Ahad, 29 Mac 2015

Ilham daripada tragedi Highland Towers

DI antara pertengahan 1991 sehingga 1993, aku berhasil menulis skrip dan mengarahkan drama-drama berjudul Funfair, Joget, Tatoo, Runtuh dan Gigolo. Drama ini untuk siaran slot cerekarama di TV3.

Rupanya catatan senarai tajuk-tajuk drama yang pernah aku arahkan pada awal 90-an dalam artikel minggu lalu menarik perhatian beberapa anak muda yang meminati bidang perfileman. Ada yang menghubungi dan meminta aku menulis dan menceritakan tentang kisah-kisah berlaku behind the camera atau kisah-kisah di belakang kamera ketika aku membuat penggambaran atau ketika aku menulis skrip drama-drama tersebut.

Mereka beranggapan dengan judul-judul yang lain daripada kebiasaan mesti ada kisah dan cerita menarik di belakang tabir pada setiap pembikinan drama-drama tersebut. Mereka meminta aku menulis dan berkongsi pengalaman tentang hal-hal tersebut. Menarik juga cadangan ini bila aku fikirkan. Sememangnya selama ini aku banyak menulis tentang penglibatan dan pengalaman aku dalam penggambaran filem-filem cereka dan dokumentari. Kenapa tidak aku tulis tentang pengalaman dan penglibatan aku dalam penggambaran dan pembikinan drama untuk televisyen pula?

Kebanyakan drama televisyen arahan aku adalah karya aku sendiri. Ada yang ingin tahu kenapa aku sering menggunakan satu perkataan sahaja untuk tajuk-tajuk hampir kesemua drama aku? Antara sebabnya aku berpendapat judul-judul seperti ini mudah diingati oleh penonton.

Aku gemar cara ini kerana drama-drama dengan judul satu perkataan berupaya memberi gambaran awal tentang ketepatan isi cerita yang bakal penonton tontoni. Ini tidak bermakna aku tidak memberi ruang kepada diri sendiri untuk lebih bersifat terbuka dalam soal pemilihan judul skrip-skrip drama tulisan aku. Senang cerita sebab nombor wahid ialah ketika itu aku sedang melalui proses mencari dan mewujudkan identiti sendiri setakat mana aku mampu.

Aku juga ditanya tentang drama mana paling terkesan kepada aku baik dari aspek penggambaran dan penghasilan naskhahnya. Sukar untuk aku memberi pilihantepat kerana kebanyakan skrip drama yang aku tulis sememangnya amat istimewa dan punya sebab-sebab dan makna tersendiri mengapa aku menghasilkan naskhah drama tersebut.

Mulai minggu ini aku akan menceritakan pengalaman aku menulis dan menghasilkan drama. Aku akan mulakan dengan drama berjudul Runtuh yang aku tulis dan arahkan pada 1994. Skrip drama Runtuh diinspirasikan oleh tragedi keruntuhan bangunan apartmen blok 1 Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Kelang pada 11 Disember 1993. Peristiwa yang mengejutkan seluruh negara itu mengorbankan 48 nyawa. Di antara mangsa korban itu ialah anak lelaki bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam bernama Carlos Rashid dan isterinya.

Tragedi ini juga pernah difilemkan dalam bentuk genre seram berjudul Highland Towers (2013) arahan Pierre Andre.

Insiden keruntuhan Highland Towers ini mendapat liputan secara live – lintas langsung yang luar biasa dan meluas daripada media elektronik tanah air. Peristiwa keruntuhan Highland Towers ini memang mengejutkan rakyat dan seluruh negara. Sebelum ini tiada kejadian bangunan runtuh sepelik dan sedahsyat ini.

Aku rasa setakat 1993 dan sehingga sekarang itulah kali pertama liputan siaran langsung bencana dibuat secara besar-besaran. Sehingga kini belum ada lagi liputan sedemikian rupa dilakukan mana-mana stesen televisyen negara ini. Saluran RTM dan TV3 mengadakan lintas langsung dari lokasi kejadian sepanjang masa selama 24 jam sehari sepanjang 12 hari operasi mencari dan menyelamat dilakukan.

Aku masih ingat, pada petang hari tragedi keruntuhan itu berlaku aku berada di Studio Panca Delima, studio milik Tan Sri Jins Shamsuddin di Jalan Ulu Kelang. Bangunan studio itu masih ada lagi sekarang. Tetapi sekarang bahagian bawah bangunan studio itu menjadi kedai bengkel tayar kereta. Aku tidak berapa pasti tetapi rasanya di tingkat atas masih menempatkan bilik-bilik pejabat seperti 22 tahun lalu.

Di studio itu juga dahulu terletaknya bilik rakaman untuk proses alih suara atau dubbing untuk filem. Selain bilik dubbing, kumpulan rock tersohor tanah air, Search juga pernah menyewa bahagian bawah studio itu dijadikan studio latihan dan jamming mereka.

Berbalik kepada kejadian Highland Towers runtuh pada tengah hari Sabtu itu, aku ke Studio Panca Delima untuk bertemu Ito Mohd, penyanyi Blues Gang. Sebaik aku sampai dalam pukul 2.30 petang, aku lihat helikopter berlegar-legar di kawasan Bukit Antarabangsa yang terletak tidak jauh dari situ. Menurut beberapa orang di studio itu, ada bangunan runtuh di kawasan itu.

