Ahad, 21 Februari 2016

KSJ, siapa bakal produsernya?

SELEPAS pertemuan pada petang 1 Jun 1984 bersamaan 2 Ramadan 1404 itu, aku seperti tidak percaya M Nasir mahu aku terlibat dalam projek filemnya.

Aku dipertanggungjawabkan menulis lakon layar dan seterusnya mengarah filem pertama lakonan M Nasir.

Sejujurnya aku masih sukar untuk percaya telah bertemu dengan M Nasir beberapa jam sebelum ini.

Bukan kerana rasa kagum terhadap seorang penyanyi popular sudi datang ke rumahku tetapi lebih kepada tawaran beliau kemukakan kepadaku – mengarah filem berjudul

Kembara Seniman Jalanan (KSJ). Biar betul? Aku seperti tidak percaya aku ditawarkan peluang mengarah filem pertamaku.

Filem ini juga mencatatkan sejarah kemunculan pertama M Nasir dalam filem. Macam-macam fikiran, soal jawab bermain di mindaku sambil menunggu waktu berbuka senja itu.

Apakah aku sudah bersedia untuk memikul tanggung jawab seorang pengarah filem? Ini bukan projek bernilai seribu atau dua tiga ribu ringgit. Kos untuk menghasilkan sesebuah filem era 80-an ialah di antara RM150,000 ke RM250,000.

Ini satu jumlah besar ketika itu. Pastinya tanggungjawab bakal terbeban di bahuku pun besar dan berat.

Untuk pengetahuan generasi sekarang, jumlah tersebut hampir sama nilainya dengan bajet RM1.5 hingga RM3 juta untuk menghasilkan sesebuah filem sekarang.

Harga tiket menonton di pawagam 30 tahun lalu ialah antara RM1 untuk tempat duduk kelas tiga (paling depan dan hampir dengan skrin) dan RM2.50 ke RM3 untuk kelas satu dan bahagian atas atau kelas khas – circle seats.

Cuba bandingkan harga tiket sekarang yang rata-ratanya berharga antara RM11 hingga RM15 untuk semua tempat duduk. Zaman berubah dan nilai wang pun berubah.

Berbalik kepada tawaran mengarah filem daripada M Nasir. Perasaanku bercampur-baur, takut dan berani untuk memikul tugas mengarah filem KSJ ini.

Tetapi aku yakinkan diriku untuk berfikiran positif. Dengan pengalaman bekerja selama ini di bidang filem iklan dan ditambah pengalaman menjadi penolong pengarah kepada pengarah filem Hafsham, Rahim Razali dan Shuhaimi Baba memberi aku keyakinan dan keberanian.

Peluang mengarah filem cereka yang muncul lebih awal daripada jangkaanku ini mesti aku manfaatkan sebaik mungkin. Paling penting aku rasa dekat dan boleh relate dengan idea mahu diangkat oleh M Nasir lewat naskhah karyanya itu.

Secara peribadi aku rasakan satu semangat baru dan cetusan hati anak muda segenerasiku ketika itu ada dalam skrip asal M Nasir.

Ini ditambah dengan lagu-lagu ciptaan M Nasir khususnya untuk kumpulan Kembara yang lebih ‘merakyat’ sifatnya.

Lagu-lagu Ekspres Rakyat, Impian Anak Jalanan, Perjuangan, Kolar Biru, Empat Penjuru, Senandung Buruh Kasar, Impian Seorang Nelayan, Ayahku dan Angkasawan dan Duit di antara lagu-lagu yang ada elemen mewakili suara rakyat marhaen.

Sememangnya M Nasir dan Kumpulan Kembara banyak merakamkan lagu mengisahkan kehidupan dan alam di samping lagu-lagu yang puitis liriknya.

Aku rasa elemen ini yang perlu aku terjemahkan ke bentuk visual lewat filem KSJ. Pandangan ini tidak aku nyatakan kepada M Nasir. Ia bermain dalam fikiranku sebagai persediaan awal untuk aku memahami apa yang mahu disurahkan oleh M Nasir secara sinematik lewat skrip yang ditulisnya itu.

Kesimpulannya, aku lihat M Nasir mahu melontarkan idea tentang perjuangan seorang penyanyi lagu-lagu rakyat di tengah keghairahan khalayak mencandui lagu-lagu cinta dan putus cinta.

