Ahad, 28 Jun 2015

Sinema Islami dan nilai moral

SEBELUM aku sambung menulis dan menelaah kertas presentasi Mansor Puteh - Muslim Cinema As An Antithesis To Hollywood, aku ingin menceritakan tentang seorang pembaca menghubungi aku memberi respons kepada artikel aku pada minggu lalu.

Menurutnya, isu tentang adegan berkucupan dan bercium mulut dalam filem-filem Melayu pernah cuba dilakukan atau dipopularkan sejak zaman Jalan Ampas, Singapura pada 60-an lagi. Dia berpendapat aku terlepas pandang mengenai isu ini yang menjadi panas ketika itu.

Dalam artikel minggu lalu, aku menyatakan filem-filem Melayu tidak pernah ada adegan bercium sejak dari zaman Jalan Ampas, Singapura sehingga sekarang. Sememangnya tidak ada adegan cium dalam filem Melayu setakat ini yang kita ketahui, tetapi keinginan untuk melahirkan adegan seperti itu pernah berlaku dalam sejarah perkembangan industri filem Melayu.

Ini yang beliau anggap aku terlepas pandang. Aku tidak nafikan kenyataannya itu. Apatah lagi beliau merupakan seorang otai peminat filem Melayu yang lebih otai daripada aku.

Beliau menceritakan tentang kecohnya isu adegan cium mulut yang ingin diselitkan dalam filem hitam putih terbitan Malay Films Productions, Shaw Brothers, Singapore pada 1966 berjudul Jefri Zain - Gerak Kilat, arahan Jamil Sulung.

Filem lakonan Jins Shamsudin sebagai Jefri Zain, si ejen perisik bercorak spy thriller ini mengikut acuan filem-filem siri James Bond lakonan Sean Connery yang menjadi kegilaan satu dunia ketika itu dan sehingga sekarang.

Siri James Bond sememangnya menghidangkan elemen-elemen aksi dan seks sebagai pelaris menarik penonton ke panggung. Acuan serupa digunakan daripada filem James Bond pertama Dr No (1962) arahan Terence Young sehingga siri ke-24 paling terkini, Spectre (2015) arahan Sam Mendes yang akan menemui penonton pada November ini.

Percubaan untuk menyelitkan elemen seks melalui adegan cium dalam filem Jefri Zain - Gerak Kilat menimbulkan berbagai pendapat dan reaksi pro dan kontra diluahkan oleh peminat filem Melayu ketika itu. Kebanyakan penonton Melayu menentang atas dasar memelihara kemurnian budaya dan adat susila bangsa Melayu beragama Islam.

Aku masih ingat isu sensasi adegan cium dalam filem ini akhirnya senyap begitu sahaja. Apa yang jelas kehangatan dan kontroversialnya isu cium ini berjaya membuat filem Jefri Zain - Gerak Kilat meletup dan berjaya membuat kutipan pecah panggung. Satu gimik pemasaran yang berani dan berbaloi.

Tetapi jika difikirkan lebih mendalam lagi berdasarkan kenyataan Mansor Puteh dalam kertas presentasinya mengenai Sinema Islaminya berkaitan aspek moral dalam pembikinan filem negara-negara dunia Islam, banyak perkara dan perlakuan yang cuba ditiru daripada Hollywood bertentangan dengan nilai-nilai akhlak Islam.

Mansor menyentuh perkara paling asas dalam pembikinan sesebuah filem iaitu naratifnya. Apa bentuk nilai moral mahu dilahirkan dan dihasilkan melalui naratif sesebuah filem mengenai kehidupan dan budaya masyarakat penganut Islam oleh pengarahnya yang pastinya beragama Islam.

Apakah nilai-nilai moral yang diwujudkan dalam filem-filem arahan pengarah-pengarah negara-negara dunia Islam ini selari dengan syariat Islam? Atau nilai moral ini adalah fotokopi nilai moral filem-filem Hollywood?

Persoalan-persoalan ini yang dilontarkan oleh Mansor untuk pembikin-pembikin filem negara-negara dunia Islam perlu memikirkan.