Aku dan Ito memandu ke kawasan itu untuk melihat dan mengetahui apa yang berlaku. Sebaik kami sampai di persimpangan ke Bukit Antarabangsa, ada sekatan jalan raya dan kami tidak dibenarkan melalui jalan menghala ke Ampang. Kami berpatah balik dan menyusuri jalan menghala ke Datuk Keramat. Di atas kami helikopter masih lagi berlegar. Sepanjang jalan AU 3, Keramat itu sesak. Melalui radio kereta aku mendengar berita tragedi keruntuhan bangunan apartmen Highland Towers yang berlaku pada pukul 1.30 petang itu.

Malam itu di rumah aku mengikuti perkembangan tragedi Highland Towers runtuh melalui siaran berita RTM dan TV3. Lewat tengah malam itu, diumumkan yang RTM dan TV3 akan serentak menyiarkan secara langsung sepanjang waktu selama operasi mencari dan menyelamatkan dilakukan. Melalui siaran berita dan temu ramah di lokasi kejadian dengan beberapa menteri dan ketua jabatan penting kerajaan ketika itu, mereka berkeyakinan dalam masa terdekat mangsa-mangsa akan dapat diselamatkan. Aku pula terfikir, jika ditakdirkan operasi ini mengalami kesukaran dan berlanjutan sehingga melebihi dari jangka masa yang dirancang, bagaimana?

Aku berasa hairan dan terdetik di benak, apakah jaminan dan kepastian operasi mencari dan menyelamat mangsa-mangsa ini bakal selesai dalam masa terdekat dan untuk beberapa hari sahaja? Secara peribadi aku berpendapat liputan langsung around the clock - sepanjang waktu mengenai peristiwa bencana dan malapetaka merupakan satu tindakan yang boleh mengundang berbagai kemungkinan di luar jangkauan akal manusia. Secara peribadi aku berpandangan, kita tidak mampu menjangka berapa lama operasi itu perlu dilakukan kerana proses mencari dan menyelamat ini di luar kawalan dan penentuan masa manusia. Apa pun ini cuma pendapat dan pandangan aku sahaja.

Mulai keesokan harinya, aku mula mengikuti perkembangan terkini tragedi terburuk dalam sejarah negara itu melalui siaran lintas langsung di RTM dan TV3. Aku melepak depan televisyen sepanjang hari. Ketika itu aku sedang dalam proses menulis skrip drama. Jadi banyak masa aku berada di rumah. Aku tidur pun depan televisyen. Sepanjang malam aku tidur pun jenis tidur-tidur ayam, sekejap aku akan terjaga dan mengikuti siaran langsung tersebut dan kemudian tertidur semula.

Pada hari ketiga, tiba-tiba aku didatangi satu ilham. Aku terfikir, kenapa tidak aku rakamkan siaran lintas langsung 24 jam ini untuk aku jadikan bahan simpanan peribadi dan rujukan untuk masa depan. Dengan melihat perkembangan semasa ketika itu, aku percaya operasi mencari dan menyelamat ini akan berlarutan sehingga ke satu masa yang sukar dipastikan.

Pada tahun awal 90-an belum ada lagi VCD dan DVD, alat pandang dengar paling popular ketika itu ialah videotape atau pita video. Aku mula merakam siaran lintas langsung dari lokasi bencana keruntuhan dan termasuk siaran berita daripada kedua stesen televisyen, RTM dan TV3. Rupanya benar telahan aku, operasi mencari dan menyelamat yang dijangka mengambil masa singkat berlarutan sehingga 12 hari.

Pada 22 Disember 1993, operasi mencari dan menyelamat dengan resminya dihentikan setelah 48 mayat ditemui. Aku pula memperoleh hampir 60 pita video mengandungi bahan-bahan rakaman berita dan siaran lintas langsung sejak hari ketiga insiden keruntuhan bangunan paling terburuk pernah berlaku di negara kita.

Setahun selepas itu aku mendapat peluang menulis dan mengarah drama untuk televisyen berdasarkan tragedi keruntuhan Highland Towers. Pastinya baha yang aku rakamkan menjadi sungguh berguna untuk aku menghasilkan drama yang aku berikan judul Runtuh.


Minggu depan aku akan ceritakan apa terjadi di sebalik pembikinan drama tersebut yang banyak meninggalkan pengalaman pahit dan manis sehinggakan ada nyawa yang terancam dan nyaris melayang.

Ahad, 22 Mac 2015

Filem Selubung tanpa CGI

AKU pernah menjadi penolong pengarah dan pengarah seni kepada Shuhaimi Baba semasa beliau mengarahkan telefilem pertama TV3 yang baharu mula beroperasi ketika itu.

Telefilem berjudul Maria diproduksikan pada 1984 dengan dibarisi oleh pelakon-pelakon Mustapha Nor (Allahyarham), Fatimah Abu Bakar, Kee Thuan Chai dan dibantu oleh peserta-peserta bengkel lakonan anjuran Finas di bawah kelolaannya.

Aku mendapat peluang sekali lagi berkolaborasi dengan Shuhaimi pada 1990. Kali ini aku juga menggalas tugas penolong pengarah dan pengarah seni untuk filem sulung Shuhaimi berjudul Selubung sesudah berjaya mengarah dua filem, Kembara Seniman Jalanan (1986) dan Rozana, Cinta 87 (1987).

Kelihatan seperti aku ‘turun pangkat’. Kenapa aku terima tawaran penolong pengarah dan pengarah seni untuk filem sulung beliau? Aku sanggup menerima tawarannya atas rasa hormat dan menghargai sumbangan serta jasanya membantu perjalanan kerjaya seni dan filem. Aku mengenali beliau pada pertengahan 70-an ketika aku masih menuntut di UiTM, Shah Alam.

Ramai tidak tahu bahawa produksi filem Selubung melalui dua kali perubahan dan pertukaran. Perubahan kumpulan tenaga kerja, penjadualan penggambaran dan pertukaran penerbit atau produser.

