Ahad, 26 April 2015

Ada magis di sebalik Funfair

BANYAK perkara menarik dan di luar jangkaan aku alami ketika mengarah drama Funfair terbitan 1990 ini. Minggu lalu, aku catatkan ketika aku menulis skrip drama ini, aku tidak memikirkan sama ada pasukan produksi boleh mendapatkan atau tidak lokasi utama iaitu sebuah funfair untuk drama ini.

Keutamaan aku hanya satu sahaja - idea dan cerita drama ini perlu berjaya divisualkan. Pasukan produksi mesti memastikan mereka berjaya mendapatkan funfair yang benar-benar wujud. Jika usaha ini gagal maka pembinaan satu set funfair terpaksa dipertimbangkan.

Ini akan melibatkan bajet lebih besar. Tiada pilihan lain. Ada beberapa insiden tidak aku jangka berlaku ketika penggambaran drama ini. Di peringkat pra-produksi, pengurus produksi ditugaskan untuk mencari satu tapak funfair di kawasan di sekitar Kuala Lumpur yang bersuasana kampung seperti aku bayangkan - kampung berlatar belakangkan bukit bukau, hutan dan gunung.

Pengurus produksi aku gagal menjumpai lokasi seperti digambarkan dalam skrip di sekitar atau berdekatan kawasan Lembah Klang. Ada juga lokasi kampung agak sesuai, tetapi kami ada masalah untuk mendapatkan dan membawa funfair ke lokasi tersebut.

Kami berusaha mendapatkan pemilik funfair untuk membawa funfairnya ke lokasi kami rasa sesuai untuk penggambaran. Memang sukar bagi mereka untuk memenuhi permintaan kami. Pemilik-pemilik funfair ini telah ada jadual dan pekan-pekan yang telah mereka susun atur enam bulan lebih awal.

Aku dan seluruh pasukan produksi hampir putus asa. Ada yang mengeluh menyatakan aku buat drama mengalahkan macam buat filem. Aku tidak pedulikan semua itu. Aku terus berfikiran positif. Aku bukan syok sendiri. Aku ada statement hendak disampaikan melalui drama Funfair ini.

Akhirnya, aku dan pengurus produksi merancang mencuba nasib mencari lokasi yang aku bayangkan itu di luar Kuala Lumpur. Untuk produksi ini, aku terpaksa menggunakan tenaga juru lampu, seorang rakan aku yang bertugas di stesen TV3.

Ketika itu hampir semua tenaga juru lampu freelance yang aku kenali sedang sibuk. Masing-masing sudah ada kontrak dengan syarikat-syarikat produksi lain.

Rakan aku yang bertugas di TV3 ini berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Beliau mencadangkan aku ke kampungnya melihat kemungkinan boleh dijadikan lokasi penggambaran.

Bila aku dan pengurus produksi ke Kuala Pilah, aku berjaya menjumpai lokasi seperti aku gambarkan dalam skrip. Kampung rakanku itu yang terletak tidak jauh dari pekan.

Insiden paling mengejutkan berlaku di luar jangkaan kami. Tanpa kami duga tidak jauh dari kampung rakanku itu kami ternampak sebuah funfair!

Kami diberitahu oleh taukeh funfair itu, mereka baharu sahaja selesai mengadakan persembahan funfair selepas sebulan di situ. Funfair itu sedang dalam proses membuka gerai-gerai dan peralatan permainan seperti kuda pusing, roda Ferris, buaian dan permainan-permainan lain.

Funfair ini akan bergerak ke lokasi baharu dalam masa terdekat ini. Masa untuk membuka dan memunggah peralatan dan barang-barang untuk dipindahkan dan dipasang semula di lokasi baharu akan  mengambil masa antara 2 hingga 3 minggu.

Pucuk dicita ulam mendatang. Aku berhasil mendapatkan lokasi kampung dan funfair di satu tempat yang sama – memang magik! Alhamdulillah, masalah lokasi paling asas berjaya diatasi.

Pada aku suasana sebelum funfair bermula dengan suasana funfair telah selesai musimnya di sesuatu lokasi atau tempat adalah sama. Aku dapati ketika itu pekerja-pekerja funfair itu sedang membuka gerai- gerai, peralatan permainan dan keperluan asas di tapak funfair itu.

Pengalaman dan ilmu bidang production design atau reka bentuk produksi perlu aku manfaatkan sebaik mungkin untuk aku melahirkan mise-en-scene drama ini.

Aku gunakan kesempatan keadaan dan logistik funfair ini dengan menukar suasana sebenarnya.

