Ahad, 29 November 2015

Esentrik hingusan seorang pengarah filem

AKU bercadang menulis tajuk baharu selepas empat minggu menulis mengenai perangai dan sikap esentrik seorang pengarah filem muda Rusia, Illya Khrzhanovsky. Esentrisiti atau sikap dan perangai kegilaan seseorang pengarah filem seolah-olah satu kemestian untuk memberi kelainan dan imej tersendiri seorang pengarah filem. Konsep atau pandangan ini sememangnya sentiasa ada dalam industri filem di mana sahaja di dunia ini sejak dahulu.

Lanjutan daripada artikel-artikel itu, aku menerima berbagai respons daripada pelajar-pelajar filem dan peminat-peminat filem. Paling menarik perhatian aku ialah respons seorang yang menganggap dirinya seorang film buff atau peminat tegar filem. Seorang film buff selalu dan pastinya merupakan peminat filem yang luas serta dalam pengetahuan tentang perkembangan filem terkini dan sejarah filem dunia. Seseorang film bluff tidak semestinya individu terlibat secara langsung dalam bidang filem. Sesiapa sahaja yang punya minat mendalam tentang filem dan sejarah filem tanpa mengira profesinya boleh dikategorikan a film buff. Aku tidak nafikan beliau ini punya pengetahuan yang mantap mengenai bidang filem dan informasi tentang pengarah-pengarah filem tersohor dunia.

Menurut si film buff ini, aku tidak berlaku adil kepada pengarah-pengarah yang lebih otai dan kegilaan esentrik kesenimanan mereka lebih hebat dibandingkan dengan Illya Khrzhanovsky. Beliau memberi nama tiga pengarah filem tersohor dunia yang dianggapnya belum ada tandingannya daripada segi kegilaan kesenimanan serta sikap esentrik berkarya dalam pengarahan filem-filem mereka. Beliau menyebut nama-nama pengarah, Werner Herzog, Alejandro Jodorowsky dan Francis Ford Coppola.

Sememangnya ketiga nama tersebut adalah nama besar yang aku kenali dan hampir kesemua filem mereka pernah aku tonton. Aku mula tahu tentang Herzog dan Coppola sejak pertengahan 70-an. Mula tahu dan mengenali Jodorowsky pada awal 90-an lewat filem ketiga arahannya, Santa Sangre (1989). Filem pertamanya, El Topo dihasilkannya pada 1970.

Si film buff aka peminat filem tegar ini juga mengingatkan aku supaya berlaku adil kepada generasi muda pembikin dan pelajar filem kita. Mereka perlu didedahkan kepada kegilaan dan esentrisiti tokoh-tokoh pengarah di atas selain kegilaan pengarah Khrzhanovsky sahaja.

Beliau menganggap kegilaan Khrzhanovsky lewat filem Dau yang masih belum siap itu ibarat langit dengan bumi jika dibandingkan dengan kegilaan Herzog mengarah filem Fitzcarraldo (1982) di tengah-tengah belantara rimba hutan Amazon. Bagaimana Herzog melakukan penggambaran mengalihkan sebuah kapal  sungai – river steamboat untuk menggelakkan jeram dan air terjun yang berada di tengah-tengah dua batang sungai untuk sampai ke destinasi dituju oleh watak utamanya, Fitzcarraldo yang diperankan oleh mendiang Klaus Kinski (1926-1991).

Beliau memberi pendapat menarik bila menyatakan sikap dan perangai esentrik pengarah Khrzhanovsky yang ala-ala syok sendiri dan poyo itu, belum cukup mantap untuk dijadikan inspirasi dan motivasi bagi penggiat filem dan bakal pengarah generasi muda kita.

Menurut beliau, keesentrikan Khrzhanovsky lebih kepada untuk memenuhi ego besar dan nafsu kerana pengarah tersebut tidak berdepan dengan masalah bajet. Khrzhanovsky mahu meniru perangai tokoh yang dijadikan wira filemnya, Lev Landau, pakar fizik dan Pemenang Hadiah Nobel, 1962.  

Menurut si film buff lagi, Khzrhanovsky bukan contoh yang sesuai untuk dijadikan bahan perbincangan tentang keesentrikan kegilaan kesenimanan seorang pengarah. Tingkat paras keesentrikan Khzrhanovsky masih di peringkat budak hingusan lagi!  

Ini sangat berbeza dengan kegilaan dan esentriknya Herzog yang sentiasa terpaksa berdepan dengan masalah mendapatkan bajet untuk hampir kesemua filem arahannya.

Kegilaan sama ditempuhi oleh Francis Ford Coppola ketika mengarah filem klasiknya, Apocalypse Now (1979). Filem ini sekarang diiktiraf oleh pengkritik-pengkritik filem sebagai filem perang tentang Vietnam terbaik sepanjang zaman.

Coppola berdepan dengan masalah bencana alam – ribut typhoon yang melanda dan menghancurkan set di lokasi penggambarannya di Filipina. Terpaksa bergolok gadai untuk menyiapkan filem yang diinspirasikan daripada novel Heart of Darkness karya Joseph Conrad itu. Segala rintangan dan kegilaan yang terpaksa dilalui oleh Copolla ini dirakam dan didokumentasikan dalam filem dokumentari – Heart of Darkness: A Filmmaker’s Apocalypse (1991) arahan isteri Copolla, Eleanor Copolla.

