Ahad, 27 September 2015

Bagaimana filem Hussein jika ada drone?

ADA dalam kalangan rakan-rakanku sejak dahulu mengetahui aku sangat meminati hasil kerja Allahyarham Hussein Haniff menghubungi aku selepas membaca tulisan aku mengenai pengarah yang under rated ini.

Paling menarik ada seorang daripada mereka mengingatkan aku supaya jangan lupa menulis tentang kes Hussein menampar seorang wartawan hiburan kerana menulis gosip tentang hubungan Hussein dengan Fatimah Ahmad, heroin filem kedua arahannya, Dang Anum (1962).

Aku cuma tersenyum membaca SMSnya itu. Sememangnya ramai di antara pembikin filem dan wartawan hiburan era 60an yang berpusat di Singapura ketika itu tahu tentang isu panas antara Hussein dengan wartawan tersebut. Aku tidak mahu menyebut nama wartawan tersebut kerana beliau sudah meninggal dunia pada 2011.

Mungkin aku akan sentuh kes dan gosip sensasi Hussein ini di kesempatan lain. Minggu ini aku ingin menyambung tentang cara kerja dan sikap rebel with a cause Hussein dalam menghasilkan filem-filemnya.

Menurut Yunos Alwi, bekas pemilik dan pengurus produksi syarikat filem iklan, PROFILM yang banyak terlibat dalam produksi filem-filem arahan Hussein ketika di Cathay Keris, Singapura menyatakan kepada aku, Hussein seorang pengarah yang keras kemahuannya. Beliau jarang berkompromi tentang shot-shot yang dimahukannya.

Hussein berlatar belakangkan kerjaya sebagai penyunting filem sebelum menjadi pengarah sangat cerewet dan teliti menghasilkan shot-shot untuk setiap babak filem-filem arahannya.

Hussein juga seorang pengarah kreatif dan sentiasa mahu mencuba menghasilkan sudut-sudut kamera yang jarang diterokai oleh pengarah lain ketika itu. Hussein berminda inovatif dengan keinginan mencuba elemen baharu dari segi teknikal baik kerja kamera dan suntingan.  

Sering Yunos menceritakan kepada aku tentang bagaimana Hussein menghasilkan shot-shot babak tarian dalam filem sulungnya, Hang Jebat (1961) dengan menggunakan kamera yang diletak di atas dolly tetapi daripada paras atas dan tinggi tanpa menggunakan kren.

Bagi bukan orang filem – maksudnya ialah kamera diletak atas alat yang beroda dipanggil dolly. Ketika jurukamera merakamkan shot yang diingini oleh pengarah dolly ini akan ditolak oleh kru. Selalunya dolly akan diletak pasangkan di atas trek atau landasan seperti rel kereta api di atas lantai atau tanah untuk ditolak oleh kru. Jarang ditemui pengarah meminta jurukameranya merakamkan shot dengan kamera menggunakan dolly tetapi di paras yang tinggi.

Tetapi untuk mendapatkan shot-shot tarian tersebut daripada sudut berparas tinggi seperti dimahukan oleh Hussein, kru-kru penggambaran terpaksa membina pelantar tinggi. Mereka terpaksa mengangkat dolly yang berat dibuat daripada bahan besi padu dan diletakkan  di trek atau landasan besi yang dipasang di atas binaan pelantar tadi. Hasilnya, Hussein berjaya merakamkan shot-shot tarian dengan framing kamera dalam format wide shot (sudut luas atau besar) sambil kamera bergerak di atas pelantar tanpa menggunakan lensa zoom.

Tidak silap aku, Yunos ada menceritakan, ketika Hussein mengarahkan filem pertamanya, studio Cathay Keris belum membeli kren bagi memudahkan jurukamera merakamkan babak-babak dari sudut tinggi baik di set dalam studio mahupun di lokasi luar.

Cathay Keris membeli dan menyediakan kren untuk kegunaan pengarah-pengarahnya selepas kejayaan filem Hang Jebat (1961) arahan sulung Hussein.

Sememangnya sudut-sudut kamera untuk babak tarian itu berjaya menghasilkan suasana dramatik. Persembahan tarian  di hadapan Sultan untuk meraikan pelantikan Hang Jebat, diperankan oleh Nordin Ahmad sebagai panglima Melaka direka cipta oleh

Siput Serawak. Reka cipta tarian ini menjadi bertambah menarik di tangan Hussein. Ramai pengkritik dan pengkaji filem Melayu menganggap babak tarian ini paling terbaik pernah dihasilkan dalam filem Melayu bergenre purba.

