Ahad, 27 Disember 2015

Jagat bawa persoalan sejagat

AKU mula tahu tentang filem Jagat, filem Tamil tempatan pada 3 November 2015. Hari itu aku terjumpa trailer promosi filem ini di YouTube. Trailernya menarik perhatianku. Aku dapat merasakan kelainan dari segi naratif dan visual yang cuba dipaparkan lewat filem cereka sulung pengarah generasi muda anak Malaysia berbangsa India, Shanjhey Kumar Perumal. Aku terus catatkan dalam diari tarikh tayangannya bermula pada 17 Disember 2015.

Selepas hampir sebulan menunggu, akhirnya aku berpeluang menonton Jagat pada hari ketiga tayangannya.

Apa yang menarik minat aku untuk menanti menonton filem ini? Tagline atau slogan trailer promosi filem Jagat – An ignored chapter of Indian Malaysian, terjemahan ringkas - Satu bab kehidupan kaum India Malaysia yang diabaikan. Aku lihat Shanjhey ada isu penting hendak dicerita dan dikongsikan dengan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

Menurut Shanjhey, filem pertama arahannya ini mengisahkan kehidupan dilalui kebanyakan keluarga kaum India yang terpaksa melalui proses penghijrahan daripada kehidupan di estet ke bandar. Penghijrahan dari ladang getah ke kawasan bandar berlaku 80 dan 90-an. Penghijrahan kaum India dirakamkan dalam filem Jagat merupakan usaha Shanjhey mendokumentasikan sejarah kaum India di Malaysia. Sebelum ini tiada bahan bentuk filem cereka mengetengahkan keadaan kehidupan sosial dan politik kaum India tahun tersebut. Ketika jangka masa transisi dari ladang estet ke bandar, ramai kaum India terpaksa menjalani kehidupan sebagai setinggan di kawasan bandar. Mereka terpaksa berdepan persekitaran baharu dan kehidupan lebih mencabar.

Semua menuntut kekuatan semangat juang untuk meneruskan hidup ini. Filem Jagat berlatar belakangkan awal 90-an ini bercerita tentang jerih perih hidup rakyat marhaen kaum India. Rakyat marhaen terpaksa berdepan masalah nombor wahid di mana-mana negara dunia ketiga - kemiskinan. Berpunca daripada kemiskinan hidup melahirkan masalah sosial lain seperti gengsterisme, dadah, ketagihan alkohol dan jenayah lain tanpa mengira batas umur pelakunya.

Sebelum 80-an dan 90-an, tenaga buruh estet kaum India diperah kaum pemodal kapitalis bermula dari generasi pertama yang dibawa ke Malaya oleh British sejak zaman sebelum merdeka.

Bila negara memasuki era perindustrian bermula awal 80-an, tenaga kerja buruh ladang dan estet mula dipinggir sistematik. Mereka berpindah mencari kehidupan baharu di bandar.

Mereka terpinggir dan ketinggalan dari arus rancangan pembangunan negara. Mereka terpaksa hidup sebagai setinggan demi kesinambungan hidup dengan gaji tidak seberapa.

Jangka masa inilah yang diambil Shanjhey sebagai latar belakang penceritaan. Satu jangka masa penting dalam kehidupan kaum India negara ini. Era ini dipenuhi proses perubahan sosial di mana nasib buruh ladang dan estet kaum India terabai. Kurang diberi perhatian ketika itu. Aku rasa sehingga sekarang masalah ini masih belum berjaya diatasi sepenuhnya. Aku harap aku silap beranggapan demikian!

Berbalik kepada filem Jagat. Perkataan Jagat adalah slanga Tamil untuk perkataan Melayu, jahat. Secara ringkasnya, filem Jagat atau Jahat yang tidak ada watak heroin ini mengisahkan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun bernama Appoy, diperankan adik Harvin Raj.

Appoy menjalani hidup bersama keluarganya yang miskin dan terpinggir.

Appoy, bapa dan ibunya duduk di kawasan setinggan. Bapanya, Maniam, diperankan Kuben Mahadevan bekerja di kilang kayu arang. Maniam punya dua adik lelaki, Durai atau Mexico, seorang gengster diperankan Jibrail Rajhula. Adik bongsunya, Bala, penagih dan bekas penghuni pusat serenti. Watak ini diperan Senthil Kumaran Muniandy.

Appoy, pelajar cerdik, bijak dan kreatif. Dia punya sikap melawan dan punya kemampuan berfikir di luar kotak - di luar kebiasaan.

Sikap ini menimbulkan pertentangan antara Appoy dengan gurunya dan bapanya. Bapanya, Maniam berpandangan mereka sekeluarga keluar daripada belitan kemiskinan hanya dengan beri keutamaan kepada ilmu pelajaran dan kecemerlangan akademik.

