Ahad, 31 Mei 2015

Dr Anuar dan akademi filem

AKADEMI Seni Filem Malaysia ditubuhkan pada 1989. Berlokasi di kompleks Finas, Hulu Kelang. Akademi Seni Filem Malaysia hanya mampu bertahan selama 16 tahun dan seterusnya digabungkan dengan Akademi Seni Kebangsaan (Aswara) pada 2005 sehingga sekarang.

Usaha untuk menubuhkan akademi filem Malaysia pertama ini sudah bermula sejak 1987. Allahyarham Dr Anuar Nor Arai merupakan salah seorang tenaga penting terawal yang secara agresif menggerakkan usaha ini.

Ketika Simposium Pesta Filem Malaysia Ke-7 diadakan di Hotel Ramada Rennaissance, Melaka pada Disember 1987, Dr Anuar amat lantang dengan nada kritis menyentuh dan mendesak supaya Finas yang dikepalai oleh Zain Hamzah (Datuk) ketika itu bertindak lebih agresif bagi merealisasikan penubuhan sebuah akademi filem demi kemajuan masa depan industri filem negara.

Melalui catatan kertas bahas yang dibentangkan Dr Anuar, mari kita lihat sejarah wujudnya Akademi Seni Filem Malaysia, dikenali dan diingati juga sebagai Akademi Filem Malaysia.

Graduan-graduan, bekas pelajar yang pernah mengutip ilmu filem daripada Akademi Filem Malaysia ini perlu mengingati dan menghargai jerit perih perjuangan seorang diri dan hanya mampu disokong segelintir rakan-rakan yang sekepala dan percaya kepada pegangan aspirasi Dr Anuar ini.

Apa aku tuliskan ini bukan gosip murahan atau isu rekaan, tetapi dicatat Dr Anuar sendiri secara rasmi hitam putih dalam kertas bahasnya itu.

Di muka surat 10 kertas perbahasannya, Dr Anuar menulis - Tentang Akademi ni dah pernah I bentang dalam Jawatan Kuasa Teknikal Penubuhan Akademi.

Tak ada orang nak bukak kertas lebar tu pun. Jauh sekali nak bincang. Termasuk orang-orang akademik macam Asiah Sarji dari UKM dan Dr Ramli dari USM. Jins Shamsuddin lagi tak mahu tengok.

Letih berfikir. Letih buat rujukan. Letih semua. Encik Zain Hamzah pun tak minat nak bincang cadangan tu. Hamzah Hussin buat tak tau aja. Tak tau la kenapa?

Sebagai seorang ilmuwan, Dr Anuar tidak mereka-reka cerita. Beliau jujur menceritakan apa sebenarnya berlaku dalam usaha beliau mahu membuka minda pihak berwajib supaya memahami betapa pentingnya diwujudkan satu akademi khas untuk mengajar ilmu perfileman yang teratur, tersusun dalam menerapkan ilmu dan falsafah filem kepada pembikin-pembikin pelapis filem generasi baharu tanah air.

Sememangnya tidak boleh menafikan kewarasan obsesi ‘gila-gila’ Dr Anuar dalam memperjuangkan penubuhan akademi filem tersebut.

Beliau benar-benar serius dan komited sehingga ke tahap ‘langgar musnah’ apa sahaja menghalang usaha dan cita-citanya demi melihat akademi itu menjadi kenyataan. Sikap dan pegangan kental yang tidak mengenal erti tidak boleh dan ragu-ragu!

Dengan bahasa santai lucunya, beliau bersatira mengingatkan pemegang-pemegang tampuk kuasa dan pihak-pihak yang boleh membuat keputusan di Finas supaya cita-cita penubuhan akademi ini diberikan keutamaan tinggi. Ini adalah satu usaha maha penting untuk kemajuan dan masa depan industri filem negara kita.

Beliau seterusnya menyatakan - Biarlah cita-cita tu cita-cita nasional. Cita-cita perfileman nasional. Cita-cita seni nasional. Bukan cita-cita terhutang budi, kawan baik, kawan lama. Kalau nak kira tu semua buatla akademi sendiri.

Taruk nama anak dan bini. Kalau boleh anak yang bisu pun taruk sama. Yang pekak boleh juga jaga pintu akademi. Biar serius sikit. Hal ni hal nasional. Bukan hal keluarga. Negara tu yang keluarga!

Aku masih ingat perbualan selepas pembentangan kertas perbahasan beliau sesama kami dengan Dr Anuar dan beberapa rakan penggiat, peminat kental filem di antaranya, Johan Jaafar (Datuk) dan Mansor Puteh (pengkritik dan pengarah filem).

Dr Anuar meluahkan rasa bengangnya terhadap pihak-pihak yang gagal melihat apa cuba diperjuangkan oleh beliau. Hangat juga diskusi tidak rasmi kami - ‘budak-budak nakal’ di bilik hotel Johan Jaafar tengah hari itu.

Dr Anuar yang kepada beberapa pihak merupakan di antara ‘budak nakal’ dalam industri filem tempatan yang berfikiran menentang arus.

Beliau merupakan seorang ilmuwan berkeyakinan tinggi jitu dan percaya kepada pentingnya ilmu bagi meningkat dan mengangkat filem kita ke tahap lebih tinggi - tahap dunia - world cinema!