Begitu juga pengalaman penuh kegilaan terpaksa ditempuhi Herzog boleh ditonton lewat dokumentari pembikinan filem Fitzcarraldo berjudul Burden of Dreams (1982) arahan Les Blank.

Seterusnya, si film buff bertanya adakah aku terlepas pandang hal ini? Sejujurnya aku nyatakan kepadanya, aku akui sememangnya terlepas pandang isu yang beliau bangkitkan itu. Kenapa? Aku tidak ada jawapannya. Namun aku berterima kasih kepada beliau kerana menimbulkan persoalan itu. Ia membolehkan aku membaik pulih dan menambah pengisian informasi dalam membincangkan keesentrikan seseorang pengarah filem.

Beliau berpandangan pengarah dan filem-filem arahan mereka punya kuasa mempengaruhi khalayak penonton. Paling merisaukan beliau ialah filem boleh mempengaruhi bakal penggiat dan pembikin filem muda. Menurut beliau, contoh kegilaan kesenimanan Khrzahnovsky yang aku tulis dan nukilkan tidak ada unsur positif dalam memotivasikan pembikin dan penggiat filem generasi muda kita. Sekali lagi aku tidak mahu menafikan pandangan beliau kerana aku perlu berfikiran terbuka.

Panjang lebar beliau berhujah lewat tazkirah sinematiknya. Aku cuba menjadi pendengar yang baik dan berimbang. Beliau sangat tidak bersetuju dengan pendapat sesetengah pembikin filem terutamanya pengarah dan pembikin filem tempatan menyatakan unsur-unsur negatif dipaparkan lewat filem mereka tidak menyumbang kepada masalah sosial seperti kes rempit dan gengsterisme. Tanpa berselindung beliau menyalahkan pengarah-pengarah yang banyak menghasilkan filem-filem mengangkat mat rempit dan figura daripada dunia gengster sehingga menjadi ikutan dan dikagumi oleh anak-anak muda. Beliau mencadangkan aku dan pengarah lain melihat dan mengkaji kes-kes buli dan pukul yang banyak berlaku di sekolah serta asrama sekolah sekarang ini. Paling beliau bengang bila sejak kebelakangan ini pelajar-pelajar perempuan pun berlagak seperti gengster. Dengan sinis beliau menyuarakan kekagumannya dengan ‘kemajuan’ terkini anak-anak bangsa kita yang mudah dipengaruhi oleh filem-filem aksi gengster tempatan yang sering gagal mengimbangi nilai negatif dengan nilai positif melalui bahasa filem dan visual. Aku akur dan tidak menafikan pendapat dan pandangan jujur si film buff ini. Terima kasih.

Berbalik kepada cadangan beliau supaya aku menulis tentang pengarah-pengarah esentrik selain Khzrhanovsky, aku akan cuba usahakan. Aku akan mulakan minggu depan dengan pengisahan keesentrikan Werner Herzog, insya-ALLAH.

Ahad, 22 November 2015

Filem Dau, bila akan siap?

APA lagi keesentrikan Illya Khrzhanovsky ketika mengarah filem Dau sejak 2006 sehingga peringkat suntingan sekarang? Filem ini masih belum siap.

Minggu lalu aku menceritakan tentang ‘kegilaan’ melampau Khrzhanovsky membina penuh ketelitian mis-scene-en atau suasana penggambaran babak-babak yang diwujudkan dalam set yang dipanggil The Institute atau Institut.

Sehinggakan bunyi air dipam di tandas dalam set tersebut pun diusahakan supaya mengeluarkan bunyi seperti bunyi air tandas yang dipam pada 1950-an.

Satu kerja ‘gila’ yang dikenali sebagai eccentricity – kegilaan esentrik, aneh dan tidak konvensional lewat kapasitinya sebagai seorang pengarah filem. Filem Dau arahan Khrzhanovsky ini telah memakan masa penggambaran dari 2008 sehingga 2011. Sekarang masih di peringkat suntingan.

Kenapa dan apa yang membolehkan pengarah muda Rusia baharu menjangkau 40 tahun ini berperangai demikian? Sebelum kita mencari jawapannya, mari aku bawa pembaca mengikuti kegilaan kesenimanannya yang lain dilakukan oleh Khrzhanovsky dalam set penggambarannya lewat artikel tulisan Michael Idov ketika membuat liputan set Institut di bandar perindustrian Kharkiv di timur laut Ukraine pada 2011.

Set filem Dau, dicipta dan dibina untuk kelihatan Rusia seperti tahun 1950-an selaras dengan naratif filem ini yang mengisahkan kehidupan pakar fizik, Lev Landau pemenang Nobel Prize, 1962 dalam bidang fizik.
   
Menurut Idov, di dalam set Institut ini, Khrzhanovsky menetapkan semua pelakon, kakitangan dan pelawat diwajibkan berpakaian era Stalin dan berkelakuan seperti ketika rejim totalitarian Soviet 50 dan 60-an.

Matlamatnya, adalah untuk mewujudkan satu ruang di mana Khrzhanovsky “boleh mencungkil emosi diperlukan daripada pelakon dalam keadaan terkawal, dua puluh empat jam sehari.”

