Ahad, 24 Januari 2016

Hak cipta boleh padam?

SEPANJANG minggu lalu, aku melayan isu klip video kempen TPPA Malaysia yang viral di alam siber. Kempen ini digambarkan sebagai salah satu usaha penerangan isu TPPA oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri kepada rakyat. Dalam kes ini, penerangan lebih menjurus ditujukan kepada penggiat dan karyawan seni tanah air. Klip video kempen ini menggunakan bahan-bahan daripada filem pertama arahanku 30 tahun lalu, Kembara Seniman Jalanan (1986).

Penggunaan bahan-bahan ini tidak dimaklumkan kepada Zarul Hisham Albakri, penerbit dan pemegang hak cipta filem ini TPPA Malaysia. Ini menimbulkan ketidakpuasan hati Pyanhabib, pemeran watak Osman Tikus dalam filem tersebut. Sikap membelakangkan dan tidak menghormati pemilik hak cipta filem Kembara Seniman Jalanan menimbulkan rasa kurang senang atau bahasa mudahnya rasa marah, bengang dan berbulu dalam kalangan mereka yang terlibat dalam penghasilan filem tersebut termasuk aku sendiri.

Pyanhabib meluahkan rasa marah bengangnya lewat akaun Facebook - Mukabukunya. Pyanhabib memuat naikkan klip video kempen TPPA Malaysia tersebut dan menerima berbagai komen daripada pengikut-pengikut akaun Mukabukunya. Rata-rata reaksi mereka ialah cara TPPA Malaysia menghasilkan klip video kempen tanpa izin daripada pemilik hak cipta filem tersebut sebagai tidak beradab. Kempen penerangan tentang isu cetak rompak karya seni karyawan tempatan dan apa itu TPPA walaupun baik dan positif tujuannya tetapi TPPA Malaysia tidak sepatutnya membelakangkan pemilik hak cipta filem Kembara Seniman Jalanan yang masih hidup. Ironinya, TPPA Malaysia mewarisi perangai lanun cetak rompak dalam usaha menentang kegiatan lanun cetak rompak.

Dalam mendepani kritik dan luahan rasa ketidakpuasan hati Pyanhabib dan pengikut-pengikut Mukabukanya, TPPA Malaysia menyatakan Akta Hak Cipta 1987 membolehkan karya-karya seni yang dihasilkan sebelum 1987 digunakan tanpa perlu keizinan pemilik hak ciptanya.

Selain itu, TPPA Malaysia cuba menyanggah komen peminat dan pengikut Mukabuku Pyanhabib dengan menyatakan hanya penerbit bukan pelakon dan pengarah filem berhak atas hak cipta filem Kembara Seniman Jalanan. Kefahaman dan andaian yang boleh kami buat ialah hanya penerbit sahaja boleh membantah dan menyuarakan protes terhadap kurang adab dan kesongsangan tindakan pihak yang menggunakan bahan-bahan daripada filem tersebut. Tetapi kami berpandangan walaupun protes ini bukan disuarakan penerbit sebaliknya oleh pelakon, pengarah dan mereka yang bersimpati perlu diberi perhatian. Seperti aku catatkan minggu lalu - kalau tidak tahu dan tidak mahu menghormati sesuatu karya seni tetapi sekurang-kurangnya belajar dan berusahalah menghormati perasaan sang pengkaryanya. Aku pasti nawaitu Pyanhabib ketika menghebahkan isu ini adalah atas dasar mahu menegur sikap tidak tahu dan tidak mahu menghormati pengkarya seni yang dipaparkan oleh TPPA Malaysia.

Apakah dengan tiada respons daripada Zarul menjustifikasikan dan menghalalkan perbuatan TPPA Malaysia itu? Apakah bila Zarul bersuara baharu TPPA Malaysia hendak memberi sedikit rasa hormat kepada pemilik hak cipta filem tersebut? Inilah senario yang dapat kami andaikan daripada respons dan sikap dipaparkan oleh TPPA Malaysia dalam usaha memberi penerangan kepada umum dan mempertahankan tindakan mereka menghasilkan video klip kempen TPPA itu.