Walaupun berdepan dengan tentangan respons suam-suam kuku dan sejuk dingin tetapi kerana darah panas ‘gila filem’ mengalir dalam dirinya, Dr Anuar terus merempuh dengan berpegang kepada kefahamannya tentang kreativiti adalah nak punahkan kebodohan!

Beliau mencadangkan - I nak sentuh tentang empat bahagian penting. Satu, Special Motivational Programme Scheme; Dua, Special Promotional Film Productions, Credits and Grants; Tiga, The Art Film Promotional Programme; dan Empat, The Art and Techniques of Film Production.

Semasa bertemu dulu dalam Jawatan Kuasa Teknikal Penubuhan Akademi tak ada sorang pun nak sentuh dan nak tahu. Secara langsung keempat-empat hal itu berhubung dengan Ke Arah Peningkatan Mutu Industri Filem Malaysia.

Aku rasa bertanggungjawab dan perlu mencatat dan menurunkan sepenuhnya di sini idea dan pandangan Dr Anuar dalam kertas bahasnya untuk kita renungi. Pastinya kita boleh jadikan kayu ukur - apakah kita sudah berjaya atau masih gagal dalam usaha meningkatkan industri filem kita?

Beliau mencetuskan - Bermula dari ilmu, melangkah ke projek, dibantu la maksudnya, lepas tu terbang ke mana pun terbang la. Budak-budak muda yang mabuk filem, gatal tangan nak buat filem, tahi filem, bermimpi siang malam nak buat filem, nak berbengkel, nak cuba-cuba, nak tahu sikit sana sikit sini, nak meniru-niru - perlukan Special Motivational Programme Scheme ini.

Aku membaca pemikiran beliau sebagai seorang yang percaya kepada gandingan wajib kreativiti dan ilmu untuk menempa peningkatan dalam menghasilkan filem-filem bermutu tanpa mengira bentuk dan genre.

Lihat cadangan beliau ini dalam menyedia dan membentuk pembikin-pembikin filem baharu yang mampu dipertanggungjawabkan memikul tugas melahirkan filem-filem bermaruah dan cerdik - Jadi skim untuk akademi ni bolehlah dijalankan oleh Finas dan caranya macam bawah ni:

Dapatkan 40 orang tenaga-tenaga muda yang berminat - beri program motivational - pecahkan mereka kepada 5 kumpulan teknikal yang asas - skrip, lakon layar, pengurusan filem, film management - kamera - penataan cahaya - tata bunyi, efek - pengarahan - penyuntingan - jual mereka dalam pasaran.

Beliau seterusnya mencadangkan - Dalam skim Special Promotional Film Productions, Credits and Grants lain sikit, lebih praktis, lebih menjurus pada buat filem.

Caranya - kenal pasti mereka siapa - apa projeknya - adakan panel penilai - segala aspek produksi - casting, kos, peralatan dan lain-lain siap, sempurna - Finas setelah yakin - beri Grant 70 peratus, kredit 30 peratus - perjanjian dimeterai dengan syarat-syarat yang memuaskan kedua-dua pihak. Finas bantu pemasarannya - luaskan pasar, tembus pasaran serantau.

Bila aku amati idea, cadangan, pandangan dan impian beliau ini, aku bertanya sendiri kenapa pihak berwajib tidak melantik Dr Anuar ketika beliau masih hidup menduduki kerusi panas Ketua Pengarah Finas?

Benar pepatah Melayu menyatakan, harimau mati meninggalkan belang, walaupun Allahyarham Dr Anuar sudah meninggalkan kita tetapi hasil pemikiran dan pandangan jauhnya masih terus relevan sehingga sekarang. Kita perlu meneruskannya.

Allahyarham Dr Anuar Nor Arai, seorang filmmaker – a rebel without a pause! Al-Fatihah buat rohnya.

Ahad, 24 Mei 2015

Filem mengalir dalam darah: Dr Anuar

AKU mengulang baca kertas bahas Dr Anuar Noor Arai beberapa kali lagi. Aku dapati ada lagi perkara yang aku rasa perlu dikongsi dengan penggiat filem baik yang lama mahupun baharu apatah lagi pelajar filem sekarang.

Dr Anuar, dalam kertas bahasnya memperkatakan tentang perkembangan terbaharu yang berlaku dalam industri filem Brazil sejak 1980 sehingga ketika itu – 1987.

Beliau mencatatkan – Di Brazil yang berlaku sekarang lebih hebat daripada Korea. Orang-orang Brazil lain sikit cara bekerjanya. Agresif. Tak ada main-main. Gila-gila tapi caranya betul. Gila seronok, gila seronok juga.

Tidak porak-peranda. Jadi aje. Macam mana dia orang bekerja? Dia orang ada badan – susah nak sebut – namanya Empresa Brazileira de Filmes S.A. Singkatnya Embrafilme. Sebuah agensi kerajaan juga.

Menurut Dr Anuar, agensi ini telah berjaya membantu pembikin-pembikin filem Brazil menghasilkan filem-filem yang memenangi banyak anugerah di festival-festival filem di peringkat antarabangsa.

Dr Anuar seterusnya mencatatkan – Kejayaan terlalu besar Brazil dalam filem takut kita dengar. Tak payahlah ikut benar mereka tu. Terkencet kita. Yang kita nak tahu, macam mana Embrafilme bekerja, merancang, memperkembang, membantu orang-orang filem ni. Ikut reportnya, karya-karya pentas difilemkan. Novel-novel difilemkan.  