Tetapi Idov menyatakan set besar itu lebih merupakan ruang atau gelanggang Khrzhanovsky memuaskan nafsu dan keangkuhan ego besarnya di sebalik  bertujuan merakam lakonan yang benar-benar autentik kononnya. Berbekalkan dengan bajet lumayan dan kawalan kreatif yang seratus peratus di tangannya, Khrzhanovsky seperti ‘menyerang’ bandar Kharkhiv, Ukraine, dengan jumlah ribuan tenaga kerja dan pelakon.

Beliau membina sebuah masyarakat totalitarian di mana kamera sentiasa merakam aksi pelakon-pelakon yang tidak pernah dibenarkan meninggalkan set untuk pulang ke rumah masing-masing selagi penggambaran belum selesai.

Menurut Idov lagi, sebahagian besar pelakon-pelakon ini tidak berlakon sebenarnya. Bermula dengan membawa watak-watak diberikan dan akhirnya menjadi pekerjaan dan rutin hidup sebenar mereka sekarang.

Pameran watak-watak seperti penjaga bangunan, tukang gunting rambut dan lain-lain akhirnya mereka bekerja dan juga tinggal di set tersebut tanpa mengira ada penggambaran atau tidak!

Khrzhanovsky melakukan penggambaran tanpa disedari oleh mereka yang berada dalam set tersebut. Dengan menyembunyikan kamera dan mikrofon membolehkan Khrzhanovsky merakam apa yang dimahunya dari hampir mana-mana sahaja melalui tingkap, jendela langit dan cermin dua hala.

Idov menulis – Di set penggambaran tidak ada dan kelihatan  peralatan filem tradisional. Sebaliknya, terdapat kamera tersembunyi di mana-mana. Anda boleh membuat penggambaran melalui lubang di dinding.

Anda boleh membuat penggambaran melalui lubang pada siling. Terdapat mikrofon tersembunyi dalam lampu seperti anda benar-benar berada dalam era Stalin, Rusia. Fungsi mereka adalah untuk mewujudkan masyarakat totalitarian yang sentiasa di bawah pengawasan pihak pemerintah.

Siapakah pelakon-pelakon yang sanggup 'didera’ semata-mata ingin berlakon dan melayan keesentrikan pengarah ‘gila’ ini? Dari mana datangnya, pelakon-pelakon yang sanggup berlakon dalam keadaan bekerja pelik dan di luar kebiasaan proses berlakon untuk sesebuah filem ini?

Panina, salah seorang pelakon ekstra yang ditemu bual oleh Idov menyatakan, walaupun keadaan di set penggambaran yang ‘gila’ tetapi semua yang terlibat dalam suasana baik umumnya. Hubungan Khrzhanovsky dan pelakon-pelakon dengan warga tempatan adalah baik.

Sejak 2008, ramai daripada tenaga produksi dan pelakon yang menganggap apa yang diwujudkan oleh Khrzhanovsky di bandar Kharkhov bukan projek sementara atau ‘main-main’. Kebanyakan daripada mereka merupakan lepasan dan graduan baharu keluar daripada sekolah filem. Ada yang meninggalkan kerja tetap dan sanggup membawa keluarga mereka terlibat dan bekerja di set penggambaran filem Dau ini.

Ada juga seperti Anton, petugas mengendalikan pengkalan data pelakon ekstra telah bersama projek ini sejak dimulakan pada 2008, sehingga bertemu jodoh dan berkahwin dengan gadis yang ditemuinya di set penggambaran ini.

Isterinya baharu melahirkan anak sulung mereka dua minggu sebelum Idov datang membuat liputan penggambaran dan menemu bual Khrzhanovsky di set filem Dau ini.

Ada di antara mereka hanya mampu bertahan cuma satu hari dan ada sehingga sebulan. Ada yang kata mereka gembira bekerja dengan Khrzhanovsky dan mahu bekerja lagi dengan beliau jika diberi peluang  sekali lagi.

Ada juga bekas kru menulis dalam blognya - “It’s almost slavery, something akin to PTSD. But Ilya managed to make everyone think they were part of something truly great.” Terjemahannya – “Keadaan hampir serupa perhambaan dan berkaitan dengan PTSD. Tetapi Ilya berjaya membuat semua yang terlibat berfikir mereka adalah sebahagian daripada projek  yang betul-betul agung.”

Untuk makluman, PTSD ialah Post Traumatic Stress Disorder (PTSD) – gangguan tekanan selepas trauma. Ini berlaku selepas seseorang terdedah kepada satu atau lebih peristiwa traumatik, seperti tekanan utama, serangan seksual, peperangan, atau ancaman lain pada kehidupannya.

Berbalik kepada filem Dau, menurut syarikat produksinya, Phenomen Films, kerja-kerja suntingan dan pos produksi sedang dilakukan di London. Ia melibatkan sejumlah penyunting filem berpengalaman British bertanggungjawab menyiapkan apa yang kini  dianggap “Dau projek.”

Proses pos produksi ini bermula sejak 2014 dengan harapan filem ini dapat ditayangkan pada Mei, 2015 di Cannes Film Festival. Tetapi gagal disiapkan untuk tayangan. Nampak gayanya, seluruh komuniti filem dunia terpaksa menunggu lagi sehingga tahun hadapan untuk menonton Dau.