Kelebihan dari segi kecerdikan, ciri-ciri bijak dan daya kreativiti tinggi Appoy tidak difahami bapanya. Maniam masih berpegang kepada cara konvensional dalam menuntut ilmu untuk menjadi insan berjaya dan cemerlang. Malah guru Appoy sendiri tidak membantunya mengembangkan kecerdikan dan bakat kreatifnya.

Sehingga Appoy berkonflik dengan guru matematiknya. Jelas sistem pendidikan kita tersangat memberi penumpuan kepada kejayaan ‘kertas’ - sijil yang rigid.

Konflik dengan bapa dan gurunya membuat Appoy mencari role model yang boleh memahami dirinya dengan sikap menentang arusnya itu. Appoy menjumpai semua ini dalam diri dan hidup pakciknya – seorang gengster dan seorang lagi penagih.

Melalui watak Appoy, kita dibawa melihat bagaimana dunia gengster kaum India lewat watak Mexico dan Chicago, diperankan Tinesh. Mereka dan ahli lain berketuakan Da Gau, diperankan Marup Mustapah. Kumpulan gengster kaum India berketua seorang berbangsa Cina.

Keunikan gengster 1 Malaysia telah wujud sejak 80-an lagi! Kita dibawa masuk ke dunia anak muda kaum India yang terpinggir. Dunia gelap yang menuntut mereka melakukan jenayah demi survival untuk hidup.

Walaupun pakcik Appoy, si Mexico gengster, tetapi dia tidak mahu terlibat dadah. Sikap ini bertentangan dengan rakan sekumpulannya, Chicago yang senang dibeli dengan arak, sogokan wang dan perempuan oleh musuh mereka, Vadivelan, diperankan Perakas Rajaram.

Pada aku, Jagat filem jujur bercerita tentang nasib kaum India di Malaysia.

Sarat dengan komentar sosial dan politik yang disampaikan secara tersurat dan tersirat dengan penuh pemahaman tentang bahasa visual dan filem. Shanjhey bercerita daripada hatinya. Beliau bercerita tentang isu paling dekat dengan dirinya. Isu yang beliau betul-betul faham.

Menurutnya, Jagat didasarkan juga lewat pengalaman hidup yang pernah dilalui ketika zaman membesarnya.

Aku suka Jagat kerana ia bukan filem pretentious. Walaupun elemen jenayah dan gengster plot utama, tetapi kita tidak ditonjol dengan imej gengster yang ditambah nilai stailistik demi memenuhi tuntutan komersial. Aku lihat keganasan gengster filem Jagat lebih kepada tenaga kudrat dan hati kering Mexico bukan pada letupan pistol. Tiada sekali pun kita dihidangkan dengan babak tembakan pistol sepanjang filem ini berputar.

Tanpa semua ini mood dan suasana dunia gengster masih dapat dirasakan.

Malah lebih berkesan dan ‘makan dalam’ dengan muzik latar oleh Kamal Sabran yang berhasil memberi kesan dalaman manusia-manusia terpinggir ini. Aku mengikuti dan meminati filem terutama genre gengster arahan pengarah India dan Tamil seperti Ram Gopal Varma dan Mani Ratnam. Aku lihat Jagat, anak sulung Shanjhey berjaya berdiri sendiri dengan identiti dan jati diri kaum India yang lahir dan membesar di bumi bertuah ini.

Dua babak paling melekat dan terkesan pada mindaku. Pertama, babak ketika Maniam bersiap hendak pergi kerja - visual Maniam hanya mampu mengikat seluar dengan tali rafi a sedang di latar belakang kedengaran penyampai siaran berita radio RTM dalam bahasa Tamil menyatakan ucapan Perdana Menteri ketika itu, Mahathir mengumumkan akan membantu kaum India supaya tidak tercicir daripada arus pembangunan negara.

Diikuti berita ucapan Samyvellu, Presiden MIC menjanjikan ‘janji manis’ kepada kaum India.

Kedua, babak akhir di mana Appoy yang sedang marah, bengang dan kecewa didatangi oleh Chicago, si talam dua muka. Chicago cuba menenteramkan dan menghulur rokok kepadanya. Mereka berada di atas puncak bukit. Appoy ambil rokok, tetapi tidak ditunjukkan sama ada dia hisap atau tidak kerana sebelum ini dia tidak merokok. Babak ini diakhiri dengan kamera pada drone bergerak (terbang) tinggi menunjukkan timbunan kawasan pembuangan sampah yang luas saujana mata memandang.

