Ahad, 22 Februari 2015

Cinema verite: Filem dokumentari Tok Guru Nik Aziz

ANTARA 1994 sehingga 2000, aku tidak berpeluang langsung untuk berkarya sama ada mengarah filem ataupun drama untuk televisyen. Selama enam tahun ini peluang untuk aku berkarya tertutup rapat.

Masa aku banyak terbuang melayan karenah birokrasi hiburan dan seni tanah air seperti isu rambut panjang, selain aku terpaksa berdepan dengan hubungan kurang mesra dengan Finas dan penentangan aku terhadap rejim Mahathir.

Keadaan hidup aku sekeluarga makin meruncing kerana ketidakmampuan aku untuk menampung kos hidup yang tinggi di ibu kota. Akhirnya, pada 1996 aku terpaksa meninggalkan Kuala Lumpur dan balik ke tempat kelahiran aku di Alor Gajah, Melaka. Kisah hidup aku ini pernah aku ceritakan dalam temu bual dengan Zass setahun lalu.

Aku berusaha mendepani tekanan hidup dan penindasan pihak berkuasa walaupun peluang berkarya dan ‘cari makan’ disekat. Aku di‘gam’ tanpa surat rasmi hitam putih daripada pihak berkuasa yang menyekat drama-drama dan filem-filem arahan aku disiarkan di televisyen. Aku terpaksa mencari rezeki dengan menulis skrip drama menggunakan nama samaran untuk menampung hidup.

Tiba-tiba pada tanggal 22 Julai 2001 bersamaan hari Ahad, aku dikunjungi oleh sahabat lama aku, Dinsman – seorang penyajak, penulis dan ketika itu sudah bergiat sebagai penerbit program-program untuk televisyen dan filem dokumentari.

Aku mengenali Dinsman sejak dari zaman ‘Anak Alam’ ketika aku mula berjinak-jinak bergiat dalam teater di penghujung tahun 70-an. Dinsman datang mencari aku di Melaka untuk menawarkan peluang mengarah filem dokumentari yang bakal dipasarkan dalam bentuk VCD.

Bukan untuk siaran mana-mana stesen televisyen. Alhamdulillah, pada saat-saat aku hampir putus harapan untuk terus berkarya, datang peluang dan rezeki ini. Moga ALLAH SWT membalas kebaikan budi beliau. Terima kasih, Din!

Aku tanya beliau, apakah bentuk dan cerita filem dokumentari yang mahu diterbitkan oleh syarikatnya itu. Dinsman memberitahu aku, dokumentari mengenai Tok Guru Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan ketika itu. Aku terkejut besar! Biar betul Dinsman ni - itulah reaksi pertama aku.

Menurut beliau, subject matter atau bahan-bahan bakal dimuat dan dipaparkan lewat dokumentari tersebut ialah tentang kehidupan Tok Guru Nik Aziz. Aku terkejut bukan kerana tawaran ini merupakan filem dokumentari pertama bakal aku arahkan.

Sebelum ini pun aku pernah mengarah filem-filem dokumentari di antaranya dokumentari tentang peluang pelaburan di sebuah negeri untuk delegasi kerajaan negeri tersebut gunakan ketika bertemu bakal pelabur-pelabur di luar negara.

Melalui dokumentari ini juga aku diperlukan menemu bual dan merakam visual menteri besar negeri tersebut. Tidak perlulah aku sebut negeri mana dan siapa menteri besar tersebut kerana beliau telah lama bersara daripada jawatan tersebut dan juga politik.

Berbalik kepada tawaran Dinsman, aku tanya beliau siapa tulis skrip dan apa hendak diceritakan tentang Tok Guru lewat dokumentari ini? Menurutnya, beliau akan menulis skripnya yang menceritakan kehidupan Tok Guru sebagai seorang pemimpin parti politik berlandaskan perjuangan Islam dan rutin hidupnya sebagai satu-satunya Menteri Besar sebuah negeri yang diperintah oleh pembangkang.

Selain itu, dokumentari ini juga diharapkan dapat memaparkan sisi lain atau the other side of Tok Guru sebagai seorang agamawan, pendakwah, ketua keluarga dan manusia biasa.