Mansor menyatakan lewat kertas presentasinya itu terdapat satu trend yang semakin meningkat di Turki, Algeria, Mesir, Malaysia dan negara-negara bukan Arab lain Islam seperti Pakistan dan Bangladesh di mana semakin banyak usaha melahirkan filem-filem yang menekankan kepentingan memupuk nilai-nilai Islam dan pemaparan cara hidup Islam.

Menurut beliau lagi, ini akan melahirkan sikap baharu bagi menentang arus keghairahan lazim kebanyakan pengeluar dan pengarah-pengarah filem di negara-negara dunia Islam yang selama ini hanya meniru Barat untuk kembali ke pangkuan yang lebih Islamik.

Kenyataan beliau ini diluahkan pada 1999. Kita saksikan trend ini terus berkembang sehingga sekarang. Di rantau ini Indonesia telah mengorak langkah lebih ke depan dan berjaya menghasilkan filem-filem bergenre Islami yang meninggalkan kesan luar biasa dari aspek naratif, penghasilannya dan sambutan penonton.

Filem-filem bergenre Islami dari Indonesia, di antaranya Ayat-ayat Cinta (2008), Perempuan Berkalung Sorban (2009), Sang Pencerah (2010) arahan Harung Bramantyo dan filem arahan pengarah veteran Allahyarham Chaerul Umam, Ketika Cinta Bertasbih (2009) dan filem terakhirnya, Cinta Suci Zahrana (2012) sebelum meninggal dunia pada 2013. 

Paling terkini, filem Haji Backpacker arahan Danial Rifki yang ditayangkan pada penghujung 2014.

Filem tempatan yang membawa unsur-unsur Islami mula diterokai pada 2000 oleh pengarah Eddie Pak menerusi filem Syukur 21. Filem ini juga merupakan filem terbitan sulung syarikat Metrowealth kepunyaan David Teo, produser paling aktif dan produktif menghasilkan filem di negara ini.

Selepas filem Syukur 21, terdapat kekosongan filem-filem bergenre Islami hampir 12 tahun sehingga terhasilnya filem 7 Petala Cinta (2012) arahan Azhari Mohd Zain yang juga terbitan Metrowealth.

Paling terbaharu, filem Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang (2013) arahan Pierre Andre. Filem ini banyak bergantung pada populariti penceramah dan pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus. Jika dibandingkan dengan Indonesia, kita masih jauh tertinggal di belakang dalam jumlah penghasilan filem-filem bergenre Islami.

Senario di atas jelas menunjukkan potensi untuk satu industri filem melibatkan negara-negara dunia Islam dan negara-negara dunia ketiga untuk berkembang adalah cerah. Perkembangan ini akan membuahkan peluang-peluang menguntungkan bakal diraih daripada aspek bisnes dan paling penting aspek penghasilan filem-filem beridentiti, berjiwa dan punya roh selari dengan tuntutan syariat Islam.

Bagi mencapai tujuan ini, Mansor mencadangkan dalam kertas presentasinya - What is needed is perhaps an organization such as the proposed World Muslim Film Foundation to be set up in order to formalize and institutionalize the concept and philosophy as well as the artistic direction of the Muslim cinema, so that its development can be checked against these values which are basically in consonant and relative to those that are expounded in the Holy Koran and Sunnah and our different cultural values and lifestyles and traditions.

Apa yang diperlukan adalah mungkin sebuah organisasi seperti Yayasan Filem Dunia Islam ditubuhkan dalam usaha untuk merasmikan dan menginstitusikan konsep dan falsafah serta hala tuju artistik Sinema Islam, supaya pembangunannya boleh dikawal selia dengan nilai-nilai dasar yang selari dengan yang dijelaskan dalam al-Quran dan As-Sunnah serta dengan nilai-nilai budaya, gaya hidup serta tradisi kita walaupun berbeza.

Bagaimana World Muslim Film Foundation - Yayasan Filem Dunia Islam ini berfungsi? Minggu depan kita akan terus menelaah idea Mansor ini.

Ahad, 21 Jun 2015

Mansor Puteh & gagasan Muslim Cinema

MINGGU ini aku mahu berkongsi pandangan tentang isi kertas presentasi Mansor Puteh bertajuk Muslim Cinema As Antithesis To Hollywood - Sinema Islami pencabar Hollywood; alternatif kepada filem-filem keluaran secara lambak daripada kilang mimpi bernama Hollywood.