Filem Selubung memulakan pra-produksi pada awal 1990. Seingat aku, mereka yang terlibat terdiri daripada beberapa orang tenaga pembantu lain. Kami bertugas dan bergerak dalam satu kumpulan kecil. Bermula dengan mencari lokasi dan pemilihan pelakon.

Pada masa sama olahan demi olahan dan perubahan kepada skrip dilakukan. Penulis asal cerita Selubung ini ialah Nora Ariffin Fleming yang bermastautin di Canberra, Australia.

Skrip filem Selubung memerlukan lokasi-lokasi di Australia terutamanya lokasi kampus universiti kerana naratif filem ini bermula dengan mengisahkan tentang pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di sana berdepan dengan masalah dan pengaruh ajaran sesat bertopengkan Islam. Ajaran yang dibawa oleh watak Brother Musa, diperankan oleh Harith Iskandar.

Masalah ini melibatkan watak-watak utamanya, Mastura, diperankan oleh Deanna  Yusoff dan watak EJ oleh Ida Nerina. Hampir 10 peratus terutamanya pembukaan filem ini perlu dilakukan penggambarannya di negara kanggaru itu.

Aku dan Shuhaimi ke Sydney dan Canberra selama 10 hari pada Jun 1990 untuk mencari dan mengenal pasti lokasi-lokasi yang diperlukan untuk penggambaran babak-babak di Australia.

Sebaik sahaja kami pulang dari Australia dan menyambung semula kerja-kerja pra-produksi, tiba-tiba pada satu hari aku terkejut bila Shuhaimi memberitahu berita yang tidak kami duga sama sekali.

Produser yang membiayai produksi filem ini meninggal dunia. Shuhaimi terpaksa menunda penggambaran ke tarikh yang tidak dapat dipastikan lagi. Memang berita ini membuat kami rasa kecewa dan terduduk, tetapi dugaan ini perlu dihadapi dengan tawakal dan sabar.

Aku terpaksa mencari peluang kerja dan berkarya yang lain untuk menampung hidup kami sekeluarga sementara menunggu pembikinan filem Selubung disambung semula.

Jika aku tidak silap, hampir lebih lapan bulan menunggu sehingga ke tahun 1991. Akhirnya, Shuhaimi berjaya mendapatkan seorang produser baharu untuk melabur dalam produksi Selubung. Produser itu ialah Abdullah Omar (Allahyarham).

Melalui syarikatnya, Identity Entertainment (M) Sdn Bhd, filem Selubung disambung semula produksi dan penggambarannya pada penghujung 1991. Tetapi kali ini aku tidak dapat ikut serta kerana aku terlibat dengan pengarahan beberapa drama untuk siaran TV3.

Di antara pertengahan 1991 sehingga 1993, aku berjaya mendapat peluang mengarah drama untuk slot cerekarama di TV3. Tidak seperti RTM, aku tidak di‘gam’ oleh stesen televisyen swasta ini.

Di antara drama-drama arahan aku yang disiarkan melalui slot cerekarama ialah Namaku Shima, Funfair, Joget, Tatoo, Duda, Runtuh berdasarkan insiden keruntuhan kondo Highland Towers dan Gigolo - melibatkan penggambaran underwater yang dilakukan di Pulau Besar, Mersing. - Aku rasa inilah drama pertama untuk televisyen yang melakukan penggambaran dalam laut.

Berbalik kepada penggambaran filem Selubung, Shuhaimi menggunakan barisan tenaga kerja kreatif yang baharu. Tugas pengarah seni dan pereka produksi dipikul oleh  Zuraini Anuar yang sebelum ini banyak menimba pengalaman sebagai pengarah seni di bidang filem iklan dan penerbitan program televisyen.

Selain pertukaran tenaga kerja kreatif, lokasi di Australia juga turut mengalami pertukaran. Kali ini Shuhaimi memindahkan lokasi kampus universiti dari Canberra ke Perth, Australia Barat.

Secara jujur aku memang berasa terkilan juga kerana tidak dapat bersama dalam penggambaran terbaharu ini. Tetapi aku tidak boleh memungkiri komitmen kepada produser-produser yang memberi aku kepercayaan untuk mengarah drama-drama mereka.

Memang benar pepatah Melayu mengatakan, jika ada rezeki kita pasti tidak ke mana. Di pertengahan penggambaran Selubung, aku dihubungi oleh Shuhaimi. Kami berjumpa dan Shuhaimi meminta aku bertindak sebagai pengarah seni dan pereka produksi khas untuk sekuen yang mereka namakan ‘Beirut Sequence’.

Sekuen ini memerlukan diwujudkan suasana di kawasan perlindungan di mana para doktor dan para sukarelawan-sukarelawan Rescaid di antaranya watak yang diperankan oleh Jit Murad sedang bertungkus lumus menyelamat dan memberi rawatan kepada mangsa-mangsa terutamanya kanak-kanak yang diserang askar-askar Zionis Israel.

Mise-en-scene dan mood yang perlu aku reka ciptakan adalah keadaan kelam kabut perang dengan bangunan terbakar, kenderaan meletup, orang-orang Arab dewasa dan kanak-kanak lari menyelamatkan diri dari serangan askar-askar rejim Zionis Israel. Satu suasana kacau bilau peperangan.

Berpandukan gambar-gambar yang diberikan oleh Shuhaimi, aku dan unit yang dibentuk khas untuk melahirkan sekuen ini telah mencari beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur yang sesuai untuk dibina set Beirut seperti dibayangkan oleh Shuhaimi. Aku berjaya menjumpai bangunan rumah kedai lama hampir runtuh di Jalan Tun Razak.