Aku secara peribadi memang tertarik dengan idea Dinsman itu. Menarik dan lain daripada biasa. Tetapi ada sesuatu asyik mengganggu minda aku tentang tokoh dikenali sebagai seorang ulama yang bukan calang-calang statusnya ini.

Apa pendekatan dan olahan naratif akan aku ambil untuk menggalas tanggungjawab menghasilkan dokumentari ini. Berdasarkan pengalaman yang pernah aku lalui, terus-terang aku katakan lebih mudah mengarah dokumentari melibatkan pemimpin-pemimpin atau tokoh-tokoh politik biasa – senang cerita pemimpin-pemimpin golongan sekular berbanding dengan pemimpin ulama seperti Tok Guru.

Tok Guru ternyata ada banyak kelainan dan keluarbiasaan yang hanya dimiliki oleh beliau sahaja. Aspek ini yang perlu diambil perkiraan sebelum aku memulakan penggambaran walaupun skripnya aku yakin dalam keadaan terjamin dan mantap isi kandungannya di tangan Dinsman sebagai penulisnya.

Pastinya memenuhi tuntutan dan syarat yang menepati ciri-ciri pemimpin sebuah gerakan Islam. Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat adalah pemimpin Pas yang merupakan parti Islam terbesar di Malaysia.

Kelainan yang perlu aku pertimbangkan sebagai pengarah filem dokumentari ini ialah daripada aspek shooting iaitu penggambaran keseluruhan filem dokumentari tersebut. Kami berbincang dan menemukan cara kerja di mana aku akan menggunakan pendekatan cinema verite – perkataan Perancis bermakna truthful cinema atau terjemahan ringkasnya sinema atau filem benar/asli bukan dilakon-lakonkan.

Gaya cinema verite ini adalah cara penggambaran filem dokumentari yang dicipta oleh pengarah filem dokumentari Perancis dan ahli antropologi bernama Jean Rouch (1917-2004).

Penggunaan kamera digabungkan dengan improvisasi kejadian dan peristiwa sebenar berlaku kepada subjek filem itu bagi menyatakan dan mengetengahkan apa sebenarnya berlaku di sebalik realiti yang dirakamkan.

Skrip dokumentari ini ditulis dan diolah untuk dijadikan cuma sebagai rangka paling asas supaya kami dapat mengawal dan memantau footage atau bahan-bahan bakal dirakamkan tidak lari daripada storyline atau jalan cerita/naratif dokumentari ini. Skrip asas ini juga untuk membantu produser membuat bajet dan untuk kami menyusun jadual penggambaran.

Pasukan produksi kami terdiri daripada seorang jurukamera dan pembantunya, seorang jururakam suara dan bunyi/soundman dan seorang kru lampu. Aku dan Dinsman merancang shooting atau kaedah penggambaran kami ini tidak akan mengganggu rutin harian dan tugasan Tok Guru.

Sedaya yang termampu aku tidak akan cuba mengarah Tok Guru seperti sering dan lazim dilakukan untuk penggambaran filem baik dokumentari apatah lagi filem cereka. Aku dan Dinsman memilih mewujudkan sepanjang penggambaran ini kaedah supaya Tok Guru tidak perlu dan tidak pernah membuat apa-apa persediaan untuk dirinya dishoot.

Sistem penggambaran dokumentari ini dirumuskan oleh Dinsman dalam artikelnya di majalah Tamadun, Februari 2002 – ‘Kami merakam kehidupan hariannya yang real. Yang betul-betul dilakukannya dalam hidupnya.

Kami mengikuti pergerakannya. Kami menunggu dia melakukan sesuatu dan kami shoot. Atau ada sesuatu yang terjadi waktu kami mengikut dia, maka kami pun shoot.’

Bagi melicinkan gerak kerja ini, kami mendapat kerjasama dan komitmen yang sungguh baik daripada Anual Bakri Haron, Setiausaha Politik Tok Guru ketika itu. Beliau akan sentiasa memberitahu kami jadual pergerakan dan program harian Tok Guru supaya mudah kami memilih yang mana untuk dirakam sebagai bahan dokumentari ini.