Walaupun sepanjang produksi filem Dau ini berlaku beberapa kali kekeringan bajet dan ada pelabur menarik diri tetapi setiap kali ini berlaku Khrzhanovsky berjaya memujuk dan sweettalk pelabur lain dari Rusia, Ukraine, Perancis, Jerman, dan Switzerland untuk melabur.

Menariknya, pelabur-pelabur ini menambah lebih banyak jumlah dana walaupun masalah bajet ini timbul disebabkan perangai esentrik dan kegilaan kesenimanan Khrzhanovsky sendiri. Mengapa Khrzhanovsky masih mampu mendapat sokongan pelabur walaupun banyak kontroversi gila dan tidak siuman ditimbulkannya?

Filem Dau ini mengisahkan Lev Davidovich Landau, seorang tokoh fizik Pemenang Nobel Prize, 1962. Lakon layar ditulis oleh Vladimir Sorokin berdasarkan buku tulisan Kora T Drobaneza dan diarahkan oleh Illya Andreevich Khrzhanovsky.

Kata kuncinya di sini ialah Yahudi. Mereka dan pastinya para pelabur pun daripada serumpun bangsa. Fikir-fikirkanlah sendiri. Jawapan peribadi aku terletak kepada kata kunci – Yahudi.

Ahad, 15 November 2015

DAU, ketelitian kurang siuman?

APA terjadi dalam set dipanggil ‘The Institute’ atau Institut? Set penggambaran dibina khas untuk filem Dau arahan Illya Khrzhanovsky, pengarah muda Rusia yang esentrik dan dianggap ‘gila’ oleh media Rusia dan dunia.

Set Institut ini dibina oleh Khrzhanovsky di bandar Kharkiv di timur laut Ukraine. Ia adalah set filem terbesar pernah dibina di Eropah. Ia merangkumi keluasan kawasan berjumlah 12,000 meter persegi dengan pembinaan semula bangunan dan kawasan larangan secara besar-besaran untuk menggambarkan era Stalin dan Moscow yang pernah wujud pada 1938-1968.

Berukuran lebih kurang saiz dua padang bola sepak dengan dikelilingi bangunan lima tingkat dengan seni bina bersifat ‘menindas’ dan menggerunkan yang sering kita lihat di negara-negara blok komunis.

Terdapat satu bangunan besar menempatkan makam Lenin, di samping dua bangunan kediaman yang kelihatan lusuh. Semua ini ditambah oleh suasana suram dengan angin kencang diiringi muzik cello tanpa nada sentiasa kedengaran melalui pembesar suara yang dipasang di tiang-tiang di sekitar kawasan set tersebut.

Suasana ini dilahirkan oleh Khrzhanovsky dengan tujuan mewujudkan seolah-olah satu keadaan tegang dan tidak selesa untuk dialami oleh sesiapa berada di situ.

Apa bakal aku tuliskan minggu ini merupakan catatan pengalaman diceritakan oleh Michael Idov, seorang wartawan, penulis dan penulis skrip filem. Turut aku catatkan pengalaman juru foto terkenal Rusia Sergey Maximishim yang pernah memfoto tokoh-tokoh seperti Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Presiden Cuba, Fidel Castro. Mereka berpeluang melawat dan membuat liputan di set penggambaran filem Dau pada 2011.

Produksi dan penggambaran filem Dau ini asalnya dirancang untuk tujuh minggu. Tetapi berlarutan dari 2006 hingga 2011 dengan bajet meningkat daripada USD3.5 juta kepada kira-kira USD10 juta. Penggambaran filem Dau siap dan berakhir pada  2011 dengan merakam sambutan besar-besaran dan pembakaran set penggambaran.

Persepsi awal Idov mengenai penggambaran filem dilakukan dalam set binaan oleh Khrzhanosky itu merupakan signifier atau petanda awal tentang satu ‘kegilaan’ bakal dialaminya untuk tiga hari mendatang.

Menurut Idov dalam artikelnya - dari pengarah sehingga kepada semua yang terlibat dalam penggambaran ini, baik pelakon dan kru seakan ditelan dan hilang dalam satu kehidupan tertutup yang dicipta khas untuk penggambaran filem Dau ini.

Mereka dibawa oleh Khrzhanovsky ke satu zaman silam. Penggambaran yang sedang dilakukan merupakan pewujudan semula suasana tahun 1956 dan seterusnya era 60-an.

Kehadiran jurufoto, Sergey Maximishim dengan peralatan kamera terkini dan canggih telah menimbulkan masalah kepada pihak penggambaran dan pengarah Khrzhanovsky. Kamera moden digital Sergey tidak dibenarkan di dalam set melainkan ia ditutup dengan sesuatu yang sesuai seperti kain atau kulit tiruan.

Para petugas di bengkel memerlukan hampir empat jam untuk membuat dan menjahit pembalut untuk kamera Sergey itu. Juru foto otai ini agak kurang senang dengan ‘kepuraan-puraan’ yang cuba diwujudkan oleh Khrzhanovsky.

Barang-barang moden seperti telefon bimbit, kamera, rokok dan pemetik api moden sememangnya diharamkan keberadaan dan penggunaannya di set ini.