Aku jadikan suasana sebaliknya untuk penggambaran drama aku ini. Contohnya, proses sebenar membuka peralatan yang sedang dilakukan ketika itu, aku tukarkan menjadi proses memasang dan memunggah barang-barang dan peralatan daripada lori untuk menimbulkan suasana funfair ini baharu sampai ke kampung itu seperti dituntut oleh skrip.

Aku terbalikkan suasana dan keadaan sebenar funfair itu. Penonton tidak akan tahu perbezaan dua situasi itu kerana kelihatan serupa sahaja di mata kasar.

Masa 2 sehingga 3 minggu sememangnya lebih daripada mencukupi untuk aku membuat penggambaran menggunakan kawasan tapak funfair itu. Kami memutuskan untuk membuat keseluruhan penggambaran melibatkan lokasi-lokasi kampung dan funfair di Kuala Pilah.

Penggambaran drama ini dilakukan selama hampir 2 minggu pada Mac 1990. Ada pelajar-pelajar filem dan peminat menghubungi aku bertanya tentang bagaimana aku mengolah dan mengadun idea-idea seperti pergolakan bersenjata antara puak Sandinista dan Contra di Nicaragua dalam naratif Funfair itu.

Adakah aku cuma menggunakan voice over - suara latar atau suara hati watak untuk menggambarkan keadaan ini? Mereka mahukan penjelasan kerana mereka belum dan tidak berpeluang menonton drama ini.

Aku terbaca pendapat seorang pembaca supaya TV3 menayangkan semula drama ini. Jika ini boleh dilakukan aku rasa pelajar, penggiat filem dan penonton sekarang akan mendapat gambaran lebih jelas untuk memahami apa aku tuliskan tentang drama ini.

Satu pandangan yang tidak rugi untuk direalisasikan TV3.Untuk sekuen kematian kekasih Intan, Leon, seorang foto jurnalis bertugas membuat liputan pergolakan pemberontakan di Nicaragua, aku berjaya mevisualkan suasana pertempuran berlaku.

Dalam masa sama watak Leon berlindung di celah-celah runtuhan tembok sambil cuba mengambil foto keadaan kekecohan tembak menembak yang sedang berlaku. Tetapi Leon terkena peluru sesat dan mati di tempat kejadian.

Set Nicaragua ini kami bina di Kuala Pilah berpandukan shot-shot daripada filem Salvador (1986) arahan Oliver Stone. Sekuen ini digambarkan sebagai flashback Intan teringatkan Leon.

Untuk watak Leon, seorang pemuda Inggeris, aku bernasib baik kerana secara kebetulan rakan aku bersama mengikuti kursus filem di London pada 1984 bernama Toby Russell berada di Kuala Lumpur ketika itu atas urusan awal projek mengarah filem Dadah Connection dengan syarikat filem tempatan untuk pasaran luar negara.

Toby adalah anak kepada pengarah legenda tersohor Inggeris, Ken Russell (1927-2011) yang terkenal dengan filem-filem ikoniknya, Tommy(1975), Women In Love (1969),The Devil (1971) dan Altered States (1980).

Toby sangat berminat seni kung fu sehingga beliau menjadikan Hong Kong sebagai pengkalan beliau menghasilkan filem-filem dokumentari mengenai kung fu selain terlibat dalam pembikinan filem-filem cereka terbitan Malaysia, Hong Kong dan Taiwan daripada 90-an sehingga sekarang.

Toby sudi menerima pelawaan aku untuk memerankan watak Leon. Walaupun sudah hampir 25 tahun drama Funfair aku hasilkan, tetapi ia masih boleh dimanfaatkan oleh pembikin filem generasi muda kini untuk dijadikan bahan rujukan dan perkongsian ilmu.

Funfair banyak memberi aku pengalaman baharu untuk berkarya dan keberanian bereksperimen menghasilkan cerita-cerita out of the box – lari dari kebiasaan.

Satu kepuasan seni berkarya yang tidak berupaya aku lafazkan dengan kata-kata. Sehingga sekarang aku berasakan pengalaman mengarah drama Funfair ini banyak dibantu oleh kuasa magis yang sukar aku jelaskan. Terima kasih ALLAH.

Ahad, 19 April 2015

Funfair bertema hari raya

SATU lagi drama tulisan dan arahan aku paling meninggalkan kesan kepada aku ialah Funfair. Drama ini ditayangkan di slot cerekarama TV3 bersempena Hari Raya Aidilfitri, 1990.

Bila aku mendapat tawaran untuk menulis skrip bertemakan Hari Raya, aku memikirkan bagaimana menghasilkan skrip tidak membawa persoalan-persoalan biasa dan klise.