Di lapangan pula kami beruntung mendapat khidmat ‘tidak rasmi’ Zainuddin Abdullah (Allahyarham), Setiausaha Pas Kawasan Kota Bharu merangkap ahli Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) ketika itu.

Allahyarham juga banyak membantu dalam usaha kami untuk lebih mengenali perwatakan Tok Guru. Zainuddin punya hubungan baik dan akrab dengan Tok Guru yang dipanggilnya, Ayah Zid.

Satu perkara aku respek Dinsman ialah hubungan yang dijalinnya dengan pengawal peribadi Tok Guru ketika itu, Zakaria Deraman atau lebih mesra dipanggil Pok Ya. Tugas beliau akan sentiasa berada bersama Tok Guru setiap masa melainkan bila Tok Guru balik ke rumah.

Hubungan Dinsman dengan Pok Ya memudahkan lagi kami menyusun dan mengesan pergerakan Tok Guru supaya sentiasa dalam radar pengesan kami. Bila segala perancangan dan gerak kerja telah dikenal pasti maka kami mulakan penggambaran pada 15 Oktober 2001.

Minggu depan aku akan ceritakan pengalaman-pengalaman menarik ketika shooting dokumentari Tok Guru – satu kembara visual yang spiritual.

Ahad, 15 Februari 2015

Blues Gang diiktiraf selepas empat dekad

SATU-SATUNYA kumpulan blues terunggul Malaysia, Blues Gang diiktiraf dengan penganugerahan prestij The BrandLaureate Country Branding Award 2014. Berita penganugerahan ini disiarkan dalam ruangan Zass, Sinar Harian pada Ahad lalu.

Menurut Ito, penyanyi dan pemain blues harp Blues Gang ini, kumpulan mereka merupakan kumpulan pemuzik tempatan pertama menerima anugerah ini melalui kategori Country Branding Award. Kumpulan Blues Gang dianugerahkan dengan sijil plak dan trofi emas 24 karat.

Anugerah ini telah disampaikan kepada kumpulan Blues Gang oleh Presiden Asia Pacific Brands Foundation (APBF),Dr KK Johan sempena Blues and Roots Festival di Experimental Theatre, Universiti Malaya pada awal Disember 2014 lalu.

Apakah sebenarnya Anugerah The Brand Laureate ini? Anugerah ini dianjurkan oleh Asia Pacific Brands Foundation (APBF) yang ditubuhkan pada 2005. Foundation atau Yayasan ini adalah yayasan penjenamaan bertujuan untuk menambah baik amalan penjenamaan dan piawaian di seluruh dunia. Anugerah Brand Laureate mengiktiraf pencapaian bertaraf dunia dalam penjenamaan dalam kalangan individu dan syarikat.

Anugerah Brand Laureate diberikan dalam tiga kategori utama: korporat, produk dan individu. Yayasan APBF telah menganugerahkan The Brand Laureate kategori Country Branding Award kepada Blues Gang kerana sumbangan mereka kepada muzik genre blues dan rock dan menggalakkan jenama Malaysia melalui lagu-lagu ciptaan mereka.

Menurut Presiden APBF, Dr KK Johan, di antara penerima anugerah APBF yang patut diberi perhatian termasuk mendiang Presiden Nelson Mandela, Mark Zuckerberg (pengasas Facebook) dan Tiger Woods, pemain golf profesional dunia.

Golongan penghibur, penyanyi dan pemuzik yang pernah dipilih sebagai penerima anugerah ini terdiri daripada  Sir Cliff Richard, Aretha Franklin, Kitaro, Richard Clayderman, Neyo, Lea Salonga, Lee Ritanour dan kumpulan Earth, Wind and Fire serta nama-nama dari rantau ini seperti komposer dan pemain piano Indonesia, Indra Lestana dan pemain perkusi tempatan, Steve Thorton.

Menurut Presiden APBF lagi, Blues Gang telah benar-benar berakar umbi di Malaysia dengan cara yang luar biasa. Kumpulan Blues Gang dianggotai oleh Ito Mohd (penyanyi utama dan pemain blues harp), Julian Mokhtar (gitar), Abdul Ghani Datuk Abu Talib (gitar/kibod), Jim Madasamy (bass/penyanyi), Shaik Karim (dram/penyanyi) dan Azizi Ithnin (gitar).