Aku rasa perlu memberi latar belakang individu bernama Mansor Puteh ini untuk pengetahuan penggiat, pembikin, pelajar dan peminat filem Melayu dan filem Malaysia terutamanya generasi baharu.

Mungkin ada juga generasi lama yang tidak mengenali dan mengetahui siapa tokoh filem kontroversial ini. Beliau mula melibatkan diri dalam industri filem tempatan sebagai pengarah, pengkritik, pengkaji dan pemerhati filem sejak awal 80-an.

Siapa Mansor Bin Puteh, anak kelahiran negeri Hang Jebat, Melaka ini?

Bermula sebagai pengkritik filem sebaik sahaja beliau balik dari menuntut di Columbia University, New York dalam bidang perfileman pada awal 1982. Tulisan dan kritikannya banyak tersiar dalam akhbar tempatan.

Mansor telah menerbitkan buku bertajuk Kritikan Filem pada 1995. Ia mengandungi koleksi kumpulan tulisan kritikan filem beliau yang pernah disiarkan di akhbar-akhbar dan majalah-majalah tempatan.

Sebaik sahaja tamat pengajiannya dalam Kajian Sebaran Am, ITM, Shah Alam, sekarang UiTM, beliau bertugas sebagai wartawan di Utusan Malaysia sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang perfileman di peringkat sarjana, Masters of Fine Art in Film Directing di Columbia University, New York pada 1978.

Filem pertama beliau, Seman (1987) terpaksa berdepan dengan masalah birokrasi daripada pihak Finas. Filem Seman senasib dengan the one and only filem arahan Allahyarham Dr Anuar Nor Arai berjudul Johnny Bikin Filem (1992).

Kedua-dua  antihero Melayu, Seman dan Johnny belum lagi berjaya ditayangkan kepada khalayak. Sepanjang pengetahuan aku, setakat ini, Seman telah beberapa kali ditayangkan di festival-festival filem luar negara. 

Mansor dan Allahyarham Dr Anuar seperti menjadi manusia terpinggir dalam industri perfileman tanah air. Sedangkan cetusan idea dan pandangan mereka sangat luar biasa. Kemampuan mereka dimungkinkan oleh ilmu dan pengetahuan khusus dan mendalam mereka tentang filem.

Mereka memandang dan mengkaji filem dengan ilmu dan kefahaman untuk menyelami pemikiran, estetika dan falsafah yang terdapat di sebalik sesuatu karya filem.

Dua tokoh filem ini sering menimbulkan polemik dalam dunia seni dan hiburan tanah air sejak awal 80-an lagi. Masalah dengan masyarakat kita ialah sikap melihat siapa individu yang bersuara bukan apa yang disuarakan.

Jika seseorang itu berimej tidak secocok dengan selera dan pandangan pihak yang mempunyai sedikit kuasa, maka walau sebaik dan sejujur mana pun sekali idea atau cadangan yang disuarakan itu, ia akan dipancung begitu sahaja.

Aku juga mengalami suasana serupa. Berdepan dengan kesukaran berinteraksi dengan pihak-pihak berwajib terutamanya dengan Finas ketika itu. Perbezaan pendapat dan pandangan tidak diraikan sehingga cetusan polemik oleh golongan pembikin filem generasi baharu ketika itu gagal dimanfaatkan oleh pihak berwajib untuk membantu proses meningkatkan mutu dan pencapaian taraf filem tanah air, khususnya filem Melayu.

Aku setuju dengan kenyataan Hassan Muthalib, seorang pengarah filem animasi, pengkritik, penulis, pengkaji dan penyelidik filem. Menurutnya, polemik itu sesuatu yang sihat yang berupaya membuka banyak ruang untuk menilai sesuatu karya seni yang mampu membawa khalayak melihatnya dari pelbagai sudut.

Ini kerana karya seni ada kalanya bersifat ikonik, iaitu, maksudnya jelas; ada kalanya ia bersifat indeksikal, iaitu, membawa petunjuk tentang sesuatu, dan ada kalanya ia bersifat simbolik, yang tentunya boleh membawa pelbagai pendapat dan tafsiran.

Jika pihak yang diamanahkan dengan tugas dan tanggungjawab pengurusan dan pentadbiran filem mahu cuba memahami apa yang dinyatakan oleh Hassan, aku yakin pergeseran pandangan dan pendapat dapat di kesampingkan.

