Ahad, 25 Oktober 2015

Hussein dan P Ramlee, Satu kombinasi sinematik

AKU akhiri artikel minggu lalu dengan pertanyaan - mengapa daripada 14 filem arahan Allahyarham Hussein Haniff, hanya filem Hang Jebat (1961) dan Dang Anom (1962) berjaya mengutip koleksi pecah panggung? Filem-filem Hussein lain gagal di pasaran berbanding filem-filem arahan P Ramlee yang kebanyakannya pecah panggung.

Terutamanya filem-filem arahan P Ramlee ketika di Singapura antara 1955 sehingga 1963. Situasi yang terjadi kepada Hussein dan P Ramlee ini mewujudkan dua pandangan berbeza ketika era kegemilangan mereka dan awal 80-an dalam memperkatakan ketokohan dua pengarah penting dunia filem Melayu ini.

Kenapa ini berlaku? Pandangan dan pendapat bakal aku catatkan ini bukan kajian ilmiah dan akademik tetapi lebih berdasarkan pengalaman peribadi ketika aku membesar pada era 60an.

Pengalaman peribadi first hand yang pernah aku tempuhi itu, sekarang sudah menjadi sejarah. Dalam konteks sejarah industri perfileman Melayu yang boleh aku ceritakan semula tanpa perlu aku membaca dan membuat kajian lewat bahan-bahan rakaman dan rekod sejarah tanah air.

Dalam bahasa mudah – aku tidak perlu merujuk kepada buku sejarah kerana pengalaman hidup peribadi aku membesar dengan filem-filem Hussein dan P Ramlee adalah sebahagian daripada sejarah era tersebut.

Polemik penilaian antara Hussein dan P Ramlee sebagai tokoh pengarah filem Melayu terjadi pada awal 80-an ini dicetuskan oleh Allahyarham Dr Anuar Nor Arai (1943-2010), seorang tokoh pengkaji, pengkritik, pensyarah, penggiat dan pengarah filem lulusan ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang pengajian filem dari University of Southern California.

Tidak dinafikan sejak penutupan studio Jalan Ampas dan studio Cathay Keris di Singapura pada akhir 60-an dan awal 70-an industri filem Melayu terpaksa melalui dan berdepan suasana muram dan kehilangan arah dari segi pembikinan dan sambutan. Rata-rata peminat, penonton dan penggiat filem Melayu dalam dilema. Mereka tercari-cari kaedah dan formula untuk mengembalikan kegemilangan filem Melayu.

Dalam keadaan begini pastinya kehadiran seorang atau beberapa orang tokoh pengarah filem Melayu amat diperlukan bagi menjadi inspirasi penggerak kebangkitan semula industri filem Melayu. Tapi sayang keadaan industri filem Melayu ketika itu dalam keadaan hampir nazak tanpa kemunculan tokoh filem Melayu baharu.

Merujuk kepada suasana ketika filem Melayu nazak pada awal 70-an sehingga 80-an, Dr Anuar melihat penggiat dan penonton filem Melayu masih bergantung kepada sejarah kegemilangan yang pernah dihasilkan oleh P Ramlee.

Tiada percubaan untuk mencuba sesuatu yang baharu dalam memajukan perfileman Melayu. Rata-rata karyawan filem Melayu ketika itu masih belum mahu keluar daripada cara berkarya yang dibayangi oleh era kegemilangan P Ramlee. Sikap sedemikian – living with past glory – meneruskan hidup dengan sejarah silam. Penggiat filem Melayu masih menghasilkan filem yang statik tanpa pembaharuan daripada aspek penceritaan dan teknikal.

Dengan tertubuhnya syarikat Sabah Filem Productions oleh Deddy M Borhan, usahawan filem dari Sabah pada 1975, lahirlah filem Keluarga Si Comat arahan Allahyarham Aziz Sattar. Filem ini mendapat sambutan yang menggalakkan, syarikat ini menerbitkan beberapa buah filem sehingga tahun 1992.

Kejayaan pecah panggung filem Keluarga Si Comat mewabakkan kemunculan bagaikan cendawan tumbuh syarikat-syarikat filem diusahakan oleh usahawan Melayu. Tugas pengarahan dan kerusi pengarah diisi oleh bekas pengarah dan pelakon dari studio Jalan Ampas dan studio Cathay Keris, Singapura.

Bekas pengarah seperti Jamil Sulong, Omar Rojik, Salleh Ghani dan M Amin mula mendapat peluang mengarah filem-filem Melayu dalam bentuk warna berbanding filem hitam putih ketika di studio-studio Singapura.