Hasil kerja kamera merakamkan sudut-sudut high angle dan low angle dramatik memberi kekuatan kepada tarian yang dipersembahkan sebagai signifier atau petunjuk meramalkan apa bakal terjadi kepada Jebat dan Tuah pada akhir filem ini.

Hussein telah memecahkan fungsi tarian dalam kebanyakan filem Melayu. Selalunya tarian hanya merupakan pelengkap klise babak-babak melibatkan Sultan dan pesta keraian dalam kalangan istana. Babak tarian dan lagu diwujudkan lebih untuk mempromosikan lagu-lagu untuk sesebuah filem. Kaedah ini sekarang dikenali sebagai OST - Original Sound Track.

Pada era 60-an, petikan lagu-lagu mengiringi tarian dalam filem akan disiarkan melalui Radio Malaysia dan Singapura sebagai promosi sebelum dan ketika sesebuah filem ditayangkan. Studio Cathay Keris dan Malay Film Productions menggunakan kempen promosi yang serupa selain media cetak seperti akhbar dan majalah.

Berbalik kepada penggunaan dolly dan kamera untuk mendapatkan high angle shot, Hussein dengan cara dan teknik yang sama berhasil merakamkan opening shot filem Hang Jebat. Perhatikan visual pembesar-pembesar istana Melaka sedang duduk menghadap Sultan memegang tanjak masing-masing sebagai tanda protes mereka terhadap Tuah. Bermula dengan medium closeup kaki Sultan bergerak dari kiri ke kanan kamera. Seterusnya, diikuti pergerakan kamera dengan saiz atau ukuran lensa yang sama bergerak ke belakang dalam waktu sama menampakkan sudut tinggi keadaan set istana tersebut.

Mungkin ada pembaca berpandangan kenapa aku bersusah payah dengan menggunakan perkataan-perkataan teknikal untuk menerangkan semua ini? Maaf cakap, mungkin juga terlintas di minda pelajar-pelajar filem generasi sekarang – apa hebatnya shot-shot Hussein ini sehingga aku berusaha menerangkan selengkap mungkin kepada pembaca?

Jika diperhatikan sememangnya shot-shot tersebut nampak mudah. Penonton lazimnya tidak akan berupaya merasakan perbezaannya.

Ada pendapat dan pandangan dalam kalangan pembikin filem bahawa kejayaan shot atau pergerakan kamera yang sukar dilakukan ketika penggambaran ialah bila filem siap disunting dan ditayangkan babak-babak ini nampak bergerak lancar tanpa dapat dikesan usaha susah payah tenaga kru untuk mendapatkan shot-shot tersebut.

Lebih berjaya kesannya jika dalam kalangan pembikin filem sendiri gagal mengesan bagaimana shot-shot yang nampak mudah itu dihasilkan!

Aku menerangkan semua ini bertujuan memberi informasi kepada pembikin dan pelajar filem generasi sekarang bagaimana gigih dan keras kentalnya semangat kemahuan sinematik Hussein menghasilkan shot menarik, kreatif dan inovatif walaupun tanpa beralatan secanggih sekarang.

Anak-anak aku memberitahu sekarang terdapat jurugambar video majlis perkahwinan sudah ada menggunakan kamera video dengan drone merakam pengantin berarak dan bersanding!

Drone adalah alat bagi memasang kamera dengan dikawal secara remote. Alat ini bergerak atau terbang membawa kamera yang dipasang untuk merakam visual-visual daripada udara dan paras tinggi. Paras pencapaian ketinggian sesebuah drone bergantung pada spesifikasi pembuatannya.

Jika drone wujud pada era 60an, pastinya Hussein akan mengeksploit kelebihan drone ini. Bayangkan dengan penggunaan kren serta dolly yang berat, rumit, renyah dan sukar, Hussein berjaya menghasilkan shot-shot luar biasa dan tidak konvensional.

Rasanya jika ketika itu beliau ada drone pasti shot-shot lebih ‘gempak gila’ mampu dihasilkan oleh Hussein Hanif!

Ahad, 20 September 2015

Hussein Haniff pengarah yang dilupakan

SEJAK dua minggu lalu aku menulis mengenai pengarah filem Allahyarham Hussein Haniff berdasarkan informasi pengalaman peribadi Yunos Alwi. Beliau merupakan seorang daripada pemilik syarikat filem iklan PROFILM pada akhir 70-an sehingga awal 90-an. Sebelum syarikat filem Cathay Keris, Singapura ditutup pada 1973, Yunos berhijrah ke Kuala Lumpur dan terlibat dalam pembikinan filem-filem iklan.