Blues Gang ditubuhkan di Johor Bahru pada 1973 dengan anggota paling asalnya Jim Madasamy, si pemetik gitar bass dan Shaik Karim, pemain dram dan gitaris, Mat Dollah. Pada pertengahan 1976 mereka berhijrah ke Kuala Lumpur. Sejak itu bermulalah perjalanan seni Blues Gang dengan tekad dan azam memperjuangkan muzik – blues dan rock.   

Blues Gang berjaya menggabungkan irama muzik dunia genre blues dan rock sehingga berhasil mencipta satu bentuk muzik blues dan rock bersemangat dan beridentitikan Malaysia. Dengan kemahiran dan kematangan berkarya sebagai satu kumpulan, mereka telah berkembang dan banyak menyumbang kepada industri muzik di Malaysia sejak 1979.

Jujur berpegang kepada semangat sebagai satu kumpulan band telah membuat mereka berjaya menghasilkan lagu-lagu dengan gaya dan bahasa/lirik mereka sendiri. Lagu-lagu menarik diciptakan dengan diiringi muzik blues dan rock bersalut cita rasa tempatan.

Keberanian berkarya dan mencipta kelainan melalui campuran lagu-lagu luar biasa dengan menggabungkan unsur-unsur yang lebih lokal sifatnya berjaya melahirkan karya seni seperti lagu klasik Blues Gang - Apo Nak Di Kato yang menggunakan dialek Negeri Sembilan.

Alunan melodi unik dan berbeza dengan yang lain menjadikan Apo Nak Di Kato lagu yang evergreen dan melangkaui batas kaum dan bangsa. Satu usaha dan pencapaian kreatif yang menarik dan unik.

Penganugerahan itu juga mencatatkan Blues Gang sebagai sebuah kumpulan dengan barisan pemuzik yang berbakat telah berkembang untuk menyumbang kepada bidang seni hiburan tanah air sejak tahun 1979.

Tercatat dalam surat penganugerahan itu kemunculan Blues Gang di layar perak lewat filem arahan sulung aku yang kontroversial, Kembara Seniman Jalanan (1986), hampir tiga dekad yang lalu.

Aku berkongsi rasa gembira dan bangga dengan member-member Blues Gang kerana tercatat juga sumbangan aku walaupun tidak besar tetapi sungguh bermakna kepada aku sebagai seorang pembikin filem. Satu kolaborasi yang berjaya untuk pertama kalinya mencetuskan kesedaran tentang isu dan masalah cetak rompak melalui filem.

Walaupun kumpulan ini pernah berpecah namun anggota-anggotanya masih aktif. Mereka terus menyumbang kepada dunia muzik tempatan. Tanpa jemu Blues Gang terus menghiburkan pendengar dengan lagu-lagu dan persembahan yang benar-benar menarik dan luar biasa.

Pada masa sama hasil karya seni mereka meningkatkan semangat serta berjaya mengusir blues – rasa duka dan kesedihan yang melanda peminat dan pendengar melalui lagu-lagu mereka.

Berdasarkan penglibatan Blues Gang dalam menghasilkan muzik bermutu di samping mengukir nama dan kemasyhuran di persada seni tanah air, Yayasan APBF ini juga mengiktiraf Blues Gang sebagai salah satu komponen dalam asas keharmonian budaya Malaysia yang perlu dipertahankan dalam catatan sejarah negara kita untuk sepanjang masa. Menurut APBF atas sebab-sebab di atas maka sangat bertepatan dan layak Blues Gang diiktiraf dan dianugerahkan The BrandLaureate Country Branding Award!

Syabas diucapkan juga atas usaha Blues Gang yang masih terus memperjuangkan hak pemuzik dan karyawan tempatan. Blues Gang sememangnya layak menjadi jenama negara berlandaskan inspirasi yang melambangkan sebuah kumpulan muzik yang luar biasa.

Sebaik sahaja aku selesai menyiapkan artikel ini pada kira-kira jam 10 malam hari Khamis malam Jumaat, anak-anak aku memberitahu berita kepergian buat selama-lamanya Tok Guru Nik Aziz, bekas Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am Pas.