Selain Aziz Sattar yang merupakan bekas pelakon filem-filem siri popular Bujang Lapok arahan P Ramlee, ramai lagi bekas pelakon di antaranya, Aziz Jaafar dan Malek Selamat berpeluang menduduki kerusi pengarah dengan syarikat-syarikat filem baharu yang berpusat di Kuala Lumpur.

Kebangkitan semula industri filem Melayu bermula 1975 ini lebih bersifat peningkatan jumlah filem dan syarikat produksi bukan peningkatan mutu filem yang dihasilkan. Hampir kesemua filem Melayu yang diproduksikan antara 1975 sehingga awal 80-an masih lagi bercirikan cut and paste filem-filem tahun 60-an terbitan studio Jalan Ampas dan Cathay Keris.

Suasana perfileman Melayu dan sikap budaya fikir orang Melayu ketika itu dan rasanya masih lagi wujud sehingga sekarang menjustifikasikan kata-kata Dr Anuar - “ Kita la ni di Malaysia kalau I katakan Hussin Haniff dalam banyak filem lebih baik daripada P Ramlee. Siapa nak setuju?”

Mungkin tidak keterlaluan jika aku dan rakan-rakan penggiat filem seangkatanku berpandangan dan membentuk jalur pemikiran - ketokohan dan populariti P Ramlee dan filem-filem arahannya masih merupakan sebahagian daripada ciri-ciri untuk mensahihkan kemelayuannya seseorang individu yang mengaku berbangsa Melayu.

Apa kaitannya keadaan di atas dengan polemik yang dicetuskan oleh Dr Anuar?

Inti pati cetusan Dr Anuar itu menjurus kepada kajian berkaitan filem-filem P Ramlee mestilah dalam konteks penglibatan dan sumbangan tokoh ini dalam bidang filem tanah air. Dr Anuar pernah menyuarakan, dalam kita mengangkat P Ramlee sebagai tokoh filem Melayu, kita perlu berlaku adil supaya tidak melupakan sumbangan pengarah-pengarah lain seangkatannya.

Di antara pengarah-pengarah seangkatan P Ramlee, Hussein adalah ‘pencabar’ paling terdekat.

Dalam merungkai dan membincangkan polemik ini melahirkan dua kelompok pembikin filem yang bertentangan pada awal 80-an. Di satu pihak kelompok penggiat filem era 50 dan 60-an yang bermula dari Singapura. Sementara pihak satu lagi diwakili oleh penggiat filem generasi muda berpangkalan di Kuala Lumpur.

Hasil polemik cetusan Dr Anuar mendorong aku mencari perbezaan yang terdapat pada filem-filem Hussein dan P Ramlee. Penemuan perbezaan-perbezaan ini mampu memberi input yang relevan bagi membantu sesiapa yang mahu membuat penilaian ketokohan dua pengarah ini.

Perbezaan paling menonjol ialah aspek teknikal. Filem-filem Hussein dari segi pergerakan dan kerja kameranya dan suntingannya jauh ke depan. Salah satu punca kebanyakan filem-filem Hussein gagal meraih kutipan pecah panggung disebabkan kegilaan beliau mengeksploitasi dan bereksperimen dengan aspek teknikal pembikinan sesebuah filem. Obsesi ini membuat Hussein mengabaikan aspek penceritaan.

Kejayaan pecah panggung filem Hang Jebat (1961) dan Dang Anom (1962) dengan gerak kerja kamera dan suntingan yang inovatif adalah kerana kekuatan skrip karya Ali Aziz. Boleh dikatakan kegagalan filem-filem Hussein yang lain adalah kerana kelemahan cerita.

Dalam usaha aku cuba memahami kegagalan filem-filem Hussein, aku bertemu satu penemuan yang agak menarik. Pemilihan tema filem-filem Hussein aku rasa menyumbang kepada kegagalannya. Hussein berani mengangkat tema dan isu yang tabo dalam masyarakat dan penonton Melayu. Dengan filem Kalong Kenangan (1964) Hussein berani menerokai isu sumbang mahram. Ketika itu tema seperti ini masih asing dan belum pernah diangkat ke layar lebar. Apakah keberanian Hussein ini memakan dirinya sendiri?

Pada aku perbezaan paling nyata antara filem-filem Hussein dengan filem-filem P Ramlee adalah dari aspek kemahiran bercerita secara visual dengan perantaraan kefahaman teknikal. Apakah yang dapat dimanfaatkan oleh pembikin filem sekarang daripada perbezaan dua pengarah ini?