Kesimpulannya, tanpa ilmu pelajaran dan akhlak baik kita akan jadi sampah masyarakat. Jangan salahkan orang lain atau bangsa lain jika bangsa kita mundur, lemah dan ketinggalan. Kata kuncinya, kemiskinan adalah masalah sejagat yang tidak mengenal kaum dan bangsa!

Terima kasih Shanjhey Kumar Perumal kerana membawa kejujuran dan kesegaran dan bukan sampah. Moga anda terus sukses.

Ahad, 20 Disember 2015

Radio, wayang pacak dan politik

AKU akan nukilkan lagi pengalaman peribadiku yang ada hubung kait dengan perkembangan media massa dan filem khususnya di negara kita pada era 60-an dan awal 70-an. Seperti biasa tulisanku ini bukan kajian ilmiah akademik. Cuma satu rakaman perjalanan hidup aku secara tidak langsung ada kaitan dengan kemajuan dan pembaharuan dalam bidang penyiaran baik radio, televisyen dan filem di Malaysia.

Sebelum dan selepas kita merdeka pada 1957, hanya radio sahaja merupakan alat komunikasi massa yang ada dan mampu dimiliki oleh kebanyakan rakyat negara ini.

Aku masih ingat rupa bentuk radio ketika itu. Reka bentuk radio seperti kotak kayu menggunakan bateri kering atau dry cell battery, berukuran sebesar bateri kereta. Ada radio berbentuk besar dengan ukuran 24 inci panjang dan 20 inci tinggi. Ada radio berukuran setengah daripada ukuran tersebut.

Seingat aku radio berbentuk lebih kecil dan mudah dibawa ke mana-mana dikenali sebagai transistor radio atau radio transistor mula wujud di pasaran pada awal 1963 atau 1964. Radio transistor menggunakan bateri berbentuk kecil berbanding dengan bateri radio konvensional.

Lewat siaran radio dipancarkan oleh Radio Malaya sehingga tertubuhnya Malaysia, kemudiannya dikenali sebagai Radio Malaysia inilah aku mengenali lagu-lagu dendangan P Ramlee, Saloma, R Azmi dan ramai lagi penyanyi Melayu. Hampir kesemua lagu Melayu popular ketika itu adalah petikan daripada filem-filem Melayu terbitan Malay Film Productions dan Cathay Keris yang berpusat di Singapura.

Bila memperkatakan tentang radio lama, ada satu peristiwa yang melekat di minda aku sehingga sekarang dan rasanya sepanjang hayatku.

Pada satu hujung minggu, aku mengikut pak cik dan beberapa anggota keluargaku berkelah di Pantai Tanjung Bidara, Melaka. Ketika itu aku baharu memasuki alam persekolahan pada 1961. Sebaik kami sampai di pantai dan mula mencari lokasi berkelah, aku ternampak satu keluarga yang juga sedang mencari kawasan untuk bersantai. Di antara ahli keluarga itu, aku lihat ada seorang lelaki sedang memikul sebuah radio besar di bahunya. Untuk makluman pembaca, selain berenang dan mandi laut, berkelah pada zaman itu cuma dipenuhi dengan aktiviti menikmati makanan dibawa daripada rumah sambil lepak-lepak atas tikar mengkuang dibentang atas pasir pantai di bawah pokok-pokok yang terdapat di sepanjang pantai. Tiada gajet mudah bawa untuk mendengar lagu seperti radio transistor ketika berkelah dan bersantai di pantai.

Paling aku tidak boleh lupakan, setelah keluarga itu mendapat port yang baik di bawah rimbunan pokok, mereka menikmati makanan tengah hari mereka sambil memasang radio besar mereka dengan menggunakan bateri kering. Tiba-tiba seluruh kawasan pantai perkelahan berkumandang dengan kuat alunan lagu-lagu siaran Radio Malaya lewat radio besar keluarga itu. Gempar habis keadaan dan suasana berkelah pada hari itu. Aku rasa sebelum ini belum ada orang sanggup bawa radio besar daripada rumah ke pantai untuk memeriahkan dan merancakkan suasana perkelahan mereka.

Bila aku teringat peristiwa hampir 50 tahun lampau itu, aku tersenyum sendiri. Memang lucu tetapi menarik. Imbas kembali atas daya usaha keluarga yang sanggup membawa radio besar dari rumah, kami yang berkelah pada hari itu beruntung mendapat hiburan percuma. Sukar untuk bertemu pada era itu berkelah di hujung minggu sambil menikmati lagu-lagu daripada alat dipanggil radio. Radio era itu direka bentuk untuk kegunaan di rumah sahaja. Berkelah pada zaman itu benar-benar aktiviti riadah yang asli dan tulrn – raw. Tanpa gajet elektronik memberi sumber hiburan tambahan seperti lagu-lagu untuk dinikmati, selain alam dengan deruan angin dan ombak.

