkan pelakon utama yang sama dengan teraju pengarahan diambil alih oleh Dinsman.

Aku tidak ingat tarikh tepatnya persembahan pentas atau versi teater filem Esok Untuk Siapa? diadakan di Auditorium Bandaraya, Kuala Lumpur pada 1983.

Peluang baca semula artikel dan kritikan filem dan teater Esok Untuk Siapa? selepas hampir 30 tahun berlalu buka ruang untuk lebih aku memahami sumbangan dan kerja buat kreatif dua cabang seni berlainan berjaya dihasilkan Dinsman, aktivis teater paling tegar dan produktif hingga sekarang di Malaysia.

Mansor lewat artikel kritikan persembahan teater Esok Untuk Siapa? memuji pengolahan dilakukan Dinsman. Daripada filem asal berbentuk ultra-melodrama yang sarat dengan subplot, beliau cuma menumpukan kepada dua isu atau tema penting sahaja.

Isu dilema seorang isteri, Milah yang terpaksa berdepan masalah menentukan hidup dan masa depannya dan isu dimakan sumpah. Jiman percaya sumpah yang dibuatnya ketika isteri pertamanya meninggal dunia iaitu - dia tidak akan kahwin semula menyebabkannya ditimpa kemalangan sehingga mengakibatkan kecacatan anggotanya terutamanya tenaga batinnya setelah mengahwini Milah.

Olahan naratif skrip teater Dinsman hanya menumpukan kepada tiga buah set - rumah Jiman, rumah Ihsan dan di bawah rumah Jiman setelah dia gila.

Ketiga set inilah ruang pelakon utama beraksi menyampaikan tema penting naratif Esok Untuk Siapa?. Di luar ruang ini, Dinsman menggunakan teknik penceritaan lewat lima ahli korus terdiri daripada tiga lelaki dan dua perempuan. Mereka berperanan menghuraikan apa bakal terjadi selanjutnya kepada watak-watak utama.

Dinsman juga menjadikan kumpulan korus ini entiti terasing dan terpisah daripada dunia Jiman dan Milah. Mereka dibebaskan beri komen serta mempersenda Jiman dan Jamilah yang malang itu.

Menurut Mansor, Dinsman berjaya menggabungkan unsur Tok Dalang wayang kulit dan elemen Kabuki, teater tradisi Jepun dalam mewujudkan kumpulan korus tersebut.

Selesai aku baca kedua-dua artikel ini, tiba-tiba aku teringat sahabat lamaku ini, Dinsman. Tidak silap ingatanku selama lebih 30 tahun aku berkerjaya dalam bidang filem dan teater, teater Esok Untuk Siapa? arahan beliau ini persembahan adaptasi filem ke teater pertama dihasil di Malaysia.

Teater adaptasi filem Esok Untuk Siapa? arahan Dinsman pada 1983 pencetus teater adaptasi daripada filem seperti Puteri Gunung Ledang (2006), Cuci dan Impak Maksima (2010) yang dimuzikalkan oleh Istana Budaya.

Terima kasih, Dinsman kerana tidak memuzikalkan Esok Untuk Siapa?

Ahad, 13 Mac 2016

Dicabar bertumbuk kerana kritikan filem

MINGGU lalu aku menulis bidang kritikan filem dalam filem Melayu era 80-an sehingga awal 90-an. Salah seorang tokoh pengkritik filem paling menonjol ketika itu Mansor Puteh. Beliau dikenali dengan kelantangan dan sikap berterus-terang ketika menulis kritikan sesebuah filem Melayu yang dihasilkan ketika itu.


Aku nyatakan minggu lalu, kebanyakan pembikin dan pengarah filem ketika itu secara tidak resmi menganggap Mansor bagaikan ‘musuh’. Hanya kerana kritikan pedas dan berilmu beliau sering tidak selari dengan cita rasa dan kemahuan kebanyakan produser dan pengarah filem ketika itu.

Himpunan artikel dan kritikan Mansor telah dibukukan dengan tajuk – Kritikan Filem Mansor Bin Puteh pada 1995.

Selepas 20 tahun aku berpeluang membaca semula buku himpunan kritikan Mansor ini, aku ingin berkongsi pengalaman dengan pembaca dan peminat, penggiat filem generasi sekarang. Pengalaman aku lalui dalam konteks dan berhubung kait bidang kritikan filem dengan perkembangan filem Melayu pada era 80-an dan 90-an.