Aku terkaku agak lama. Perasaan aku bercampur baur – sedih, tidak percaya dan speechless. Tokoh ikonik Islam ini ada tempatnya dalam sejarah perjalanan hidup aku serta perjuangan seni dan filem yang aku tempuhi selama ini.

Aku terus teringat pengalaman aku pada 2001 mengarah dokumentari tentang Tok Guru Nik Aziz untuk sahabat aku, Dinsman, produser dokumentari tersebut. Minggu depan aku akan menceritakan pengalaman aku mengarah dokumentari berjudul Sehari Dalam Kehidupan Tok Guru Nik Aziz. Al-Fatihah buat Tok Guru.

Ahad, 8 Februari 2015

Adaptasi: Tiang seri perlu dipertahankan

HUJUNG minggu lalu aku dan penulis novel Tombiruo, Ramlee Awang Murshid telah dijemput menghadiri satu rakaman program untuk Sinar TV sempena Karnival Karangkraf. Rakaman temu bual itu boleh ditonton secara online di Sinar TV, YouTube dan juga di Facebook – Ramlee Awang Murshid Fan Club (RAMFC).

Siapakah pelakon bakal memerankan watak Ejim a.k.a Tombiruo dan watak Amiruddin? Itulah soalan cepumas yang diajukan kepada kami. Sememangnya keinginan peminat dan pembaca setia novel Tombiruo ingin mengetahui siapakah pelakon bakal memerankan watak Ejim aka Tombiruo, si penunggu rimba mula membara sejak sidang media pra-pelancaran filem Tombiruo sebulan lalu.

Aku pernah menulis dalam kolum ini tentang keterujaan peminat dan pembaca setia siri novel Tombiruo untuk mengetahui pelakon tanah air yang mana bakal dipilih untuk watak tersebut. Ramai pelakon-pelakon lelaki tanah air diuar-uarkan oleh peminat-peminat novel Tombiruo melalui komen-komen mereka di Facebook RAMFC.

Di antara nama paling popular menjadi sebutan, cadangan dan spekulasi peminat-peminat setia Tombiruo ialah pelakon Bront Palarae, Zul Ariffin dan Beto Kusyairy. Sehinggakan M Nasir, member lama aku yang datang untuk memberi sokongan moral kepada aku di sidang media pra pelancaran tempoh hari turut terheret dalam polemik di antara peminat novel Tombiruo.

Geli juga hati kami membaca komen-komen mereka tentang M Nasir jika dipilih menjadi Ejim. Biasalah gelagat peminat. Kami faham sangat. Berbalik kepada sesi rakaman Sinar TV itu, Ramlee dan aku telah berusaha menerangkan keadaan yang sedang berlaku dalam proses pemilihan pemegang watak utama filem ini iaitu Ejim.

Di peringkat sekarang produser filem ini terdiri dari Layar Sunan (syarikat milik Ramlee Awang Murshid dan rakan kongsinya, Abid Kamal), Ideate Media dan Karangkraf belum lagi memutuskan siapa heronya. Proses pemilihan pemeran watak Ejim ini akan melalui proses casting atau sesi uji bakat yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Bagi memuaskan hati semua pihak terutamanya peminat, pelakon-pelakon dan pihak produser-produser yang terlibat, Ramlee merasakan mengadakan sesi uji bakat adalah langkah paling adil dan neutral. Dalam masa sama, kami sudah menyenarai pendek calon-calon pelakon bakal diuji bakat untuk watak-watak penting dalam filem Tombiruo ini.

Selain watak Ejim dan Amiruddin, kembar Ejim, kami juga sedang menimbangkan beberapa nama untuk watak wartawan bernama Wan Suraya. Menurut Ramlee, sesi uji bakat akan dilakukan sedikit masa lagi ini akan juga dibuka kepada semua yang berminat.

Ia tidak terhad kepada pelakon-pelakon yang sudah ada nama atau popular sahaja. Uniknya watak Ejim ciptaan Ramlee ini merupakan satu watak yang berbeza dengan watak-watak lain. Wajah Ejim ini sentiasa berselindung di sebalik topeng. Tidak salah rasanya jika kami berpandangan watak Ejim boleh diperankan oleh pelakon baharu.