Untuk menulis skrip Funfair ini, aku bereksperimen dengan mengangkat isu-isu semasa tempatan dan dunia lalu diadun dengan tema dan suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri. Ketika itu aku amat tertarik membaca dan menonton filem-filem barat seperti filem Salvador (1986) arahan Oliver Stone yang membawa isu-isu pergolakan politik di negara-negara Amerika Latin Tengah seperti di El Salvador dan Nicaragua.

Di peringkat tempatan, aku tertarik dengan kes-kes kelahiran anak luar nikah dan isu-isu politik semasa. Aku cuma mengambil isu-isu ini sebagai bahan untuk Funfair.

Di zaman sekolah rendah dan menengah, aku memang suka funfair di pekan kecil kami di Alor Gajah, Melaka. Ketika zaman 60-an dan awal 70-an, funfair boleh dianggap satu taman hiburan bergerak yang hanya mampu dinikmati oleh orang kampung. Ia memang diraikan oleh penduduk luar bandar kerana hiburan lain seperti televisyen masih belum meluas.

Funfair meninggalkan banyak kesan-kesan nostalgia. Aku berpeluang menikmati muzik secara live dan menyaksikan penyanyi-penyanyi sedang top dan popular terutamanya daripada angkatan pop-yeh-yeh.

Jika tidak ada persembahan penyanyi maka akan diadakan tayangan filem. Selalunya filem-filem koboi dan filem-filem perang. Selalunya funfair bergerak ini akan berada di pekan kami selama sebulan. Pastinya suasana malam di pekan kecil kami akan berubah menjadi meriah.

Kepada orang ramai bila disebut funfair sahaja pasti akan terbayang pentas joget. Funfair, pentas dan penari joget adalah sinonim ketika itu.

Aku tumpang seronok melihat mereka yang berpangkat abang dan pakcik mempamerkan kelakuan dan lagak macho dan ganteng masing-masing ketika di pentas joget. Di pentas inilah pemuda-pemuda setempat dan juga golongan yang masih belum sedar kesenjaan usia berpesta. Macam-macam kerenah berlaku sehingga ada kalanya mencetuskan pergaduhan kerana berebut penari-penari joget.

Tetapi bermula tahun 80-an tidak ada lagi pentas joget disediakan funfair. Pentas joget diganti dengan pentas konsert. Funfair juga sudah mula dikenali sebagai Tapak Expo.

Aku cuma mengambil suasana kehadiran sebuah funfair berdasar pengalaman untuk drama ini. Isu-isu penting ialah tentang kerakusan serakah nafsu manusia sehingga melahirkan anak luar nikah. Isu politik dengan masalah perebutan kuasa dan suka tikam menikam untuk menjadi calon pilihan raya.

Ketika menulis skrip ini aku bayangkan kejadian-kejadian dalam drama ini berlaku di satu kampung atau pekan kecil  di kawasan berlatar belakangkan hutan, bukit-bukau dan banjaran gunung. Ada terdapat juga kawasan sawah padi. Aku tidak bayangkan suasana kampung di kawasan pantai atau kawasan kampung setinggan di pinggir bandar.

Aku juga tidak memikirkan sama ada boleh atau tidak aku mendapatkan funfair bergerak atau tapak funfair sebagai lokasi utama dan penting untuk drama ini.

Aku cuba mempraktikkan basic attitude  atau sikap asas seorang penulis skrip - aku tulis apa aku ingin ceritakan untuk bakal diwujudkan dalam bentuk visual nanti. Aku tidak perlu fikirkan masalah logistiknya. Sama ada tenaga produksi boleh mendapatkan atau tidak lokasi funfair tersebut. Ini bukan masalah untuk aku fikirkan sehingga menjadi penghalang dan membantutkan aku mencurahkan ilham dan idea untuk menghasilkan sesebuah skrip drama. Paling penting aku mesti berhasil menuliskan cerita yang ingin aku sampaikan kepada penonton.

Naratif drama Funfair ini berlaku dalam bulan puasa. Terjadi di satu pekan kecil beberapa hari lagi sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Drama ini mengisahkan Murad, berusia 50-an dan diperankan oleh Hisham Ahmad Tajuddin. Merupakan orang kuat parti dan ahli-ahli kawasan bercadang  mencalonkan nama beliau ke jawatankuasa bahagian menjadi calon parti di tempat mereka dalam pilihan raya yang bakal diadakan tidak lama lagi. Murad disebut-sebut punya harapan cerah.