Dr Anuar menyentuh kejayaan salah seorang pengarah baharu hebat Brazil, Hector Babenco(1946) yang menggemparkan dunia filem antarabangsa dengan filem arahannya, Pixote(1981).

Filem ini mengisahkan tentang kehidupan gelandangan dan penderitaan hidup kanak-kanak jalanan terbiar di Sao Paolo. Pixote telah menerima pengiktirafan dan anugerah di San Sebastián International Film Festival dan Locarno International Film Festival pada 1981.

Menarik sekali bila Dr Anuar mencatatkan – pengkritik filem Vincent Canby, New York Times, “Pixote is better than Los Olvidados by Luis Bunuel.” Orang-orang Brazil ni gila tapi praktik. Luis Bunuel tu tokoh filem dunia tapi mereka tu praktik – orang-orang praktik ni jujur, benar, tak keliru – Hector Babenco dah mengatasi Bunuel!

Siapa Luis Bunuel(1900-1983)? Pengarah filem ini merupakan tokoh ikonik filem dunia nombor wahid wajib diketahui dan menjadi rujukan kepada pelajar-pelajar filem, penggiat-penggiat dan pembikin-pembikin filem seantero dunia.

Luis Bunuel mengarah filem pertamanya,Un Chien Andalou( An Andalusian Dog),(1929),filem pendek berdurasi 16 minit di era  filem bisu. Menurut pengkritik Roger Ebert, “filem pendek yang paling terkenal yang pernah dibuat.”

Pengarah kelahiran Sepanyol ini berganding dengan ikon pelukis surrealist senegaranya, Salvardor Dali untuk menghasilkan filem sulungnya ini yang mencetus biakkan filem-filem aliran surrealist.

Enam filem Buñuel tersenarai dan diakui melalui pungutan suara pengkritik oleh majalah Sight & Sound (2012) termasuk di antara 250 filem paling top sepanjang zaman.

Berbalik kepada catatan kertas bahas Dr Anuar yang berusia 28 tahun ini membicarakan mengenai sikap orang-orang Melayu. Dr Anuar mencuit golongan yang tiada inisiatif untuk bersikap lebih terbuka dalam mengagumi dan mengangkat sumbangan pengarah-pengarah filem tanah air.

Beliau berpendapat - Kita la ni di Malaysia kalau I kata Rahim Razali lebih baik daripada P Ramlee, heh terbalik dunia ni. Kalau kita ni orang-orang praktik, kecut-kecut perut tu berani juga mengaku Rahim Razali tu lebih baik ye tak? Hussin Haniff lebih baik juga daripada P Ramlee dalam banyak filem, siapa nak setuju?

Menurut beliau lagi – Jadi, kita jangan lupa P Ramlee, tapi jangan sembah dia macam Tok Kong. Apa yang cuba dinyatakan oleh Dr Anuar ialah tahap kejujuran dan keberanian orang kita mengkaji dan memperkatakan hasil kerja seni filem tidak seratus peratus tulen.

Ini membantut dan melambatkan kemajuan filem kita untuk diangkat lebih jauh dan tinggi. Itu sebenarnya maksud kata-kata beliau bila cuba mengangkat filem-filem arahan pengarah-pengarah lain dalam masa sama tanpa niat memperkecilkan P Ramlee dan filem-filemnya.

Beliau hanya mahu berlaku jujur dan praktik seperti orang-orang Brazil dalam memperkatakan keadaan industri filem kita. Ada perubahan atau tidak sikap kita sekarang? Ada peningkatan atau penurunan? Atau belum bermula? Masih statik?

Satu lagi aspek menarik yang dilakukan oleh Embrafilme yang sepatutnya diambil iktibar dan dicontohi oleh kita ialah tentang usaha mereka meningkatkan penggunaan bahasa serumpun yang digunakan dalam filem-filem Brazil dan negara-negara Amerika Selatan.

Catatannya lagi - Embrafilme la yang bukak lorong, lorong besar-besar. Sekarang dah terbukti berjaya. Pasalnya, Embrafilme tu agensi kerajaan aktif dalam penyertaan filem – bukak cawangan bahasa serumpun di Argentina, Portugal, Peru, Venezuela, Sepanyol, Chile, Perancis, Amerika Syarikat, Paraguay, Germany, China. Buat filem tentang kisah hidup dia orang yang real.

Kenapa kita tidak cuba mempraktikkan usaha Embrafilme membuka cawangan bahasa serumpun? Dalam konteks ini, membuka cawangan bahasa Melayu di negara-negara yang difikirkan sesuai dan berpotensi.

Bayangkan penutur bahasa Melayu di Nusantara – Indonesia dan Malaysia sahaja berjumlah hampir 300 juta. Sehingga sekarang, hampir tiada usaha konsisten diambil untuk merealisasikan cetusan pemikiran Dr Anuar ini oleh pihak-pihak berwajib.

Dr Anuar menyimpulkan kejayaan industri filem Brazil seperti berikut – Jumlah filem, mutu penting tapi yang beri kejayaan kerana tema filem mereka berbagai dan luas – muka-muka baharu yang berbakat ramai terlibat – tak kering bakat orang kata – industri filemnya teratur kemas – bertenaga orang kata – penonton-penonton pulak enthusiastic – kerja-kerja dia orang tu class A – TV dan dokumentari menyokong industri filem. Orang-orang hebat aja yang terlibat.