Aku perhatikan filem-filem arahan Hussein kurang diberi perhatian oleh penonton, peminat dan kebanyakan generasi muda Malaysia amnya dan Melayu khususnya. Pihak berwajib dan media dalam perkembangan filem Melayu dan Malaysia, kurang memainkan peranan menonjolkan filem arahan pengarah seperti Hussein Haniff, M Amin, Mat Sentol dan Nordin Ahmad daripada studio Cathay Keris.

Begitu juga karya pengarah Melayu daripada studio Malay Film Productions, Jalan Ampas seperti Jamil Sulong, Omar Rojik dan S Kadarisman. Aku lihat keadaan sekarang tidak ada keseimbangan dalam menghargai sumbangan hasil kerja seni filem oleh pengarah-pengarah yang mewakili zaman kegemilangan filem Melayu yang berpusat di Singapura pada era 60-an.

Tidak salah memberi penghargaan kepada Seniman Agong kita, P Ramlee, tetapi kita perlu berlaku adil kepada pengarah lain seangkatan dengan beliau. Sumbangan mereka juga perlu dikaji dan disebarluaskan terutamanya kepada golongan pelajar filem generasi sekarang tanpa mengira bangsa.

Sejarah penglibatan tokoh karyawan filem dan filem arahan mereka selain P Ramlee amat penting diketahui oleh rakyat negara ini. Kita tidak boleh menafikan sumbangan mereka dalam membentuk dan merakam sejarah perkembangan budaya bangsa Melayu khususnya dan Malaysia amnya. Ketulenan sejarah budaya bangsa mesti dipelihara sebaik mungkin apatah lagi rakaman sejarah budaya kehidupan rakyat lewat visual filem yang dihasilkan mereka.

Perhatikan kenyataan Allahyarham Dr Anuar Nor Arai dalam pembentangan kertas bahasnya sempena Simposium Pesta Filem Malaysia Ke-7 di Melaka, 1987: "Kita ingat P Ramlee, siapa nak lupa, tapi janganlah lupakan Hussein Haniff, Omar Rojik, S Kadarisman, M Amin, Jamil Sulong. Jadi, kita jangan lupa P Ramlee, tapi jangan sembah dia macam Tok Kong."

Berbalik kepada pengisahan pengarah Hussein. Aku memperoleh banyak informasi tentang pengarah ini ketika aku memulakan kerjaya dalam bidang filem di syarikat PROFILM di mana Yunos juga bertugas sebagai pengurus produksi. Apa telah dan bakal aku tuliskan seterusnya ini adalah catatan yang berjaya aku kutip lewat perbualan dan sembang-sembang aku dengan Yunos. Ia mengenai pengalamannya berinteraksi dan bekerja dalam produksi diterajui Hussein ketika beliau di Cathay Keris.

Minggu lalu aku tinggalkan pembaca dengan persoalan kenapa Hussein ketika mengarahkan filem Dua Pendekar (1964) berani membuat keputusan meneruskan penggambaran babak untuk sekuen penyeksaan watak utama, Adam diperankan oleh Yusof Latif dengan hanya bergantung kepada hujan semula jadi. Hussein tidak bergantung kepada hujan dihasilkan oleh tenaga bomba atau kesan efek di peringkat pos produksi.

Di sini, aku ulang semula secara ringkas latar belakang mengenai babak-babak untuk sekuen penyeksaan tersebut. Menurut Yunos, sebenarnya dalam skrip asal babak tersebut ditulis tanpa menuntut efek hujan. Tetapi pada hari penggambaran hujan turun dengan lebat.

Kebiasaannya kebanyakan pengarah akan membatalkan atau menangguhkan penggambaran. Tetapi Hussein Haniff berani mengambil risiko meneruskan penggambaran. Bukan calang-calang pengarah berani membuat keputusan seperti dilakukannya ketika membuat penggambaran sekuen tersebut.

Kepada pembikin, pelajar, pengkaji dan pengkritik filem pasti tahu betapa penting dan kritikalnya elemen dipanggil continuity - kesinambungan. Dalam proses pembikinan filem kesinambungan paling banyak melibatkan aspek dan proses suntingan. Untuk mencapai kesempurnaan penyuntingan sesebuah filem berkait rapat dengan elemen pencahayaan, pergerakan pelakon, pergerakan kamera malah apa sahaja yang terdapat dalam frame atau bingkai empat segi kamera yang dikenali sebagai mis-en-scene.  