Set ini dibina untuk melihatkan Rusia seperti di tahun 1950-an. Ini selaras dengan watak utama filem ini iaitu Pemenang Nobel Prize, 1962 dalam bidang fizik, Lev Landau. Dalam kawasan ditetapkan itu semua pelakon, kakitangan dan sehinggakan pelawat perlu berpakaian dan berkelakuan seperti ketika hidup dalam pemerintahan rejim totalitarian era 50-an dan 60-an Soviet. Tiada pengecualian.

Untuk memastikan semua yang terlibat mematuhi syarat dan peraturan yang diwajibkan oleh Khrzhanovsky itu, satu sistem denda dikenakan kepada sesiapa yang ingkar. Tingkah laku mereka dipantau oleh mereka yang memerankan watak pengawal dan polis KGB. Dalam kehidupan sebenar mereka adalah bekas anggota polis dan KGB.

Sistem denda bermula bila Khrzhanovsky mendapati beberapa pekerja dan kru menyeludup telefon bimbit, laptop dan berinteraksi dengan dunia luar lewat Facebook. Kesalahan lain yang boleh didenda termasuk kelambatan dalam menjalankan tugasan. Denda selalunya melalui pemotongan gaji harian mereka.

Satu lagi kegilaan esentrik Khrzhanovsky ialah melarang penggunaan perkataan yang belum wujud pada era 50-an dan 60-an dalam set penggambaran. Kesilapan ini juga membolehkan seseorang itu didenda.

Idov menulis tentang pengalamannya tersalah menggunakan perkataan terkini ketika berinteraksi dengan Khrzhanovsky berbincang tentang penggambaran filemnya itu.

Ikuti catatan perbualan mereka - “Adakah anda akan menambah visual bandar ini dengan CGI nanti?” Saya sekadar bertanya dengan santai mengenai perancangannya di peringkat pos produksi. Khrzhanovsky terus melompat dari kerusi lantas mengingatkan saya, “Lihat, jika salah seorang pengawal mendengar anda, dia akan denda saya USD 125,” katanya.

“Anda tidak boleh menggunakan kata-kata yang tidak mempunyai makna di dunia ini.” “Seperti CGI?” ulang saya.

“Sekarang pengawal itu akan mendenda saya dua kali.” Khrzhanovsky memberi saya amaran dengan wajah serius.

Seterusnya, ikuti catatan Idov ketika dibawa oleh Khrzhanovsky melawat set Institut tersebut –Khrzhanovsky membuka pintu depan salah satu bangunan-kediaman dalam set itu.

Terdapat dalam pangsapuri itu dapur dengan peti sejuk berisi makanan segar sempurna boleh dimakan tetapi dengan tarikh lupus 1952. Berulang kali, Khrzhanovsky membuka almari-almari mengandungi seluar dalam, kotak mancis, lilin, buku, sapu tangan, ketulan sabun, bebola kapas, susu pekat era 50-an.

Tidak cukup dengan ketelitian terhadap prop dan peralatan daripada sebesar-besar sehingga sekecil-kecilnya, aku terkejut membaca catatan Idov seterusnya - Khrzhanovsky dengan bangga menunjukkan tiga buah tandas. “Paip tandas dan pamnya direka mengikut ukuran asal.”

Dia mengepam tandas di setiap bangunan untuk menunjukkan saya, bahawa tandas-tandas itu masih boleh berfungsi tetapi untuk menunjukkan kepada saya perbezaan paip dan pam tandas yang mereka bina berbanding tandas moden sekarang.

Menurut Khrzhanovsky, tandas moden mengeluarkan bunyi air yang salah ketika dipam. Bunyi air tandas moden ketika dipam menghasilkan bunyi nota irama yang salah kerana air turun ke dalam mangkuk.

Idov menganggap perincian ini adalah benar-benar tidak siuman.

Tetapi kepada aku inilah kegilaan esentrik kesenimanan seorang pengarah. Apa lagi keesentrikan Illya Khrzhanovsky ketika mengarah filem Dau sejak 2006 sehingga peringkat suntingan sekarang yang masih belum siap? Kita sambung minggu depan, insya-ALLAH.

Ahad, 8 November 2015

Dau, filem tanpa tarikh siap

MINGGU ini aku akan sambung menulis tentang eccentricity atau kegilaan esentrik kesenimanan pengarah muda Rusia bernama Ilya Khrzhanovsky yang baru berusia 40 tahun.

Eccentricity adalah perkataan Inggeris menurut Kamus Inggeris – Melayu Dewan membawa makna sifat, perlakuan aneh, idea-idea ganjil dan aneh.

Eccentric atau esentrik ialah sifat seseorang yang mempunyai pandangan, perangai dan tingkah laku ganjil, aneh dan tidak konvensional.

Dau adalah filem kedua arahan Ilya Khrzhanovsky mengisahkan kehidupan saintis Rusia pemenang The Nobel Prize in Physics, 1962, Lev Landau (1908-1968). Filem ini merupakan salah satu projek terbesar dan paling kontroversial dalam sejarah sinema Rusia sehingga ke saat ini.