Kombinasi – sikap keberanian Hussein berinovasi dengan teknik dan kemahiran bercerita P Ramlee adalah ilmu paling berharga buat semua pembikin filem.

Alfatihah buat Hussein Haniff dan P Ramlee.

Ahad, 18 Oktober 2015

Hussein Haniff & P Ramlee: Satu perbandingan

AKU menerima beberapa respons daripada pembaca dan juga rakan-rakan dalam bidang filem dan seni mengenai tulisan-tulisan aku tentang pengarah Allahyarham Hussein Haniff. Di antaranya yang menarik hati aku ialah respons daripada seorang rakan lamaku. Beliau bukan orang filem tetapi meminati dan mengikuti perkembangan filem dan seni hiburan tanah air sejak era 50-an dan selepas merdeka. Merupakan seorang otai yang masih suka menonton filem Melayu di pawagam dengan menggunakan kemudahan tiket separuh bayaran bagi warga emas.

Beliau bertanya – kenapa aku dan rakan-rakan seangkatanku lebih cuba berusaha mengangkat Hussein berbanding P Ramlee sebagai pengarah dan filmmaker?

Beliau menyuarakan juga pandangan tentang seperti ada penolakan terhadap P Ramlee sebagai seorang filmmaker tulen berbanding Hussein dalam kalangan pemikir, pengkaji, pengkritik dan pembikin filem angkatan baharu ketika aku mula menceburi bidang perfileman pada awal 80-an. Maksud beliau, golongan yang bukan bermula dari era Jalan Ampas dan Cathay Keris, Singapura terutamanya generasi pembikin dan penggiat filem new wave cinema atau gelombang baharu sinema Melayu bermula dengan filem Abang (1981) arahan Rahim Razali.

Menurut beliau, aku juga tidak terkecuali daripada kelompok ini. Aku tidak cuba menafikan pandangannya. Sebaliknya, aku meminta beliau memberi alasan memperkuatkan pendapatnya itu.

Beliau merujuk kepada tulisan aku pada 13 September lalu – "Hussein Haniff filmmaker tulen?"

Dalam artikel itu aku nukilkan - Menurut Dr Anuar Nor Arai - “Kita la ni di Malaysia kalau I katakan Hussin Haniff dalam banyak filem lebih baik daripada P Ramlee. Siapa nak setuju?” Dalam melontar pandangan dan pendapat menongkah arusnya, Dr Anuar menganggap Hussein lebih memenuhi kriteria filmmaker atau pembikin filem berbanding P Ramlee.

Aku catatkan juga hujah ilmiah Dr Anuar - Pada pandangan beliau, P Ramlee penghibur rakyat all rounder sedangkan Hussein lebih menumpukan kelebihan keupayaan berkaryanya khusus untuk filem, terutamanya dari aspek teknikal selain aspek penceritaan naratif. Hussein bukan pelakon, pemuzik, penyanyi, pelawak seperti P Ramlee. Hussein lebih terarah untuk menjadi seorang filmmaker tulen. Lebih-lebih lagi Hussein bermula sebagai penyunting filem dan bukan sebagai pelakon.

Pada aku sememangnya kenyataan Dr Anuar memperkatakan tentang perbandingan antara pengarah Hussein dengan P Ramlee ada kebenarannya.

Aku seterusnya menulis - Aku boleh bersetuju dengan Dr Anuar berdasarkan ilmu filem aku pelajari dan pengalaman aku lalui dalam bidang perfileman sejak 1978 sehingga kini.

Kata kuncinya di sini ialah ilmu filem. Perbandingan yang mahu dibuat terhadap dua tokoh filem Melayu ini mestilah berdasarkan ilmu iaitu ilmu filem dan kefahaman sejarah perfileman dunia dan tempatan.     
Menurut rakanku ini lagi, sejak lewat 80-an banyak tulisan dan kajian oleh pengkaji, pemikir filem Melayu dan dalam program-program perbincangan filem yang diadakan oleh tokoh-tokoh filem tanah air seperti mahu menolak dan mempertikaikan ketokohan P Ramlee sebagai seorang filmmaker.

Beliau memberi beberapa contoh laporan dan tulisan mengenai perbincangan filem yang tersiar dalam akhbar sejak sekian lama ini. Artikel dan tulisan-tulisan ini boleh dibaca melalui pencarian secara meng’google’ di alam siber. Rata-rata pemikir dan pengkaji filem tanah air, di antaranya Allahyarham Dr Anuar Nor Arai, Johan Jaaffar, Dr Mahadi J Murad, Hassan Muthalib, Mansor Puteh dan juga pengarah filem Adman Salleh menilai ketokohan P Ramlee dengan Hussein sebagai pembikin filem daripada sudut pandangan yang kontra berbanding pandangan umum.