Dengan kemunculan radio transistor yang lebih kecil dan mudah dibawa ke mana-mana pada pertengahan 60-an telah mengubah cara orang ramai berkelah. Sambil mandi-manda dan menikmati makanan kaki berkelah boleh berhibur dengan lagu-lagu dan siaran radio melalui radio transistor menggunakan bateri.

Cebisan pengalaman aku 50 tahun lalu ini boleh dimanfaatkan oleh pembikin filem generasi baharu terutamanya para pereka produksi dan pengarah seni untuk melahirkan mood, suasana dan mise-en-scene babak perkelahan era selepas merdeka dan sebelum tertubuhnya, Malaysia pada 1963.

Sebelum kemunculan televisyen di Malaysia pada 1963, hiburan bentuk visual hanya mampu dinikmati melalui tayangan filem-filem tempatan dan luar di panggung wayang di bandar-bandar besar dan separa besar. Kemampuan untuk menonton filem amat terbatas.

Sebelum ini pernah aku nukilkan dalam kolum ini tentang kesukaran bagi penduduk-penduduk kampung dan luar bandar untuk menonton filem di pawagam. Faktor kedudukan kampung-kampung dan jarak yang jauh dari bandar-bandar utama membuat rakyat luar bandar jarang berpeluang menonton filem.

Menonton filem atau wayang gambar adalah satu aktiviti yang eksklusif dan punya kedudukan istimewa dalam kegiatan sosial rakyat marhaen terutamanya orang-orang Melayu yang majoritinya penduduk kampung dan luar bandar.

Peluang menonton wayang gambar (ungkapan orang kampung) lazimnya melalui filem-filem dokumentari dan kadang-kadang cereka pendek yang ditayangkan oleh Jabatan Penerangan. Tayangan filem yang dikenali sebagai wayang pacak. Wayang pacak sangat popular dalam kalangan rakyat luar bandar sepanjang 60-an dan 70-an.

Aku beruntung dapat mengalami dan sama meraikan budaya wayang pacak ketika aku bersekolah rendah pada tahun-tahun 60-an. Wayang pacak Jabatan Penerangan ini lebih merupakan gerak saraf kerajaan untuk menyebarkan polisi dan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat jelata. Darurat diisytiharkan pada 1960 bagi menentang kegiatan ancaman komunis. Melalui tayangan wayang pacak ini rakyat diberi informasi terkini mengenai tindakan kerajaan menentang menghapuskan pengaruh dan ancaman fizikal komunis.

Senario pada hari diadakan tayangan wayang gambar pacak selalunya bermula pada sebelah petang. Van Jabatan Penerangan berwarna putih hijau akan mengelilingi kampung mengumumkan melalui pembesar suara tayangan wayang gambar akan diadakan pada malam itu.

Tayangan wayang gambar diadakan di padang sekolah di kampung kami.

Peluang menonton wayang pacak ini terhenti bila aku memasuki sekolah menengah pada 1967 dan tinggal di asrama di bandar Melaka. Aku hanya berpeluang menonton wayang pacak ketika cuti penggal sekolah dan selalunya ketika itu tiada program tayangan wayang pacak diadakan di kampung aku.

Pengalaman peribadi aku menonton wayang pacak ialah rasa bengang bila tayangan filem dihentikan untuk memberi laluan kepada pegawai penerangan memberi ucapan atau ceramah menerangkan apa yang kerajaan ingin lakukan untuk rakyat.

Selalunya ceramah penerangan ini mengambil masa 15 ke 20 minit. Bila hampir waktu pilihan raya, selain penerangan oleh pegawai Jabatan Penerangan, pasti ada calon dan bakal calon memberi ucapan. Ini membuat aku makin bosan dan resah hendak menunggu sambungan tayangan filem yang ditayangkan pada malam itu.

Kenangan paling aku ingat sampai bila-bila ialah tayangan wayang pacak hampir pilihan raya 1964, ketika aku berusia 10 tahun.

Pada malam itu, agak istimewa acara wayang pacak di padang sekolah kampung. Selain tayangan filem-filem dokumentari yang kesemuanya dalam hitam putih, tidak silap aku (mana aku kenal siapa orang politik ketika itu) ada ucapan dan ceramah oleh Allahyarham Ghaffar Baba.

Masih aku ingat dialog beliau sehingga sekarang – “Kalau tuan-tuan undi kapal layar (Parti Perikatan), lesen basikal tak payah bayar. Tidak ada lagi lesen basikal!” Gemuruh tepukan orang-orang kampung.