Pasti kewarasan sinematik dapat diwujudkan untuk memacu industri filem kita ke peringkat lebih tinggi. Berbalik kepada kertas presentasi Mansor mengenai Muslim Cinema atau Sinema Islami, apa sebenarnya isi kandungan dan idea mahu dikemukakan Mansor Puteh sejak 1994?

Mansor memulakan kertas presentasinya dengan memberi latar belakang industri pembikinan filem di negara-negara dunia Islam.

Di antara ideanya ialah, ‘Walaupun sekarang terdapat 55 negara Islam yang menganggotai Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), tetapi cuma sebilangan kecil negara-negara ini mempunyai industri filem atau sinema nasional.

Ini menyebabkan kebanyakan negara-negara ini terpaksa bergantung kepada filem-filem yang dibawa masuk dari Amerika untuk hiburan rakyat mereka.’

Mansor seterusnya berpandangan, Muslims have been forced to appreciate and like American (or Hollywood) films, and with it American culture, lifestyles and social as well as moral values which are alien to ours and which are contradictory to the true teachings of Islam and quite decadent and un-Islamic!

Kesan yang timbul dengan ketiadaan dan kurangnya industri filem nasional di negara-negara Islam ini menyebabkan lambakan filem-filem dari Amerika atau Hollywood ini telah memaksa rakyat negara-negara Islam ini menerima budaya, cara hidup, sosial, nilai moral yang sangat asing serta bertentangan dengan ajaran sebenar Islam.

Jika kita melihat dan menyusuri sejarah filem dunia, terutamanya filem-filem Hollywood, kita akan dapati filem-filem yang diterbitkan sejak dalam bentuk hitam putih pada 40-an sehingga filem-filem berwarna 50-an sehingga 80-an telah membudayakan perlakuan bercium, berkucupan antara sang hero dengan sang heroin sebagai gaya hidup yang diterima masyarakat.

Perlakuan aksi bernuansa seksual dan berahi ini dihasilkan dan diterima atas nama seni dan artistik. Filem adalah karya dan kerja seni yang membolehkan aksi sedemikian dihalalkan oleh kebanyakan pembikin-pembikin filem dunia. 

Walaupun filem-filem terbitan tempatan khususnya filem-filem Melayu tidak pernah menyelitkan adegan-adegan seperti ini, tetapi penonton Melayu dan beragama Islam terus disogok melalui filem-filem Hollywood baik di pawagam dan televisyen sehingga perlakuan itu kita terima. Alah bisa tegal biasa!

Alasan klasik lagi maha klise untuk menjustifikasikan penerimaan itu - Nak buat macam mana? Boleh tonton, tapi jangan tiru sebab kita orang timur, itu cara orang barat!

Tanpa kita sedari selepas hampir 70 tahun, Hollywood telah berjaya membuat penonton-penonton di negara-negara Islam menerima budaya kissing on the big screen.

Mulai 80-an, Hollywood mempopularkan perlakuan bersanggama iaitu aksi bersetubuh (berzina) antara sang hero dan sang heroin di layar lebar.

Sekarang dengan kemudahan menonton filem tanpa tapisan melalui internet dan lambakan DVD, sama ada cetak rompak yang murah mahupun original, hampir 80 peratus filem-filem Hollywood menyelitkan adegan - f...king on the big screen.

Babak-babak panas berzina ini sudah mula menjadi ikutan atau trend oleh filem-filem terkini dari Bollywood, Korea, Hong Kong, Thailand dan juga negara-negara Afrika seperti Nigeria.

Tidak silap aku filem tempatan berjudul Spinning Gasing (2001) arahan Teck Tan ada juga menyelitkan babak panas ini walaupun yang berzina adalah watak-watak bukan Islam. Adegan ini tidak diluluskan oleh LPF untuk tayangan di pawagam, tetapi boleh ditonton dalam versi DVD.

Bertolak daripada kebobrokan moral yang dijanakan dan disebarluaskan oleh filem-filem Hollywood, aku rasa kertas presentasi Mansor ini sangat relevan untuk dijadikan kajian dan blue print bagi semua filmmaker dan pemodal-pemodal dalam industri filem di negara-negara Islam mencari alternatif atau antitesis kepada Hollywood.