Dalam perbincangan kami tadi, aku beritahu M Nasir aku baharu sahaja mendapat tawaran daripada Finas bagi mengikuti kursus jangka pendek filem dan video di Crosswind Film Studio, London selama tiga bulan. Kursus tersebut bermula dari September hingga November, 1984. Lebih kurang tiga bulan dari hari perjumpaan pertama kami itu.

Aku nyatakan kepada M Nasir walaupun aku akan berada di luar negara tetapi kami sepakat akan mula berusaha mencari produser yang berminat melabur dalam projek filem ini mulai saat itu.

Ketika pertemuan dengan M Nasir itu, aku sempat bertanya beliau kenapa dan mengapa mahu melibatkan aku dalam projek filemnya itu. Menurut M Nasir, beliau mengikuti hasil kerjaku lewat filem-filem Mekanik dan Matinya Seorang Patriot.

Maksud beliau kerja-kerja art direction atau arahan seni yang aku hasilkan untuk kedua filem tersebut.

Beliau juga mengikuti perkembangan syarikat produksi ZSA Film Productions lewat penerbitan filem pertamanya, Mati Seorang Patriot (1983) arahan Rahim Razali. Syarikat ini diterajui oleh seorang produser muda, Zarul Hisham AlBakri.

Kami melihat Zarul berpotensi untuk terlibat dan membiayai projek filem Kembara Seniman Jalanan ini. Kenapa aku dan M Nasir berpandangan begitu?

Kami merasakan idea dan skrip KSJ mungkin agak sukar diterima oleh produser-produser yang aktif ketika itu.

Kebanyakan mereka adalah daripada kelompok bermentaliti lama – old school. Masih dibayangi cara pembikinan dan idea filem era zaman Jalan Ampas, Singapura.

Di antara ramai produser ketika itu Zarul paling muda dan sebaya dengan kami.

Kami berkongsi pandangan, attitude dan kefahaman yang sama tentang filem dan cita rasa muzik. Kami adalah generasi muda pembikin filem dengan pendekatan berbeza berbanding pembikin filem yang ada ketika itu.

Senang cerita, kami mencari produser yang ‘sekepala’ untuk menghasilkan filem KSJ ini. Zarul juga terpilih bersama dengan aku mengikuti kursus filem jangka pendek tersebut di London.

Untuk kursus ini turut terpilih ialah Mior Hashim Manap, penyunting filem Matinya Seorang Patriot dan Johan Ibrahim, jurukamera yang banyak terlibat dalam filem arahan pengarah terkenal ketika itu, di antaranya Jamil Sulung (arwah), Yassin Salleh dan Jins Shamsudin.

Ketika M Nasir datang bertemu aku buat pertama kalinya dengan tawaran mengarah filem KSJ itu, aku baharu selesai menjalani penggambaran telefilem pertama untuk TV3 berjudul Maria, arahan Shuhaimi Baba.

Selepas pertemuan itu, aku menumpukan sepenuh masa untuk menelaah skrip asal M Nasir sambil mencari idea menulis lakon layarnya.

Dalam masa sama, aku berjaya menemukan M Nasir dengan Zarul. Produser muda ini secara dasarnya setuju untuk menerbitkan KSJ selepas kami balik dari London nanti.

Zarul tertarik dengan idea M Nasir mahu menghasilkan filem bercorak muzikal.

Ketika itu kebanyakan filem-filem Melayu yang dihasilkan bergenre drama dan komedi. Kami beranggapan dengan percubaan genre muzikal ini akan membawa kelainan yang boleh diterima penonton.

Produser sudah aku dan M Nasir ketemui, lalu apa seterusnya?

M Nasir dipertanggungjawabkan untuk mencipta lagu-lagu baharu untuk filem ini. Aku memikul tanggung jawab menghasilkan lakon layar.

Sebelum berangkat ke London, Zarul, M Nasir dan aku bersetuju memulakan pra produksi KSJ, filem kedua syarikat ZSA Films Productions milik Zarul ini pada awal 1985.

Aku berjanji kepada diriku untuk menonton sebanyak mungkin filem ketika di London nanti. Aku perlukan bahan-bahan terkini untuk inspirasi, idea baharu dan kontemporari bagi menghasilkan lakon layar Kembara Seniman Jalanan.

Apakah kota London berjaya memenuhi impian dan kembara sinematikku?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...