Ahad, 30 Ogos 2015

Filem-filem Cathay Keris & MFP – Apa bezanya?

TAHUN 1964 merupakan masa paling bermakna dalam proses permulaan aku mengenali apa itu filem. Berusia 10 tahun dan di darjah 4 ketika itu, aku menonton dua filem Melayu ketika menyambut hari raya.

Aku bersama rakan-rakan sekampung telah berpeluang menonton filem Air Mata Duyung arahan M Amin dan dibintangi oleh Nordin Ahmad dan Suraya Harun semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Ketika menyambut Hari Raya Aidiladha pula kami menonton filem Dua Pendekar arahan Hussein Haniff. Watak hero diperankan oleh Yusof Latif sebagai Adam. Salleh Melan membotakkan kepalanya untuk memerankan watak jahat atau crook, Awang Lekiu. Sementara heroinnya, Roseyatimah sebagai Kenanga.

Kedua filem ini aku tonton di panggung Cathay, Melaka. Moga rakaman pengalaman peribadi first hand yang aku pernah lalui ini boleh memberi sumbangan kecil membantu pelajar, pengkaji dan peminat filem Melayu dan Malaysia generasi sekarang serta akan datang untuk mengetahui secebis sejarah filem-filem Melayu era 60-an.

Dalam artikel sebelum ini aku menyatakan aku lebih banyak terdedah kepada filem-filem terbitan syarikat Cathay Keris berbanding filem-filem dari studio Malay Film Productions, Shaw Brothers, Jalan Ampas, Singapura.

Ini kerana hampir kesemua filem terbaru terbitan Cathay Keris ditayangkan di panggung Cathay Melaka secara first run berbanding filem-filem terbaru terbitan Malay Film Productions yang lazimnya ditayangkan lewat sebulan di Panggung Lido, Melaka.

Di kesempatan ini aku mahu menceritakan perbezaan aku rasai dalam menikmati filem hasil terbitan dua studio gergasi di Singapura ini ketika era kegemilangan mereka. Pandangan ini berdasarkan pengamatan dan pengalaman aku lalui secara peribadi.

Bukannya satu pandangan terhasil daripada penyelidikan kajian berbentuk akademik dan ilmiah. Coretan ini adalah sebahagian daripada sejarah hidup pernah aku lalui dalam konteks menonton filem-filem Melayu dan pengaruhnya kepada diri aku seiring dengan perkembangan budaya popular atau pop culture dunia yang mendasari naratif dan penghasilan filem Melayu di Singapura di era 60-an.

Pandangan dan cita rasa peribadi aku ini adalah daripada kaca mata seorang kanak-kanak berusia 10 tahun. Cetusan ini lahir di usia aku masih mentah, naif dan jahil tentang filem serta proses penghasilan sesebuah karya seni bernama filem. Bahasa mudahnya  - ketika aku masih buta filem.

Aku merasakan filem-filem keluaran studio Malay Film Productions agak kurang adventurous berbanding filem keluaran Cathay Keris. Perbezaan paling jelas kepada aku ketika itu ialah hampir kesemua set penggambaran kebanyakan filem terbitan Malay Film Productions banyak dibina dan berlegar dalam studio sahaja. Baik untuk filem-filem bergenre purba mahupun genre drama moden.

Berbeza dengan filem-filem terbitan Cathay Keris yang banyak melakukan penggambaran di lokasi luar. Sama ada untuk filem purba apatah lagi filem moden dan kontemporari. Hampir kesemuanya menggunakan lokasi asli dan outdoor.

Di Cathay Keris penggambaran melibatkan set dalaman istana sahaja banyak dilakukan di dalam studio. Selalunya, aku perhatikan babak-babak final showdown - klimaks pertarungan di gelanggang antara hero dan crook dilakukan dengan bahagian depan set istana dibina di lokasi luar. Pada aku ini merupakan perbezaan paling ketara yang memberi kesan kepada selera aku menonton secara peribadi.

Filem-filem keluaran Cathay Keris juga mengetengahkan wira atau hero lebih macho dan berperwatakan penuh kejantanan seperti Nordin Ahmad. Pelakon watak jahat atau crook pula lebih brutal seperti Salleh Melan, Mahmud Jun dan A Rahim.

Di minda aku terpahat imej seorang hero filem Melayu mesti seperti Nordin Ahmad – rugged, berani, tangkas dan tahan lasak. Inilah kesan visual yang berjaya dibentuk dan dibina oleh pengarah-pengarah studio Cathay Keris seperti M Amin dan Hussein Haniff.

Aku seronok menonton babak pergaduhan antara hero dengan crook. Di usia itu kepada aku jalan cerita sesebuah filem bukan elemen penting. Aku cuma mahu berseronok menonton wayang di panggung wayang. Lagi banyak babak aksi gaduh dan lawan lagi aku suka.

Filem pertama aku tonton di panggung wayang ialah Chuchu Datok Merah (1963) arahan M Amin. Diikuti filem Air Mata Duyung juga arahan M Amin. Kedua-dua filem ini watak heronya diperankan oleh Nordin Ahmad.

Tetapi filem yang benar-benar meninggalkan impak dan paling terkesan sehingga menukar cara aku melihat dan cuba memahami apa itu filem ialah filem Dua Pendekar (1964) arahan Hussein Haniff.

Setakat 1964, aku belum berpeluang menonton satu pun filem terbitan Malay Filem Productions di panggung. Seingat aku, filem terbitan Malay Film Productions yang pernah aku tonton cuma Panggilan Pulau (1954) arahan S Ramanathan ketika disiarkan RTM pada 1963, beberapa bulan selepas siaran televisyen dilancarkan di Malaysia. Itulah filem pertama terbitan Malay Film Productions dan filem pertama lakonan P Ramlee aku tonton.