Ketika itu aku sedang mencari tapak dalam bidang perfileman tanah air. Keadaan ini membuka danberi aku peluang mengutip pengalaman terlibat dalam produksi, berdepan dan berinteraksi dengan generasi lama pembikin filem kita. Generasi kurang senang dengan kehadiran dan kritikan Mansor.

Sejujurnya aku merasakan ia pengalaman mencabar minda dan daya fikir kreatifku ketika itu. Episod hidup pahit, tetapi penting dalam hidupku dan kerjayaku sebelum aku berjaya duduki kerusi pengarah filem.

Tulisan dan pemerhatianku ini bukan berdasarkan kajian ilmiah tentang bidang kritikan filem tempatan. Pengalaman peribadi yang aku kutip kerana aku berada sewaktu dengan filem-filem yang jadi bahan kritikan Mansor pada era awal dan pertengahan 80-an.

Aku dapati ilmu bidang kritikan filem masih terlalu amat asing kepada pembikin filem Melayu tempatan ketika itu. Aku perhatikan penulisan tentang filem Melayu yang tersiar di akhbar lebih menjurus kepada ulasan filem. Bukan kritikan filem dalam erti kata sebenar.

Ulasan filem ini sering ditulis wartawan hiburan syarikat akhbar berkenaan di ruangan seni dan hiburan akhbar mereka. Aku perhatikan ulasan filem oleh wartawan hiburan ini selalunya hanya menceritakan sinopsis filem terbaharu, selain informasi tentang berkesan atau tidaknya lakonan pelakon-pelakon utama filem tersebut. Ulasan-ulasan ini akan disiarkan selepas tayangan previu khas untuk wartawan dan komuniti filem diadakan oleh produser filem berkenaan.

Hampir kesemua ulasan filem yang tersiar dalam akhbar dan majalah ketika itu, tidak mendalam dan tidak ilmiah. Ulasan filem di ruangan hiburan akhbar seringnya berdasar pemerhatian mudah tanpa didasari ilmu filem. Lebih kepada kesan peribadi penulis terhadap tema, lakonan dan aspek teknikal seperti sinematografi dan suntingan selepas menonton previu sesebuah filem.

Apabila Mansor dan beberapa pengkritik filem lain yang ada latar belakang ilmu filem muncul dengan kritikan lebih ilmiah, penggiat dan pembikin filem Melayu mengalami kejutan budaya.

Lewat peluang aku berinteraksi dengan pembikin filem Melayu ketika itu yang kebanyakannya bekas tenaga kerja dan tenaga kreatif Jalan Ampas dan Cathay Keris, Singapura, aku berhasil memahami mengapa mereka bersikap anti pengkritik filem.

Aku dapati kebanyakan mereka tidak ada asas ilmu dan sejarah filem dunia. Maaf cakap, hampir kesemua mereka beranggapan jika mereka pernah bekerja di bawah P Ramlee di Singapura sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur, maka itulah lesen besar membolehkan mereka terus diberi kepercayaan produser baharu untuk terlibat dalam bidang filem.

Kebanyakan produser baharu Melayu Bumiputera yang menerbitkan filem dengan bajet sendiri atau dengan pinjaman bank dan Finas pun berkongsi dan sealiran pemikiran dengan bekas tenaga kerja dan kreatif daripada dua studio Singapura yang telah ditutup itu.

Inilah senario atau latar belakang keadaan industri filem Melayu pada akhir 70-an dan awal 80-an. Aku agak skeptikal bila menggunakan perkataan ‘industri’. Bolehkah dipanggil industri jika jumlah filem Melayu dihasilkan ketika itu di antara 10 hingga 15 filem sahaja setahun?

Berbalik kepada isu pertembungan antara pengkritik filem generasi baharu dengan pembikin dan penggiat filem generasi era hitam putih. Ketika sembang-sembang santai dengan ramai bekas pembikin filem era Jalan Ampas dan Cathay Keris, Singapura ini, rata-rata mereka berpendapat pengkritik filem seperti Mansor dan yang sewaktu dengannya perlu buat filem dahulu sebelum cuba kritik filem orang lain.

Aku minta penjelasan mereka kenapa pengkritik filem mesti buat filem dulu. Mereka merasionalkan bila pengkritik sudah pernah buat filem baharulah mereka tahu betapa sukar menghasilkan sesebuah filem. Lantas bila mengkritik filem, pengkritik akan ada sifat timbang rasa supaya tidak mengkritik teruk sesuatu filem itu sehingga gagal menarik penonton ke pawagam. Pengkritik jangan kritik sehingga produser rugi.