Rakanku ini merujuk kepada tulisan Ku Seman Ku Hussain – P Ramlee layakkah dianggap tokoh filem? yang tersiar di Utusan Malaysia pada 27 Jun 2000.

Tulisan itu mengupas dan memperkatakan kenyataan dilontarkan oleh Dr Anuar sehingga menimbulkan kontroversi sebaik sahaja beliau balik ke tanah air pada 1982 selepas menuntut sehingga memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang pengajian filem dari University of Southern California.

Kefahaman yang aku peroleh daripada tulisan tersebut, Dr Anuar cuba melakukan perbandingan dan penilaian berdasarkan ilmu filem bukan berdasarkan nilai-nilai sentimental. Beliau cuba melihat filem-filem P Ramlee sebagai film as film bukan hasil karya filem-filem P Ramlee dalam kapasiti seorang seniman serba boleh – penyanyi, pemuzik, pencipta lagu, pelawak, pelakon dan pengarah filem.

Dr Anuar mencadangkan perlu ada kajian menjurus terhadap P Ramlee sebagai pengarah filem tanpa menafikan dia sebagai seniman rakyat yang jarang-jarang dilahirkan di dunia.

Dengan menggunakan pendekatan inilah juga Dr Anuar dan kami daripada golongan muda ketika itu cuba melihat dan menilai filem-filem Hussein. Aku dan rakan-rakan mahu mengkaji dan menilai karya-karya Hussein berdasarkan ilmu bukannya rasa sentimental melulu.

Seiring dengan perubahan masa, aku lihat sudah ada perubahan di kalangan pembikin dan penggiat filem generasi muda sekarang dalam usaha menilai dan memperkatakan tentang filem-filem Melayu era 50-an sehingga pertengahan 60-an yang merupakan zaman kegemilangan filem Melayu. Usaha mengkaji filem-filem pengarah-pengarah selain P Ramlee sudah mula digerakkan walaupun agak terlewat. Paling penting usaha yang dicetuskan oleh Dr Anuar sudah bermula.

Aku tidak nafikan wujud dua pandangan berbeza dalam memperkatakan ketokohan dua pengarah penting filem Melayu ini ketika awal 80-an.

Bagi memahami dan melakukan perbandingan antara Hussein dan P Ramlee sebagai filmmaker, perkara asas perlu diambil kira ialah jumlah filem yang di arahkan mereka.

Hussein hanya mampu mengarah 14 filem dalam jangka masa enam tahun sebelum meninggal dunia pada usia muda 32 tahun akibat mengidap penyakit barah dalam perut pada 1966.

Dalam masa 17 tahun P Ramlee pula mengarah 35 filem bermula dengan Penarek Becha (1955) terbitan Malay Film Productions, Jalan Ampas, Singapura sehingga filem terakhirnya Laksamana Do Re Mi (1972) terbitan Merdeka Studio, Ulu Kelang. Beliau meninggal dunia pada usia 44 tahun pada 29 Mei, 1973.

Berikut aku senaraikan filem-filem arahan Hussein mengikut tahun dan genre. Filem pertama dan keduanya, Hang Jebat (1961) dan Dang Anum (1962) bergenre purba. Filem Korban Kasih bergenre drama moden dan Mata Shaitan bergenre purba dihasilkan pada 1962.

Hussein juga mengarah filem bergenre komedi seperti Mabuk Kepayang (1962), Masuk Angin Keluar Asap (1963) dan Gila Talak (1963).

Kesemua filem arahan Hussein yang ditayangkan pada 1964 bergenre purba - Dua Pendekar, Istana Berdarah, Hutang Darah Dibayar Darah dan Kalong Kenangan.

Pada tahun berikutnya, 1965, Hussein hanya mengarah dua filem bergenre drama moden berjudul Jiran Sekampung dan Cinta Kasih Sayang. Di hujung hayatnya, pada 1966, Hussein hanya mampu mengarah satu filem bergenre purba, Udang Sebalik Batu sebelum meninggal dunia pada 5 April 1966.

Daripada 14 filem arahannya, kecuali Hang Jebat dan Dang Anum, filem-filemnya yang lain gagal di pasaran. Berbanding filem-filem arahan P Ramlee yang kebanyakannya pecah panggung terutamanya filem-filem arahan beliau ketika di Singapura antara 1955 sehingga 1963. Mana dan apa silapnya?