Aku hanya lebih mengenali P Ramlee, lewat lagu-lagu popular nyanyiannya yang sering berkumandang menerusi siaran radio Malaysia dan Singapura ketika itu.

Berbalik kepada filem Dua Pendekar, aku dapati filem ini sungguh berlainan berbanding dua filem Melayu Chuchu Datok Merah dan Air Mata Duyung yang pernah aku tonton dan beberapa filem Melayu lama terbitan Malay Film Productions tayangan di televisyen Malaysia ketika itu.

Filem Dua Pendekar memberi satu kelainan yang amat sukar aku jelaskan. Timbul rasa kagum dan teruja bila melihat babak-babak yang belum pernah aku lihat lewat filem-filem Melayu lain sebelum itu.

Paling meninggalkan kesan dan mengagumkan aku ialah babak watak Adam, diperankan oleh Yusof Latiff (aku lebih seronok jika Nordin Ahmad membawa watak hero ini) dengan tangan diikat dan ditarik dalam hujan lebat melalui lereng bukit untuk dibawa ke puncak tempat penyeksaan oleh Awang Lekiu, diperankan oleh Salleh Melan.

Aku terpukau dan terpaku melihat visual yang terpancar di layar lebar. Macam-macam persoalan menjelma dalam mindaku - minda seorang anak kecil berusia 10 tahun ketika itu. Aku mula berfikir macam mana dia orang buat babak-babak tersebut dengan hujan lebat.

Tidak berupaya mindaku - seorang budak kecil 10 tahun memikirkannya. Babak-babak itu berjaya membuat aku merasai kesakitan dan kesengsaraan sedang dirasai oleh watak Adam. Pada aku suasana yang terpancar di layar lebar itu seperti hidup dan sungguh real!

Dalam kenaifan tanpa sebarang pengetahuan dan ilmu filem, Dua Pendekar memukau aku dengan bentuk visual dibangunkan dalam bingkai empat segi yang belum pernah aku lihat dalam filem-filem Melayu lain sebelumnya.

Sehingga sekarang visual dan sudut-sudut – angle dihasilkan oleh Hussein Haniff bagi menggambarkan terseksanya Adam ketika dan selepas hujan lebat diikat pada roda kereta lembu di tengah panas terik di atas puncak bukit masih terkesan kepada aku sehingga sekarang.

Selepas aku mempelajari dan ada ilmu filem serta terlibat dalam industri filem baru aku mendapat jawapan kenapa dan bagaimana kelainan filem Dua Pendekar meninggalkan impak dan kesan mendalam kepada diriku.

Beberapa minggu lalu aku ada membuat kenyataan melalui kolum ini mengenai filem arahan pengarah manakah aku tonton ketika menyambut hari raya 50 tahun lalu berjaya menyemai benih cita-cita menjadi seorang filmmaker dan pengarah filem pada diri aku?

Pastinya, pengarah yang menyemaikan dan menjadi inspirasi aku meminati filem sehingga menjadi seorang pengarah dan filmmaker ialah Allahyarham Hussein Haniff. Alfatihah buat rohnya.

Ahad, 23 Ogos 2015

Aku graduan filem lulusan Cathay Melaka

PENGALAMAN pertama kali menonton filem Chuchu Datok Merah arahan M Amin di panggung Cathay Melaka bersama arwah bapaku pada 1963, membuat aku mula menjadi pencandu wayang seawal usia 9 tahun.

Tetapi peluang menonton wayang di panggung terhad buat diri aku yang masih bersekolah rendah dalam darjah tiga ketika itu. Ditambah lagi dengan jarak rumah dan kampung aku terletak jauh dari bandar Melaka.

Boleh dikatakan hampir kesemua keluarga rakan sebaya di sekolah dan sekampung aku tidak meletakkan aktiviti menonton wayang di pawagam sebagai satu kegiatan sosial keluarga. Konsep ibu bapa meluangkan masa dengan anak-anak belum ada lagi dalam kamus kehidupan orang-orang Melayu di kampung dan di luar bandar ketika itu.

Apatah lagi aku yang ketika itu duduk di bawah jagaan arwah datuk dan nenek sedangkan keluargaku bermastautin di Singapura kerana bapaku bekerja di sana.

 Pada tahun akhir 50-an dan awal 60-an, orang Melayu masih dibelenggu kemiskinan. Pada 1963, Tanah Melayu atau Malaya baharu 7 tahun merdeka daripada penjajahan British.

Ketika itu, negara kita masih merupakan negara pertanian di bawah pimpinan Almarhum Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri pertama. Kepesatan hidup rakyat tidak sekalut sekarang.

Masih relaks serta bergerak perlahan dan tenang. Mungkin sebab itu agaknya lambang parti Perikatan yang memerintah ketika itu ialah kapal layar - belayar di laut sambil dihembus angin sepoi-sepoi bahasa. (Perikatan bertukar menjadi Barisan Nasional pada 1974 selepas peristiwa 13 Mei 1969).

Kesimpulannya, aktiviti berkaitan seni dan hiburan seperti filem bukan keutamaan kepada masyarakat Melayu di luar bandar. Walaupun televisyen mula diperkenalkan pada 1963, kemampuan memiliki peti televisyen di kalangan orang Melayu sangat terbatas.

Selain kekangan ekonomi, masih banyak lagi kampung di luar bandar belum upaya nikmati elektrik.

Dalam kalangan rakan-rakan sekolah dan sedarjah pun hampir tiada berminat dengan filem. Aku beruntung kerana belajar di sekolah rendah aliran Inggeris, Alor Gajah English School di mana aku berpeluang berinteraksi dengan rakan bangsa Cina dan India.