Sebenarnya, pendapat ini tidak boleh diguna pakai dalam menulis kritikan filem. Pengkritik mengupas dan mengkritik berdasarkan kerja seni filem yang telah siap digarap dan arahkan oleh sang pengarah. Kritikan ini pula perlu berlandaskan ilmu dan sejarah filem bukan atas sifat peribadi dan emosi.

Pengkritik filem seantero dunia tidak diwajibkan perlu tahu dan bersimpati dengan kesukaran yang dilalui oleh pengarah dan pasukan produksinya dalam melahirkan sesebuah filem. Diakui umum, tugas utama pengkritik filem ialah memberi komen dan kritikan apa yang terpancar di skrin - hasil filem yang muktamad.

Dengan ilmu dan pengetahuan sejarah filem dunia dan tempatan, tugas pengkritik mentafsirkan yang tersurat dan tersirat lewat visual yang dipancarkan di skrin. Memberi kefahaman dan menegur kelemahan terdapat pada teks naratif (tersurat) dan subteks (tersirat) sesebuah filem. Ini tugas utama seorang pengkritik filem. Paling penting tidak semua orang boleh menggalas tanggung jawab seorang pengkritik filem jika tidak belajar filem dan sejarah filem dunia termasuk sejarah filem tanah air kita!

Berdasarkan himpunan kritikan dan artikel dalam buku Kritikan Filem Mansor Bin Puteh, kita boleh mendapat gambaran keseluruhan suasana perfileman dari segi sikap, mentaliti dan komitmen pembikin, penggiat dan produser filem Melayu era 80-an.

Dunia filem Melayu di era 80-an ketika peralihan daripada sistem studio berpusat di Singapura kepada wujudnya syarikat-syarikat filem persendirian milik produser Melayu Bumiputera berpusat di Kuala Lumpur melihatkan kita jauh tertinggal di belakang dalam aspek paling penting dalam pembikinan filem iaitu naratif atau penceritaan.

Cuba perhatikan di antara tajuk-tajuk artikel kritikan Mansor dalam buku tersebut – 1) ESOK MASIH ADA: Jins + Lukemia + Polis + Melodrama Tulen! 2) SUMPAH SEMERAH PADI: Bertelagah di antara KeIslaman dan Tahyul dan Metos Animisme 3) KABUS TENGAH HARI : Tajuknya Indah dan Menarik, Tetapi Cerita dan Wataknya... 4) SENJA MERAH: Melodrama Cinta Tiga Segi Ala Filem Hindustan 5) BERTUNANG: Seks, Makanan dan Pak Pandir 6) BILA HATI TELAH RETAK: Meneroka Tema Baru Dipuji Tetapi Pengolahannya... dan 7) JAUH DI SUDUT HATI: Obsesi dengan Seks!

Daripada tajuk-tajuk di atas kita melihat Mansor mengupas dan mengkritik elemen paling utama dan penting untuk sesebuah filem iaitu naratif atau cerita. Beliau mengkritik pengolahan cerita dan plot yang berterabur dan tidak mengikut sistem ilmu penulisan skrip - three act play. Pertama pengenalan tema, cerita dan watak, kedua kewujudan konflik dan ketiga penyelesaian.

Tidak dinafikan inilah kelemahan paling ketara berlaku dalam hampir kesemua filem Melayu arahan bekas pengarah dan bekas pelakon daripada sistem studio Singapura yang menjadi pengarah berpusat di Kuala Lumpur.

Apa mahu disentuh dan dikritik oleh Mansor dan pengkritik sewaktu dengan beliau ialah tukang cerita (pengarah) mesti tahu dan belajar cara serta tertib bercerita lewat visual filem. Inilah yang mahu dibetulkan dan difahamkan oleh tukang kritik kepada tukang cerita!

Tetapi sejarah mencatatkan tukang cerita era 80-an bermentaliti jumud, beku, bengap dan beremosi melulu tidak kena tempat. Aku sendiri pernah dicabar bertumbuk oleh seorang produser (arwah) kerana mengkritik filemnya lewat artikelku di akhbar tempatan. Al-fatihah buat roh produser tersebut.

Paling manis buat aku, artikel tersebut adalah usaha pertama aku menulis kritikan filem. Belum apa-apa sudah terpaksa bertumbuk!

Bila aku kenangkan semula insiden 37 tahun lampau itu, terlintas di fikiranku - apakah kita sudah ke depan atau masih di takuk lama? Kelakar sungguh dunia filem negaraku ini!

Ahad, 6 Mac 2016

Kritikan filem 80-an berlandas ilmu?