Kita sambung minggu depan. Insya-ALLAH.

Ahad, 11 Oktober 2015

Keganasan & kekerasan dalam filem Hussein Haniff

MINGGU ini aku sambung semula catatan tentang pengarah Allahyarham Hussein Haniff. Dari artikel dan tulisan yang aku baca melalui majalah-majalah lama yang masih ada dalam simpanan aku, pengarah ini sering dikaitkan dengan unsur-unsur keganasan dan kekerasan dalam filem-filem arahan beliau.

Ketika era kegemilangan filem Melayu pada tahun 60an, selain dikenali sebagai pengarah yang memastikan filem-filemnya punya keunikan tersendiri daripada aspek pemilihan sudut kamera dan suntingan, Hussein juga seolah-olah sinonim dengan keganasan dan kekerasan dalam filem-filem arahannya.

Elemen dan unsur-unsur keganasan dan kekerasan yang dihasilkan oleh Hussein bukan sahaja diperkatakan oleh pengulas dan pengkritik filem zamannya tetapi masih lagi dikaji dan diperkatakan oleh pengkritik dan pengkaji filem Melayu dan Malaysia sehingga sekarang.

Keganasan yang aku maksudkan terdapat dalam filem-filem Hussein adalah dalam konteks pembikinan filem pada era 60-an. Pada era industri perfileman dunia belum ada efek slow motion dan kesan efek penghasilan CGI. Keganasan dalam bentuk hitam putih bukan warna. Melalui angle-angle atau sudut-sudut dan pergerakan kamera yang inovatif Hussein berhasil mewujudkan dan melahirkan kesan keganasan serta kekerasan yang belum pernah diterokai oleh pengarah-pengarah lain seangkatan beliau ketika itu.

Menurut Yunos Alwi, bekas pemilik dan pengurus produksi syarikat filem iklan, PROFILM yang banyak terlibat dalam produksi filem-filem arahan Hussein ketika di Cathay Keris, Singapura pernah menyatakan kepada aku, Hussein seorang pengarah yang sentiasa mahu mencuba dan berani bereksperimen dengan idea-idea baharu. Beliau sentiasa mencuba kaedah-kaedah baharu dalam proses menghasilkan sudut-sudut kamera yang unik untuk filem-filem arahannya.

Ini adalah komen daripada, C Ramachandra, jurukamera untuk filem arahan kedua Hussein, Dang Anom (1962) – “Saya belum pernah jumpa director macham Hussein Haniff di Malaya ini. Dalam filem yang dia arahkan, mempunyai angle-angle yang menarek hati dan belum pernah orang lain buat. Saya tahu, Hussein tak mahu mengambil angle yang mana pernah terdapat dari filem yang telah ditayangkan.” Komen ini dipetik daripada artikel majalah Berita Filem keluaran September 1961.

Tanpa disedari attitude rebel atau sikap keras kepala dan pantang mengalah beliau terpancar dalam filem-filemnya melalui gerak kamera dan suntingan. Contoh-contoh yang pernah aku nukilkan dalam artikel sebelum ini iaitu bagaimana komitednya Hussein menghasilkan penggambaran babak-babak tarian dalam filem Hang Jebat (1961) dan penggambaran babak-babak penyeksaan hero (Yusof Latif) oleh crook (Salleh Melan) dalam filem Dua Pendekar (1964).

Kedua contoh ini juga menzahirkan sikap seorang pengarah yang punya directorial execution - tahu apa visual mahu dilahirkannya. Hussein berjaya melakukan preconceptualization visual babak-babak dimahukannya kerana beliau seorang visual imaginist. Hussein punya daya imaginasi tinggi dalam membayangkan visual yang bakal digarap lewat pergerakan dan kerja kameranya sehingga ke meja suntingan.

Hussein punya kelebihan tersendiri dalam membina imej-imej serta visual keras dan ganas. Ini berlaku kerana Hussein faham dan tahu mengeksploitasi keganasan dan kekerasan untuk ‘diindahkan’ secara visual lewat pengisian mis-en-scenenya.

Aku ada terbaca dalam salah satu artikel majalah keluaran tahun 60-an menyatakan babak pergaduhan pada awal filem Dang Anom bersifat ganas dan brutal.