Aku dapati rakan-rakan Cina lebih berminat bercerita tentang filem terbaharu terutamanya filem-filem Barat. Mereka juga punya keupayaan kewangan untuk menonton filem di pawagam.

Selepas pengalaman pertama kali menonton filem Chuchu Datok Merah di panggung Cathay Melaka aku mula berani pergi ke bandar Melaka untuk menonton wayang.

Bersama seorang rakan Cina sedarjah bernama Fang Kee Kuan, kami sering ke bandar Melaka untuk menonton. Keluarga rakan aku ini menjalankan perniagaan kedai kopi (sekarang dikenali sebagai kopitiam) di pekan Alor Gajah.

Aktiviti ini kami lakukan dari 1963 sehingga 1966 sebelum kami melangkah ke sekolah menengah. Selalunya dengan berbekal wang dikumpul daripada duit saku harian sekolah, kami akan naik bas bertambang 25 sen ke bandar Melaka pada sebelah tengah hari selepas sekolah untuk tonton wayang. Panggung kami tuju pastinya panggung Cathay.

Kenapa panggung Cathay menjadi pilihan kami? Pada era 60-an, panggung-panggung kepunyaan syarikat Cathay memberi kemudahan bagi pelajar sekolah rendah dan menengah membeli tiket melalui sistem dikenali sebagai concession ticket for school children.

Kemudahan dan keistimewaan ini tidak terdapat di panggung-panggung Shaw Brothers.

Kami hanya perlu membeli tiket kelas tiga berharga 65 sen dan kemudian membawa tiket tanpa nombor tempat duduk itu ke kaunter tiket kelas pertama berharga RM1.25 untuk mendapatkan nombor tempat duduk. Senang cerita - beli tiket kelas tiga tapi menonton di kelas pertama. Memang berbaloi!

Dengan penjimatan melalui sistem concession ticket ini membuka peluang aku menonton banyak filem Barat yang ditayangkan di panggung Cathay Melaka.

Tidak dapat aku lupakan dengan hanya tiket berharga 65 sen untuk pertama kalinya aku berpeluang menonton filem Perancis, Any Number Can Win (1963) arahan Henri Verneuil (1920-2002) dan dibintangi Alain Delon.

Itulah pertama kali aku mengenali pelakon Alain Delon. Satu nama besar dalam filem keluaran Perancis dan Hollywood selain dikenali ikon dalam dunia fesyen dan produk kosmetik lelaki era 80-an hingga sekarang.

Filem Any Number Can Win dalam bentuk hitam putih dan bidang luas ini diadaptasi daripada novel The Big Grap karya John Trivian sangat meninggalkan kesan kepada aku.

Filem ini mengisahkan rompakan dilakukan sekumpulan bekas banduan di satu kasino di Cannes.

Paling aku ingat sehingga sekarang babak ratusan kepingan wang kertas hasil rompakan bertabur dalam kolam renang yang gagal dimiliki Alain Delon dan kumpulan perompak.

Satu lagi filem aku tonton dengan concession ticket yang meninggalkan kesan mendalam kepada aku ialah filem The Naked Prey (1966) arahan dan lakonan Cornel Wilde (1912-1989). Filem dalam bentuk warna dan layar lebar ini aku tonton ketika di darjah 6 pada 1966.

Filem ini mengisahkan seorang pemandu pelancong rombongan safari kulit putih British terpaksa menebus kesalahan dan kebiadaban dilakukan oleh sekumpulan pelancong bangsanya terhadap pantang-larang dan adat-resam kaum Asli Afrika ketika sertai rombongan pelancongan safari di benua tersebut.

Semua pelancong kulit putih dalam kumpulan itu dibunuh kaum Asli kecuali pemandu pelancong yang diperankan Cornel Wilde. Dia diberi peluang menyelamatkan diri dengan syarat dia mesti lari dalam keadaan bogel daripada buruan kaum Asli itu sehingga dia berjaya sampai ke kubu askar British.

Filem Any Number Can Win dan The Naked Prey ini walau sudah berusia hampir 50 tahun tetapi masih boleh ditonton melalui Youtube.

Panggung Cathay Melaka juga sering menawarkan pakej menonton filem-filem yang memenangi anugerah Academy Award kepada pelajar-pelajar sekolah luar bandar. Aku dan murid-murid lain dibawa dengan bas-bas sewa khas oleh guru-guru kami untuk program menonton filem-filem tersebut.

Melalui pakej ini, ketika di darjah 6 aku berpeluang menonton filem ikonik dan evergreen - The Sound Of Music (1965) arahan Robert Wise (1914-2005).

Filem ini memenangi anugerah Academy Award 1966 untuk Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik.

Mulai 1967, aku melangkah ke sekolah menengah. Aku bersekolah menengah di High School, Melaka dan duduk di asrama.

Suasana baharu ini makin membuka peluang luas untuk aku meneruskan minat menonton wayang. Sekali lagi panggung Cathay Melaka menjadi ‘sekolah filem’ tidak rasmi aku dengan kemudahan concession ticket sehingga tamat sekolah menengah pada 1973.

Kesempatan bersekolah dan duduk di bandar ini aku manfaatkan untuk menonton apa juga filem yang ditayangkan di pawagam-pawagam di bandar Melaka ketika itu.

Aku makin menjadi pencandu wayang. Hujung minggu jika aku tidak balik ke kampung, pasti aku akan menonton tayangan murah - cheap matinee.