Ahad, 14 Jun 2015

Sinema Islami pencabar Hollywood

ALHAMDULILLAH, akhirnya aku berjaya menjumpai semula kertas presentasi Mansor Puteh bertajuk Muslim Cinema As An Antithesis to Hollywood atau terjemahan ringkasnya 'Sinema Islami'.

Sebagai Pencabar Hollywood' setelah sehari suntuk menyelongkar kotak-kotak dokumen serta kertas-kertas presentasi dan perbahasan filem dalam simpanan aku sepanjang hampir 20 tahun lalu.

Kertas ini beliau bentangkan pada 16 September 1999 di Khalil Sasakini Cultural Center of the Ministry of Culture, Republic of Palestin, Ramallah.

Selain salinan kertas presentasi dalam bahasa Inggeris setebal 14 muka surat ini, Mansor juga menyertakan salinan fotokopi keratan-keratan akhbar berbahasa Melayu dan Inggeris terbitan 1994 dan 1999 yang mengandungi artikel-artikel dan temu bual dengan beliau mengenai kandungan gagasan Muslim Cinema atau Sinema Islami yang ingin direalisasikannya itu.

Ketika pertama kali, aku membaca kertas presentasinya ini 16 tahun lalu, aku dapati Mansor sememangnya berpandangan jauh ke depan. Mungkin terlalu jauh ke depan ketika itu. Satu idea terkini, berani dan asli. Aku rasa dan pasti Mansor tahu magnitud ideanya itu bakal berdepan dengan kritikan dan pandangan skeptikal daripada berbagai pihak.

Aku sentiasa berpandangan positif kerana pandangan, idea dan cadangan yang bersifat out of the box yang diuar-uarkan oleh Mansor ini jika tidak berjaya dilaksanakan ketika itu atau terus dipetisejukkan bukan satu masalah.

Paling penting ada di antara pembikin, penggiat, pengkaji dan pemikir filem kita yang mampu berfikir sehingga ke peringkat mewujudkan Sinema Islami di peringkat dunia. Boleh buat atau tidak, itu persoalan lain. Paling penting kemampuan untuk memikir dan melahirkan idea, wawasan dan gagasan tersebut. Sikap dan daya fikir Mansor ini yang perlu kita hargai dan hormati. 

Beliau seorang filmmaker dan pemikir filem yang terlatih khusus dalam pengajian filem. Tapak kekuatan beliau berlandaskan ilmu filemnya. Cetusan idea beliau itu didasari oleh kekuatan ilmu dan pengetahuan bidang perfileman yang tinggi. Bukan calang-calang individu mampu berfikir dan mencetuskan gagasan besar begini.

Berdasar dokumen dan bahan-bahan yang aku peroleh daripada simpanan ini serta maklumat daripada sumber lain, aku akan cuba sedaya mampu menyusuri perjalanan perkembangan kertas presentasi Mansor ini sejak mula dibentangkan untuk pertama kali di konferensi – Internasional Congress of Muslim Filmmakers di Teheran pada Februari, 1994 sehingga kini.

Pada 1999 dengan penambahan kandungan dan informasi terkini, sekali lagi Mansor berpeluang membentangkan kertas presentasinya di Ramallah, Palestin.

Sebaik aku ingin mula menulis artikel ini, aku teringatkan Awang, seorang pemuda sangat meminati dan punya pengetahuan filem agak luas yang  aku ceritakan minggu lepas. Aku pasti artikel-artikel dalam keratan-keratan akhbar yang aku temui semula bersama dan kertas presentasi Mansor inilah yang dibaca dan dimaksudkan oleh Awang bila dia bertanya aku tentang perkembangan idea gagasan Sinema Islami ketika kami bertemu di TBS tempoh hari. Apa sebenarnya isi kandungan dan idea mahu dikemukakan oleh Mansor Puteh sejak 1994?

Sebelum aku melanjutkan menulis tentang isu Sinema Islami sebagai pencabar, pengganti atau antitesis kepada Hollywood, aku ingin mengucapkan terima kasih kepada Awang, si dropout Al Azhar yang bertanya aku tentang idea Mansor ini sehingga ‘memaksa’ aku untuk membongkar semula bahan-bahan berkaitan isu ini.