Aku senyum sendiri setiap kali flashback episod lesen basikal ini muncul di mindaku. Itulah pelajaran pertama aku tentang politik.

Pada aku, era 60-an mengenalkan aku kepada filem lewat budaya wayang pacak. Siapa boleh lupa logo seekor harimau melompat dan freeze dan timbul grafik Malayan Film Unit presents sebelum cerita bermula.

Terima kasih wayang pacak kerana mengenalkan aku kepada filem dan politik.

Ahad, 13 Disember 2015

Bangsawan tanpa tajuk perkenalan pertamaku

KURANG 20 hari lagi kita akan berada di tahun baharu 2016 Masihi. Seiring dengan ketibaan tahun baharu ini, aku tiba-tiba teringat usia industri filem Melayu. Filem Melayu pertama berjudul – Leila Majnun, arahan BS Rajhans diterbitkan pada 1933.

Ini bermakna industri filem Melayu sudah berusia 82 tahun setakat 2015 dan 18 tahun lagi, industri filem Melayu menyambut 100 tahun kewujudannya.

Usia 82 tahun sesebuah industri filem jika disamakan dengan hayat seorang manusia pastinya merupakan satu usia yang penuh kematangan dan kejayaan. Apakah industri filem Melayu berjaya seperti berjayanya seorang manusia berusia 82 menempuhi segala onak duri cabaran hidup sejak awal hidupnya sehingga berakhir sebagai seorang wise old man?

Rasanya tidak perlulah aku menjawabnya. Ketenatan dan dilema dihadapi industri filem kita sekarang sudah cukup untuk memberi jawapan yang sering kita cari bila membincangkan maju mundurnya industri dan dunia perfileman Melayu. Keadaan ini sering dibincangkan oleh penggiat, pengkaji dan peminat filem kita sehingga ke peringkat ahli akademik, birokrat dan budayawan.

Melihat laporan serta kajian yang dibuat membawa kepada satu kesimpulan – filem Melayu tempatan masih gagal mendapat sambutan daripada bangsa Melayu dan bangsa Malaysia secara keseluruhannya. Masih dan makin gagal menjana pulangan keuntungan ekonomi.

Informasi terkini dikeluarkan oleh Finas menyatakan kutipan tiket filem-filem cereka tempatan semakin merudum sejak tiga tahun kebelakangan ini. Pada 2013 sebanyak 71 filem tempatan ditayangkan di pawagam dengan kutipan tiket RM85 juta, 2014 (81 filem - RM75 juta) dan sehingga November 2015 lalu (85 filem - RM49 juta).

Selain masalah sambutan, industri filem Melayu juga berdepan dengan masalah pemasaran, promosi, panggung serta tayangan, masalah cetak dan rakam rompak. Masalah birokrasi yang sering melibatkan Finas. Masalah dalaman persatuan-persatuan berkaitan industri filem tempatan dengan gabungan persatuan masing-masing. Lazimnya, bila memperkatakan industri filem Melayu dan tempatan, kita pasti bertemu dengan lebih banyak masalah daripada kejayaan.

Apa yang aku tuliskan di atas adalah sejarah ringkas industri filem Melayu yang bermula di Singapura, 45 tahun awal sebelum aku terlibat dalam filem bermula pada 1978. Ini bermakna sudah 37 tahun penglibatan aku dalam bidang perfileman bermula dengan filem iklan sehingga aku berjaya mengarah dua filem cereka, Kembara Seniman Jalanan dan Rozana, Cinta 87, sehinggalah sekarang.

Aku masih bikin filem walaupun terpaksa berdepan dengan berbagai halangan, hambatan dan batasan untuk berkarya sejak awal 90-an.

Hampir kesemua kajian ilmiah oleh pengkaji filem dan ahli akademik merumuskan adanya hubung kait antara seni bangsawan dengan kemunculan awal filem-filem Melayu. Hampir kesemua pelakon membintangi filem Melayu pertama, Leila Majnun (1933) terdiri daripada pelakon pentas bangsawan yang popular ketika itu – M Suki, orang muda (hero) dan Fatima Jasman, primadona (heroin). Cerita-cerita filem Melayu 40-an dan 50-an sehingga awal 60-an banyak diadaptasi daripada cerita-cerita bangsawan.

Apa yang aku nukilkan minggu ini bukan kajian ilmiah yang akademik tetapi lebih berdasarkan pengalaman peribadi ketika aku membesar pada era peralihan bangsawan ke filem. Aku ingin melayan rasa Masihkah Kau Ingat seperti didendangkan oleh Kopratasa.