Lokasi bangunan itu berada di tepi tebing sungai Gombak bertentangan dengan stesen LRT Titiwangsa sekarang. Di atas lokasi itu sekarang sedang dibina bangunan baharu selepas hampir 20 tahun terbiar.

Satu pengalaman kerja menarik. Selama lima hari, siang dan malam aku dan pasukan special effect atau kesan efek khas bekerja keras bertungkus-lumus menyediakan dan membina set tersebut.

Secara peribadi aku sungguh puas hati dengan apa yang mampu kami hasilkan memandangkan zaman itu belum ada lagi teknologi CGI seperti sekarang.

Hasilnya sungguh berbaloi, sehingga membolehkan Zuraini Anuar memenangi anugerahkan Penataan Seni Terbaik di Festival Filem Malaysia ke 10,1992.

Di Festival Filem Malaysia yang sama, filem Selubung berkongsi dengan filem Bintang Malam, arahan Adman Salleh memenangi Anugerah Filem Terbaik 1992.

Dengan mencabar daya kreatif kita sendiri, aku dan pasukan kesan efek khas berjaya menghasilkan dan mereka cipta suasana negara asing dengan menggunakan lokasi tempatan tanpa teknologi CGI.

Alhamdulillah, dengan kecanggihan teknologi terkini kesinambungan daripada aspek production design ini terus diterokai oleh pembikin-pembikin filem generasi muda sekarang.

Paling terkini ialah berhasilnya Bangladesh diwujudkan di Perak dalam Werewolf dari Bangladesh. Tahniah, Mamat Khalid!

Ahad, 15 Mac 2015

Tok Guru berbicara tentang seni

SATU perjumpaan dan sesi dialog antara penggiat seni hiburan dan karyawan seni dan sastera bersama Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat telah diadakan pada 31 Oktober 2002 di rumah Seri Kelantan, Jalan Stonor, Kuala Lumpur. Perjumpaan itu adalah atas daya usaha Dinsman dan diaturkan Setiausaha Politik Tok Guru ketika itu, Anual Bakri.

Dinsman yang mewakili kami memulakan dialog dengan meminta penjelasan tentang kegiatan seni dan hiburan daripada perspektif Islam. Tok Guru sendiri mengakui yang beliau bukan mahu mengambil alih tugas mufti dalam menghalal dan mengharamkan satu-satu perkara dan perbuatan. Namun kepada kami beliau merupakan tokoh yang juga punya autoriti untuk memberi penjelasan dan kefahaman tentang seni hiburan dari aspek halal haramnya dari segi Islam.

Menurutnya, Islam tidak menghalang kegiatan kesenian. Beliau menjelaskan dalam al-Quran banyak ayat-ayat yang menyebut dan menyatakan tentang keindahan, kecantikan dan kedamaian. Tok Guru menerangkan seni itu indah dan apa saja yang berunsur keindahan adalah seni. Dunia ini penuh dengan keindahan dan semua keindahan ini adalah anugerah ALLAH SWT.

Di antara perkara yang dibangkitkan ialah seni muzik daripada kaca mata Islam. Ito Mohd, penyanyi kumpulan Blues Gang menimbulkan persoalan penggunaan alat muzik yang menurut pendapat sesetengah ulama alat-alat muzik menggunakan tali seperti gitar adalah haram. Ada ulama berpendapat hanya alat muzik seperti gendang atau rebana sahaja dibolehkan. Sememangnya isu itu hangat diperkatakan sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan pemuzik dan penyanyi pada awal 2000.

Ito turut mempersoalkan bagaimana gendang dan penggunaannya yang dianggap Islamik oleh sesetengah pihak, tetapi ironinya gendang dan alat-alat perkusi merupakan alat muzik paling dominan ketika meraikan pesta-pesta seperti Karnival Mardi Gras di Brazil yang melibatkan penari-penari dan peserta perempuan berpakaian hampir bogel. Macam mana itu?

Menurut Tok Guru, ada kekhilafan pendapat ulama tentang perkara tersebut. Tok Guru mencadangkan supaya pemuzik dan penyanyi mengambil jalan tengah. Bila dan mana yang bercampur aduk dengan maksiat jangan dibuat dan yang bersih dan tidak melanggar hukum hakam agama boleh diteruskan. Inilah asas penting paling utama perlu diketahui dan difahami oleh setiap penggiat seni dan karyawan.

Tok Guru menjelaskan, lagu-lagu, syair-syair dan tarian yang ditegah oleh Islam adalah yang punya unsur-unsur menimbulkan berahi, melalaikan, memuji arak atau wanita, berunsur syirik, anti dakwah serta pencampuran antara lelaki dan wanita.

Jalan tengah yang disyorkan oleh Tok Guru dan menurut kefahaman yang mampu kami tafsirkan ialah berkaryalah, ciptalah dan dendangkanlah lagu-lagu asalkan tidak bercanggah dengan hukum hakam Islam.

Aku teringat kepada Cat Stevens, seorang penyanyi folk rock kelahiran Britain yang meletup dengan lagu-lagu di antaranya Morning Has Broken, Wild World, Father And Son dan Peace Train. Mula mencipta nama sebagai penyanyi dan gitaris pada akhir 60-an sehingga pertengahan 70-an. Setelah memeluk Islam dengan nama Yusuf Islam pada 1977, beliau telah membuang semua alat muzik bertali dan meninggalkan bidang nyanyian. Yusuf Islam pernah bergabung dengan kumpulan nasyid paling popular Malaysia, Raihan merakamkan lagu GOD Is The Light tanpa menggunakan alat muzik bertali pada 1997.