Lalu aku ulang baca dan menelaah kertas presentasi tersebut. Memang banyak benda-benda yang relevan sehingga sekarang telah dikupas dan dicuba fahamkan oleh Mansor kepada khalayak massa baik di Malaysia mahupun negara-negara di seluruh dunia Islam.

Kali ini aku membaca dan menelaah tulisan Mansor dengan mengambil kira suasana perkembangan terkini yang berlaku di negara kita dan negara-negara Islam lain berbanding 16 tahun lalu. Banyak perbezaan aku rasai dan temui ketika membaca kertas presentasi Mansor ini pada 1999 berbanding sekarang. Pembacaan kali ini memberi aku satu pengalaman cinematic insight bersifat politikal yang jauh berbeza daripada sebelum ini.

Apatah lagi dengan perubahan yang dialami oleh negara-negara Islam dan dunia keseluruhannya selepas peristiwa 11 September 2001.

Ketika Mansor mengemukakan idea Muslim Cinema atau Sinema Islaminya pada 1994, keadaan dunia sejak 80-an serta  awal dan akhir 90-an yang melibatkan pergolakan hubungan antarabangsa dunia, sosial dan hubungan politik negara-negara Islam dengan kuasa besar dunia terutamanya, Amerika masih dalam suasana tidak sekacau bilau sekarang.

Ketika itu hanya isu-isu melibatkan Palestin yang berlarutan sejak terbentuknya negara haram Israel pada 1948, percubaan menakluki Afghanistan oleh kuasa dunia Beruang Putih (Rusia) dan serangan Amerika ke atas Iraq yang dikenali sebagai Gulf War atau Perang Teluk pada 1990 -1991 menjadi tumpuan dunia dalam pertembungan antara ummah Islam dengan golongan kufar.

Tetapi selepas peristiwa 9/11 dan ikuti serangan Amerika ke atas Afghanistan pada 2001 yang menyebarluaskan kewujudan puak Taliban dan figura bernama Osama Ben Laden sebagai musuh nombor wahid dunia, pertembungan antara ummah dan negara-negara Islam dengan kufar mula meningkat.

Ditambah dengan sikap Amerika menganggap pejuang-pejuang Islam sebagai golongan militan dan musuh baharu selepas komunis gagal dikalahkan oleh Uncle Sam - Amerika menerusi Perang Vietnam (1955 – 1975).

Apa yang ingin aku nyatakan ialah pandangan dan idea Mansor ini dicetuskan bukan sebagai tindak balas kepada atau disebabkan peristiwa-peristiwa yang melibatkan tindakan keganasan yang agresif atau perang as per se.

Secara sepintas lalu, kandungan kertas presentasi Mansor ini menyentuh tentang perlunya negara-negara Islam menggembleng tenaga kreatif dan kepakaran pengurusan filem sebagai senjata menangkis serangan yang dilakukan Amerika ke atas minda umat Islam secara halus tanpa disedari meracuni budaya hidup dan pemikiran umat Islam sejak sekian lama.

Mansor cuba membawa mesej – selama ini Hollywood mengawal dan membawa ummah Islam sedunia makin jauh daripada cara hidup dan pemikiran yang Islamik. Beliau mencadangkan satu gerakan perlu difikir dan diwujudkan bagi menyekat serangan halus Amerika melalui filem-filem Hollywoodnya ke atas ummah Islam. Inilah isu yang perlu diberi keutamaan untuk dikupas, dibincangkan, difikirkan dan dicari jalan dan cara mendepaninya.

Mansor memulakan kertas presentasinya dengan harapan projek ini akan menyumbang kepada kepada kebangkitan ummah Islam – the project that will benefit the entire Muslim Ummah and the people of the Third World in general, and make Islam the most important force in the new millennium, and the earth, as an Islamic Planet!

Ahad, 7 Jun 2015

Seorang pemuda bernama Awang

KETIKA aku menunggu bas untuk balik ke Melaka di TBS – Terminal Bersepadu Selatan pada senja Isnin lalu, aku ditegur oleh seorang anak muda berusia lewat 30-an. Anak muda ini bertanya aku tentang filem Tombiruo. Dah habis shooting ke? Bila nak tayang? Siapa memegang watak Tombiruo?