Filem-filem cheap matinee ini adalah filem-filem lama yang telah ditayangkan 3 tahun atau lebih sebelumnya. Tayangan murah ini lazimnya pada pukul 10 pagi setiap Sabtu dan Ahad. Harga tiket tayangan cheap matinee memang murah. Dengan hanya membayar 40 sen penonton boleh menonton di kelas pertama.

Ketika menonton tayangan cheap matinee aku sering mendapat peluang berasa keenakan dan keselesaan menonton di kelas khas - circle seats. Harga tiket kelas khas - circle seats untuk tayangan hari biasa ialah RM2.50 tetapi untuk cheap matinee cuma 65 sen!

Seingat aku filem-filem cheap matinee yang aku tonton di panggung Cathay Melaka adalah filem-filem aksi B-Grade hitam putih dan warna dari Jepun dan Itali yang dialih bahasa ke bahasa Inggeris.

Hasil menonton filem sambil belajar di ‘sekolah filem’ tidak rasmi ini membenihkan cita-cita dalam diriku untuk menjadi seorang filmmaker dan pengarah filem.

Klimaksnya, aku lulus ‘graduan filem’ dari ‘sekolah filem’ Cathay Melaka pada 19 Februari 1986. Pada tarikh itu berlangsung tayangan perdana filem sulung arahan aku, Kembara Seniman Jalanan di Cathay Melaka di bawah naungan Ketua Menteri Melaka ketika itu, Datuk Sri Rahim Thamby Chik, sebelum tayangan seluruh negara pada 27 Februari 1986.

Malam bersejarah dalam hidup aku itu juga kali terakhir aku tengok wayang di panggung Cathay Melaka. Aku duduk di kelas khas, circle seats - percuma!

Sungguh banyak kenangan manis aku dengan pawagam ini. Cathay Melaka, jutaan terima kasih!

Ahad, 16 Ogos 2015

Cathay Melaka: Sekolah filem pertamaku

SEMALAM berakhirlah Syawal, ini bererti tamatlah perayaan menyambut Aidilfitri selama sebulan menurut budaya dan kelaziman orang-orang Melayu – puasa sebulan, raya pun sebulan.

Aku akan menyambung menulis kisah menyambut dan meraikan hari raya pada era 60-an walaupun hari ini kita sudah berada pada bulan Zulkaedah 1436.

Aku ada mencatatkan sebelum ini, pada era 60-an walaupun aktiviti menonton filem di pawagam cuma mampu dilakukan dua kali setahun ketika Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha tetapi peluang terhad ini tanpa aku sedari menyemai suburkan minat aku kepada filem.

Menyambut hari raya dengan ritual menonton wayang ini membuka ruang untuk aku mengenali nama pelakon-pelakon dan pengarah-pengarah filem Melayu ketika itu.

Di antara nama pelakon hero filem Melayu yang aku mula kenali selain P Ramlee ialah Nordin Ahmad, Yusuf Latif, Jins Shamsuddin dan Aziz Jaafar. Sementara heroin-heroin filem Melayu yang aku berpeluang menonton filem-filem lakonan mereka di antaranya ialah Latifah Omar, Roseyatimah, Suraya Harun, Saadiah, Mariani dan Sarimah.

Nama-nama pengarah filem Melayu yang mula aku kenali ialah P Ramlee, M Amin dan Hussain Hanif.

Aku lebih terdedah kepada filem-filem terbitan syarikat Cathay Keris berbanding dengan filem-filem dari studio Malay Film Productions, Shaw Brohers, Jalan Ampas, Singapura.

Pada pendapat aku keadaan ini terjadi mungkin kerana sistem tayangan yang berbeza bagi filem-filem keluaran kedua studio tersebut di pawagam-pawagam di bandar Melaka ketika era 60-an. Maksud aku, filem-filem Melayu ditayangkan terbahagi kepada first run film dan second run film.

Apakah perbezaan filem-filem first run dengan second run?

First run film ialah filem-filem paling terbaharu dan terkini ditayangkan serentak di panggung-panggung di Singapura, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kota Bharu, Kuantan, Melaka dan di bandar-bandar utama lain di Malaysia ketika itu.

Filem-filem second run adalah filem-filem first run yang telah tamat tayangannya di panggung wayang di bandar-bandar utama dan seterusnya ditayangkan pula di panggung wayang di bandar-bandar kecil. Selalunya sebulan selepas tayangan first run.

Di bandar Melaka hanya filem-filem first run keluaran syarikat Cathay Keris sahaja sering ditayangkan di panggung wayang Cathay di Jalan Munshi Abdullah, terletak bersebelahan jambatan merentangi Sungai Melaka.

Hampir kesemua filem Melayu keluaran Malay Film Productions, Shaw Brothers ditayangkan di panggung Lido, Melaka merupakan filem-filem second run.

Penonton filem Melayu di bandar Melaka berpeluang menonton filem first run terkini dan filem second run setiap bulan. Kenapa terdapat pola penontonan begini?

Panggung Cathay, Melaka pada awal 60-an merupakan panggung wayang terbaik dari segi keselesaan dengan berhawa dingin dan kedudukannya yang strategik – bertentangan dengan pusat hentian bas dan teksi.

Kelebihan ini bertahan sehinggalah awal 90-an sebelum ia ditutup. Atas sebab-sebab ini filem-filem Melayu paling terkini keluaran Cathay Keris ditayangkan di panggung ini.

Berbeza dengan filem-filem keluaran Malay Film Productions, Jalan Ampas yang ditayangkan di panggung Lido, Melaka. Kesemuanya adalah filem-filem second run. Ini berlaku disebabkan panggung Lido tidak mempunyai ciri-ciri terkini seperti panggung Cathay. Masih berkipas angin tanpa kelas khas - circle seats. 