Babak ini memaparkan pergaduhan terjadi dalam lumpur dan selut. Watak seorang bapa yang mahu menghalang anak gadisnya daripada dipersembahkan kepada Sultan untuk dijadikan gundik telah dibelasah dan dibenamkan muka kepalanya di dalam lumpur dan selut oleh orang-orang Sultan. Hussein berjaya menggambarkan ritual penyeksaan kejam dan zalim dilakukan oleh orang-orang suruhan Sultan sebagai mewakili kezaliman Sultan yang hanya mahu memenuhi tuntutan nafsu syahwatnya sahaja. Ketidakadilan, kezaliman dan kebuasan nafsu serakah Sultan dimanifestasikan tanpa perlu watak Sultan ada dalam babak tersebut. Dengan daya kelebihan seorang visual imaginist, Hussein berjaya menimbulkan rasa benci, geram dan menyampah penonton terhadap watak seorang pemimpin – Sultan. Lantas watak ini diangkat sebagai antagonis seawal bermulanya penceritaan filem ini.

 Babak pergaduhan dalam filem-filem Melayu ketika itu secara lazimnya adalah hampir sama cara dan gaya olahannya. Di tangan Hussein mis-en-scene babak pergaduhan pada awal filem Dang Anom ini menggunakan elemen lumpur yang belum pernah digunakan oleh pengarah filem Melayu lain sebelum ini.  

Babak-babak lain yang dianggap ganas dan keras dalam filem Dang Anom termasuklah babak-babak akhir di tempat penyeksaan di mana Panglima Malang diperankan oleh Nordin Ahmad mati ditikam oleh Datuk Bija Sura diperankan oleh Mahmud Jun dan pengawal-pengawal dalam pertarungan berat sebelah di hadapan Sultan. Mayat Panglima Malang dicampak ke dalam parit berlumpur dan kotor di tepi kawasan penyeksaan atas arahan Datuk Bija Sura. Walaupun banyak jasanya kepada negeri dan Sultan tetapi mayat Panglima Malang diperlakukan tidak ubah seperti bangkai binatang!

Watak Dang Anom, diperankan oleh Fatimah Ahmad dijatuhi hukuman sula dengan buluh dengan kedua kaki dan tangannya diikat pada tiang buluh. Walaupun aksi menyula tidak ditunjukkan tetapi mis-en-scene yang dibina sebelum dan sesudah Dang Anom melalui hukuman disula oleh Datuk Bija Sura berupaya melahirkan gambaran kengerian perlakuan sula itu dalam minda penonton.

Perhatikan bagaimana buluh runcing tajam untuk menyula Dang Anom digunakan oleh Datuk Bija Sura melontar menembusi dada Datuk Sang Rajuna Tapa, bapa Dang Anom yang diperankan oleh Ahmad Nisfu. Buluh runcing yang sama juga setelah berjaya dicabut dari dada Datuk Sang Rajuna Tapa oleh Panglima Majapahit diperankan oleh Ghazali Sumantri digunakan membunuh Datuk Bija Sura. Lontaran dari Panglima Majapahit itu mengenai bahagian belakang kaki kiri hampir di kawasan punggung atau dubur Datuk Bija Sura. Lihat shot dari depan - Datuk Bija Sura terkangkang-kangkang seperti kena sula ketika menaiki tangga untuk melarikan diri sebelum dibunuh oleh Panglima Majapahit.

Untuk informasi peminat, pelajar, penggiat, pengkaji dan pengkritik filem generasi sekarang, kes Hussein berkonfrontasi dengan wartawan hiburan ketika itu bermula ketika penggambaran filem Dang Anom. Kes Hussein menampar seorang wartawan hiburan kerana menulis gosip hubungan beliau dengan Fatimah Ahmad, heroin filem Dang Anom ada aku sentuh dalam artikel sebelum ini. Kes ini seolah-olah menjustifikasikan sikap keras dan ganas pada personaliti beliau. Pada aku kes dan isu ini adalah hal remeh-temeh yang mungkin digembar-gemburkan untuk melariskan majalah yang diwakili oleh wartawan tersebut.

Berbalik kepada kekerasan dan keganasan yang terdapat dalam filem-filem arahan Hussein, aku berpandangan beliau berjaya menggunakan elemen keganasan dan kekerasan selari dengan tuntutan sinematik sesebuah karya seni bernama filem.

Menurut pengkritik filem, A Wahab Hamzah - Filem adalah karya seni yang paling sesuai dengan kekerasan, kerana kekerasan berlaku akibat tindakan manusia. Bayangkan filem Hang Jebat (Hussein Haniff) tanpa adegan pertikaman antara Hang Tuah dengan Hang Jebat. Adegan yang dikoreografi dengan begitu cantik oleh Mahmud June menjadi unsur terpenting dan karakter utama filem ini.