Biarlah aku panggil pemuda ini – Awang. Dia sungguh teruja dapat bertemu dengan aku senja itu. Dia baharu tiba dari Singapura atas urusan kerja dan perniagaan. 

Aku beritahu Awang, aku ke Kuala Lumpur hari itu kerana menghadiri mesyuarat dan perbincangan mengenai produksi Tombiruo yang bakal kami mulakan penggambaran selepas Hari Raya Aidilfitri tahun ini, insya-ALLAH.

Menurut Awang, dia juga peminat novel-novel karya Ramlee Awang Murshid. Awang mengikuti perkembangan pembikinan filem Tombiruo dan tidak pernah tinggal membaca kolum Lantera aku setiap Ahad.

Sementara menunggu bas bakal aku naiki bertolak pukul 9 malam, kami sempat bersembang-sembang santai mengenai perfileman tempatan. Nampak gayanya pemuda bersnow cap ala ketayap berambut panjang berikat ke paras bahu dan berkaca mata ini luas juga pengetahuan dan informasinya tentang perkembangan filem tempatan dan antarabangsa.

Awang seronok dapat berjumpa dengan aku kerana filem sulung arahan aku, Kembara Seniman Jalanan (1986) adalah filem Melayu pertama ditontoninya di pawagam ketika di tingkatan satu. Filem Kembara Seniman Jalanan banyak meninggalkan kesan secara peribadi kepada dirinya ketika melalui alam remaja sehingga tamat pengajiannya di peringkat tinggi, memasuki alam pekerjaan dan alam dewasanya.

Menurutnya, artikel-artikel mengenai Allahyarham Dr Anuar Nor Arai menarik minatnya. Dia masih lagi berharap satu hari nanti akan dapat menonton filem tunggal karya Dr Anuar, Johnny Bikin Filem sama ada di pawagam ataupun di kaca televisyen. Aku biarkan sahaja Awang bercerita tanpa mahu mengganggu keterujaannya meluahkan pandangan dan pendapatnya mengenai industri filem tempatan terutamanya filem-filem Malaysia berbahasa Melayu.

Awang menyatakan betapa beruntung dirinya berpeluang membaca dan mengetahui apa disumbangkan oleh Allahyarham Dr Anuar dalam usaha meningkatkan perkembangan industri filem tanah air ketika hidupnya. Aku nyatakan kepada Awang bahawa aku juga beruntung masih menyimpan kertas bahas Dr Anuar. Secara peribadi dan jujur, aku tidak menyangka selepas 28 tahun dokumen itu masih merupakan salah satu catatan penting pemikiran beliau yang boleh diguna pakai sehingga kini.

Awang bersetuju dengan hampir kesemua kenyataan dan pandangan Dr Anuar terutamanya mengenai sikap orang Melayu mendepani masalah-masalah dalam usaha meningkatkan industri filem Melayu. Sikap berhasad dengki, mengutamakan kaum kerabat dan kroni ini tidak boleh menyempurnakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Awang berpendapat sikap-sikap inilah penyumbang besar terbantut dan lambatnya proses perubahan dalam industri filem tanah air. Awang berpuas hati kerana selama ini pendapatnya itu rupanya benar setelah dijustifikasikan oleh Dr Anuar melalui kertas bahasnya yang aku kupas dan tulis selama 5 minggu berturut-turut.  

Menurut Awang lagi, keadaan industri filem kita masih berpusing-pusing dalam putaran yang sama tanpa perubahan menyeluruh. Kenapa keadaan ini berlaku terjawab selepas Awang membaca pandangan dan idea-idea dikemukakan oleh Dr Anuar 28 tahun lalu yang lambat diambil tindakan dengan serius oleh pihak-pihak berwajib.

Awang tertarik dengan idea dan pandangan jauh Dr Anuar yang mengambil contoh daya usaha dan sistem kerja orang-orang Korea dan Brazil membangunkan industri filem mereka. "Kenapalah orang kita tak hendak dengar cakap arwah?" tanya Awang kepada aku. 

Soalan klise yang sukar aku jawab. Aku beritahu Awang, aku cuma mampu menulis semula apa diluahkan Dr Anuar. Itu pun sudah dikira amat beruntung daripada tiada langsung usaha menyebar luaskan idea-idea Dr Anuar. 