Tetapi Murad berdepan dengan dilema kerana anak tunggal perempuannya, Intan berusia awal 30-an, seorang eksekutif di syarikat antarabangsa di Kuala Lumpur akan balik bercuti raya setelah 8 tahun tidak balik menyambut Hari Raya Aidilfitri dengannya, ibu dan adik angkatnya, Rosnah berusia 10 tahun.

Watak Intan, diperankan oleh Zu Ghairi. Intan pernah menjalin hubungan dengan seorang pemuda Inggeris, Leon ketika menuntut di luar negara hampir 10 tahun lalu. Hasil hubungan cintanya dengan Leon.

Leon pula terbunuh ketika menjalankan tugas membuat liputan pergolakan bersenjata antara pihak Sandinista dengan puak Contra yang didalangi oleh Amerika Syarikat di Nicaragua pada 1980 – 1982. Mereka tidak sempat berkahwin sedang Intan telah mengandungkan zuriat Leon. Intan tidak tergamak membuang kandungannya demi cintanya kepada Leon.

Bila balik ke tanah air dengan anak luar nikahnya, Intan telah diusir oleh Murad. Bapanya tidak mahu mengaku Intan anak kerana malu punya cucu bertaraf luar nikah berwajah orang putih. Anak Intan ini bernama Zul, berusia 8 tahun.

Leman yang sebaya dengan Murad merupakan pencabar terdekat Murad dalam merebut peluang untuk dicalonkan. Watak ini diperankan oleh Yusuf Muhammad (Allahyarham) daripada siri popular Rumah Kedai terbitan TV3 dan pelakon utama filem Panas(1998) arahan Nurhalim Ismail.

Walaupun di mata masyarakat setempat mereka kelihatan bersahabat tetapi Murad tahu Leman ada menyimpan rasa tidak puas hati dan berdendam dengan dirinya. Hanya mereka berdua sahaja yang tahu rahsia ini.

Bulan puasa ini juga selepas 20 tahun tiada funfair datang ke pekan kecil itu tiba-tiba datang satu rombongan funfair bergerak akan bermula pada hari raya pertama.

Murad cukup fobia dengan kedatangan funfair itu kerana ketika mudanya dahulu Murad walaupun sudah beristeri berperangai seperti Leman. Mereka  memang kaki ligat di pentas joget bila ada funfair datang ke pekan mereka itu. Murad dan Leman pernah berebut cinta seorang penari di pentas joget funfair dikenali sebagai Tipah Cina, diperankan oleh Azizah Mahzan. Digelar Tipah Cina kerana kulit putih melepaknya jadi kegilaan pemuda-pemuda kaki joget ketika itu.

Tanpa diketahui oleh Murad sebelum funfair itu berpindah ke pekan lain, Tipah Cina telah diperkosa oleh Leman sehingga 9 bulan kemudian melahirkan seorang anak lelaki luar nikah ketika funfair itu berada di negeri lain.

Anak lelaki Tipah Cina itu bernama Shafie sekarang telah berusia 20 tahun. Penyanyi kumpulan rock KRIS, Alim yang top dengan lagu-lagu hit mereka, Tiara dan Cenderawasih ketika itu memerankan watak ini.

Selepas 20 tahun Shafie ada bersama dengan funfair yang datang ke pekan itu sekarang. Dia bertugas menjaga permainan kuda pusing dan roda Ferris. Ibunya, Tipah Cina telah meninggal dunia ketika Shafie berusia 15 tahun.

Pada malam raya itu terbongkar siapa sebenarnya bapa Shafie dan siapa yang memperkosa Tipah Cina. Leman sebenarnya bapa Shafie. Leman gagal membusukkan nama Murad dengan menjaja cerita Intan punya anak haram dan Murad ada cucu haram. Leman juga gagal melibatkan Murad dengan kes Tipah Cina dirogol.

Tujuan Leman cuma satu – dia mahu menghalang nama Murad dicalonkan kerana Leman juga bercita-cita hendak namanya dipilih oleh bahagian sebagai calon.

Akhirnya, bila semua terbongkar Leman jadi hilang akal dan gila. Walaupun Shafie berjaya menemui bapanya tetapi sedih melihat keadaan Leman selepas segala kebusukannya terbongkar. Saksi yang terlihat Leman merogol Tipah Cina ialah Ah Siew, taukeh funfair. Sekarang beliau masih lagi taukeh funfair yang sama datang ke pekan itu seperti 20 tahun lalu.

Itulah serba ringkas sinopsis drama Funfair hasil karya dan arahan aku pada 1990.