Panggung-panggung Shaw Brothers setanding dengan panggung Cathay di Melaka ketika itu ialah panggung Rex dan Federal. Tetapi kedua panggung ini cuma menayangkan filem-filem Hollywood, Hindustan dan Hong Kong sahaja.

Seingat aku hanya satu sahaja filem Melayu pernah ditayangkan di panggung Federal, Melaka iaitu filem Raja Bersiong (1968) arahan Jamil Sulong dalam bentuk warna dan bidang luas berdasarkan skrip tulisan Almarhum Tengku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama.

Tidak silap aku, cuma inilah satu-satunya filem Melayu first run keluaran Malay Film Productions ditayangkan di pawagam kepunyaan Shaw Brothers di Melaka ketika itu.

Studio Malay Film Productions, Jalan Ampas tutup buat selama-lamanya selepas filem Raja Bersiong, berskala epik ini gagal menghasilkan kutipan pecah panggung.
Begitulah secara ringkasnya senario aktiviti menonton filem dan pawagam-pawagam yang terdapat di bandar Melaka di era 60-an.

Pengalaman pertama aku menonton wayang di pawagam bukannya pada hari raya tetapi pada tayangan hari biasa filem first run pada 1963 ketika aku di sekolah rendah dalam darjah tiga.

Panggung Cathay, Melaka merupakan panggung wayang pertama aku menjejakkan kaki buat pertama kalinya ke dalam bangunan dipanggil panggung wayang gambar. Sememangnya aku sangat teruja dan bersemangat untuk berasa pengalaman baharu – tengok wayang di panggung wayang!

Pertama kali menonton filem di pawagam Cathay ini, aku dibawa oleh arwah bapa aku ketika beliau balik bercuti di kampung dari Singapura.

Secara peribadi aku menganggap pawagam Cathay, Melaka adalah sekolah filem pertama aku. Di pawagam inilah aku didedahkan kepada apa itu filem, baik filem Melayu atau filem Barat dan Hollywood.

Kami menonton filem Chuchu Datok Merah (1963) arahan M Amin (Allahyarham). Filem ini dibintangi oleh Nordin Ahmad, Latifah Omar, Roseyatimah dan A Rahim. Kami menonton bukan pada hari raya.

Filem ini merupakan filem tayangan first run. Memori pertama kali menonton wayang di panggung 50 tahun lalu ini melekat kemas di minda aku sehingga hari ini.

Aku dibawa oleh arwah bapaku menonton di kelas khas – circle seats. Terkejut aku bila lampu dipadamkan sebelum tayangan bermula. Pelajaran pertama – menonton wayang mesti dalam gelap!

Filem Chuchu Datok Merah diproduksikan dalam bentuk hitam putih adalah pengalaman pertama aku menonton filem di layar lebar yang berbeza dengan filem-filem propaganda Malayan Film Unit yang sering ditayangkan di padang sekolah di kampung aku. Tayangan percuma yang dikenali sebagai wayang pacak.

Aku diresapi oleh rasa takut, cemas dan seram menonton adegan-adegan Wan Kuntum diperankan oleh Latifah Omar setelah terminum air akar kayu beracun mencari suaminya, Awang Janggut yang diperankan oleh Nordin Ahmad. Sehingga mereka berdua mati ditelan oleh air pusing di lubuk puaka sangat terkesan kepada aku.

Pada aku kesan ditimbulkan oleh lakonan Latifah Omar dan Nordin Ahmad amat realistik, pergerakan kamera, pencahayaan walaupun dalam bentuk hitam putih yang menyeramkan dengan dilatari muzik suspens membuat aku teringat-ingat urutan adegan-adegan tersebut walaupun setelah keluar dari panggung.

Poster filem Chuchu Datok Merah dengan reka bentuk visual memaparkan Nordin Ahmad dan Latifah Omar terapung-apung ditelan pusaran air dalam lubuk puaka terbentang besar di luar panggung sungguh menarik perhatian untuk memanggil penonton ke panggung.

Ditambah dengan kesan efek pada akhir filem ini, di mana Wan Kuntum dan Awang Janggut terjatuh daripada jambatan lalu ditelan oleh lubuk puaka. Efek-efek ini dihasilkan ketika dunia belum tahu lagi apa itu CGI. Adegan-adegan ini meninggalkan kesan penuh ketakjuban kepada aku - seorang kanak-kanak berusia 9 tahun ketika itu.

Bermula saat itu aku menyimpan tekad mahu selalu menonton wayang kerana kepada aku wayang adalah magik!

Tidak aku nafikan panggung Cathay, Melaka banyak menyumbang kepada proses aku mengenali apa itu filem sehingga aku berjaya menjadi seorang filmmaker dan pengarah filem.

Minggu depan aku akan sambung lagi kisah sumbangan sekolah filem awal aku – panggung Cathay, Melaka kepada kerjaya aku dalam filem. Insya-ALLAH.

Ahad, 9 Ogos 2015

Menonton Wayang di Hari Raya

DI awal dan akhir era 60-an penonton filem Melayu yang tinggal di kawasan luar bandar kebiasaannya hanya berpeluang menonton di pawagam ketika menyambut hari raya sama ada Aidilfitri atau Aidiladha.

Keadaan ini berlaku kerana jarak antara pekan dan bandar utama yang ada pawagam dengan kampung-kampung yang agak jauh. Ditambah dengan keadaan ekonomi dan tuntutan hidup yang tidak membolehkan mereka berbelanja mewah, menonton wayang merupakan aktiviti istimewa untuk anak-anak muda ketika meraikan sambutan hari raya. Menonton wayang tidak boleh dilakukan sebagai aktiviti sosial harian yang lazim dan mudah seperti sekarang.  