LAMA aku mencari buku ini kerana naskhah kepunyaanku lesap sejak lewat 90-an. Mungkin aku tersilap letak atau hilang ketika berpindah rumah. Mungkin juga ada rakan meminjam tetapi terlupa hendak pulangkan semula atau sahaja hendak buat harta sendiri.

Minggu lalu, aku jumpa semula buku ini yang merupakan kepunyaan peribadi seorang rakanku. Buku yang aku maksudkan ialah Kritikan Filem Mansor bin Puteh – terbitan 1995.

Buku ini menghimpunkan artikel kritikan filem dan drama televisyen ditulis oleh Mansor Puteh sejak awal 80-an sehingga pertengahan 80-an. Beliau menulis kritikan filem ini sebaik kembali ke tanah air daripada menuntut dalam bidang perfileman di Columbia University, New York pada awal 1981. Kebanyakan artikel kritikan filem beliau ini tersiar di akhbar Berita Minggu dan Utusan Malaysia ketika itu.

Bila aku baca semula buku ini selepas 20 tahun diterbitkan, aku makin berupaya melihat kritikan dan artikel nukilan Mansor ini dengan perspektif lebih luas dan terbuka. Berlatar belakangkan sejarah seni dan hiburan, khususnya bidang perfileman tanah air sejak awal 80-an sehingga kini, bacaan semula ini membolehkan aku mendapat banyak input baharu.

Ada isu dibangkitkan beliau lewat kritikan filemnya dahulu masih relevan sehingga sekarang. Masih segar untuk direnung dan dibincangkan dalam konteks perkembangan filem Melayu dan Malaysia semasa.

Pada era 80-an, kritikan filem Mansor sangat tidak disenangi oleh hampir kebanyakan pembikin dan pengarah filem tempatan ketika itu. Beliau secara tidak resmi merupakan ‘musuh’ khalayak dan komuniti filem, seni dan hiburan Melayu tempatan. Baik daripada pengarah, produser sehingga wartawan hiburan akhbar dan majalah Melayu tempatan.

Aku masih ingat dalam satu sesi dialog filem di Finas pada awal 80-an, Mansor hadir dan dihujani komen dan ramai mempertikaikan kritikannya tentang filem Bukit Kepong, arahan Jins Shamsudin yang tersiar dalam akhbar sebelum itu.

Di sesi dialog itu, isu kritikan beliau dibangkitkan. Ramai tidak puas hati dan marah dengan kritikan beliau. Kritikan pedas Mansor yang menyamakan letupan senjata api, bom tangan dan insiden-insiden kebakaran terdapat dalam filem Bukit Kepong yang menelan kos mahal sama seperti letusan sebiji petas atau mercun sahaja!

Filem-filem siri ‘esok’ oleh pengarah Jins Shamsudin sering dikritik dan dikupas oleh Mansor. Kritikan beliau sememangnya pedas dan sering disalah tafsir dan disalah erti oleh komuniti filem Melayu tempatan ketika itu.

Sejujurnya aku setuju dan sependapat dengan kebanyakan kritikan beliau. Aku berpendirian begitu kerana kepada aku, Mansor mengkritik dan berhujah berlandaskan ilmu. Beliau belajar ilmu filem dan tahu sejarah filem dunia.

Ilmu filem dan sejarah filem dunia penting jika seseorang mahu menjadi filmmaker atau mahu terlibat dalam bidang perfileman. Tiada kompromi dan jalan pintas. Ini adalah syarat wajib.

Hakikat ini sukar diterima dan difahami oleh kebanyakan pembikin dan penggiat filem tempatan ketika itu. Ramai masih beranggapan bidang filem sekadar aktiviti melibatkan hiburan sahaja. Kenapa dan mengapa sikap ini wujud sukar aku fahami dan perjelaskan. Mungkinkah ini sikap semula jadi orang-orang Melayu? Aku harap pandanganku ini silap.

Untuk pengetahuan pembaca generasi sekarang, pembikin dan pengarah filem yang belajar dan mempunyai ilmu perfileman ketika itu sangat kecil bilangannya. Pembikin dan pengarah filem era 80-an yang mempunyai kelulusan filem pastinya pernah mengikuti kursus perfileman di luar negara seperti di London, New York, Los Angeles dan Indonesia. Kita belum ada lagi institusi pengajian tinggi dan universiti tempatan menawarkan kursus perfileman pada ketika itu.