Ahad, 12 April 2015

Peti televisyen jadi watak utama

DRAMA Runtuh hasil tulisan dan arahan aku ini, disiarkan di slot cerekarama TV3 pada 1994 merupakan karya terakhir aku disiarkan oleh televisyen tempatan.

Selepas ini, banyak masa aku terlibat berkonflik dengan pihak berkuasa kerana aku tidak puas hati dengan layanan mereka terhadap diri aku sebagai karyawan.

Menurut Hassan Abd Muthalib dalam bukunya, Malaysian Cinema In A Bottle - perbezaan pemikiran, fahaman dan perjuangan aku bersifat non conformist terhadap isu-isu dalam industri seni dan hiburan tanah air sehingga aku dianggap the enfant terrible of the industry. 

Drama Runtuh mencatit banyak kenangan manis dan pahit kepada aku. Aku berpuas hati kerana segala penat lelah tanpa tidur yang cukup selama hampir lebih 10 hari kerana kegilaan aku merakam tanpa henti siaran lintas langsung sepanjang operasi mencari dan menyelamat tragedi keruntuhan Highland Towers, akhirnya membuahkan hasil.

Jumlah bahan-bahan rakaman visual tragedi itu yang aku miliki dalam bentuk rakaman pita video VHS berdurasi hampir lebih 200 jam. ‘Muntah’ aku memilih bahan-bahan untuk digunakan menghasilkan drama ini.

Melalui drama itu, aku ingin bercerita tentang keserabutan, kekecohan dan kekalutan perangai manusia. Konflik manusia ini berlaku pada satu malam di satu unit kediaman apartmen di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.

Dalam masa sama, operasi mencari dan menyelamat tragedi keruntuhan kondominium Highland Towers sedang dijalankan dan disiarkan secara lintas langsung oleh stesen-stesen televisyen.

Satu keruntuhan berlaku di luar dalam bentuk fisikal dan satu lagi keruntuhan berlaku di dalam diri manusia dalam bentuk kegagalan melawan dan mengawal hasutan nafsu yang diperkudakan setan.

Runtuh bermula dengan kepulangan seorang jurufoto jurnalis sebuah akhbar ke apartmennya setelah selesai bertugas overtime membuat liputan tragedi keruntuhan Highland Towers.

Sidi Oraza memerankan watak jurufoto jurnalis ini sedang punya masalah dengan teman wanitanya, Aida Rahim yang marah kerana Sidi asyik menangguhkan pertemuan mereka kerana kesibukan.

Sidi menyewa salah satu daripada dua bilik di apartment itu. Bilik satu lagi didiami oleh seorang juruterbang yang diperankan oleh Faizal Hussein.

Si juruterbang ini pula sedang menghadapi masalah dengan teman wanitanya, seorang gadis anak keluarga bergelar. Si gadis ini kuat cemburu buta dan suka mengongkong Faizal. Watak gadis ini diperankan oleh Sharifah Haslinda atau Lind.

Di dalam bilik Faizal, sedang terjadi pertengkaran antara mereka. Faizal hendak memutuskan hubungan mereka. Lind bengang dengan niat Faizal itu – terjadi tuduh menuduh dan ungkit bangkit tentang benda-benda yang pernah mereka kongsi bersama sebelum ini.

Dalam waktu yang sama rakan Sidi, watak ini diperankan oleh Nasir Bilan Khan pula datang ke apartmen itu kerana ingin menyembunyikan isteri keduanya, A Aida yang baharu dinikahinya di Narathiwat, Thailand. Pasangan pengantin baharu ini ingin bersembunyi dari diburu oleh isteri pertama Nasir yang diperankan oleh Azizah Mahzan. Isteri pertama Nasir telah berjaya mengesan skandal kecurangan suaminya itu. Dia sedang menjejaki dan cuba mengesan di mana suaminya berada. Sidi terpaksa membenarkan Nasir dan isteri baharunya itu bersembunyi di biliknya sementara Nasir mencari jalan untuk menyelesaikan masalahnya itu.

Di bilik Sidi, Nasir terpaksa memujuk A Aida, isteri baharunya yang sangat marah kerana dibohongi oleh Nasir yang mengaku bujang sebelum ini.

Peti televisyen di ruang tamu itu sentiasa terpasang menyiarkan siaran lintas langsung sejak operasi mencari dan menyelamat dimulakan. Dalam keletihan Sidi terpaksa melepak di sofa di ruang tamu sambil ditemani oleh televisyen yang sedang menyiarkan siaran lintas langsung operasi mencari dan menyelamat dari lokasi tragedi keruntuhan Highland Towers.