Khrzhanovsky memulakan proses pra-produksi filem Dau pada 2006. Selepas dua tahun, baru penggambaran sebenarnya bermula pada 2008 dan berlangsung sehingga 2010. Penggambaran memakan masa selama tiga tahun telah menghasilkan bahan rakaman visual-visual mentah berdurasi 700 jam bersamaan 42,000 minit!

Tayangan perdana dunia filem Dau dijangka diadakan di Cannes Film Festival 2012 tetapi terpaksa dijadualkan semula kepada Mei 2014. Tetapi sehingga saat ini (November 2015), Khrzhanovsky masih belum selesai proses menyunting Dau di studio suntingan 100, Piccadilly, London. Apakah Dau akan ditayangkan di Cannes Film Festival pada Mei 2016? Belum ada kepastian lagi.

Berbalik kepada sikap ‘kegilaan’ esentrik Khrzhanovsky, perangai ‘gila’ esentrik kesenimanannya bermula selepas beliau berjaya mendapat kepercayaan daripada pelabur-pelabur selepas kejayaan di luar jangkaan melalui filem arahan pertamanya berjudul Chetyre atau 4 (2005) di Rotterdam International Film Festival.

Filem Dau berdasarkan buku How We Lived – Bagaimana Kita Hidup tulisan Kora T Drobanzeva, isteri Lev Landau. Khrzhanovsky tertarik dengan kisah hidup Lev Landau, seorang genius dalam bidang fizik.

Pengalaman peribadi Landau melibatkan gaya hidup seksualnya, kehebatan penemuan baharu dalam bidang fizik dan kesengsaraan hidupnya selepas terlibat dalam kemalangan kereta yang membuatnya koma hampir dua bulan pada 1962.

Majlis penyampaian anugerah The Nobel Price 1962 kepada Landau terpaksa diadakan di hospital ketika beliau terlantar di katil pesakit. Rentetan kesemua peristiwa ini menjanjikan Khrzhanovsky satu naratif menarik untuk sebuah filem bergenre bioepik.  

Dengan keyakinan dan bajet daripada pelabur-pelabur Rusia dan Eropah, Khrzhanovsky dengan segera membentuk sebuah syarikat penerbitan dengan tujuan membawa kehidupan Landau ke skrin lebar.

Melalui rundingan Khrzhanovsky berjaya meyakinkan pelabur-pelabur yang berminat untuk setuju memberi beliau kuasa mutlak dan kebebasan berkarya sepenuhnya dalam memproduksikan filem Dau.

Menurut kontrak dimeterai dengan pelabur-pelabur Rusia dan Eropah, Khrzhanovsky diberi kuasa penuh menentukan penyuntingan filem ini sehingga ke peringkat suntingan akhir – final editing. Beliau juga diberi kuasa penuh untuk memecat sesiapa sahaja daripada produksi ini tanpa penjelasan.

Syarat paling menarik dalam kontrak tersebut yang merupakan idaman semua pengarah filem di atas planet bumi ini, baik yang hidup atau mati ialah tiada tarikh akhir untuk Khrzhanovsky menyiapkan filem Dau ini. Hebat dan beruntung sungguh Khrzhanovsky. Salut!

Khrzhanovsky berkuasa memilih tenaga kerja dan kru terdiri daripada orang-orang berlatar belakangkan bidang seni dan teater sahaja yang punya tenaga kreatif menepati cita rasa beliau berpeluang bergabung dengannya menghasilkan filem ini.

Dalam pemilihan pelakon pula, untuk peranan utama, Khrzhanovsky meletakkan satu ketetapan – beliau mahukan watak utama Lev Landau, seorang genius mesti diperankan oleh seorang genius yang sebenar juga, tanpa mengira disiplin dan latar belakang bidang kepakarannya.

Khrzhanovsky bertegas - “I needed people who would have those energy levels,” he reasons. “Geniuses to play geniuses, the powerful to play the powerful.” Terjemahannya - “Saya mahukan orang-orang yang mempunyai tahap tenaga yang diperlukan,” katanya. “Genius memerankan watak genius, yang berkuasa memerankan watak yang berkuasa.”

Beliau akhirnya memilih Teodor Currentzis, seorang konduktor muzik klasik daripada Greece memerankan watak Lev Landau.

Seorang sahaja pelakon profesional yang dipilih iaitu pelakon Radmila Shchegoleva untuk memerankan watak Kora, isteri Landau. Sebelum penggambaran bermula, atas kehendak Khrzhanovsky, Radmila terpaksa menghabiskan satu tahun bekerja di sebuah kilang coklat dan hospital. Ini lebih merupakan penderaan tanpa sedar ke atas Radmila oleh Khrzhanovsky untuk mengeluarkan dan membentuk watak yang diingininya.

Kecuali untuk tiga watak utama, mereka yang terlibat dalam penggambaran Dau memerankan diri masing-masing. Pakar fizik membawa watak seorang pakar fizik, bekas ketua Parti Komunis memerankan semula watak ketua parti.

Sehinggakan bekas ejen-ejen KGB juga diambil semula untuk memerankan watak yang sama. Sementara pelakon-pelakon ekstra dipilih daripada pangkalan data berjumlah 210,000 calon.

Filem Dau berlatar belakangkan era 50-an dan 60-an ini memulakan penggambaran pada 2006 dengan penggambaran dilakukan di pelbagai tempat di Rusia, Ukraine, Jerman, United Kingdom dan Denmark.