Tetapi pada 2006, Yusuf Islam telah kembali membuat rakaman album dengan menggunakan gitar dan melahirkan album berjudul An Other Cup.

Perhatikan kenyataan Yusuf Islam ketika ditanya oleh wartawan mengenai comeback albumnya itu. Kata penyanyi itu, hiburan yang sihat boleh diterima dengan batasan dan had tertentu. Dia berasakan tidak berdosa membuat persembahan dengan menggunakan gitar. Kini, dia berasakan muzik mampu meningkatkan kerohanian yang sering diperlukan ketika dalam kekalutan.

Mulai 2006, Yusuf Islam telah menemui jalan tengah seperti yang disarankan oleh Tok Guru kepada kami pada 2002. Sehingga sekarang Yusuf Islam terus menghasilkan album dan membuat persembahan. Pandangan Tok Guru memang jauh ke depan.

Berkenaan filem pula, kita dapati lebih banyak yang bercanggah berbanding dengan yang dibenarkan oleh Islam. Terutamanya dalam pembikinan dan penghasilan filem-filem cereka dibandingkan dengan filem-filem dokumentari. Daripada masalah pelakon, suasana pembikinan sesebuah filem dan apa yang mahu disampaikan melalui filem dari dahulu sehingga sekarang banyak boleh dipersoalkan dan dipertikaikan oleh massa bila dilihat daripada aspek agama.

Bila membicarakan tentang filem daripada aspek Islam, Tok Guru berpandangan bahawa agama Islam bukan penghalang, tetapi pengawal. Dalam segi ini, Islam cuba mengawal kita daripada terjerumus ke jalan maksiat dan kekufuran, tegas Tok Guru.

Kita semua tahu bahawa budaya popular dan moden terutamanya filem berpusat di Hollywood, Amerika. Bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pembikin filem tempatan beragama Islam, Tok Guru memberi pandangan yang sungguh mencabar yang tidak boleh aku lupakan. Tok Guru mencadangkan -cipta benda baharu yang Amerika belum buat lagi!

Secara peribadi, aku berasakan sehingga kini pembikin dan penggiat filem tidak terkecuali aku sendiri masih belum berupaya dan berjaya menggerakkan cadangan Tok Guru itu. Aku mengambil pendekatan dan fikiran terbuka mengenai cadangannya itu.

Tanpa mengira fahaman politik dan tanpa mengira bangsa dan kaum, aku rasa amanah Tok Guru itu perlu dan wajar difikirkan oleh semua pembikin dan penggiat filem Malaysia. Usaha ke arah itu perlu dimulakan mulai sekarang. Rasanya belum terlambat walaupun Tok Guru sudah tidak ada bersama kita lagi buat selama-lamanya.

Ketika menjalani penggambaran dokumentari Tok Guru, aku mendapat informasi daripada Anual Bakri tentang selama ini (sehingga 2001) cuma tiga malam sahaja Tok Guru tidak dapat melakukan solat sunat tahajud disebabkan demam.

Menurut Anual Bakri, ini diceritakan oleh Tok Guru sendiri kepadanya. Ketika itu tergerak hati aku untuk mendapat kepastian daripada Tok Guru, tetapi entah kenapa sangat berat mulut aku untuk bertanya. Akhirnya, aku lupakan sahaja niatku itu.

Selepas 13 tahun, informasi ini disahihkan oleh Tok Guru sendiri dalam ucapannya pada Majlis Ramah Mesra Kerajaan Negeri Kelantan bersama Selebriti pada 29 September 2013 di Hotel De Palma, Ampang.

Dalam ucapannya, beliau menyatakan seingatnya sehingga saat itu beliau hanya meninggalkan solat sunat tahajud cuma tiga malam sahaja. Tok Guru juga dalam ucapannya itu menyatakan beliau selalu mendoakan supaya golongan artis, pelakon, penyanyi yang sering dikaitkan dengan membawa orang lain kepada kelalaian dibuka pintu hati mereka untuk kembali kepada ALLAH SWT.

Tok Guru menitiskan air mata dalam ucapannya sambil menyatakan kesyukurannya kerana di akhir-akhir usia, doanya itu dikabulkan ALLAH SWT.

Awal tahun ini seorang rakan mencadangkan kepada aku supaya aku usahakan untuk memfilemkan sejarah hidup Tok Guru dalam bentuk filem cereka. Dia memberi contoh filem Gandhi (1982) arahan Sir Richard Attenborough.

Rakan aku ini mencadangkan supaya aku hanya ambil momen-momen penting sahaja dalam hidup Tok Guru. Contohnya momen-momen yang melibatkan usaha dan kejayaan Tok Guru merubah landskap politik tanah air. Maksudnya, tidak perlu tunjukkan Tok Guru daripada sejak lahir, kecil sehingga dewasa.

Di Indonesia, filem Sang Pencerah (2010) arahan Hanung Bramantyo berjaya mengvisualkan kehidupan dan perjuangan Kiyai Ahmad Dahlan, pengasas pergerakan Muhammadiah pada 1912. Aku terfikir jika ada produser berminat untuk menerbitkan filem Tok Guru ini, mengapa tidak diusahakan?

Alangkah indah jika kita dapat menonton filem kisah seorang murabbi dan pejuang Islam, Datuk Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat yang telah meninggalkan kita pada 12 Februari 2015.

Moga rohnya dicucuri rahmat dan keampunan ALLAH SWT bersama roh-roh para aulia, anbia dan syuhada. Al-Fatihah.

Ahad, 8 Mac 2015

Tok Guru beraksi!