Sidi seperti terperangkap oleh insiden keruntuhan Highland Towers. Di luar dia bertugas di lokasi tragedi dan bila balik ke rumah dia terpaksa berdepan lagi dengan insiden sama melalui siaran lintas langsung yang terpancar di skrin televisyennya.

Ketika lintas langsung di televisyen di ruang tamu menyiarkan tragedi itu, apartmen Sidi bagai hendak runtuh disebabkan perangai rakan-rakannya. Watak Sidi ini diperangkap dan terpaksa berdepan dengan dua bentuk keruntuhan.

Akhirnya, semua terbongkar. Isteri pertama Nasir berjaya menemui suami dan madunya di apartmen Sidi. Lind merajuk dan meninggalkan Faizal. Aida datang dan menemui Sidi yang terjelepuk keletihan teramat sangat kerana terpaksa melayan kerenah rakan-rakannya.

Begitulah secara ringkas naratif drama Runtuh.

Aku mengolah cerita ini dengan menjadikan kononnya televisyen di ruang tamu ini sedang menyiarkan siaran lintas langsung dari lokasi kejadian keruntuhan Highland Towers. Peti televisyen itu sebenarnya watak utama. Watak-watak manusia yang aku tampilkan hanya sebagai watak-watak pembantu untuk menggerakkan plot.

Satu keunikan drama ini ialah barisan pelakon-pelakonnya. Hampir kesemua yang terlibat merupakan pelakon-pelakon sedang top - Sidi Oraza, Faizal Hussein, Nasir Bilan Khan, Aida Rahim, Azizah Mahzan dan Sharifah Haslinda. Melainkan A Aida, pelakon baharu sedang mencari tapak dalam bidang lakonan ketika itu. Sekarang A Aida merupakan penerbit dan produser syarikat A Aida Production yang popular dengan siri Fatimah Juling dan Halimah Jongang.

Kecuali Sidi Oraza dan Sharifah Haslinda yang tidak aktif lagi tetapi ramai di antara mereka ini masih laris dan top sehingga sekarang.

Masalah yang aku hadapi ialah untuk meletakkan kredit barisan nama-nama pelakon. Masing-masing punya nilai setaraf dan pembahagian watak seimbang. Untuk menyelesaikan masalah ini aku mengambil keputusan meletakkan nama mereka mengikut abjad. Setakat aku tahu sehingga sekarang, drama Runtuh merupakan satu-satunya drama televisyen menggunakan sistem abjad untuk memperkenalkan barisan nama-nama pelakon yang terlibat.

Paling tidak dijangka dan lucu bila nama pelakon baharu A Aida kerana abjad A di depan namanya membolehkannya dikreditkan pelakon paling teratas berbanding Azizah Mahzan dan Aida Rahim. Nama A Aida pertama dan baharu diikuti oleh nama-nama pelakon lain.

Penggambaran Runtuh dilakukan pada pertengahan bulan Januari,1994, setelah aku berjaya mendapatkan produser untuk menerbitkan drama aku ini.

Semua berjalan lancar sehingga akhir penggambaran bila bayaran kedua beberapa tenaga penting termasuk penolong pengarah masih tertangguh. Ini membuat Faisal bengang dengan bayaran yang masih tidak ditunaikan. Dia ada keperluan untuk membayar sewa rumah, ansuran kereta dan keperluan-keperluan lain.

Satu petang, seminggu selepas tamat penggambaran dan masih menunggu bayaran yang dijanjikan, aku bersama Faisal dan Ito Mohd (penyanyi Blues Gang) berada di pejabat rakan aku yang sebelum ini telah aku ubahsuai jadikan lokasi apartmen Sidi untuk penggambaran tempoh hari.

Tiba-tiba si produser muncul dalam keadaan marah-marahkan Faisal. Terjadi pertengkaran sengit antara mereka. Keadaan sungguh tegang dan kritikal. Pergaduhan hampir terjadi. Berbagai kemungkinan boleh berlaku. Aku dan Ito berusaha menenangkan kedua-duanya.

Akhirnya, kami berjaya. Bila keadaan sudah terkawal dan si produser telah beredar, kami membuat keputusan supaya Faisal membuat laporan polis. Kami sepakat bersetuju tidak mahu menyebarkan dan mensensasikan insiden ini melalui media cetak dan elektronik kerana ia akan jadi kes polis.

Aku ingin catatkan di sini, seperti juga laporan polis yang aku buat 30 tahun lalu kes tauke panggung di Pulau Pinang mengsabotaj tayangan filem arahan pertama aku, Kembara Seniman Jalanan (1986) - tiada tindakan diambil oleh pihak berwajib.