Seterusnya, sebelum memperkatakan mengenai penubuhan Akademi Seni Filem Malaysia, Dr Anuar memberi sepintas lalu kuliah surrealistik percuma mengenai apa itu kreativiti? 

Dr Anuar menyatakan – Sebuah Jabatan Filem tertua di USA berumur 100 tahun pun tak tahu kreativiti filem tu apa.

Kreativiti tu retinya kita ni – bersedia mengubah – kadang-kadang kreativiti tu retinya sasau – hati perut tu nak bercerita aja – duit pun nak juga – papa buat apa – nak bersandar pada kekuatan orang – nak menyelam zaman – nak tidur dalam buku – nak masuk dalam kamera – nak menconteng kertas aja tiap hari – pena dalam tekak orang kata – filem mengalir dalam darah – nak punahkan kebodohan.

Gitulah yang I faham tentang kreativiti. Kefahaman asas tentang kreativiti perlu dan penting kerana ia berkait rapat dengan usaha menubuhkan sesebuah akademi filem. Macam mana?

Ahad, 17 Mei 2015

Filem Malaysia, filem Korea

KITA teruskan menelaah kertas perbahasan Allahyarham Dr Anuar Nor Arai minggu ini. Melalui kertas bahas itu, aku lihat banyak masalah industri filem Malaysia sekarang yang masih belum selesai walaupun beliau telah memberi saranan 28 tahun yang lalu.

Di simposium berlangsung pada 5 Disember, 1987 itu, Dr Anuar seterusnya menjelaskan bagaimana penghasilan filem dan televisyen Korea yang seiring dan sama naiknya.

Mereka saling berganding menghasilkan produk-produk untuk memajukan industri filem negara mereka.

Dr Anuar mencatatkan – Satu contoh dipanggil Panggung Sastera – telah menghasilkan 266 tajuk drama – semuanya adaptasi novel Korea dari tahun 1980 hingga 1987 – berbentuk feature, panjangnya antara 90 minit dan 120 minit. Siapa punya kerja ni? Hairan ya. Tak cukup lagi tu – ada pulak yang dipanggil Calendar Drama, 60 minit, 90 minit dan 120 minit.

Banyak, tahun 1986 aja berjumlah 25 buah. Ada lagi dipanggil Drama Remaja. Ada lagi dipanggil Opera. Ada lagi dipanggil Drama Musikal. Yang penting kita tahu dari Korean Broadcasting Corporation dan MunhwA Broadcasting Corporation ni ialah dia orang semua buat kerja, pandai kerja, pilih orang-orang yang betul, yang tak berbakat diterajang keluar. Pedih tapi sedap.

Dr Anuar juga menegur orang-orang Finas yang masih berperangai dan bersikap tipikal Melayu. Beliau membandingkan cara bekerja, komitmen kepada tugas dan kerja oleh orang-orang Korea yang terlibat dalam badan-badan dan agensi kerajaan bertanggungjawab bagi memajukan industri filem mereka. Perbandingan yang sepatutnya diambil iktibar oleh Finas ketika itu.

Beliau mencatatkan – Perangai kita orang Melayu ni pulak lain – yang berkarat pun simpan, yang bodoh tu diangkat, yang teruk-teruk jangan cakap – bela jugak. Yang ada potensi di KL disisih.

Pasal apa pun kita tak tahu. Sampai bila pun kita tak akan maju. Cakap macam mana pun, berjela-jela kertas kerja, warna merah jambu ke, warna kuning ke, kalau berkarat, berkaratlah jugak. Eloklah kita cadangkan di sini rombakan Kabinet Finas.

Bukan untuk apa – semata-mata untuk kemajuan. Pucuk pimpinan baru untuk kemajuan industri filem Malaysia. Untuk kemajuan negara. Untuk kemajuan komersial. Untuk kemajuan seni. Seni biar last pun tak apa.

Catatan dan pandangan brutal Dr Anuar di atas sememangnya mewakili suara kami pembikin-pembikin filem generasi baharu Malaysia ketika itu. Letaklah seni sebagai prioriti terakhir pun tidak mengapa kerana yang penting ialah kemajuan filem kita.

Semua ini hanya akan bermula bila pemegang pucuk pimpinan Finas terdiri daripada mereka yang benar-benar komited. Mereka yang benar-benar faham bagaimana menggunakan Finas sebagai pemangkin untuk menggerakkan daya usaha untuk memajukan industri filem kita.

Menurut Dr Anuar, peneraju ataupun kabinet Finas perlu kepada satu rombakan. Sememangnya kasar dan brutal bunyi tegurannya tetapi itulah realitinya ketika itu. Apakah teguran ini membuahkan hasil sehingga perubahan berlaku?

Seingat aku, selepas simposium itu dan hadirnya Pesta Filem Malaysia seterusnya, keadaan masih begitu juga. Entahlah, jika aku terlepas pandang kerana selama hampir 28 tahun tiada peluang mengarah filem dan terlibat secara langsung dalam gelanggang perfileman tanah air. Harap-harap aku tersilap anggapan dan pandangan.

Bukalah lembaran sejarah Finas. Sejarah tidak akan berbohong. Apakah kita telah setanding dengan kemajuan yang dicapai oleh Korea? Fakta-fakta dan informasi tentang bagaimana Korea membangunkan industri filem mereka yang dibentang dan disuarakan oleh Dr Anuar berlaku dan bermula hanya setahun sebelum, iaitu pada 1986.