Separuh daripada penggambaran filem Dau ini dilakukan dalam set yang dibina khas dipanggil The Institute - Institut. Set Institut ini dibina di bandar Kharkiv di timur laut Ukraine. Ia adalah set filem terbesar pernah dibina di Eropah.

Set ini merangkumi keluasan kawasan berjumlah 12,000 meter persegi. Ia adalah pembinaan semula secara kreatif dan dinamik bangunan dan kawasan larangan Institut yang pernah wujud di Moscow pada 1938-1968. Set Institut ini dibina secara besar-besaran mengandungi replika benar-benar realistik untuk menggambarkan era Stalin dan Moscow.

Akhirnya, set Institut ini dimusnahkan bagi memenuhi sebahagian penting daripada plot cerita. Penggambaran kemusnahan set Institut dilakukan pada dan 8 November 2011.

Apa yang terjadi dalam set Institut? Menurut laporan daripada wartawan dan penulis yang dibenarkan melawat set penggambaran Dau di Institut, Khrzhanovsky menggunakan kebebasan berkaryanya dengan segala keensentrikan yang mampu difikirkannya dalam mengarahkan dan menghasilkan filem mengenai seorang tokoh pakar fizik yang juga eksentrik.

Minggu depan kita akan melawat dan masuk ke set Institut untuk melihat ‘kegilaan’ esentrik kesenimanan Khrzhanovsky, pengarah muda yang mampu membuat pelabur-pelabur filemnya menurut kemahuan dan segala ‘kegilaan’ eksentriknya.

Ahad, 1 November 2015

Pengarah filem dan sikap esentriknya

MELALUI kolumku ini selama enam minggu lalu aku berhasil berkongsi dengan pembaca melayari sejarah masa silam era kegemilangan filem Melayu 50-an dan 60-an lewat tulisan aku tentang salah seorang pengarah era itu, Allahyarham Hussein Haniff dan filem-filem arahannya.

Tidak dinafikan Hussein sinonim dengan sikap keras kepala, menentang arus dan sukar untuk bekerjasama melainkan dengan beberapa orang yang ‘sekepala’ dengannya.

Beliau dikategorikan sebagai seorang perfectionist. Sikap non-conformist Hussein ini dianggap ‘gila’. Ditambah lagi dengan hubungan kurang mesra beliau dengan wartawan ketika itu.

Aku ingin nyatakan berdasarkan pengalaman peribadi pernah aku lalui sejak aku menduduki kerusi pengarah, sebenarnya attitudes, perangai dan sikap seperti ini sama ada disedari atau tidak ada pada semua pengarah filem.

Cara luahan dan manifestasi attitudes dan sikap ini berbeza-beza di antara seorang pengarah dengan seorang pengarah yang lain.

Pengarah filem silih berganti, datang dan pergi dan pasti attitudes ini akan terus dikitar semula. Kitaran ini terus berulang kerana attitudes atau sikap sebegini seakan menjadi perangai universal hampir semua pengarah filem seantero dunia tanpa mengira negara dan bangsa. Sikap ini wujud sejak kerjaya sebagai pengarah filem mula wujud seiring dengan kewujudan satu cabang seni baharu bernama filem yang dimulakan oleh Lumiere Brothers pada 1896.

Persoalannya ialah bila, di mana dan siapakah pengarahnya yang menzahir dan menganuti attitudes atau sikap sedemikian. Peluang untuk bersikap ‘kegilaan’ ini terbuka kepada sesiapa sahaja yang bergelar pengarah filem atau sutradara. ‘Kegilaan’ ini dikenali sebagai eccentricity.

Filem talkie atau filem bersuara pertama dunia dihasilkan pada 1927 berjudul The Jazz Singer, sebuah filem terbitan syarikat Warner Bros, bergenre muzikal arahan Alan Crosland (1894-1936). Kejayaan komersial filem ini menamatkan era filem bisu yang dimulakan 31 tahun sebelumnya oleh Lumiere Brothers pada 1896.

Bermula dengan kejayaan filem The Jazz Singer, industri perfileman dunia memerlukan lebih ramai pengarah filem untuk menduduki kerusi pengarah. Seiring dengan permintaan tinggi mengisi kerusi pengarah, ‘kegilaan’ esentrik kesenimanan seseorang pengarah filem turut perlu dilayan oleh syarikat-syarikat produksi.   

Mulai minggu ini aku ingin berkongsi cerita tentang ‘kegilaan’ dan eccentricity seorang pengarah filem masa kini. Era zaman langit terbuka sekarang dengan segala kemajuan dan kecanggihan teknikal pembikinan filem membolehkan pengarah ini melayan ‘kegilaan’ berkaryanya sehingga ke peringkat paling maksima setakat ini. 

Siapakah pengarah yang aku maksudkan ini? Pengarah ini bernama Ilya Andreevich Khrzhanovsky, lebih dikenali Ilya Khrzhanovsky.

Berikut adalah latar belakang ringkas beliau. Dilahirkan pada 1975 di Moscow, Rusia. Kini baru berusia 40 tahun. Bapanya, Andrei Khrzhanovsky (1939), seorang pengarah filem animasi tersohor Russia.