Mise-en-scene  adalah perkataan Perancis merujuk kepada apa sahaja yang berada dan diletak susunkan di hadapan kamera. Ini melibatkan komposisi elemen seperti set, prop, pelakon, pakaian dan pencahayaan. Kesemua elemen ini digandingkan dengan kerja sinematografi dan suntingan akan kelihatan seakan benar bukan ilusi di mata penonton.

Menurut Yunos, pengalaman Hussein sebagai penyunting filem sebelum menduduki kerusi pengarah menyumbang kepada keyakinannya meneruskan penggambaran dengan hanya bergantung kepada hujan ‘asli’ yang turun ketika itu tanpa sesiapa berupaya menjangka berapa lama hujan lebat itu akan berhenti.

Pengalamannya itu membantu Hussein berupaya visualkan mise-en-scene komposisi shot-shot yang diperlukannya dengan tepat dan pantas walaupun berdepan dengan hambatan masa dan ketidaktentuan keadaan di set atau lokasi penggambaran ketika itu.

Dalam fikirannya sudah ada bentuk dan rupa shot yang mahu dihasilkannya. Juga sudah ada dalam mindanya tempo dan durasi shot diperlukan untuk melahirkan babak-babak yang dituntut oleh skrip. Senang cerita - walaupun ada perubahan drastik ketika penggambaran berlaku seperti dalam kes ini di mana hujan lebat di luar jangkaan, tetapi Hussein berjaya tanpa ragu serta penuh keyakinan membayangkan dan menghasilkan shot diperlukannya di meja suntingan nanti.

Dalam situasi begini, sebagai pengarah, Hussein berkuasa penuh dengan disertai tanggungjawab dan kepastian seratus peratus apa sahaja shot dimahukannya mesti dirakamkan si jurukamera. Petugas teknikal dan krew terlibat jangan buang masa dan banyak soal. Berikan dan lakukan apa sahaja shot yang diminta oleh si pengarah. Sikap dan ketegasan ini ada pada Hussein.

Filem Dua Pendekar (1964) banyak meninggalkan kenangan kepada Yunos. Beliau memikul tugas pembantu kepada jurukamera Han Kai Juan.

Menurut Yunos, ketika penggambaran babak-babak melibatkan watak hero, Adam diperankan oleh Yusof Latif diseksa di atas puncak bukit, Hussein mahu mendapatkan shot - POV (Point Of View) atau sudut pandangan Adam ketika diikat pada roda kereta lembu serta dipusingkan bagi menggambarkan penyeksaan Awang Lekiu yang diperankan Salleh Melan.

Untuk mendapatkan shot POV pandangan Adam berpusing itu, Yunos dipertanggungjawabkan untuk merakamkannya. Beliau menggunakan teknik handheld camera untuk merakam shot yang dimahukan oleh Hussein. Untuk menghasilkan shot tersebut, Yunos diikat pada roda kereta lembu dan dipusingkan seolah-olah beliau adalah Adam, si hero yang sedang berpusing. Hasilnya sungguh menarik dan berkesan. Shot begini belum pernah dilakukan dalam filem Melayu sebelum itu.

Selepas mendengar penjelasan Yunos bagaimana Hussein berhasil mendapatkan shot yang mengagumkan aku menonton filem Dua Pendekar ketika aku berumur 10 tahun pada 1964, baharu aku tahu mengapa visual filem tersebut melekat di mindaku sehingga ke saat aku mengenali Yunos pada akhir 70-an. Patutlah visual-visual terhasil dalam filem Dua Pendekar berjaya meninggalkan kesan mendalam kepada emosi penonton. Visual-visual penyeksaan dilakukan oleh Awang Lekiu (Salleh Melan) terhadap Adam (Yusof Latif) dapat dirasai oleh penonton.

Proses penggambarannya sungguh rumit dan mencabar. Tetapi hasilnya melahirkan jumlah shot yang cukup dan lengkap untuk disunting menjadi rentetan visual dengan kekuatan dan karakter tersendiri. Untuk mendapatkan shot ini memerlukan masa, kesabaran dan susunan kerja rapi. Menurut Yunos, Hussein mesti mendapatkan shot yang dimahukannya walau terpaksa berdepan dengan berbagai kesukaran. Bahasa mudahnya - Hussein bukan seorang pengarah malas!  