Jika informasi dan cadangan-cadangan Dr Anuar itu diambil perhatian dan tindakan oleh Finas ketika itu, maka permulaan usaha kita memajukan industri filem dengan lebih tersusun hanya lewat setahun sahaja di belakang Korea.

Lihatlah selepas 28 tahun bagaimana kejayaan industri dan pembikin-pembikin filem Korea sekarang. Bezakan dengan pencapaian kita. Apakah industri filem kita telah berkembang seperti Korea sekarang?

Kenapa dan bagaimana industri filem Korea boleh mencapai kemajuan sehingga berjaya memeranjatkan dunia sedangkan keadaannya sebelum 1985-86 adalah sama seperti industri filem kita?

Senang cerita – kita mula bergerak untuk mengubah industri filem kita pada masa hampir sama dengan Korea. Di mana kita selepas 28 tahun dibandingkan dengan Korea?

Aku tidak boleh mengelak daripada bersetuju dengan kelantangan suara bernada keras Dr Anuar melalui kertas bahasnya itu  - hanya dengan perubahan kepada sikap yang betul sahaja barulah sesuatu kejayaan berjaya diraih. Beliau menegaskan, untuk maju orang Melayu mesti mengubah sikap.

Mesti berani menerima dan mencuba benda-benda baharu. Kita mesti keluar dari dunia nostalgik penuh fantasi. Cukup-cukuplah hidup dengan past glories – kegemilangan masa lampau. Kenyataan yang pahit tetapi ada kebenarannya jika direnungkan tanpa prasangka dengan minda dan hati terbuka.

Lihat pandangan beliau seterusnya dalam catatan kertas bahasnya – Kita orang Melayu ni, entahlah, nak katakan jujur tak jujur, nak katakan hati baik, tak baik pulak, nak katakan pandai tak pandai, nak katakan tak reti, marah pulak tu. Kadang-kadang nak bengang kepala ni dibuatnya. Nak menyondol, nak menyondol ke mana.

Orang-orang besar aja di depan! Balik-balik P Ramlee, balik-balik P Ramlee. Kalau kaji P Ramlee tak apa pulak. Ini ikut sedap aja. P Ramlee baik, buruknya tak ada. Kan berbohong tu! Kalau orang berilmu berbohong, hah, barulah terbalik dunia ni.

Kita ingat P Ramlee, siapa nak lupa, tapi janganlah lupakan Hussein Haniff, Omar Rojik, S Kadarisman, M Amin, Jamil Sulong.

Sememangnya banyak attitude – sikap orang-orang Melayu yang mesti diubah dan dibuang jauh-jauh jika kita mahu mengorak langkah seiring dengan orang-orang Korea, waima dengan bangsa apa dan dalam apa bidang sekalipun. Apatah lagi dalam usaha memajukan industri filem kita.

Jika mengikut aliran pemikiran Dr Anuar – daripada aspek keterbukaan kepada teknologi, kepakaran, kefahaman ilmu seni dan filem maka boleh dikatakan kita dan filmmaker-filmmaker Korea tidak jauh bezanya. Perbezaan paling ketara dan memerlukan perubahan paling drastik ialah sikap kita. Inilah yang membezakan orang-orang filem kita dengan orang-orang filem Korea.

Kenyataan inilah yang mahu disumbat dan dihentakkan oleh Dr Anuar ke benak mereka yang menerajui Finas ketika itu. Apakah cabaran ini disambut oleh sang penguasa dan para birokrat di Finas? Jawapannya dapat kita saksikan sekarang.

Selepas 28 tahun di mana industri filem kita berbanding dengan Korea?

Apakah usaha-usaha yang dibuat oleh Motion Picture Promotion Corporation Republic of Korea berjalan dengan licin dan lancar sejak dimulakan pada 1986 sehingga sekarang?

Pasti tidak, berbagai rintangan terpaksa mereka lalui seperti persaingan daripada filem-filem Hollywood, usaha gigih perlu dilakukan bagi mencorakkan daya penerimaan penonton Korea kepada filem-filem keluaran sendiri.

Halangan-halangan ini berjaya diatasi dengan berbekalkan sikap positif dan semangat jati diri yang kuat sehingga filem-filem dan sekarang muzik Kpop berjaya menakluki pop culture atau budaya popular dunia.

Pastinya perubahan sikap serupa inilah yang mahu dilihat oleh Dr Anuar menjadi kenyataan dalam membangunkan industri filem kita.

Ahad, 10 Mei 2015

Kertas bahas berusia 28 tahun

ALLAHYARHAM Dr Anuar Nor Arai pernah membentangkan sebuah kertas bahas yang menarik bertajuk – Ke Arah Peningkatan Mutu Industri Filem Malaysia di Hotel Ramada Rennaissance, Melaka sempena Simposium Pesta Filem Malaysia ke-7 pada 5 Disember 1987.

Kenapa kertas perbahasan Allahyarham Dr Anuar ini menarik untuk diulang kaji dan dibaca renungkan semula? Apakah masih relevan isu-isu yang ditimbulkan oleh beliau melalui kertas perbahasan ini selepas 28 tahun berlalu?

Adakah perubahan-perubahan dan idea-idea yang dicadangkan oleh Dr Anuar telah menjadi kenyataan dan berjaya direalisasikan oleh pihak-pihak yang sepatutnya?