Ilya Khrzhanovsky menuntut di Bonn Academy of Fine Arts (1992–1993) dan di All-Russian State Institute of Cinematography (1998).

Antara 1998 - 2002, Khrzhanovsky bertugas sebagai pengarah dan penerbit filem-filem iklan. Beliau juga merupakan penerbit bertanggungjawab menerbitkan projek siri TV untuk Rusia TNT Channel TV  - The List of Lovers of the Russian Federation. Pada 2003, projek ini menjadi sebahagian daripada program Berlin International Film Festival, serta lain-lain festival filem Rusia dan antarabangsa.

Ketika berumur 25 tahun, Khrzhanovsky mengarah filem pertamanya berjudul Chetyre atau 4 (2005).

Filem ini memenangi dua anugerah di Rotterdam International Film Festival, Belanda. Beliau berjaya merangkul anugerah Pengarah Terbaik di Buenos Aires International Festival of Independent Cinema dan hadiah Grand Jury sebagai Pengarah Baru Terbaik di Seattle International Film Festival.

Filem sulungnya ini telah dimasukkan ke dalam program rasmi lebih daripada 50 festival filem antarabangsa.

Di antaranya, Venice Film Festival, Rotterdam International Film Festival, Los Angeles Film Festival, Seattle International Film Festival dan Tribeca Film Festival.

Filem 4 ini turut diedarkan di United Kingdom, Perancis, Itali, Belanda, Belgium, Amerika Syarikat dan negara-negara Scandinavia dan juga Asia Selatan.

Filem 4, ini mencetuskan kontroversi di Rusia kerana naratif filem ini didakwa oleh Kementerian Kebudayaan, Rusia memberi gambaran buruk tentang kehidupan rakyat Rusia kepada dunia. Ironinya, kementerian ini juga membiayai separuh daripada kos pembikinannya.

Filem ini mengisahkan tentang tiga watak secara kebetulan bertemu di sebuah bar. Sambil minum dan mabuk mereka berbual tentang diri dan profesi masing-masing. Sebenarnya mereka menyamar dan mereka-reka cerita semata-mata tanpa disedari oleh sesama mereka.

Watak Oleg, seorang peniaga daging menyamar dan mengaku bertugas sebagai pegawai khas di pejabat Presiden.

Watak Marina menyamar sebagai eksekutif periklanan bagi syarikat Jepun mempromosikan gajet yang boleh menghilangkan stres yang dihidapi oleh sesiapa sahaja.

Marina sebenarnya seorang pelacur. Sementara watak Volodya pula menyamar sebagai seorang pakar genetik yang terlibat dalam program menghasilkan klon secara besar-besaran. Volodya sebenarnya hanya seorang piano tuner.

Melalui ketiga watak ini, Khrzhanovsky membogelkan kebobrokan yang berlaku di peringkat pemimpin dan rakyat negaranya. Ada juga pihak menuduh Khrzhanovsky memberi Rusia imej tidak baik di luar negara semata-mata untuk mendapatkan pujian, anugerah dan pembiayaan untuk projek-projek filemnya akan datang.

Walau apa pun tanggapan pihak kerajaan dan media Rusia, Khrzhanovsky terus mendapat perhatian daripada penerbit dan penganjur festival filem dunia. Selepas kejayaannya dengan filem 4, Khrzhanovsky mendapat peluang mengarah filem berjudul Dau pada 2006.

Filem ini merupakan salah satu projek terbesar, ‘gila’ dan paling kontroversi dalam sejarah sinema Rusia setakat ini.

Filem ini mengisahkan kehidupan seorang pakar teori fisik Rusia dan juga pemenang Hadiah Nobel bernama Lev Davidovich Landau (1908-1968), berbangsa Yahudi kelahiran Azerbaijan.

Beliau juga dikenali di kalangan pelajar dan pengagumnya dengan nama Dau yang menjadi tajuk filem kedua arahan Khrzhanovsky ini.

Kajian Landau mengubah dunia mekanik kuantum dengan penemuan baharunya - superfluidity and quantum thermodynamics atau kebendaliran melampau/ keadizaliran dan termodinamik kuantum.

Beliau juga adalah penulis risalah penentangan terhadap Stalin bertarikh tahun 1938 ketika peristiwa The Great Purge. Risalah tersebut hanya didedahkan kepada umum melalui laporan oleh KGB pada 1991.

Apa yang ‘gila’ tentang filem Dau, arahan Khrzhanovsky ini? Berikut adalah back story atau latar belakang produksi ini sebelum aku menceritakan lebih terperinci lagi minggu depan.

Top of Form

Persediaan pra-produksi penggambaran filem ini bermula pada 2006. Penggambaran sebenar bermula pada 2008 dan berlangsung selama tiga tahun. Tayangan perdana dunia filem Dau dijangka bakal diadakan di Cannes Film Festival 2012 tetapi terpaksa dijadualkan semula kepada Mei 2014.

Tetapi sehingga Oktober, 2015, filem Dau masih dalam pasca produksi. Ketika artikel ini aku tulis Dau sedang dalam proses suntingan di studio suntingan 100 Piccadilly, London. Apa ‘kegilaan’ sebenarnya terjadi kepada produksi filem Dau arahan Illya Khrzhanovsky ini?

Kita sambung minggu depan, insya-ALLAH.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...