Mendengar penceritaan tentang cara kerja Hussein melalui Yunos membuat aku makin teruja. Naluri ingin tahu dan menonton semula filem-filem arahan beliau makin membuak-buak. Tetapi ketika itu, penghujung 70-an dan awal 80-an belum ada internet dan Youtube. Filem-filem arahan Hussein Haniff amat jarang ditayangkan oleh RTM berbanding dengan filem-filem arahan P Ramlee. Walaupun begitu aku kira bernasib baik berpeluang juga menonton filem arahan pertama beliau, Hang Jebat (1961) dan filem keduanya, Dang Anum (1962) melalui tayangan di RTM pada akhir 80-an.

Apakah perkara seterusnya yang dimaklumkan Yunos, membuat aku kagum dengan Allahyarham Hussein Haniff? Kita bercerita lagi di minggu depan, insya-ALLAH.

Ahad, 13 September 2015

Hussein Haniff filmmaker tulen?

BILA menyebut dan berfikir tentang Allahyarham Hussein Haniff, aku pasti teringat tulisan Allahyarham Dr Anuar Nor Arai dalam kertas bahasnya tentang perbandingan antara pengarah Hussein Haniff dengan P Ramlee.

Menurut Dr Anuar - "Kita la ni di Malaysia kalau I katakan Hussin Haniff dalam banyak filem lebih baik daripada P Ramlee. Siapa nak setuju?" Dalam melontar pandangan dan pendapat menongkah arusnya, Dr Anuar menganggap Hussein lebih memenuhi kriteria filmmaker atau pembikin filem berbanding P Ramlee.

Pada pandangan beliau, P Ramlee penghibur rakyat all rounder sedangkan Hussein lebih menumpukan kelebihan keupayaan berkaryanya khusus untuk filem, terutamanya dari aspek teknikal selain aspek penceritaan naratif. Hussein bukan pelakon, pemuzik, penyanyi, pelawak seperti P Ramlee. Hussein lebih terarah untuk menjadi seorang filmmaker tulen.

Lebih-lebih lagi Hussein bermula sebagai penyunting filem dan bukan sebagai pelakon. Aku boleh bersetuju dengan Dr Anuar berdasarkan ilmu  filem aku pelajari dan pengalaman aku lalui dalam bidang perfileman sejak 1978 sehingga kini.

Pengarah yang jarang atau tidak langsung muncul berlakon di depan kamera berbanding pengarah filem yang menggalas dua tanggung jawab, mengarah dan berlakon terutama watak hero atau watak utama ternyata ada kelainan pada filem-filem arahan mereka.

Aku perhatikan shot dan angle lebih sinematik kurang dapat dinikmati penonton bila menonton filem-filem yang diarah dan pemeran watak utama adalah orang yang sama - dia hero dan dia juga pengarah.

Di sini letak perbezaan antara Hussein dengan P Ramlee dan pengarah-pengarah lain seangkatannya ketika itu. Melalui Yunos Alwi, bekas pengurus produksi syarikat filem iklan, PROFILM yang aku ceritakan minggu lalu, aku berhasil memahami keadaan ini.

Aku diberitahu beliau bagaimana Hussein melakukan penggambaran filem Dua Pendekar (1964) yang melibatkan babak-babak watak Adam, sang hero diperankan Yusof Latif.

Babak-babak ini divisualkan Adam dengan tangan terikat diheret dan diseksa dalam hujan lebat menuju ke puncak bukit untuk menjalani hukuman seksa oleh Awang Lekiu, watak crook yang diperankan Salleh Melan.

Menurut Yunos, pada hari penggambaran babak tersebut, hujan sejak pagi. Mereka tidak tahu sama ada mahu membatalkan atau menangguhkan penggambaran ke hari lain. Dari pengamatan mereka yang terlibat berasakan hujan itu mungkin lambat teduh.

Akhirnya, Hussein membuat keputusan untuk meneruskan penggambaran walaupun dalam skrip asal babak ini tidak berlaku dalam hujan.

Beliau berani mengambil risiko dan mengeksploitasi keadaan yang berlaku di luar jangkaan itu untuk menghasilkan sesesuatu lebih sinematik. Sememangnya, keadaan menyebelahi Hussein kerana hujan sepanjang hari itu. Sehingga selesai penggambaran baharulah hujan berhenti.