Aku masih ingat ketika dibawa oleh Allahyarham datuk ku menonton persembahan bangsawan di pekan kecil kami, Alor Gajah pada 1960. Ketika rombongan bangsawan itu datang ke pekan kecil kami, aku masih belum menjejak kaki ke bangku sekolah.

Ketika itu aku berusia 6 tahun. Seperti kanak-kanak lain pada era lewat 50-an dan awal 60-an, aku tidak kenal apa itu tadika atau sekolah ‘makan’. Belum wujud lagi tadika dan kindergarden. Kami hanya tahu ABC bila mula masuk sekolah darjah satu ketika berusia 7 tahun.

Berbalik kepada pengalaman menonton bangsawan ketika berumur peringkat prasekolah, sememangnya pengalaman itu merupakan culture shock buat aku. Bayangkan suasana hidup ketika itu yang belum ada televisyen walaupun kampung aku telah ada bekalan elektrik dan air paip.

Pernah aku tulis dalam artikel terdahulu di kolum ini tentang nikmat awal kemerdekaan - nikmat ‘potek topi tongah menyalo’ dan ‘air dalam bosi’ yang dirasai oleh penduduk kampung berhampiran pekan kecil kami di Alor Gajah, Melaka.

Walaupun kemudahan asas sudah ada, bukan semua kampung di daerah aku ini dapat menikmatinya. Apatah lagi kemudahan menikmati hiburan masih hanya bergantung pada siaran radio.

Kedatangan rombongan bangsawan pasti disambut meriah. Bangsawan masih sumber hiburan bagi penduduk kampung dan rakyat marhaen. Kehadiran bangsawan di pekan kecil kami adalah sesuatu yang happening.

Masih aku ingat panggung bangsawan dengan dinding papan dan kepingan zink. Beratap zink dengan penonton duduk di kerusi kayu yang boleh bersandar di bahagian depan pentas dengan harga tiket mahal. Sebahagian penonton duduk di bangku-bangku kayu panjang di bahagian belakang – ruang kelas dua dengan harga tiket murah.

Datuk dan aku duduk di kerusi depan dekat dengan pentas. Depan kami di bahagian bawah pentas terdapat pemuzik-pemuzik yang bermain alat muzik secara live bagi mengiringi persembahan bangsawan pada malam itu.

Apabila dewasa dan terlibat dalam bidang filem dan teater baru aku tahu apa sebenarnya yang aku lihat dan alami bersama Allahyarham datuk ku hampir 50 tahun lalu. Seni bangsawan adalah asas kepada seni lakonan dan persembahan visual secara live atau hidup yang kemudiannya dimanfaatkan sepenuhnya dalam perkembangan dan usaha mewujudkan industri perfileman Melayu.

Jujur aku katakan, aku tidak tahu apa-apa pun ketika menonton persembahan malam itu. Aku tidak tahu apa itu bangsawan, apa itu lakonan, muzik dan tarian yang dipersembahkan oleh rombongan bangsawan tersebut.

Bayangkan aku sebagai seorang anak kecil pertama kali menonton satu persembahan yang aku sendiri tidak tahu apa sebenarnya sedang berlaku depan mataku ketika itu. Sekarang, bila aku kenangkan semula, aku rasa malam bersejarah 50 tahun lampau itu satu pengalaman sungguh surealistik buat aku.

Malam itu aku menonton persembahan bangsawan mengisahkan seorang puteri raja cantik tetapi disumpah sehingga mukanya menjadi sebelah putih dan sebelah hitam. Aku hairan dan tidak mampu berfikir kenapa pada awal cerita, wajah puteri cantik tetapi di pertengahan cerita jadi hitam putih. Akhirnya, puteri jadi cantik semula. Macam mana ini boleh terjadi? Magik ke?

Aku seorang kanak-kanak baru berusia 6 tahun ketika itu. Mana aku tahu tentang mekap atau dandanan muka yang boleh merubah wajah seseorang. Manalah aku tahu apa berlaku atas pentas itu cuma lakonan. Aku hanya mampu berasa sedih dan kasihan melihat apa berlaku kepada tuan puteri.

Aku juga rasa takut sehingga memeluk dan menyorokkan mukaku di lengan datukku bila aku lihat seorang lelaki hendak memancung tuan puteri berwajah hitam putih dengan sebilah pedang panjang. Aku pejamkan mata tidak berani melihat babak tersebut. Aku rasa apa yang berlaku di atas pentas di depanku ketika itu adalah kejadian betul.