Kertas bahas itu membentangkan pendapat, pandangan dan cadangan daripada seorang ilmuwan yang pakar dalam bidang perfileman. Seorang pencinta filem yang mahukan mereka dan pihak-pihak yang bertanggungjawab mengenai industri filem supaya berani mencuba pendekatan baharu untuk meningkatkan mutu industri filem tanah air. Dengan meningkatnya mutu pengendalian, pendekatan gerak kerja yang lebih sistematik dan berpandangan jauh dalam industri filem, kita akan secara langsung melahirkan karya-karya dan tenaga-tenaga kerja kreatif yang lebih berilmu dan bertaraf dunia.

Aku rasa itulah yang ingin diluahkan oleh Allahyarham Dr Anuar melalui pembentangan kertasnya 28 tahun lalu di Simposium Pesta Filem Malaysia ke-7 itu. Luahan rasa ini juga yang bersarang terbuku dalam diri aku dan rakan-rakan filmmaker lain ketika itu.

Dengan menggunakan bahasa mudah bersahaja, sempoi dan ada kalanya dengan slanga melucukan tetapi bisa menyengat, banyak isu menarik dibentangkan oleh beliau dalam kertas perbahasannya di simposium itu.

Dr Anuar memulakan kertas perbahasannya dengan menyindir Finas yang dianggapnya seperti seorang tua sedang duduk di pelantar dalam keadaan serba salah tanpa arah tuju yang jelas. Ke mana mahu dibawanya industri filem Melayu tanah air ini.

Seorang tua yang baharu berusia 7 tahun ketika itu (Finas ditubuhkan pada 1981) tetapi masih belum jumpa lagi kompas untuk memandunya menuju ke destinasi yang tepat.

Dr Anuar mencatatkan - Berfikirlah orang tua tu. Nak cadangkan ke mana, dia tak tahu. Orang tua ye tak, ada kalanya orang tua juga. Berdiam bertanggungjawab, harap-harap tuanya tu betul. Dah lama ada Finas (ada la tujuh tahun). Dah banyak buat kerja Finas tu. Itu ini semua dah buat. Kalau terus juga buat gitu, gagal lagi. Bagaimana kalau Finas tu dirombak? Rombak cam mana? Struktur organisasinya atau orang-orangnya? Dua-dua sekalilah.

Sememangnya ketika itu Finas di bawah ketua pengarah, Zain Hamzah (Datuk) dalam keadaan celaru. Finas dipenuhi oleh orang-orang yang berlatar belakangkan filem dan dunia kewartawanan hiburan sejak zaman Jalan Ampas dan Studio Cathay Keris, Singapura. Ilmu filem mereka banyak dipengaruhi pengarah-pengarah India yang didatangkan oleh Shaw Brothers untuk mengarah filem Melayu di tahun-tahun 50-an dan awal 60-an.

Angkatan baharu dan generasi muda pembikin filem sukar untuk bekerjasama dengan pihak birokrat yang tidak sekepala dan tidak selari aspirasi sinematiknya dengan world view kami yang jauh berbeza. Terdapat pertentangan pandangan dan idealisme.

Senang cerita, perbezaan antara pandangan lama zaman filem Melayu hitam putih daripada Singapura dengan cita rasa baharu pembikin–pembikin filem muda yang terdidik secara khusus dalam bidang filem atau berlatar belakangkan kerjaya pembikinan filem iklan dan mereka yang bermula daripada teater.

Salah seorang daripada kelompok ini ialah Dr Anuar Nor Arai sendiri yang merupakan seorang graduan filem lulusan doktor falsafah daripada Amerika Syarikat. Seorang pensyarah, pengkaji, pengkritik filem dan juga aktivis teater ketika itu.

Kepada kami, Finas yang ditubuhkan pada 1981 masih belum berjaya memainkan peranannya sebagai tenaga utama penggerak kemajuan industri filem tanah air. Masih meraba-raba mencari arah disertai sikap orang lama sahaja yang betul.

Aku pula secara peribadi melihat Finas yang baru ditubuhkan oleh kerajaan ketika itu sebagai lubuk gula madu yang dihurung oleh semut-semut yang tidak ada lagi lubuk lain untuk didatangi. Gejala kroni membiak sehingga menyekat kemajuan kreatif dan pengurusan ke tahap lebih progresif.

Keadaan ini ditegur olah Dr Anuar melalui kertas perbahasannya itu.  

Finas setakat 1987 telah gagal menyusun atur satu pelan bertindak untuk membantu industri filem tempatan. Beliau mencadangkan solusi supaya diusahakan dan diadakan konsep bersepadu.

Dr Anuar mencatatkan - Struktur organisasi baru Finas diwujudkan atas konsep bersepadu. Bila konsep bersepadu ini diadakan, ramailah yang tak penting tu gugur. Tak berbumbung orang kata. Duduk di pelantar. Lenggang pulak! Finas lenggang tak apa.

Boleh tambah orang. Kalau panggung lenggang tak elok la. Mana satu nak pilih? Orang tua tu tentu pilih panggung penuh.

Dr Anuar mencadangkan kita ambil pengalaman Republik Korea. Beliau mencatatkan setahun sebelum itu (1986) - Korea mengubah Motion Picture Lawnya untuk mendapatkan ‘self supporting growth’ - pertumbuhan bagi menampung keperluan sendiri atau tempatan. Kerajaan Korea meluluskan banyak syarikat produksi berlesen yang dibenarkan juga mengimport filem-filem asing dengan kuota yang ditetapkan. Pada 1985 – Korea mengetepikan protectionist device dan menggalakkan liberalization untuk menyuburkan selera penonton.