Apa yang dapat aku fahami dan pelajari daripada penceritaan Yunos itu? Aku berjaya menemui jawapan kepada soalan yang selama ini aku cari sejak berusia 10 tahun. Bagaimana Hussein menghasilkan babak-babak tersebut dalam suasana berlatar belakangkan hujan lebat?

Pastinya, tiada penggunaan tenaga bomba untuk menghasilkan ‘hujan’ kerana nasib menyebelahi Hussein. Beliau bergantung seratus peratus kepada hujan asli sepanjang penggambaran sekuen tersebut.

Aku juga berjaya memanfaatkan daripada penceritaan Yunos, bagaimana pentingnya seseorang pengarah memiliki daya penumpuan serta kekuatan minda dalam mencipta shot-shot dan mereka cipta camera angle atau sudut-sudut kamera dalam satu suasana kritikal yang paling di luar jangkaan.

Dalam kes ini Hussein terpaksa bekerja mungkin sehingga seratus kali ganda lebih cepat daripada biasa kerana ketika itu tiada siapa tahu dan boleh meramalkan bila hujan lebat itu akan berhenti.

Aku rasa semua pengarah filem atau drama (baik otai mahupun yang baharu) pernah mengalami dan melalui keadaan di mana penggambaran perlu dilakukan dengan pantas dalam keadaan kritikal. Sang pengarah terpaksa mengejar waktu dengan suasana kerja mendesak.

Bila-bila masa  boleh menimbulkan keadaan luar kawalan pengarah. Bayangkan dalam keadaan mendesak ini, sang pengarah perlu memikirkan dan menerangkan bagaimana framing untuk menyusun komposisi shot-shot dan camera angle atau sudut kamera yang mahu divisualkan kepada jurukamera.

Dalam masa sama sang pengarah perlu memberi arahan kepada pelakon-pelakon apa emosi dan suasana mahu dilahirkan dan bagaimana blocking atau pergerakan perlu dilakukan. Pergerakan pelakon-pelakon ini pula mesti berada dalam kawalan bingkai atau framing yang bakal diwujudkan dan dirakam melalui kamera oleh si jurukamera.

Semua ini hanya boleh dipastikan tepat dan muktamad selepas rehearsal atau latihan dilakukan bersama kamera.

Semua usaha untuk memastikan framing, camera angle, blocking pelakon mesti akhirnya memenuhi tuntutan continuity atau kesinambungan visual dalam konteks menyunting semua bahan atau shot yang dirakamkan itu boleh disambung editor atau penyunting filem di peringkat proses penyuntingan. Inilah proses filmmaking kritikal.

Pengarah tersohor dunia, Akira Kurosawa (1910-1998) berkata - Films are made on editing table!  Kefahaman daripada kata-kata Akira itu ialah filem sebenarnya dihasilkan atau penghasilan muktamadnya semasa proses penyuntingan bukannya ketika penggambaran. Shooting atau penggambaran dilakukan oleh sang pengarah cuma proses merakam dan mengumpul bahan mentah sahaja.

Continuity atau kesinambungan adalah pembinaan setiap babak yang dihasilkan lewat rentetan shot yang cukup jumlahnya. Shot ini mesti berhasil berfungsi melahirkan naratif, mood dan apa jua yang mahu diceritakan oleh skrip melalui perantaraan penghasilan shot yang diarah sang pengarah dan dirakamkan oleh jurukamera.    

Jika shot tidak cukup, tertinggal dan gagal dirakamkan, ini menyebabkan shot-shot untuk sesuatu babak itu tidak boleh disambung. Terpaksalah dilakukan reshoot atau penggambaran semula untuk mendapatkan shot-shot yang tercicir itu.

Tahap cabaran dilahirkan keadaan sebegini lazimnya tidak seberat cabaran dilalui Hussein ketika buat penggambaran sekuen yang diperkatakan di atas. Apatah lagi sekarang dengan kemudahan efek dan CGI boleh menyelesaikan masalah - faktor paling penting kemampuan tampung kos melibatkan efek dan CGI, produser mesti ada bajet besar!

Jika Hussein tertinggal satu shot ketika membuat penggambaran babak Adam diheret dan diseksa dalam hujan lebat, bayangkan bagaimana melakukan penggambaran semula dengan continuity hujan lebat sebagai elemen utama dan penting.

Ada beberapa solusi boleh diambil mana-mana pengarah yang berdepan keadaan sebegini. Pertama, menggunakan khidmat bomba untuk buat ‘hujan’. Tetapi jika dilihat pada framing kamera yang mahu divisualkan oleh Hussein untuk babak-babak sekuen ini melibatkan lokasi yang luas.