SELEPAS Asar pada petang 24 Oktober 2001, hari terakhir penggambaran peringkat pertama, kami telah berpeluang membuat penggambaran Tok Guru di kebunnya yang terletak tidak jauh daripada rumahnya.

Tok Guru ke kebun membawa sebilah parang panjang dan selaras senapang patah. Dengan memakai baju T putih, berseluar panjang, berkain pelekat, berkopiah dengan sepasang boot getah, Tok Guru menyusuri jalan sunyi kampung menuju ke kebunnya.

Selain menebas semak samun di kebun, Tok Guru juga akan menembak tupai-tupai yang sering memakan buah kelapa dan buah-buahan lain di kebunnya itu.

Walaupun aku dan Dinsman cuba sedaya mampu sepanjang penggambaran ini tidak meminta Tok Guru beraksi atau melakonkan pergerakan dan rutin hidup hariannya tetapi ketika membuat penggambaran Tok Guru menebas dan menembak tupai di kebunnya, aku telah melanggar pantang yang kami setujui bersama sebelum ini.

Ada dua shot Tok Guru diminta beraksi. Atas permintaan jurukamera, Tok Guru diminta untuk menghalakan muncung senapangnya ke arah kamera. Shot kedua ialah shot yang aku minta supaya Tok Guru mengayunkan parangnya betul-betul dari depan kamera sehingga ke arah atas kamera.

Aku tunjukkan kepada Tok Guru aksi yang aku mahu rakamkan. Selepas sekali rehearsal, Tok Guru sudah faham pergerakan yang aku mahukan. Bila jurukamera sudah bersedia, aku pun laungkan ungkapan sejagat pengarah filem seantero dunia – action!

Itulah kali pertama dan terakhir aku mengarah Tok Guru. Itu jugalah momen paling mahal buat aku sebagai pengarah filem. Aku pasti tidak akan lupa sehingga bila-bila.

Penggambaran sekuen Tok Guru berkebun banyak meninggalkan kenangan kepada aku dan Dinsman.

Kami menyaksikan bagaimana yakin dan pasrahnya seorang hamba ALLAH kepada Sang Penciptanya. Kami diberitahu selalunya Tok Guru seorang diri akan ke kebunnya yang terletak tidak jauh daripada rumahnya itu. Membersihkan dan menebas semak belukar di kebunnya kadang-kadang sehingga satu atau dua jam tanpa ada pengawal keselamatan.

Aku dan Dinsman terfikir di kebun yang sunyi dan berbelukar ini sentiasa membuka peluang kepada mereka yang berniat jahat untuk melakukan sesuatu tidak baik kepada Tok Guru.

Perasaan yang kami rasakan ini dicatatkan oleh Dinsman dalam majalah Tamadun, edisi November 2001 – sambil melihat Tok Guru Menteri Besar yang berbadan kecil itu menebas-nebas pohon renek atau memotong ranting-ranting pokok - saya membayangkan  di hari-hari lain apabila dia berbuat demikian bersendirian – "ah, orang ini memang betul-betul pasrah," bisik hati kecil saya.

Saya menyatakan perasaan hati saya kepada Nasir. Rupanya Nasir pun sedang memikirkan hal yang sama. Dan kemudian  apabila Nasir menyatakan rasa keprihatinan kami itu kepada Tok Guru, kata Nasir, Tok Guru senyum mendengarnya.

Tok Guru berkata kepada aku, “kito ado ALLAH!” Satu lagi pengalaman yang sukar aku dan Dinsman lupakan ialah insiden ketika lawatan Tok Guru ke Tok Bali, pekan di pinggir pantai jajahan Pasir Putih.

Lawatan Tok Guru untuk melihat perkembangan Tok Bali yang dirancangkan menjadi pusat pendaratan ikan terbesar. Menurut Pok Ya, pegawai pengawal peribadi Tok Guru memberitahu Dinsman yang Tok Guru akan bertolak sendiri terus daripada rumahnya pada jam 8 pagi.

Tidak bersama dengan rombongan Menteri Besar dari kompleks pejabat Menteri Besar di Kota Darulnaim yang bakal bertolak jam 8.45 pagi. Kami membuat keputusan untuk pergi sendiri dan bertemu Tok Guru dekat jambatan yang merupakan landmark atau mercu tanda di Tok Bali.

Kami tiba jam 9 pagi dan terus mencari Tok Guru dan Pok Ya  di jambatan yang dijanjikan. Tetapi kelibat Tok Guru dan Pok Ya tidak kelihatan. Kami bergerak ke arah jalan menghala ke sungai di bawah jambatan kerana aku ingin merakam establishing shot.

Alangkah terkejutnya kami bila ternampak Pok Ya melambai-lambai kami dari sebuah kedai kopi kampung berdekatan. Tok Guru sedang bersarapan sambil menikmati suasana pagi yang segar dan tenang dengan Pok Ya dan drebarnya di bahagian depan kedai kopi.

Pengalaman ini dinukilkan oleh Dinsman dalam majalah Tamadun, edisi yang sama seperti berikut – Suasana sungguh tenang. Tidak ramai orang di kedai kopi itu. Hanya ada dua orang lain di bahagian dalam kedai. Di luar kedai kelihatan dua ekor kambing sedang berjalan cari makan.

Beberapa ekor kucing bermain di bawah meja. Sememangnya aku kagum dengan cara hidup Tok Guru yang tidak banyak kerenah dan tidak mementingkan protokol. Aku lihat Tok Guru sungguh cool dan so sweet – meminjam kata-kata anak muda sekarang.