Kesimpulannya, sebagai seorang tukang cerita, Hussein faham dan berjaya menggunakan elemen ganas dan keras untuk melahirkan visual kewujudan suasana keganasan dan kekerasan yang lebih ekstrem dalam minda penonton. Penonton bebas membuat interpretasi sendiri – terpulanglah kepada kita.

Hussein Hanif sememangnya seorang visual imaginist!

Ahad, 4 Oktober 2015

Hebatkah Polis Evo?

SEBELUM dan selepas menyambut Hari Raya Aidiladha, media massa baik elektronik, cetak dan media sosial alam siber dipenuhi dengan berita kejayaan filem terbitan Astro Shaw, Polis Evo, arahan Ghaz Abu Bakar.

Filem ini berjaya membuat kutipan RM2.5 juta dalam hanya 4 hari sejak mula ditayangkan pada 17 September lalu. Terkini kutipan pecah panggungnya sudah mencecah RM8 juta selepas 11 hari tayangan. Filem ini masih lagi ditayangkan sekarang. Pasti kutipan pecah panggungnya terus meningkat.

Sebenarnya minggu ini aku mahu menyambung tulisanku mengenai pengarah Allahyarham Hussein Haniff tetapi bila filem Polis Evo menjadi berita panas dan topik perbualan ramai, aku ingin berkongsi pandangan tentang kejutan dihasilkan oleh filem aksi ini.

Kelesuan dan kurangnya sambutan penonton terhadap filem-filem tempatan khususnya filem Melayu sejak dua tahun kebelakangan ini tidak dinafikan membuat pembikin filem kita risau dan bimbang tentang masa depan industri filem tanah air.

Cita rasa dan selera penonton kita terutamanya penonton filem Melayu amat sukar untuk diramalkan. Ketidaktentuan sambutan penonton ini paling sukar untuk ditemui solusinya.

Jawapan dan penyelesaian kepada masalah ini hanya boleh ditemui melalui kaedah trial and error. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

Ini bererti penggiat filem tanah air sama ada produser, pengarah, tenaga kreatif dan teknikal perlu sentiasa mencuba serta mencari sesuatu yang baharu.

Pada pendapat aku dalam proses mencuba dan mencari sesuatu yang baharu ini, usaha yang dilakukan oleh Astro Shaw lewat filem Polis Evo berjaya mengesan selera kebanyakan penonton filem Melayu sekarang. Mereka suka kepada filem bergenre action - aksi.

Keadaan ini berlaku mungkin penonton sudah terlalu lama dihidangkan dengan filem-filem seram dan komedi. Kemunculan filem Polis Evo bergenre aksi berupaya membawa penonton berubah angin seketika.

Bagaimana pula dengan pendapat mengatakan penggiat filem tidak perlu terlalu mengikut kehendak penonton?

Fenomena filem Polis Evo ini membolehkan aku mengalami dan berusaha untuk memahami situasi dan budaya menonton wayang rakyat negara ini khususnya penonton filem Melayu.

Aku menonton Polis Evo di pawagam selepas seminggu tayangannya bermula. Aku menonton bukan kerana pengaruh promosi tetapi sememang rutin aku menonton sebanyak mungkin filem-filem tempatan di pawagam.

Ketika menonton apa juga filem di pawagam dengan membayar tiket aku memakai ‘topi’ penonton biasa bukan ‘topi’ seorang filmmaker atau pengarah filem. 

Aku mengambil sikap demikian kerana sebagai penonton perkara paling penting ialah nilai harga tiket yang dilaburkan itu mestilah berbaloi dengan filem yang ditonton. Rata-rata sekarang baik di bandar-bandar besar mahupun bandar bersaiz sederhana harga tiket secara keseluruhannya ialah di antara RM10 sehingga RM15. Ada juga harga tiket mencecah sehingga RM18 seperti di bandar raya Johor Bahru.

Jika dilihat di media sosial pendapat yang sering disuarakan oleh kebanyakan penonton filem Melayu ialah mereka takut  kecewa bila kepuasan menonton tidak seiring dengan nilai harga tiket yang ditawarkan.

Pada aku ini adalah perkara paling asas mesti difahami oleh sesiapa sahaja yang terlibat dalam satu kegiatan ekonomi berasaskan untung rugi. Industri filem adalah satu kegiatan ekonomi bertujuan dan bermatlamatkan keuntungan.      
    
Ketika aku berada bersama dengan penonton lain dalam panggung aku lihat filem Polis Evo ini punya ramuan yang boleh membuka selera penonton untuk ke panggung.