Hampir pasti hujan tiruan dihasilkan oleh pihak bomba tidak berupaya meliputi keluasan lokasi tersebut. Apakah Hussein, waima siapa sahaja pengarah yang terpaksa melalui masalah ini akan hanya berpuas hati menghasilkan cuma shot-shot - closeup dan medium shot?

Bolehkah shot penggambaran semula ini dipadankan kesinambungannya daripada aspek pencahayaan dan mood dengan shot-shot asal yang dirakamkan sebelum ini dalam suasana hujan asli bukan tiruan?

Kedua, melakukan semula penggambaran keseluruhan babak sekuen tersebut dalam keadaan baharu iaitu tanpa hujan. Ini memudahkan penyuntingan daripada aspek continuity. Pastinya solusi ini mengakibatkan penambahan kos - meletup bajet!

Apa membolehkan Hussein berani membuat keputusan untuk meneruskan penggambaran sekuen tersebut dengan hanya bergantung kepada hujan ‘asli’? Dalam masa sama beliau dikenali seorang yang mengutamakan kesempurnaan - perfectionist.

Aku sambung minggu depan untuk ketahui kenapa Hussein berani meneruskan penggambaran sekuen penyeksaan Adam itu dalam hujan lebat. Untuk maklumat pembaca, filem Dua Pendekar arahan Hussein ini boleh ditonton melalui Youtube. Tontonlah filem klasik ini bagi memudahkan ikuti tulisan aku mengenai Allahyarham Hussein Haniff ini.

Ahad, 6 September 2015

Hussein Haniff dalam kelasnya tersendiri

AKU nyatakan minggu lalu – aku menonton filem Dua Pendekar (1964) arahan Hussein Haniff ketika berusia 10 tahun. Dalam keadaan naif tanpa sebarang pengetahuan dan ilmu filem tetapi filem tersebut berjaya memukau aku dengan visual-visual yang belum pernah aku lihat dalam filem-filem Melayu lain sebelumnya.

Satu pengalaman unik pernah aku alami. Aku gagal mencari jawapan kenapa aku minat ‘gila’ dengan filem tersebut ketika itu. 

Selepas hampir 20 tahun kemudian setelah aku mempelajari dan ada ilmu filem serta terlibat dalam industri filem baru aku bertemu jawapan kenapa dan bagaimana kelainan filem Dua Pendekar meninggalkan impak dan kesan mendalam kepada diriku sehingga Hussein menjadi inspirasiku untuk menjadi seorang pembikin filem atau filmmaker.

Secara tidak rasmi aku mengenali siapa Allahyarham Hussein Haniff selepas hampir 12 tahun beliau meninggal dunia. Beliau meninggal dunia pada 1966 ketika baharu berusia 32 tahun akibat penyakit barah.

Aku memulakan kerjaya sebagai filmmaker pada 1979 di syarikat filem iklan, PROFILM SDN BHD. Di syarikat inilah aku mengenali Yunos Alwi, pengurus produksi setiap penerbitan filem iklan syarikat ini. Selain banyak menimba ilmu dan pengalaman dalam bidang pengurusan produksi, tanpa aku sangka melalui beliau aku berpeluang mengetahui lebih dekat tentang pengarah idolaku, Allahyarham Hussein.

Sebelum bertugas dan menjadi salah seorang pemilik syarikat filem iklan, PROFILM, Yunos telah lama terlibat dalam bidang perfileman sejak dari era Cathay Keris, Singapura sehingga ke syarikat filem iklan Pearl & Dean yang beribu pejabat operasinya di Kuala Lumpur pada tahun awal 70-an.

Sebelum studio Cathay Keris tutup sepenuhnya pada 1973, Yunos beralih ke bidang pembikinan filem iklan dan berhijrah ke Kuala Lumpur. Dari Peral&Dean, beliau dan rakan-rakan kongsi lainnya termasuk Hafsham telah menubuhkan syarikat PROFILM pada 1975.  

Jika dilihat pada nama-nama petugas teknikal dalam produksi kebanyakan filem-filem arahan Hussein akan muncul nama Yunos sebagai pembantu jurukamera. Bila aku diberitahu oleh Yunos yang beliau rapat dan sering terlibat dalam produksi filem-filem arahan Hussein, aku sangat teruja. Aku mengambil peluang ini untuk lebih mengetahui dan bertanya tentang Hussein baik sebagai filemmaker mahupun sebagai seorang manusia biasa – rakan kepada Yunos.