Kali ini aku ingin menceritakan suasana dan pengalaman menyambut hari raya dengan menonton wayang di pawagam pada era 60-an. Ia sebuah pengalaman unik yang pasti tidak akan berulang lagi kerana gaya hidup terkini telah banyak berubah berbanding era 60-an.

Jika pengalaman aku dan rakan-rakan sekampung tengok wayang gambar atau menonton filem sempena menyambut hari raya di era 60-an ini ditulis untuk satu skrip filem pendek, sinopsisnya akan aku hasilkan seperti berikut:-

Sekumpulan budak-budak lelaki berusia awal remaja berpakat untuk ke bandar Melaka untuk tengok wayang sempena menyambut hari raya Aidilfitri selepas berjaya mengumpul duit raya semasa menziarahi rumah-rumah saudara-mara pada hari raya pertama. Rutin wajib tengok wayang di panggung ialah pada hari raya kedua.

Kumpulan budak-budak ini terdiri daripada Abang Long dan Abang Lan. Mereka paling tua berusia 15 tahun. Diikuti oleh Abang Nan,13 tahun, Awang berusia 12 tahun dan paling muda ialah Mamat berusia 10 tahun.  

Dalam kumpulan ini yang lebih tua selalunya bertindak sebagai ketua tidak rasmi. Pastinya Abang Long akan jadi ketua kerana dia bertubuh paling besar di antara mereka. Abang Long dipertanggungjawabkan oleh keluarga masing-masing untuk menjaga keselamatan mereka yang berpangkat adik-adiknya.

Dengan berbaju kemeja, seluar dan kasut baharu serta rambut berjambul remos bersikat rapi dengan minyak rambut Brylcream kecuali si Awang dan Mamat, yang berambut ala Beatle walaupun tidak cukup panjang untuk menutup dahi, mereka amat teruja untuk beraya sakan pada hari raya kedua itu.

Kumpulan budak-budak ini keluar rumah seawal 8.00 pagi. Mereka berjumpa dan berkumpul di kedai Ah Chong; satu-satunya daripada dua kedai runcit di kampung itu. Mereka menunggu bas yang datang dari pekan Tampin untuk ke bandar Melaka. Bas-bas kepunyaan syarikat Tai Lye itu akan  mengambil dan menurunkan penumpang di tepi kedai Ah Chong yang terletak di tepi jalan utama.

Mereka terpaksa keluar awal kerana bas yang tiba selepas pukul 9 pagi di kampung mereka selalunya sudah dipenuhi penumpang dan tidak akan berhenti untuk mengambil penumpang baharu. Bas merupakan pengangkutan utama bagi penduduk pekan dan kampung kerana ramai belum mampu memiliki motosikal atau kereta ketika itu.

Sebaik mereka tiba di depan kedai Ah Chong, kelihatan sudah ramai orang menunggu untuk mendapatkan bas ketika hari raya ini memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Hampir kesemua anak-anak muda dan juga orang-orang dewasa menggunakan bas untuk beraya dan menziarah sanak saudara. Tiga buah bas pertama yang lalu tidak berhenti kerana telah padat dengan penumpang sehingga ada berdiri dan bergayut di pintu.

Sejuk pagi mula bertukar panas dengan panahan cahaya matahari yang makin meninggi.

Akhirnya, setelah hampir pukul 10 pagi baharulah ada bas yang mahu berhenti mengambil penumpang walaupun semua tempat duduk sudah penuh.

Mereka bernasib baik berjaya menaikinya dengan membayar tambang bas 25 sen setiap seorang walaupun terpaksa berdiri sepanjang perjalanan hampir 20 kilometer ke bandar Melaka. Paling penting mereka mesti tiba di bandar Melaka sebelum tayangan pertama wayang
gambar.

Tayangan pertama wayang gambar untuk hari itu bermula pukul 12.30 tengah hari. Ini akan diikuti dengan tayangan pukul 2.30 atau 3 petang. Seterusnya tayangan pukul 6.30 petang dan 9 malam. Kumpulan budak-budak remaja ini hanya dibenarkan oleh keluarga mereka menonton tayangan pada siang hari sahaja. Mereka mesti balik ke rumah sebelum senja.

Sebaik sahaja sampai di panggung, mereka terkejut melihat barisan panjang orang ramai beratur untuk membeli tiket walaupun ketika itu kaunter tiket belum dibuka lagi. Barisan untuk membeli tiket paling murah kelas tiga berharga 65 sen paling ramai yang berbaris.

Kumpulan budak-budak remaja kampung ini berpakat untuk mencuba nasib membeli tiket kelas pertama berharga RM1.25. Nampaknya mereka terpaksa beratur dalam barisan agak panjang juga. Tetapi harapan untuk mendapat tiket kelas pertama ini lebih cerah berbanding dengan tiket kelas tiga tadi.

Ada satu lagi kelas iaitu kelas khas di tingkat atas yang dikenali sebagai circle seats. Tiketnya berharga RM2.80. Tetapi harga tiket ini diluar kemampuan anak-anak remaja ini.

Kaunter tiket dibuka antara setengah jam ke 40 minit sebelum tayangan bermula. Tiket terjual laris bagai pisang goreng panas. Kelihatan beberapa orang pemuda di barisan paling depan membeli tiket dalam jumlah yang banyak.

Di kaunter tiket kelas tiga terdapat juga sekumpulan pemuda membeli tiket dengan jumlah yang banyak sehingga hampir menimbulkan pergaduhan kerana tidak puas hati terpaksa berebut untuk mendapatkan tiket. Berebut-rebut dan bersesak-sesakan – kecoh!