Laporan polis oleh Faisal pada Januari, 1994, selepas hampir 21 tahun sehingga kini menerima nasib sama. Tiada tindakan undang-undang diambil ke atas produser tersebut. Walaupun kita semua maklum kesalahan melibatkan senjata api adalah satu kesalahan yang berat di sisi undang-undang negara ini.

Dari pengalaman ini, aku sering berfikir betapa parahnya keruntuhan nilai-nilai tanggungjawab kita sebagai manusia dan rakyat negara ini yang sepatutnya bertamadun, bermaruah dan paling penting menghormati undang-undang negara. Mana perginya nilai-nilai ini?

Jangan salahkan aku bertanya - apakah usaha kita untuk membendung keruntuhan ini? Atau kita mahu terus runtuh?

Ahad, 5 April 2015

Iktibar daripada lintas langsung

AKU mendapat ilham menulis skrip drama telefilem Runtuh sebaik sahaja operasi mencari dan menyelamat mangsa tragedi keruntuhan Highland Towers secara rasminya ditamatkan pada 22 Disember 1993. Tragedi ini telah meragut 48 nyawa menurut angka rasminya.

Aku merangka naratif drama ini dengan menggunakan tragedi keruntuhan Highland Towers sebagai metafora kepada keruntuhan nilai-nilai moral dan akhlak manusia terutamanya nilai-nilai moral orang-orang Melayu beragama Islam di Malaysia. Keruntuhan dan kebejatan akhlak berlaku tanpa disedari dan dipandang mudah oleh sebahagian lapisan masyarakat.

Di awal 90-an, negara kita sedang mengalami pertumbuhan ekonomi hebat dan sungguh memberangsangkan. Moral dan akhlak cuma dipandang daripada panjang atau pendek rambut seseorang. Kenapa aku berpendapat begitu?

Setahun sebelum peristiwa keruntuhan Highland Towers itu berlaku, negara digemparkan dengan tindakan menteri penerangan ketika itu. Beliau mengeluarkan arahan penyanyi-penyanyi dan artis-artis lelaki berambut panjang tidak dibenarkan muncul di program-program televisyen.

Apa kaitannya isu rambut panjang dengan siaran lintas langsung tragedi keruntuhan Highland Towers? Biar aku jelaskan.

Aku simpati dengan mereka kerana sumber rezeki mereka terjejas hanya kerana berambut panjang. Aku jadi pelik memikirkan apakah tidak ada lagi masalah-masalah yang membelenggu industri kreatif seni dan hiburan yang perlu diberi perhatian?

Masalah cetak rompak dan kesukaran produser dan penerbit berdepan dengan karenah birokrasi pihak berkuasa untuk mendapatkan dana untuk menghasilkan filem dan drama untuk televisyen.

Masalah juga timbul bila produser drama untuk televisyen berdepan dengan proses kelambatan bayaran selepas drama-drama mereka ditayangkan ketika itu.

Klimaks kepada isu rambut panjang ini merupakan siaran lintas langsung oleh RTM menyiarkan upacara memotong rambut kumpulan Search dan Wings melalui siaran Selamat Pagi Malaysia pada 1 November 1992.

Siaran lintas langsung ini boleh juga ditonton di seluruh negara-negara Asean. Aku berasa tidak puas kerana program lintas langsung itu tentu menelan belanja yang banyak.

Aku berasa malu kepada dunia luar kerana kita seperti membesar-besarkan isu remeh daripada menangani masalah-masalah kritikal dalam bidang seni hiburan tanah air termasuk rasuah yang sering disuarakan oleh golongan artis tanah air pada ketika itu.

Lintas langsung malapetaka bencana tragedi Highland Towers walaupun baik dari segi komunikasi masa, ia turut membawa kesan sebaliknya.  

Melalui lintas langsung tragedi Highland Towers ini aku dapat saksikan tahap daya fikir sesetengah pemimpin sepanjang operasi mencari dan menyelamat itu berjalan.

Ramai di antara mereka mempunyai kemampuan terbatas kerana memberi komen dan pendapat setengah masak tanpa membuat kajian.

Pada lima hari pertama aku perhatikan ramai pemimpin berebut-rebut mahu muncul tanpa mengira masa untuk memberi komen, pandangan dan keyakinan kepada rakyat bahawa mangsa-mangsa akan berjaya diselamatkan dalam masa terdekat.