Ditambah dengan suasana menakutkan ditimbulkan oleh muzik yang dimainkan oleh pemuzik-pemuzik. Datuk memujuk aku dengan memberitahu aku, apa yang aku lihat itu cuma lakonan – olok-olok bukan betul-betul. Tetapi aku tidak faham lalu tetap tidak sanggup melihatnya.

Malam itu adalah kali pertama aku berdepan dengan satu keadaan yang diwujudkan atas dasar fantasi tetapi mampu menzahirkan suasana yang hidup dan meyakinkan minda tanpa mengira kanak-kanak mahupun dewasa.

Untuk pengetahuan pembaca, tapak panggung bangsawan itu terletak di depan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina, Alor Gajah. Sekarang di atas tapak tersebut adalah lot rumah kedai.

Hanya satu penyesalanku, sehingga datukku meninggal dunia pada awal 70-an aku tidak sempat dan tidak bertanya beliau apa tajuk cerita bangsawan yang kami tonton malam itu.

Apa pun bangsawan kisah puteri berwajah hitam putih ini adalah persembahan bangsawan pertama dan terakhir dalam bentuk paling asli dan autentik yang berpeluang aku tonton. Bangsawan puteri hitam putih inilah memperkenalkan aku kepada satu lagi dunia selain dunia biasa ini – dunia fantasi!

Ahad, 6 Disember 2015

Werner Herzog pengarah filem paling penting

SEBELUM aku menulis tentang keesentrikan pengarah filem Werner Herzog seperti aku janjikan minggu lalu, aku ingin mengimbas kembali untuk merumuskan pandangan dan pendapat si film buff yang menghubungi aku memperkatakan tentang perangai esentrik pengarah-pengarah filem dunia.

Menurut si film buff aka peminat filem tegar ini, aku perlu berlaku adil kepada pembikin dan pelajar filem generasi muda kita dalam menyalurkan informasi berkaitan pengarah dan industri filem dunia. Teguran dan ingatan beliau menghantui aku sepanjang dua minggu ini.

Selepas tersiar artikel minggu lalu aku ada juga menerima pandangan seorang pelajar filem lewat SMS bertanya apakah perlu mereka mengetahui sejarah keesentrikan kegilaan kesenimanan pengarah-pengarah tersohor dunia ini? Reaksi pelajar ini juga menghantui pemikiran aku sepanjang minggu ini. Kenapa aku merasakan begitu?

Aku merasakan kedua pandangan ini melahirkan satu pertentangan mind set atau jalur pemikiran yang perlu diberi perhatian.

Secara peribadi aku merasakan apa jua informasi aku tahu dan miliki tentang filem baik tempatan dan dunia perlu aku kongsikan bersama dengan penonton, peminat dan pelajar filem Melayu dan pelajar filem anak semua bangsa Malaysia.

Aku dapati daripada input si film buff yang pastinya bukan seorang yang terlibat dalam industri filem berbanding input pelajar filem generasi muda, wujud dua bentuk sikap dan pemikiran yang perlu diseimbangkan bagi membawa pembikinan dan apresiasi filem tempatan maju ke depan.

Aku simpulkan begini – si film buff mahu melihat industri filem tempatan yang bakal diterajui oleh pembikin filem generasi muda terus maju. Untuk itu perlu ada ilmu dan pengetahuan tentang industri dan sejarah filem dunia melalui pembacaan dan pencarian informasi mengenai filem-filem besar dan penting oleh pengarah-pengarah filem tersohor dunia.

Si pelajar filem pula mempamerkan sikap jumud sebahagian orang kita yang malas mencari dan mengkaji. Kepada pelajar ini cuma satu aku ingin ingatkan – jauh berjalan luas pandangan dan semestinya luas pembacaan bertambah pengetahuan dan ilmu.

Pengalaman manusia lain, baik atau buruk adalah ilmu dan panduan untuk kita. Bila ilmu filem bertambah maka filem-filem bakal kita arahkan akan ada jati diri dan identiti bangsa.

Pelajar-pelajar filem jangan sesekali cuba melalui jalan pintas jika mahu menjadi pengarah filem yang menghasilkan filem-filem bermutu. Paling penting menghasilkan filem bermaruah!

Berbalik kepada janji aku menulis tentang seorang lagi pengarah filem tersohor dunia yang esentrik.

Werner Herzog, nama pengarah Jerman ini kurang dan tidak dikenali oleh ramai khalayak penonton dan orang-orang filem negara kita. Ramai tidak berpeluang menonton filem-filem arahannya. Tetapi aku pasti ada segelintir peminat dan penggiat filem tegar - hardcore tempatan mengenali Herzog.