Syarat utamanya, pelakon yang dipilih nanti perlu memiliki tubuh badan yang sasa, berkulit sawo matang dan mampu bersilat. Peluang untuk memerankan watak Ejim ini terbuka kepada sesiapa yang berminat untuk
mencuba. Memiliki pengetahuan asas lakonan akan lebih membantu bakat-bakat baharu untuk kami pertimbangkan bagi watak penunggu rimba ini.

Menurut Ramlee lagi, sesiapa yang mampu membawa watak ini dengan berkesan tanpa mengira siapa mereka maka dialah Tombiruo yang kami cari. Kepada sesiapa yang berminat tunggu pengumuman untuk sesi uji bakat diadakan nanti. Peluang terbuka luas untuk sesiapa yang berminat untuk mencuba watak Ejim.

Sekarang aku dan pasukan produksi sedang menyusun atur gerak kerja di peringkat pra produksi. Proses awal ini melibatkan kerja-kerja penyusunan jadual penggambaran, pemilihan tenaga-tenaga penting teknikal seperti pengarah fotografi , pengarah seni, penyunting, pengarah muzik dan mengenal pasti masalah-masalah logistik.

Kami juga dalam proses memantapkan penulisan lakon layar Tombiruo. Dalam rakaman temu bual itu, aku dan Ramlee ditanya tentang proses pengadaptasian novel thriller Tombiruo ini ke layar lebar. Adaptasi novel Tombiruo ke filem juga menimbulkan berbagai-bagai reaksi dan komen-komen dari peminat dan pembaca novel-novel karya Ramlee.

Aku juga terbaca komen yang kontra dengan kebanyakan komen-komen daripada peminat dan pembaca tegar novel Tombiruo. Pemberi komen tersebut mencadangkan supaya tenaga pengadaptasian ini tidak mengikut bulat-bulat atau seratus peratus jalan cerita novel asal Tombiruo.

Beri ruang untuk sang pengadaptasi berkreatif. Satu pandangan yang aku anggap mampu menyuburkan dan meningkatkan kefahaman penonton filem tempatan terhadap konsep adaptasi. Satu perkembangan positif yang
perlu diteruskan.

Sejujurnya aku suka kepada kepelbagaian pendapat daripada peminat dan pembaca yang wujud disebabkan usaha Ramlee melalui syarikatnya Layar Sunan untuk memindahkan novel itu ke layar lebar. Reaksi mereka itu
membolehkan aku merumuskan bahawa kebanyakan peminat, pembaca dan penonton kita masih belum memahami dan menerima konsep adaptasi sepenuhnya.

Agak melegakan juga bila ada pembaca dan penonton yang memahami konsep adaptasi novel sehingga boleh melontarkan pandangan kontra yang segar, menarik dan sihat. Ramlee memaklumkan yang beliau sangat cerewet dalam pembikinan filem adaptasi ini.

Sikap cerewet Ramlee itu penting dan perlu diberi perhatian oleh penulis novel, pelajar-pelajar penulisan skrip filem dan tidak terkecuali pengarah-pengarah filem. Ramlee membuktikan apa yang beliau yakini iaitu penglibatan penulis novel dalam proses pengadaptasian bagi memastikan roh dan semangat novel dipertahankan.

Dalam masa sama tidak menjejaskan naratif filem yang bakal dihasilkan. Sememangnya, selama menghasilkan lakon layar Tombiruo ini, sejak menulis draf pertama skrip ini pada 2010, Ramlee terlibat sepenuhnya dan
sentiasa memastikan inti pati, semangat dan roh Tombiruo tidak dinodai dan dikesampingkan.

Satu komitmen yang tulen dan penuh tanggungjawab jitu daripada seorang novelis terhadap karyanya. Aku ingin memetik kata-kata Ramlee dalam rakaman tersebut tentang proses adaptasi novel Tombiruonya.

“Bukan bermakna saya tidak dapat terima idea orang lain malah, saya benarkan penambahan untuk mencantikkan jalan cerita. Ubahlah dinding ataupun tingkap, namun jangan sesekali ubah tiangnya,” katanya.