Pada asasnya filem ini mengisahkan watak baik berdepan dengan watak jahat. Di pihak bersisi baik adalah polis. Diwakili oleh watak Inspektor Sani (Zizan Razak) dan Inspektor Khai (Shaheizy Sam).

Kedua watak ini tidak sebulu dan tidak sekepala pada mulanya. Akhirnya keadaan memaksa mereka bekerjasama demi tugas melumpuhkan kegiatan sindiket pengedaran dadah dan untuk menyelamatkan nyawa orang mereka sayangi.

Pihak jahat diwakili oleh watak-watak penjenayah, gengster dan pengedar dadah. Pertembungan dua pihak ini mencetus dan meletupkan suasana tegang, rencam, ganas berapi dengan aksi-aksi kejar mengejar kereta, tembak menembak, letupan dan segala resipi wajib dan perlu untuk sebuah filem aksi yang membuat paras adrenalin penonton melonjak.

Aku lihat penonjolan polis dalam filem Polis Evo berjaya lari dari pola-pola propaganda robotik ala Gerak Khas. Watak-watak polis dalam Polis Evo dibina dengan lebih human.

Sifat manusiawi watak-watak polis dekat dengan penonton. Lihat watak Tuan Mokhtar diperankan oleh Allahyarham Harun Salim Bachik bila berdepan dengan dua hero yang ‘tak sekepala’ – menarik.

Watak Inspektor Khai diperankan oleh Shaheizy Sam mudah diterima oleh penonton terutamanya penonton muda. Mereka boleh mengidentifikasikan diri mereka dengan watak tersebut berdasarkan imej yang sempoi dan tahan lasak - imej ‘bukan polis tetapi polis.’   

Lihat juga babak-babak aksi pertembungan antara polis dengan penjenayah menyebabkan polis juga turut ditembak mati bergelimpangan.

Penonjolan watak-watak penjenayah aka gengster lebih lokal sifatnya. Jelas identiti mereka – gengster Melayu yang beroperasi di negeri pantai timur. Elemen ini tidak terdapat dalam filem-filem genre gengster tempatan sebelum ini.

Hampir kesemuanya berlatar belakangkan kota raya urban ala Hong Kong. Sehingga menimbulkan budaya gengster yang serabut imejnya – Hong Kong ke atau tempatan?

Filem ini memberi kesegaran dari segi pemilihan lokasi – jelas jenayah berat bukan hanya tertumpu kepada bandar-bandar besar sahaja.

Jenayah boleh berlaku di mana-mana dan dilakukan oleh sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa. Kefahaman ini aku lihat berjaya diangkat oleh kumpulan penulis skripnya.

Aku juga tertarik dengan pengadunan budaya Melayu dengan keadaan hidup sekarang. Aku menganggap nilai-nilai lemah lembut dan toleransinya orang-orang Melayu yang dipaparkan lewat watak Zizan dan keluarganya melontar satu persoalan untuk kita fikirkan.    

Hakisan dan terpinggirnya budaya lemah lembut Melayu yang dipertahankan oleh watak Zizan dan keluarganya ditelan oleh kebuasan nafsu mengejar kebendaan dengan cara mudah melalui perlakuan jenayah berhasil dipaparkan secara subtle.

Apakah ungkapan diwarisi turun temurun – kita ini orang Melayu, orang Timur yang lemah lembut boleh dipakai lagi atau tidak sekarang?  Orang-orang Melayu perlu berubah sejajar dengan perubahan dunia dan cara hidup sekarang – perlu cerdik supaya tidak mudah ditipu waima oleh bangsa sendiri.

Filem genre aksi sering bersifat universal kerana jenayah dan penjenayah seantero dunia sama sifat dan perangainya. Pedulikanlah jika ada mengatakan filem ini macam filem Bad Boys atau aksinya macam filem-filem aksi Hong Kong.

Filem Polis Evo berjaya menghiburkan penonton dengan ramuan-ramuan perlu ada pada sebuah filem aksi dengan garapan ala Malaysia.

Paling penting filem ini berjaya membuktikan penonton filem Melayu tetap ada dan setia memberi sokongan jika resipi hidangan yang dihasilkan membuka selera menonton mereka.

Aku gelak besar terbaca kenyataan Shaheizy Sam dalam Entertainment Movie News – beliau berharap janganlah pula selepas kejayaan filem Polis Evo akan ada pula trend filem-filem – Gengster Evo, Hantu Evo atau Suamiku Polis Evo.

Aku sokong seratus peratus!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...