Abang Lan ditugaskan membeli tiket. Sebaik sahaja giliran Abang Lan tiba di kaunter tiket, nyonya penjual tiket  menyatakan tiket sudah habis dijual sambil menggantung papan notis kecil bertulis – sold out!

Mereka berkumpul di tepi tangga menuju ke tingkat atas kelas khas – circle seat. Berbincang apa hendak dibuat kerana tiket sudah habis. Abang Long mencadangkan mereka tengok pertunjukan pukul tiga. Jika semua setuju, mereka perlu bergilir-gilir beratur mulai sekarang untuk menunggu kaunter tiket untuk tayangan pukul 3 petang dibuka.

Tetapi ibu dan bapa Awang dan Mamat arahkan mereka balik selewat-lewatnya pada pukul enam petang. Tayangan pukul tiga selalunya berakhir pukul lima petang. Dengan mengambil kira masa perjalanan balik, mereka hanya akan sampai ke rumah hampir pukul tujuh malam. Awang dan Mamat takut dimarahi oleh bapa dan emak mereka.

Sedang berbincang mereka didatangi oleh salah seorang pemuda yang membeli tiket dengan jumlah yang banyak tadi. Pemuda itu menawar menjual tiket kelas pertama dengan harga RM2 satu untuk tayangan pukul 12.30 tengahari itu.

Rupa-rupanya pemuda-pemuda tadi adalah penjual tiket blackmarket. Abang Long mencadangkan mereka membeli sahaja tiket black market walaupun mahal sikit. Semua setuju kecuali Mamat tidak cukup duit. Mereka perlu buat keputusan segera kerana ramai orang hendak membeli tiket black market dan jualannya sangat laris. Mereka sepakat menyumbang bagi membolehkan Mamat membeli tiket blackmarket. Balik nanti Mamat akan ganti wang yang didahulukan itu.

Akhirnya, mereka berjaya tengok wayang dan sebelum balik mereka pekena rojak dan cendul. Tamatlah satu episod menyambut hari raya bagi anak-anak berusia awal remaja dari pekan kecil Alor Gajah itu.

Sinopsis di atas jika dijadikan skrip filem pendek merupakan pengalaman visual berdasarkan pengalaman yang pernah aku alami. Melalui sinopsis ini aku cuba melahirkan suasana dan ragam orang-orang Melayu menonton filem di pawagam sebagai salah satu kegiatan menyambut hari raya di era 60-an.

Ada dua perbezaan jelas sambutan hari raya dalam konteks menonton filem di pawagam dahulu dan sekarang. Aku lihat sekarang kerjaya penjual tiket blackmarket pupus sama sekali dengan lahirnya konsep Cineplex dengan sistem pembelian tiket secara online.

Kedua, minat orang-orang Melayu menonton filem-filem Melayu di pawagam ketika menyambut hari raya makin berkurangan seiring dengan perubahan masa dan cara hidup.

Apapun, samaada tayangan di pawagam atau melalui televisyen, filem-filem Melayu masih diperlukan bagi melengkapkan ‘juadah’ hari raya selain ketupat, rendang dan lemang.

Ahad, 2 Ogos 2015

Hari raya tengok wayang gambar

PAGI Ahad lepas aku bertemu dengan seorang brother berusia lebih otai daripada aku. Brother otai ini bertanya kenapa sejak kebelakangan ini aku banyak menulis tentang isu dan hal-hal yang ‘berat’. Aku rasa beliau maksudkan tulisan aku mengenai kupasan kertas kerja Allahyarham Dr Anuar Nor Arai dan gagasan tentang Muslim Cinema atau Sinema Islami lewat kertas presentasi Mansor Puteh. Ini adalah pandangan beliau. Aku tidak ada masalah tentang itu.  

Aku terangkan kepada brother ini, aku rasa bertanggungjawab dan perlu menulis isu, perkara atau subjek tersebut untuk menambah pengetahuan ilmu dan informasi kepada penggiat, pembikin, peminat dan paling penting pelajar-pelajar filem kita.   

Tulisan aku mengenai idea dan gagasan Allahyarham Dr Anuar Nor Arai dan Mansor Puteh adalah sebahagian daripada sejarah perkembangan filem Melayu khasnya dan filem Malaysia umumnya.

Beliau meminta aku jangan lupa terus menulis tentang hal-hal berkaitan filem dan dunia hiburan Melayu terutamanya pada tahun 60-an. Pastinya zaman brother ini meniti usia remajanya dan aku menempuhi zaman sekolah rendah.

Era ketika televisyen baharu sahaja diperkenalkan di negara ini. Program-program televisyen berbentuk hitam putih mampu dinikmati hanya melalui dua saluran. Zaman di mana keupayaan seseorang memiliki peti televisyen adalah lambang dan status kemewahan.

Hari ini adalah 17 Syawal. Sejak kecil aku sering mendengar dan sebati dengan ungkapan – ‘kita puasa sebulan, raya pun sebulanlah’. Sepanjang aku ingat itulah budaya dan cara lazim orang-orang Melayu meraikan dan menyambut Hari Raya Aidilfitri sejak dahulu. Sekarang jangka masa sebulan itu dipenuhi pula dengan acara rumah terbuka. Acara yang sering diadakan pada hujung minggu sepanjang bulan Syawal ini.

Mengambil kesempatan sempena lazimnya orang-orang Melayu berhari raya sehingga sebulan, sepanjang Syawal ini aku mahu menulis hal-hal santai dan nostalgik dalam konteks sambutan hari raya era 60-an. Sambutan berhari raya yang ada kaitan dengan budaya menonton filem atau tengok wayang gambar.

Bagaimana orang–orang Melayu terutamanya golongan muda ketika itu menjadikan aktiviti tengok wayang gambar di panggung wayang sebagai salah satu acara perayaan menyambut hari raya yang pernah aku lalui dan alami sendiri – satu pengalaman first hand.