Pendapat dan pandangan Ramlee ini selari dengan apa pernah aku tulis sebelum ini tentang definisi adaptasi yang dipegang oleh pembikin-pembikin filem sejagat ialah ‘adaptasi sesebuah filem yang baik bukan setakat mengekalkan semangat dan tema novel tetapi mengolahnya menjadi karya sinematik yang unik.’

Kesimpulannya, pengarah dan penonton filem adaptasi perlu menerima hakikat perubahan pasti akan berlaku namun ‘tiang seri’ iaitu semangat dan tema novel perlu dikenal pasti dan dipertahankan.

Ahad, 1 Februari 2015

Dari idea novelis ke visual pengarah filem

MINGGU ini aku mahu berkongsi dengan pembaca-pembaca, latar belakang beberapa filem-filem adaptasi daripada novel-novel karya penulis-penulis terkenal dunia dan serantau.

Adaptasi sesebuah filem yang baik bukan setakat mengekalkan semangat dan tema novel tetapi mengolahnya menjadi karya sinematik yang unik.

Berdasarkan pendapat dan pandangan di atas aku ingin berkongsi informasi tentang filem-filem adaptasi dari novel yang aku rasa perlu diketahui oleh pembaca dan penonton bagi menambah kefahaman tentang filem dan meningkatkan budaya menonton filem.

Ramai penonton dan pembaca novel selalunya mengharapkan  filem-filem adaptasi rata-ratanya akan  mengikut penceritaan seratus peratus seperti dalam novel. Kenyataan ini memang tidak dapat dipisahkan daripada sikap dan budaya menonton filem oleh kebanyakan penonton-penonton filem di seluruh dunia. Tetapi tuntutan ini hampir pasti belum berjaya dipenuhi seratus peratus oleh pengarah-pengarah filem tempatan dan antarabangsa.  

Kenapa ada perbezaan antara penceritaan dalam novel berbanding dengan naratif filem yang dihasilkan? Perbezaan hasil adaptasi ini berlaku atas sebab-sebab tertentu dan tersendiri.

Filem Ranjau Sepanjang Jalan (1983) arahan Jamil Sulong (Allahyarham) daripada novel karya Shahnon Ahmad, terdapat perbezaan antara pengakhiran versi novel berbanding dengan versi filem. Dalam filem watak Jeha diperankan oleh Sarimah diubah menjadi watak yang sembuh daripada sakit mental yang dihidapinya selepas kematian suaminya, Lahuma. Jeha berjaya bangkit semula dengan bersemangat untuk meneruskan hidup dengan anak-anaknya.

Kenapa perubahan ini dilakukan telah dijelaskan oleh Sarimah selaku pemeran watak Jeha dan produser bersama filem  ini dalam satu forum anjuran Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara pada 2012.

Menurut beliau, perubahan ini dilakukan atas keinginan untuk membina watak Jeha yang bersemangat tidak mudah mengalah dan bersikap positif. Aku secara peribadi setuju dengan alasan ini kerana filem boleh digunakan untuk menerap nilai dan sikap positif yang mampu mengubah pemikiran masyarakat. Sebagai produser bersama, Sarimah berjaya menggunakan peluang dan ruang ini.

Filem epik klasik arahan David Lean, Doctor Zhivago (1965), diadaptasi daripada novel agung karya penulis Russia, Boris Pasternak. Novel ini mengisahkan Yuri Zhivago, seorang pakar perubatan dan penyair yang kehidupannya berubah akibat peperangan.

Perbezaan paling ketara antara versi filem dan novel ialah pengadaptasiannya adalah secara longgar. Ini mengakibatkan perubahan agak besar pada naratifnya. Namun filem ini direkodkan filem kelapan dunia yang berjaya meraih kutipan tertinggi sepanjang zaman. Ia juga dianggap filem yang menepati definisi sebuah filem epik.