Paling menarik perhatian aku ialah rakyat Tok Guru pun cool tidak kecoh-kecoh dengan kehadiran Tok Guru di kedai kopi itu. Sepanjang penggambaran dokumentari ini, aku lihat suasana sebegini bukan di Tok Bali sahaja. Di mana-mana pun Tok Guru berinteraksi bebas dengan rakyat.

Suasana serupa aku saksikan ketika  melakukan penggambaran peringkat kedua pada 28 November 2001 bersamaan 12 Ramadan 1422. Di masjid sebuah kampung di kawasan Pantai Cahaya Bulan, sebelum berbuka puasa Tok Guru memberi tazkirah seperti lazimnya di mana-mana masjid di Kelantan ketika bulan Ramadan.

Selepas berbuka puasa dengan sedikit kuih, Tok Guru mengimamkan solat Maghrib. Seusai solat Maghrib baharulah Tok Guru dan jemaah lain menikmati makanan yang berat. Aku lihat Tok Guru relaks sahaja makan nasi bungkus dan duduk bersila bersama jemaah lain.

Tiada hidangan khusus dan istimewa untuk Tok Guru. Memang sempoi dan mengusik hati aku melihat mudah dan santainya Tok Guru bergaul mesra dengan rakyatnya. Suasana ini berjaya kami rakamkan tanpa disedari oleh Tok Guru.

Memang benar kata pepatah Melayu, ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Jangan seperti ular lidi memanjat dahan yang tinggi tetapi tetap tidak berbisa. Contoh kehidupan yang diamalkan oleh Tok Guru banyak mengajar aku apa itu zuhud dan kesederhanaan dalam menjalani hidup yang sementara di dunia ini.

Selain berpeluang berinteraksi dengan Tok Guru ketika penggambaran filem dokumentari ini, aku juga berpeluang bertemu dan berinteraksi dengan Tok Guru di beberapa kesempatan yang lain.

Di antaranya, di program perjumpaan dan dialog Tok Guru dengan golongan seniman yang diadakan di Rumah Seri Kelantan, Jalan Stonor, Kuala Lumpur pada 31 Oktober 2002. Aku hadir bersama dengan penyajak dan penulis, Dinsman, Pak Salleh  Bakar dan  Razali Endun, penyanyi Ito Mohd dan Ghani Datuk Talib, gitaris Blues Gang serta kartunis Zunar.

Kami merupakan golongan seniman dan karyawan terawal dan mungkin yang pertama mengorak langkah untuk mendapatkan pandangan dan penjelasan daripada Tok Guru berkaitan kegiatan kesenian melibatkan sastera, nyanyian, muzik, filem, lukisan termasuk kartun dan teater.

Banyak pandangan dan penjelasan menarik daripada perspektif Islam mengenai kegiatan seni dan hiburan dikemukakan oleh Tok Guru dalam sesi dialog itu. Aku akan ceritakan pada minggu depan. InsyaALLAH.

Minggu ini genaplah setahun aku menulis untuk kolum Lantera. Artikel sulung aku, Tiga dekad karyawan rebel tersiar pada 9 Mac 2014. Sejak itu setiap minggu  aku tidak pernah gagal menyumbang tulisan untuk Lantera.

Alhamdulillah, sehingga minggu ini aku masih berupaya berkongsi pengalaman dan pandangan berkaitan penglibatan aku dalam industri filem Melayu dan drama untuk televisyen tempatan kita.

Ahad, 1 Mac 2015

Tok Guru yang aku hormati

PENGGAMBARAN dokumentari Tok Guru bermula pada 15 Oktober 2001. Penggambaran dibahagikan kepada dua peringkat.

Peringkat pertama selama 10 hari dan seterusnya peringkat kedua melibatkan kegiatan Tok Guru dalam bulan puasa. Pada tahun 2001, Ramadan bermula dari 17 November. Penggambaran peringkat pertama berakhir pada 25 Oktober 2001.

Sepanjang November aku melakukan penyuntingan dokumentari ini sementara menunggu untuk sekali lagi ke Kota Bharu untuk penggambaran peringkat kedua bermula dari 26 November 2001.  

Untuk penggambaran dokumentari Tok Guru ini aku telah menyelongkar semula majalah-majalah Tamadun terbitan 2001 dan 2002 yang terdapat tulisan Dinsman mengenai penggambaran dan pembikinan dokumentari ini.

Aku juga bernasib baik masih menyimpan akhbar-akhbar tabloid mingguan, Cabaran edisi November 2001 mengandungi artikel-artikel tulisan Dinsman mengenai penggambaran dokumentari Tok Guru ini.

Selain daripada rujukan ini aku juga ada menulis dan mencatat pengalaman mengarah dokumentari tersebut dalam diari peribadi aku. Alhamdulillah, bahan-bahan ini amat berharga dan banyak membantu aku menulis dan mencatat semula pengalaman aku mengarah filem dokumentari yang menjadi kenangan indah aku.

Setelah membaca bahan-bahan yang berusia hampir lima belas tahun itu aku makin sedar, dokumentari Tok Guru arahan aku itu sebenarnya memaparkan kehidupan Tok Guru tanpa apa-apa penambahan iaitu lakonan mahupun pengurangan – semuanya real dan bukan dibuat-buat.

Ketika mengarah dokumentari ini lima belas tahun lalu aku tidak pernah terfikir kenapa aku dan Dinsman mengambil pendekatan shooting secara cinema verite. Apa itu cinema verite telah aku terangkan minggu lalu.

Tujuan utama kami tidak mahu mengganggu rutin kerja dan hidup seharian Tok Guru. Alhamdulillah, tanpa aku sedari ternyata aku berhasil memenuhi syarat-syarat yang dituntut oleh kaedah mengarah filem berdasarkan konsep cinema verite.