Dengan menghapuskan perlindungan terhadap filem-filem sendiri dan bersikap lebih terbuka, penonton-penonton Korea dididik untuk menikmati filem-filem bermutu. Penonton diajar ilmu untuk menonton dan menghargai hasil karya seni filem sebenar bukan setakat filem picisan untuk hiburan. Penonton Korea dididik untuk memahami dan mengamalkan budaya menonton filem bukan setakat untuk hiburan sahaja tetapi berlandaskan ilmu. Filem sebagai pembina minda dan jati diri bangsa.

Dr Anuar mencatatkan - Suasana ini diharap boleh memberikan keyakinan pada industri tempatan Korea dan menghapuskan tabiat rendah diri pembikin-pembikin filem Korea – filem Korea masuk pasaran antarabangsa – pelaburan bertambahan dalam industri filem Korea – membawa haluan baru dalam filem – Korea terlepas daripada cara lama yang melodramatic, corny, soupy.

Hasilnya menurut Dr Anuar pada ketika itu (1987) – Telah muncul ramai pengarah filem yang menghasilkan films of high artistic merit – filem-filem epik – box office.

Menurut beliau, perubahan yang dilakukan oleh Motion Picture Promotion Corporation Republic of Korea (MPPCRK) di bawah Presidennya, Chung Tak dan Auditorial Directornya, Choi Chong-Chai berjaya melonjakkan produksi filem negara itu daripada 80 filem pada 1985 kepada 115 filem pada 1986.

Dr Anuar sempat mencuit Finas dan warga kerjanya dengan membandingkan Finas dengan MPPCRK.

Kalau baca-baca la apa yang dibuat oleh MPPCRK mudah benar nampaknya. Macam Finas juga. Hairan ya! Kata orang, kalau ditindihkan MPPCRK tu dengan kertas minyak yang nampak tak ada bezanya dengan Finas. Chung Tak dan Choi Chong-Ch dua orang ni la yang berbeza. Ada vision orang kata. Ada ilmu. Entah-entah garang macam hantu, mana tau. Tapi tentulah rajin. Faham kerja dia. Faham tanggungjawab. Bernas kepala otak berdua tu. Boleh cium la.

Apa lagi pandangan dan cadangan panas, pedas dan brutal daripada Dr Anuar untuk dijadikan panduan Finas, penggiat-penggiat dan pembikin-pembikin filem tanah air ketika itu dan juga sekarang?

Kita teruskan menelaah kertas perbahasan Dr Anuar Nor Arai ini minggu depan. Insya-Allah.

Ahad, 3 Mei 2015

Dr Anuar & Johnny bikin filem

BARU-baru ini, aku telah menyelongkar beberapa kotak yang mengandungi keratan-keratan akhbar lama dalam simpanan aku. Sememang tabiat dan hobi aku yang gemar menyimpan bahan-bahan berita mengenai seni dan hiburan tanah air dalam bentuk keratan-keratan akhbar. Ada juga majalah-majalah filem dan hiburan lama aku simpan. Selain bahan-bahan ini aku juga mengumpul kertas-kertas pembentangan dan perbahasan seminar, forum dan simposium berkaitan dengan seni hiburan tanah air, terutamanya filem.

Dalam aku menyelongkar bahan-bahan lama itu, aku terjumpa semula satu kertas perbahasan hasil daya fikir Allahyarham Dr Anuar Nor Arai berjudul Ke Arah Peningkatan Mutu Industri Filem Malaysia yang dibentangkan Allahyarham Dr Anuar di Hotel Ramada Rennaissance, Melaka sempena Simposium Pesta Filem Malaysia ke-7 pada 5 Disember 1987.

Pesta Filem Malaysia ke-7 (PFM7) yang julung-julung kalinya diadakan di negeri kelahiran aku mencatatkan sejarah peribadi tersendiri buat diri aku. Dalam PFM7 itu filem kedua arahan aku, Rozana Cinta 87 turut dipertandingkan untuk kesemua kategori.

Aku dicalonkan untuk Anugerah Lakon Layar Terbaik, Penataan Seni Terbaik dan Pengarah Terbaik. Tetapi aku telah menolak semua pencalonan yang melibatkan diri aku. Tetapi aku tidak menghalang pencalonan-pencalonan lain untuk filem Rozana Cinta 87. Pencalonan Bade Azmi untuk kategori jurukamera terbaik dan pencalonan Erma Fatimah, Hilmi Hussaini, Bibiana Layola untuk kategori pelakon lelaki dan wanita terbaik dan kategori-kategori lain masih diteruskan.

Aku bertindak demikian ketika itu sebagai protes aku terhadap Finas. Selama ini aku menunggu penjelasan daripada Finas dan pihak penganjur mengenai penolakan di saat akhir pencalonan filem pertama arahan aku, Kembara Seniman Jalanan di Pesta Filem Malaysia ke-6 yang berlangsung setahun sebelumnya. Sehingga ke saat itu aku masih belum mendapat penjelasan rasmi daripada Finas tentang sebab-sebab penolakan filem Kembara Seniman Jalanan.