Aku seperti Awang juga masih belum bertemu jawapan kenapa pihak-pihak dipertanggungjawabkan memajukan industri filem negara liat sungguh untuk menerima pakai cadangan dan idea-idea Dr Anuar ketika itu. Tetapi sejak beberapa tahun ke belakangan ini aku perhatikan Finas mula menampakkan perubahan yang diharap akan terus berkembang dengan lebih positif lagi. 

Awang berpandangan masih belum terlambat untuk memanfaatkan cetusan idea dan pandangan Dr Anuar itu sekarang. Harap-harap begitulah.

Menurut Awang, pandangan dan cadangan Dr Anuar mengenai pemberian geran dan bantuan kewangan bagi menghasilkan filem  lebih bermutu oleh generasi baharu perlu ditingkatkan.

Aku beritahu Awang usaha ke arah itu sememangnya telah berjalan dan sekarang telah dipertingkatkan lagi. Kerjasama antara Finas dengan Perbadanan Kemajuan Multimedia - MDec melalui penubuhan Content Malaysia Pitching Centre sejak awal April lalu di Platinum Sentral, Kuala Lumpur merupakan kesinambungan usaha membantu pembikin-pembikin filem yang telah dimulakan sejak pertengahan tahun 90-an.

Aku berusaha menjadi pendengar yang baik. Aku terus membiarkan Awang meluahkan apa juga dirasakannya mengenai bidang perfileman tempatan. Aku sungguh tertarik dan kagum dengan informasi yang Awang kongsikan dengan aku mengenai industri filem Korea.

Menurut Awang, mulai awal 90-an, industri filem Korea terus berkembang dengan penglibatan syarikat-syarikat konglomerat gergasi Korea seperti Samsung dan Hyundai yang dipanggil chaebol (Korean conglomerates) dalam menyuntik modal memproduksikan filem-filem negara itu. Penglibatan chaebol ini berterusan sehingga kini dengan kemunculan konglomerat generasi kedua seperti CJ, Orion dan Lotte menyumbang hampir 80% sumber dana untuk memproduksikan filem-filem Korea.

Berdetik di minda aku – "Hebat juga pengetahuan si Awang ini tentang filem." Ini merupakan informasi baharu kepada aku. Lanjutan daripada apa yang dikemukakan oleh Dr Anuar pada 1987.

Awang bertanya kenapa syarikat gergasi negara kita, Petronas atau Proton tidak mahu mencontohi chaebol? Aku jawab dengan pertanyaan - apakah gergasi-gergasi ini ada duit lagi? Awang tersengih faham maksud aku itu.

Aku bertanya Awang bagaimana dia mengetahui semua ini? Awang menyatakan dia suka menonton filem tanpa mengira daripada negara mana sekalipun. Dia mengikuti perkembangan filem dunia – world cinema hampir keseluruhannya melalui internet. 

Aku disentak oleh Awang dengan pertanyaan mengenai Muslim Cinema – Sinema Islami. Awang menyatakan pada awal 90-an ketika berusia awal 20-an, dia ada membaca dan mengikuti berita melalui akhbar-akhbar mengenai konsep Muslim Cinema yang dicetuskan oleh Mansor Puteh, seorang pengarah, pengkaji dan pengkritik filem. Sukar aku menjawab pertanyaannya itu kerana aku tidak berani beri komen tanpa informasi lengkap.  

Aku teringat jika tidak silap aku, Mansor pernah beri aku satu salinan kertas presentasinya tentang Muslim Cinema pada awal 2000. Nampaknya, terpaksa sekali lagi aku selongkar kotak-kotak kertas perbahasan dan pembentangan dalam simpanan aku.      

Sebelum kami berpisah, untuk kepastian aku bertanya Awang kenapa dia tidak menjadi seorang pembikin filem dan apa jurusan yang diambilnya ketika menuntut dahulu? 

Buat masa sekarang, Awang lebih suka menyahut seruan Uwei Hj Shaari untuk menjadi penonton filem Melayu yang cerdik. Sebenarnya, Awang seorang dropout dari pengkajian Syariah di Al Azhar, Mesir.

"Di Azhar tak ada kursus filem. Kalau tidak saya dah tukar kursus!" ujarnya sambil tersenyum.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...