Seingat aku cuma satu filemnya, Nosferatu - The Vampyre (1979) pernah ditayangkan di pawagam Odeon, Jalan Tuanku Abdul Rahman pada akhir 70-an. Itu pun hanya untuk beberapa hari sahaja.

Aku berkesempatan menonton filem lakonan Klaus Kinski (1926-1991) ini pertama kali di pawagam arus perdana.

Sebelum itu aku hanya berpeluang menonton filem-filem arahan Herzog dan pengarah–pengarah Jerman lain daripada kelompok The New German Cinema, di antaranya Rainer Werner Fassbander (1945-1982) dan Wim Wenders (1945) lewat tayangan-tayangan khas dengan kerjasama kedutaan Jerman di Goethe Institut, terletak di sebuah banglo di persimpangan Jalan U Thant, Ampang dengan Jalan Tun Razak ketika itu.

Werner Herzog dilahirkan pada 5 September 1942, di Munich, Germany. Selain mengarah filem cereka, beliau juga seorang pengarah filem dokumentari, produser filem, penulis lakon layar, pengarang buku, pelakon dan pengarah opera.

Kegilaan esentrik kesenimanannya bermula sejak beliau masih menuntut di Munich Film School. Herzog telah mencuri kamera 35mm dari sekolah filemnya untuk membuat filem pendek pertamanya. Komen beliau terhadap insiden itu - “I don’t consider it theft. It was just a necessity. I had some sort of natural right for a camera, a tool to work with.” Terjemahan ringkasnya - “Saya tidak menganggap ia satu kecurian. Ia hanya satu keperluan. Saya mempunyai hak seperti satu kuasa semula jadi untuk memiliki sebuah kamera, satu alat bagi kegunaan saya.”

Bagi mencari dana untuk filem cereka pertamanya, Herzog pernah terpaksa bekerja syif malam sebagai pengimpal di satu kilang keluli. Ketika Herzog mula berpeluang mengarah filem-filem awalnya, beliau sempat menuntut di Munich University dalam bidang sejarah dan kesusasteraan walaupun tidak lama.

Herzog dan banyak di antara filemnya telah dicalonkan di festival-festival filem dan memenangi anugerah. Anugerah utama pertama dimenanginya ialah Silver Bear Extraordinary Prize Jury untuk filem cereka pertamanya, Signs of Life (1968) di Berlin International Film Festival ke-18, 1968. Selain itu, filem Nosferatu - The Vampyre juga pernah dicalonkan untuk Anugerah Golden Bear di festival yang sama pada 1979.

Pada 1975, filemnya The Enigma Kaspar Hauser telah memenangi Hadiah Khas Juri (juga dikenali sebagai ‘Silver Palm’) di Cannes Film Festival. Filem-filem lain Herzog yang dicalonkan untuk Golden Palm di Cannes Film Festival adalah Woyzeck (1979) dan Where the Green Ants Dream (1984).

Kejayaan hebat Herzog ialah ketika memenangi Anugerah Pengarah Terbaik lewat filem ke-9 arahannya, Fitzcarraldo (1982) di Cannes Film Festival ke-35, 1982.

Filem Fitzcarraldo telah menjulang nama Herzog sebagai pengarah filem dalam kelasnya tersendiri – the one and only. Dengan segala kegilaan dan esentrisitinya sukar untuk difahami oleh penonton dan orang biasa. Waima dalam kalangan komuniti filem sendiri.

Herzog sering menampilkan dalam filem-filemnya hero dengan impian mustahil di luar jangkauan akal waras manusia. Beliau juga gemar menampilkan watak hero dengan bakat unik dalam bidang yang jarang diterokai atau kabur sifatnya. Kisah hubungan manusia yang bertentangan dengan alam semula jadi.

Pengarah filem New Wave Perancis, François Truffaut (1932-1984) pernah menganggap Herzog “the most important film director alive.”. Terjemahannya – “Seorang pengarah filem paling penting pernah hidup di dunia ini.”

Menurut pengkritik filem Amerika Roger Ebert, Herzog tidak pernah menghasilkan walau satu filem pun yang dikompromikan dan memalukan atas sebab-sebab pragmatik atau tidak menarik. Walaupun ada filem-filem beliau yang gagal namun masih menakjubkan. Bahkan kegagalan-kegagalannya adalah kegagalan yang hebat!

Herzog tersenarai dalam salah seorang daripada 100 orang paling berpengaruh di planet ini oleh majalah Time pada 2009.

Minggu depan aku akan menulis tentang pembikinan filem Fitzcarraldo. Penggambaran di hutan belantara Amazon dengan segala kegilaan termampu difikirkan oleh akal manusia dalam mencabar kewarasan seorang pengarah filem untuk menghasilkan satu karya seni bernama filem.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...