Filem genre gengster paling terkenal, The Godfather (1972) arahan Francis Ford Coppola memaparkan perbezaan paling ketara dalam pembentukan watak-watak Fabrizio dan Calo pengawal peribadi kepada watak Michael Corleone, diperankan oleh Al Pacino ketika di Sicily. Perkembangan nasib watak-watak ini tiada persamaan langsung antara versi novel dan filem.

Novel ini ditulis oleh Mario Puzo (1920–1999). Adaptasi dan lakon layarnya ditulis oleh Francis Ford Coppola dan Mario Puzo sendiri. Penglibatan Mario dalam menulis lakon layar memudahkan lagi proses perubahan yang perlu dilakukan untuk mengadaptasikan novel terbitan 1969 ini ke filem. Filem ini memenangi tiga Anugerah Akademi 1972 untuk Filem Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik (Marlon Brando) dan Lakon Layar Adaptasi Terbaik untuk Puzo dan Coppola.

Stephen King adalah seorang novelis  Amerika paling popular yang terkenal dengan karya-karya  seram kontemporari, sains fiksyen  dan fantasi. Novel-novel beliau telah terjual lebih daripada 350 juta naskhah.

Novel sulung karya Stephen berjudul Carrie terbitan 1974 adalah filem pertama daripada lebih 100 filem dan siri televisyen yang diadaptasi daripada karya-karya beliau. Aku anggap novel Carrie ini contoh paling menarik untuk kita bincangkan tentang proses adaptasi novel ke filem dan remake sesebuah filem berdasarkan sumber cerita yang sama.    

Di tangan Stephen, penceritaannya tentang fenomena telekinesis dalam novel Carrie adalah dalam bentuk siri artikel akhbar dan kandungan surat menyurat.

Telekinesis adalah kemampuan memanipulasi objek fisikal hanya dengan kekuatan minda semata-mata. Tetapi untuk filem Carrie (1976), pengarah Brian De Palma mengambil pendekatan struktur penceritaan yang sama sekali berbeza untuk memenuhi tuntutan penceritaan secara cinematic.

Filem Carrie adalah satu-satunya filem seram yang dicalonkan untuk Anugerah Akademi berganda pada 1977.

Sissy Spacek, pemeran watak utama Carrie dicalonkan untuk anugerah Pelakon Wanita Terbaik. Sementara Piper Laurie menerima pencalonan untuk anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik untuk  watak ibu Carrie, seorang pendera yang kejam.

Novel Carrie ini juga telah diadaptasikan semula untuk diremake atau filem yang dibuat semula pada 2013. Menggunakan judul yang sama, filem Carrie versi 2013 arahan Kimberly Peirce dan lakon layar ditulis oleh Roberto Aguirre-Sacasa bersama Lawrence D Cohen (penulis lakon layar filem asal) adalah remake daripada Carrie versi pertama 1976. Kali ini watak Carrie diperankan oleh pelakon berusia 16 tahun Chloe Grace Moretz.

Aku rasa perlu untuk berkongsi informasi menarik tentang versi remake ini. Menurut ramai pengkritik dan pengulas filem, versi remake ini lebih setia kepada versi filem adaptasi asal 1976 berbanding bahan sumber novel sebenar.

Melalui versi filem remake ini kita akan melihat bagaimana adaptasi dilakukan untuk menjadikan naratif asal filem Carrie lebih kontemporari dan semasa. Teknologi moden seperti rakaman telefon bimbit dan muat naik YouTube digunakan selain menambah beberapa watak dan adegan-adegan baharu tanpa mengubah struktur penceritaan. Elemen-elemen terkini ini berjaya menjadikan filem Carrie versi remake sebagai filem untuk generasi sekarang.

Filem Carrie adalah contoh terbaik proses adaptasi daripada novel ke filem dan diadaptasi pula daripada filem asal untuk dijadikan filem remake. Menarik.

Visual terjelma dalam minda aku bila berbicara tentang novel dan filem Carrie ini adalah wajah-wajah si penulis karya asal Stephen King dan diikuti sang pengarah, Brian De Palma – Carrie (1976) dan  Kimberly Peirce – Carrie (2013).

Kesimpulannya, proses adaptasi bersifat sangat terbuka dan memberi ruang berkarya seluas-luasnya untuk menambah nilai kreatif kepada sesebuah novel.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...