Menariknya apabila aku baca semula catatan dan tulisan-tulisan Dinsman mengenai penggambaran dokumentari ini baharu aku sedar kami telah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kebiasaan proses penggambaran filem ketika merakam shot-shot melibatkan Tok Guru.

Dalam bahasa mudah aku dan Dinsman lebih cenderung mengambil jalan lebih sukar dan susah daripada jalan mudah yang boleh diaplikasikan untuk mendapatkan shot-shot dan babak-babak yang kami perlukan. Kenapa?

Bayangkan untuk shot Tok Guru keluar daripada rumahnya untuk menunaikan dan mengimamkan solat Subuh di masjid yang terletak di depan kediamannya itu kami mengambil masa sehingga dua hari. Shotnya mudah sahaja iaitu Tok Guru membuka pintu depan rumahnya.

Kemudian Tok Guru turun tiga anak tangga dan terus bergerak melangkah kurang daripada dua puluh tapak untuk masuk ke pintu masjidnya dari bahagian belakang dan terus ke hadapan saf pertama untuk mengimamkan solat Subuh. Tidak memerlukan peralatan canggih dan pergerakan kamera yang rumit dan sukar untuk merakamkan shot ini.

Kami batalkan penggambaran pada kali pertama ini kerana kami belum sempat memberitahu Tok Guru terlebih dahulu tentang tujuan kami itu. Sedangkan kami boleh sahaja memberitahu Tok Guru tentang hajat kami itu ketika dia keluar tadi. Bukan masalah besar dan kami yakin Tok Guru tidak menghalang.

Pastinya kami boleh meminta jasa baik Tok Guru untuk mengulang semula pergerakan membuka pintu dan keluar dari rumahnya itu. Tetapi atas sebab tidak mahu mengganggu rutin subuh dan mood harian Tok Guru kami tukar penggambaran kepada keesokan paginya.

Gangguan yang kami maksudkan ialah seperti ditulis oleh Dinsman – kerana saya belum memaklumkan kepada dia yang kami akan membuat rakaman itu, dan saya bimbang dia terkejut melihat lampu terang sebaik saja dia membuka pintu, yang mungkin mengakibatkan suasana damai dan syahdunya di awal subuh itu sedikit terganggu. Bukan bimbang dia tidak setuju kami shoot dia keluar rumah awal-awal subuh itu tanpa bersedia untuk dishoot.

Ketika itu yang bermain di minda kami ialah rasa hormat kepada seorang ulama sehingga kami rasa tidak patut kami mengganggu rutin harian yang selama ini telah sebati dengan kehidupannya.

Sekali lagi pengalaman sama berulang ketika kami mengikuti Tok Guru untuk merakam beliau merasmikan pelancaran Bulan Membaca dan Draf Pembangunan Daerah Jeli di perpustakaan di Bandar Jeli pada 22 Oktober 2001.

Menurut programnya, dari Jeli selepas Asar Tok Guru akan ke pekan Dabong dengan menyeberangi sungai Dabong untuk majlis perasmian tadika Pasti dan program ceramah pada malamnya. Dinsman dan aku ingin merakamkan visual Tok Guru melintasi Sungai Dabong dengan menaiki bot dan ketibaannya di pengkalan perahu di Dabong.

Disebabkan masalah logistik dan pengangkutan, aku dan kru penggambaran kami tidak mahu membebankan dan menimbulkan masalah kepada kelancaran pergerakan rombongan Tok Guru untuk menyeberangi Sungai Dabong.

Kami menyusun pergerakan ke Dabong melalui jalan ke Gua Musang dari Jeli. Kami ada masa agak panjang untuk mendahului Tok Guru untuk sampai di Dabong.

Sebaik kami sampai di pengkalan perahu di Dabong, kelihatan Tok Guru sudah mendarat dan menaiki Pajero untuk ke rumah rehat – berehat sementara menunggu program malam nanti. Aduh, terduduk dan buntu fikiran aku. Kami terlewat hanya beberapa minit sahaja. Aku hanya mampu pandang Dinsman, Dinsman pandang aku.

Kami berbincang untuk meminta Tok Guru mengulang aksi beliau menaiki bot dan ketibaannya di pengkalan untuk kami rakamkan semula. Ini bererti Tok Guru perlu berlakon atau melakonkan semula aksi ketibaannya dengan bot tadi. Jika kami lakukan ini bererti konsep cinema verite dan kesepakatan kami untuk tidak mengganggu rutin Tok Guru telah kami langgar.

Dinsman terasa amat berat untuk meminta Tok Guru mengulang dan melakonkan sekuen demikian. Aku juga berkongsi perasaan yang sama walaupun ketika itu Tok Guru ada masa untuk kami kerana acara seterusnya hanya pada sebelah malam.

Menurut catatan Dinsman dalam majalah Tamadun, edisi Februari 2002 – Selama ini Tok Guru begitu sekali memberikan kerjasama dan ‘understanding’ kepada kami. Tidak pernah walau sekali pun dia menegur kerja-kerja dan cara kami menjalankan kerja.

Tidak pernah sekali pun dia mengganggu kerja kami. Dia tahu kami membuat penggambaran dan dia melangsungkan pergerakannya seolah-olah kami tidak ada di situ, atau  seolah-olah dia tidak tahu kami sedang merakamkan pergerakannya. Ini sungguh fantastik.

Akhirnya, kami setuju tidak mahu mengganggu waktu rehat Tok Guru pada petang itu. Kami buat keputusan untuk merakam visual Tok Guru pulang menyeberangi sungai Dabong pada malamnya nanti selepas beliau selesai majlis ceramahnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...