Aku mahu membawa pembaca ke flashback – imbas kembali ke era awal sehingga akhir 60-an bagi menghayati bagaimana sebahagian besar rakyat khususnya orang-orang Melayu meraikan aktiviti menonton wayang ketika menyambut perayaan Aidilfitri dan Aidiladha.

Televisyen hitam putih mula dilancarkan pada 1963 tetapi tidak dapat dinikmati oleh semua lapisan rakyat. Apatah lagi rakyat susah yang duduk di kampung-kampung yang tidak ada bekalan elektrik.

Hanya radio memainkan peranan penting selain akhbar dan majalah sebagai sumber informasi dan hiburan. Media audio dan cetak ini mencorakkan hampir seluruh suasana hidup rakyat selepas merdeka 1957 dan tahun-tahun awal sehingga lewat 60-an.

Kegiatan menonton filem atau istilah era itu ‘tengok wayang gambar’ adalah satu kegiatan budaya yang sangat diraikan – dalam pengertian mudah menonton wayang atau filem ketika itu adalah satu aktiviti istimewa dan penuh bermakna kerana keupayaan menonton filem tidak secanggih dan boleh dilakukan selazim sekarang. Menonton atau tengok wayang gambar Melayu mahupun wayang gambar barat Hollywood dan wayang gambar popular Hindustan merupakan kegiatan sosial istimewa yang eksklusif dan luxury – satu kemewahan.

Bukan semua orang mampu pergi menonton filem atau tengok wayang gambar di panggung. Panggung-panggung wayang gambar hanya terdapat di bandar-bandar utama dan pekan-pekan besar di setiap negeri.

Keadaan ini lebih dirasai oleh rakyat marhaen terutamanya penonton-penonton Melayu. Kelompok penonton ini kebanyakannya duduk di kampung-kampung jauh dari pekan besar atau sederhana besar dan bandar-bandar besar utama.

Sekarang perkataan panggung wayang gambar disebut sebagai pawagam. Perkataan pawagam adalah singkatan daripada perkataan panggung wayang gambar. Perkataan ini diilhamkan dan dipopularkan pada awal 70-an oleh Seniman Agung, P Ramlee!

Seingat aku, aku mula tengok wayang gambar di panggung atau menonton filem di pawagam ketika berumur 10 tahun.

Peluang menonton wayang hanya datang ketika menyambut hari raya sama ada Aidilfitri atau Aidiladha. Aku sememangnya looking forward untuk peluang menonton wayang sebagai salah satu kegiatan wajib menyambut hari raya. Pada hari rayalah aku berpeluang mengikut saudara-saudara aku yang lebih tua pergi menonton wayang di bandar Melaka. Di pekan kediaman kami, Alor Gajah tidak ada dan tidak pernah ada pawagam sehingga sekarang.

Kami hanya ada dua pilihan jika mahu menonton wayang. Sama ada ke bandar Melaka atau ke pekan Tampin. Untuk pengetahuan pembaca terutamanya generasi sekarang, ketika era itu baik filem Melayu mahupun filem-filem popular dari luar terutamanya filem Barat dan Hindustan ditayangkan di panggung-panggung wayang gambar atau pawagam.

Ketika itu belum wujud lagi rangkaian pawagam dikenali sebagai Cineplex. Konsep Cineplex membawa cara penontonan filem gaya terkini dengan tayangan filem dilakukan di beberapa dewan tayangan berkapasiti menampung antara 100 - 200 penonton untuk satu-satu tayangan. Kesemua dewan tayangan ini terletak dalam satu bangunan dan di bawah satu bumbung. Perbezaan paling ketara ialah hampir kesemua kompleks pawagam cineplex berlokasi di mall dan pusat beli-belah di bandar-bandar besar dan utama di setiap negeri di Malaysia.

Di setiap kompleks pawagam cineplex terdapat paling kurang 2 dan paling banyak sehingga 18 dewan tayangan. Cineplex terbesar setakat ini ialah di Mega Mall, Mid Valley, Kuala Lumpur yang menyediakan 21 dewan tayangan.

Tetapi pawagam era 60-an sehingga awal 90-an beroperasi di bawah satu bumbung dan di bangunan tersendiri dengan hanya satu dewan tayangan berkapasiti menampung antara 500 sehingga 800 orang penonton untuk setiap kali tayangan.

Sistem tayangannya pula berbeza sekali. Di era 60an sehingga 90-an, semua pawagam akan menayangkan setiap hari hanya satu tajuk filem sahaja. Selalunya filem ini akan ditayangkan 4 kali tayangan sehari bergantung kepada sambutan penonton.

Untuk filem-filem boxoffice atau filem pecah panggung selalunya diadakan 5 kali tayangan dalam sehari.

Senario ini mula berubah bila dunia memasuki milenium baharu pada 2000 dengan kewujudan konsep cineplex sebagai alternatif kepada tayangan filem cara konvensional di pawagam-pawagam. Setiap cineplex berupaya menayangkan berbagai filem di dewan tayangan berasingan pada satu-satu masa dalam sehari di bawah satu bumbung.

Era 60-an dan aktiviti dua kali setahun menonton filem di pawagam sebagai salah satu acara menyambut hari raya memberi aku peluang menonton filem-filem Melayu dan mengenali nama pengarah-pengarah filem Melayu ketika itu.

Filem arahan pengarah manakah aku tonton ketika menyambut hari raya 50 tahun lalu yang menyemai benih cita-cita menjadi seorang filmmaker?

Minggu depan kita sambung sambil berhari raya lagi, Insya-ALLAH.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...