Berikutan dengan itu, aku bertindak sehingga memecahkan pintu Finas kerana marah atas kegagalan Finas memberi penjelasan yang aku tuntut. Pada tahun lalu aku ada menulis di kolum ini tentang mengapa aku mengamuk sehingga aku pecahkan cermin pintu Finas ketika itu. Jujur aku katakan sebenarnya aku sudah bosan, bengang dan marah dengan sikap lepas tangan tanpa bertanggung jawab Finas ketika itu.

Ketidakpuasan hati dan protes aku teruskan di PFM ke-7. Seperti biasa sehingga kini, sudah hampir 30 tahun aku masih tidak mendapat penjelasan kenapa filem Kembara Seniman Jalanan di PFM 6 itu. Di PFM ke-7 itu, aku cuma menghadiri program simposium sahaja. Aku kurang minat menghadiri majlis pembukaan dan malam penutupnya.

Kenapa tiba-tiba aku berimbas kembali ke belakang 1987? Kertas perbahasan Allahyarham Dr Anuar Nor Arai ini telah aku simpan dan berusia hampir 30 tahun itu  membuat aku teringatkan Allahyarham. Al-Fatihah untuk rohnya.

Aku kenal dan pernah berinteraksi dengan beliau ketika di peringkat awal aku menceburi bidang pengarahan filem cereka. Aku selesa dengan sikap dan attitude rebel beliau. Sebagai pengkritik, pengkaji penganalisis filem, beliau sentiasa obses mencari pembaharuan untuk memajukan perfileman tanah air.

Dr Anuar juga adalah salah seorang daripada kumpulan kami selain Johan Jaafar (Pengerusi Media Prima sekarang), Mansor Puteh (pengarah dan pengkritik filem), Zarul Al Bakri (pengarah dan produser filem), Hassan Muthalib (pengkaji filem, animator dan penulis), Hanafiah A Samad dan Ku Seman Ku Hussain (wartawan hiburan) dan termasuk aku sendiri. Kami sering mengadakan diskusi dan forum perbincangan filem dinamakan Siri Dialog Cerdik di Sudut Penulis, Dewan Bahasa dan Pustaka pada penghujung 80-an.

Siapa Dr Anuar Nor Arai ini?

Dr Anuar dilahirkan pada 6 Ogos 1943 di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Pada 20 Januari 2010 dalam usia 66 tahun, Dr Anuar meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan paru-paru.

Allahyarham merupakan anak Melayu Malaysia pertama memperolehi ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang perfileman dari University of Southern California, Los Angeles dengan tesis kedoktorannya bertajuk The Journeying Souls: The Verbal And Visual Quests Of The Metaphysical Theatre And Film.

Bertugas sebagai pensyarah perfileman di Universiti Malaya dan beliau bersara awal pada Disember 1996 sebelum menjadi tenaga pengajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Dr Anuar berkhidmat pula di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dengan jawatan terakhir disandangnya ialah Timbalan Rektor.

Bila menyebut nama Allahyarham Dr Anuar pastinya filem tunggal arahan beliau, Johnny Bikin Filem akan menerpa ke minda setiap daripada mereka yang tahu dan mengenali beliau. Apatah lagi kepada pelajar-pelajarnya dan pembikin dan penggiat filem tanah air yang seangkatannya mahupun generasi baharu – Dr Anuar itulah Johnny dan Johnny itulah Dr Anuar, si pembikin filem.

Berani aku katakan - tanpa mengira bangsa dan kaum, jika kamu tidak tahu siapa Dr Anuar Nor Arai dan hasil kerja seninya maka kamu belum layak bergelar filmmaker di negara ini!

Filem Johnny Bikin Filem terbitan Univerisiti Malaya diarahkannya pada 1992. Filem ini adalah filem Melayu pertama berkonsepkan film noir. Film noir adalah istilah sinematik untuk filem bergenre drama jenayah gaya Hollywood yang menekankan sikap sinis dan motivasi seksual. Genre ini bermula awal 1940-an sehingga lewat 1950-an. Filem-filem era ini menggunakan gaya sinematografi low key lighting – pencahayaan rendah, samar, suram dan kelam dalam bentuk visual hitam putih.

Filem Johnny Bikin Filem ini mencipta sejarahnya tersendiri. Inilah filem Melayu pertama berdurasi 5 jam setengah. Filem ini juga punyai sejarah uniknya kerana hingga kini belum ditayangkan kepada umum.

Beliau telah menghasilkan 72 skrip dalam pelbagai medium untuk filem, TV dan teater. Di antara skrip drama tv Dr Anuar ialah Din Dan Miyoto arahan U-Wei Saari dan Bukit Lalang arahan Mior Hashim Manap. Kedua-dua pengarah ini berjaya menampilkan fotografi dan pengarahan seni yang menarik terhadap kedua-dua naskhah karya Dr Anuar ini.

Skrip drama teater karya beliau, Tok Selampit memenangi Anugerah Sastera Nasional 1986 dan mewakili Malaysia ke Festival Teater Asean 1 di Manila pada 1988.

Apakah isu-isu menarik dibentangkan oleh Dr Anuar dalam kertas perbahasan bertajuk – Ke Arah Peningkatan Mutu Industri Filem Malaysia di Simposium Pesta Filem Malaysia ke-7 pada 5 Disember 1987?

Minggu depan aku akan menulis mengenainya. Insya-ALLAH.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...