Aku respek habis kesungguhan Pyanhabib aka Osman Tikus, si pencopet dalam filem Kembara Seniman Jalanan yang berusaha menghubungi aku, Zarul dan sahabat-sahabat daripada portal berita online. Jujur aku nyatakan, tanpa informasi daripada Pyanhabib hampir pasti Zarul dan aku tidak tahu mengenai klip video kempen TPPA Malaysia yang sedang viral di alam siber ketika itu. Ini diakui sendiri oleh Zarul lewat berita isu ini yang disiarkan oleh sebuah portal online. Selepas dihubungi oleh Pyanhabib baharulah Zarul ke depan mempersoalkan tindak-tanduk TPPA Malaysia tidak menghubunginya sebagai pemilik hak cipta filem Kembara Seniman Jalanan yang sahih dan masih hidup.

Isu ini juga berjaya mengumpulkan individu-individu yang sanggup tampil ke depan membantu Pyanhabib, Zarul dan aku atas dasar memperjuangkan hak karyawan tanah air daripada diambil kesempatan dan dieksploitasi oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab. Hasilnya, sebuah portal berita online telah berjaya membongkar kesahihan kewujudan TPPA Malaysia.

Wartawan daripada portal berita online ini mendapat pengakuan daripada Datuk Seri Mustapa Mohamed, menyatakan beliau tidak tahu tentang klip video kempen oleh TPPA Malaysia menggunakan bahan tanpa izin.

Seterusnya, portal berita online ini juga berjaya mendapatkan kenyataan pegawai kementerian yang mengakui kementerian tersebut hanya ada satu sahaja akaun rasmi Mukabuku - Ministry of International Trade and Industry. Apa sudah jadi? Kenapa begitu mudah dan bagaimana boleh ada pihak luar mempunyai akaun Mukabuka menggunakan nama kementerian tersebut tanpa pengetahuan dan pemantauan kementerian berkenaan? Siapa menghasilkan klip video kempen bagi pihak TPPA Malaysia? Dari mana sumber dana untuk menghasilkan klip video tersebut? Adakah kos produksi menghasilkan klip video tersebut dibiayai oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri? Jika begitu situasinya, mengapa pak menteri atau pegawai kementerian tersebut tidak tahu menahu kewujudan klip video kempen TPPA Malaysia itu?

Banyak sangat persoalan yang menuntut penjelasan, tetapi pihak mana perlu bertanggungjawab memberi penjelasan?

Berbalik kepada respons TPPA Malaysia berkenaan Akta Hak Cipta 1987, lewat kolum ini minggu lalu, aku pula mempersoalkan Akta Hak Cipta 1987 yang menurut kefahaman TPPA Malaysia tidak melindungi filem Kembara Seniman Jalanan kerana filem ini ditayangkan pada 1986. Aku perjelaskan Akta Hak Cipta 1987 tidak akan wujud tanpa kewujudan undang-undang hak cipta pertama negara ini yang dikenali sebagai Copyright Act 1969.

Adakah filem Kembara Seniman Jalanan tidak dilindungi sedangkan filem tersebut dihasilkan pada 1986 , selepas 17 tahun negara ini mempunyai Copyright Act.

Akhirnya, pada 18 Januari 2016, selepas membaca kolum aku di Sinar Harian, TPPA Malaysia menghubungi wartawan portal berita online berkenaan menjelaskan - Kami secara peribadi bersependapat ada perkara lain yang mengatasi undang-undang. Atas fahaman tersebut, video itu tidak dikongsikan. TPPA Malaysia menarik balik penyiaran dan penyebaran klip video kempen tersebut lewat internet.

Menurut Pyanhabib, dakwaan kami berasas dengan penarikan balik klip video tersebut oleh TPPA Malaysia. Tindakan ini juga membuktikan kesilapan mereka.

Walaupun klip video itu ditarik tetapi Zarul akan meneruskan usaha beliau mendapat penjelasan lanjut daripada TPPA Malaysia mengenai isu ini.

Aku ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada sahabat kami Al-Abror yang bersama dengan Pyanhabib berusaha membongkar dan membawa isu ini ke pengetahuan umum.

Apa terjadi ini mengingatkan aku kepada satu babak filem Musang Berjanggut (1959) arahan P Ramlee. Babak ketika menteri atau datuk nikah kahwin diperankan Wak Mustarjo cuba mengurat Puspawangi (Saadiah). Puspawangi menyatakan kedatangan datuk nikah kahwin itu salah dan tidak elok jika diketahui orang dan raja. Lalu dijawab datuk nikah kahwin - “Tak apa. Sebab undang-undang dalam ini negeri kanda yang bikin. Itu semua boleh padam!”

Marilah kita ambil iktibar daripada isu yang terjadi ini. Aku takut karya seni dan tamadun bangsa kita akan padam terus jika banyak sangat undang-undang boleh padam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...