Berbalik kepada kesukaran pembikin dan penggiat filem Melayu menerima kritikan dan pandangan Mansor pada awal 80-an. Ketika itu bidang pembikinan filem Melayu dipenuhi dan dimonopoli oleh bekas tenaga kerja produksi, pembikin dan pengarah filem daripada studio Jalan Ampas dan studio Cathay Keris, Singapura. Mereka berhijrah ke Kuala Lumpur setelah kedua studio pengeluar filem Melayu tersebut ditutup pada awal 70-an.

Penghijrahan ini turut membawa sama mentaliti dan daya fikir kreatif bentuk lama. Masih berpegang dengan saki-baki cara kerja dan mentaliti lama 50-an dan 60-an - era hitam putih. Ini berlaku kerana filem-filem diproduksikan di kedua studio Singapura ini kesemuanya dalam hitam putih kecuali kurang dari lima judul dalam bentuk warna. Sedangkan pada awal 70-an kebanyakan negara di rantau Asean seperti Indonesia mula menghasilkan filem dalam bentuk warna.

Pada masa sama filem kita juga mula dihasilkan dalam bentuk warna. Tetapi pengisian, terutamanya cerita dan olahan skrip masih berlegar tentang kisah dan idea lama yang sesuai dengan era filem hitam putih.

Luarannya bertukar kepada warna tetapi isi dalamannya masih hitam putih. Begitulah senario atau latar belakang suasana bidang perfileman Melayu tempatan yang berpusat di Kuala Lumpur pada pertengahan 70-an.

Melangkah ke era 80-an, bidang perfileman berpusat di Kuala Lumpur yang hampir sedekad ini dikuasai oleh bekas pembikin filem era Jalan Ampas dan Cathay Keris, Singapura, mula melihat kehadiran dan partisipasi golongan muda yang tidak ada hubungan langsung dengan bekas kedua studio penerbitan filem Melayu di Singapura sebelum ini.

Golongan ini mewakili pembikin dan penggiat filem tulen negara ini. Rata-ratanya, golongan baharu ini merupakan lulusan pengajian bidang filem dari luar negara dan juga mereka yang terlibat dalam pembikinan filem iklan. Ada yang berlatar belakangkan penglibatan dalam teater.

Berbeza dengan pembikin dan pengarah filem era Jalan Ampas dan Cathay Keris, ramai di antara generasi baharu ini juga terlibat dan bermula sebagai pengkritik filem. Selain Mansor, seorang lagi pengkritik filem yang lantang menyuarakan kelemahan filem dan keadaan serabut bidang perfileman tempatan lewat tulisannya ialah Dr Anuar Nor Arai (1943-2010), graduan filem daripada University California, Los Angeles, Amerika Syarikat.

Pertentangan pandangan dan idea tentang cara pembikinan filem, olahan idea dan isu yang diangkatkan lewat filem Melayu terjadi kerana pendapat serta pandangan generasi baharu ini lebih terbuka dan berlandaskan ilmu.

Ketika sesi dialog filem di atas, Mansor mengkritik filem Bukit Kepong terutamanya babak-babak pertempuran antara polis dengan gerombolan komunis dengan membuat rujukan filem bisu Rusia, Battleship Potemkin (1925) arahan Sergei Eisentein. Beliau cuba memberi pandangan tentang kelemahan pengarah filem Bukit Kepong dalam memahami aspek masa filem berbanding masa biasa – masa di luar filem.

Jika mahu diterima dengan fikiran terbuka, sepatutnya hadirin sesi dialog tersebut dan komuniti filem Melayu ketika itu sepatutnya berterima kasih kepada Mansor kerana memberi ‘kuliah’ percuma sebagai ilmu bantu kepada mereka tanpa perlu masuk universiti belajar filem.

Aku sendiri menyaksikan seorang penerbit menegur (baca memperli) Mansor yang kononnya beliau cuba berlagak pandai kerana belajar filem di luar negara. Penerbit tersebut tidak puas hati kerana Mansor cuba mengajar mereka yang sudah banyak menghasilkan filem sedangkan Mansor belum mengarah filem lagi ketika itu.

Ketika itu aku terfikir jika sikap bodoh sombong, iri hati serta berminda tertutup ini tidak diubah maka sukarlah untuk memajukan industri perfileman kita. Aku perhatikan ketika itu, komuniti filem Melayu masih belum faham pentingnya peranan pengkritik filem.

Bila artikel kritikan filem Mansor sepanjang era 80-an dibukukan sedekad kemudian, maka tepat sekali kenyataan di kulit buku tersebut – Tokoh Perfileman Malaysia yang kontroversial; membawa pendekatan dan pemikiran baru dalam perusahaan filem nasional masa kini...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...