Suasana ini mula berubah bila operasi mencari dan menyelamat mula memasuki hari ketujuh dan kelapan. Aku lihat sudah mula tidak ada lagi pemimpin-pemimpin berebut-rebut untuk muncul secara live untuk memberi komen. Aku berpandangan pastinya mereka mula menyedari jangkaan mereka mula meleset.

Selepas seminggu, keghairahan petugas dan penyampai laporan di lokasi kejadian bertugas memberi ulasan semakin berkurangan. Ada ketikanya aku hanya akan menonton visual-visual tanpa ulasan daripada penyampai laporan stesen televisyen berkenaan untuk kadang-kadang sehingga 30 ke 40 minit.

Hanya terpancar di skrin televisyen visual jentera-jentera berat jentolak menggali kawasan runtuhan mencari mangsa-mangsa yang mungkin masih terselamat walaupun harapannya sangat tipis.

Pernah berlaku pada satu pagi sebelum subuh ketika operasi mencari dan menyelamat memasuki hari ke-10 jika aku tidak silap, aku menyaksikan bagaimana kamera yang diletakkan di atas tripod perlahan-lahan bergerak menunduk ke bawah.

Pada mulanya, kamera menunjukkan visual pekerja-pekerja penyelamat mencari mangsa dicelah-celah runtuhan konkrit, tetapi lama-kelamaan secara perlahan-lahan kamera menunduk ke bawah sambil merakamkan kawasan tanah di bahagian kaki tripod di bawah kamera.

Aku cuma mampu tersenyum sendiri melihat shot yang terpancar hampir 10 minit di skrin televisyen dan dirakam oleh alat perakam video aku di subuh dingin itu.

Rasa simpati dan kasihan aku kepada jurukamera bertugas yang aku rasa mungkin terlalu letih dan mengantuk sehingga lupa dan gagal memastikan kamera itu dipasang dengan kemas di atas tripod.

Pengalaman ‘gila’ aku merakam tanpa henti siaran lintas langsung ini sangat bernilai dan pasti tidak aku lupakan sampai bila-bila. Pengalaman yang sangat berbaloi dengan pengorbanan aku lakukan – cuma tidur beberapa jam sahaja setiap hari kerana berjaga untuk merakam siaran lintas langsung itu sepanjang malam. Aku perlu pastikan pita-pita video perlu ditukar dengan yang baharu bila pita tersebut telah tamat durasi rakamannya.

Isteri dan anak-anak aku pelik dengan kerja ‘gila’ aku ini. Mereka juga ada ketikanya membantu merakamkan siaran lintas langsung itu pada waktu siang hari bila aku terpaksa keluar menghadiri temu janji dengan produser dan rakan-rakan atas urusan kerja.

Secara peribadi aku berpendapat, tindakan melakukan lintas langsung selama 24 jam sepanjang operasi mencari dan menyelamatkan itu merupakan tindakan yang boleh mengundang berbagai kemungkinan di luar kawalan manusia.

Benarlah sangkaan dan telahan aku bila contoh-contoh negatif dan tindakan kurang cerdik pemimpin-pemimpin dan petugas-petugas media seperti di atas dapat disaksikan bila bersiaran secara lintas langsung. Tiada apa boleh disorokkan atau disunting kerana rakaman dibuat secara live.

Walau bagaimana pun kerja gila aku selama seminggu lebih itu banyak memberi aku pengalaman baharu yang boleh aku manfaatkan sebagai seorang filmmaker. Akhirnya, semuanya usaha mencari dan menyelamat berakhir pada 22 Disember 1993.

Skrip Runtuh aku tulis tanpa memikirkan ada atau tidak produser yang berminat untuk membeli dan menerbitkannya. Aku tulis kerana aku merasakan ada sesuatu yang aku hendak sampaikan dengan menggunakan bahan-bahan rakaman video lintas langsung daripada RTM dan TV3 yang telah aku rakamkan selama 12 hari operasi mencari dan menyelamat dilakukan. Aku tidak fikirkan bila dan siapa akan menerbitkan skrip drama ini.

Ketika itu bagi aku paling penting ialah idea dan bahan-bahan yang aku bertungkus lumus rakamkan itu berjaya dijadikan drama diinspirasikan oleh tragedi Highland Towers.

Sebelum idea dan ilham hilang daripada minda, aku berusaha menulis skrip Runtuh ini di antara minggu terakhir 1993 dan seminggu pertama 1994.

Seterusnya aku perlu mencari produser yang berminat menerbitkan drama ini supaya aku berjaya merealisasikan naratif keruntuhan akhlak, moral dan kemunafikan manusia ke dalam bentuk visual pula.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...