Dari perbualan dan sembang-sembang santai aku dengan Yunos, aku berpeluang mengutip kisah dan pengalaman peribadi antara beliau dengan Allahyarham Hussein. 

Menurut Yunos, Allahyarham Hussein seorang workarholic – seorang yang terlalu obses dan ‘gila’ dengan kerjanya. Hidup seharian Hussein hanya tertumpu kepada filem dan filem.  Hussein mempunyai kelompok rakan-rakan daripada pasukan teknikal ‘sekepala’ dengannya dan sentiasa setia membantu Allahyarham untuk melahirkan idea-idea dan visual-visual kreatif yang selalunya sukar dan jarang mahu dicuba oleh pengarah lain.

Jika tidak ada shooting, Hussein akan mengajak mereka menonton filem-filem terbaharu terutamanya filem-filem Barat dan Hollywood yang ditayangkan di panggung ketika itu. 

Habis menonton mereka akan melepak dan berbincang tentang filem-filem yang baharu mereka tonton. Yunos adalah salah seorang dalam kelompok ini. 

Menurut Yunos, Allahyarham Hussein sangat meminati pelakon James Dean (1931-1955), seorang legenda dan ikon filem dunia – hero filem Rebel Without A Cause (1955) arahan Nicholas Ray (1911-1979).

Sebelum menduduki kerusi pengarah, Hussein bertugas sebagai penyunting filem di studio Cathay Keris. Di antara filem terkenal suntingan beliau ialah Sri Mersing (1961) arahan Salleh Ghani (1923-1986). Sepanjang kerjaya singkatnya sebagai pengarah filem di antara 1961 sehingga 1966, Hussein telah berhasil mengarahkan 14 filem bergenre purba, drama dan komedi. 

Filem pertama arahan Hussein, Hang Jebat (1961) berjaya meninggalkan kesan kelainan dari aspek komposisi, pergerakan kamera, suntingan dan juga interpretasi naskhah yang dihasilkan oleh Ali Aziz.

Riwayat Hang Jebat menderhaka kerana menuntut membela di atas perintah bunuh oleh Sultan Melaka terhadap Hang Tuah telah difilemkan sebelum ini pada 1956 oleh Malay Film Productions, Jalan Ampas dalam bentuk warna. Filem Hang Tuah ini diarahkan oleh Phani Majumdar. Watak Hang Tuah diperankan oleh P Ramlee dan Ahmad Mahmud sebagai Hang Jebat.

Filem Hang Jebat versi Hussein Haniff dalam bentuk hitam putih ini menampilkan Nordin Ahmad sebagai Hang Jebat. Dalam filem Hang Tuah terbitan Malay Film Productions, Nordin Ahmad memerankan watak Hang Kasturi, salah seorang daripada 5 sahabat Hang Tuah. Watak Hang Tuah diperankan oleh M Amin.

Kedua-dua filem ini mengangkat kisah penderhakaan Hang Jebat kerana membela Hang Tuah yang dihukum bunuh oleh Sultan Melaka setelah difitnah oleh Pateh Karma Wijaya.

Berbanding dengan filem Hang Tuah arahan Phani Majumdar, versi arahan Hussein Haniff dengan segala kelainannya masih terus dikaji dan diperkatakan oleh pengkaji, pengkritik dan peminat filem Melayu sehingga sekarang.

Selepas berjaya dengan filem Hang Jebat, Hussein sungguh produktif mengarahkan purata 3 filem setahun sejak 1962 sehingga 1966.

Pada 1962, beliau mengarahkan filem Dang Anum bergenre purba dengan teraju utamanya Nordin Ahmad dan Fatimah Ahmad. Filem ini juga dianggap dan diangkat oleh pengkritik dan pengkaji filem sebagai salah satu hasil kerja terbaik beliau. Diikuti filem-filem bergenre drama Korban Kasih dan Mata Shaitan. Beliau juga mengarah filem bergenre komedi lewat filem Mabuk Kepayang yang dibintangi oleh Wahid Satay, Suraya Harun dan Zainol Gemok. 

Seterusnya, beliau mengarah hanya 2 filem pada 1963 iaitu filem-filem bergenre komedi, Masuk Angin Keluar Asap dan Gila Talak. 

Aku tidak berpeluang menonton filem-filem awal beliau yang dihasilkannya daripada 1961 sehingga 1963 di panggung. Seingat aku, filem-filem ini kecuali filem Mata Shaitan berkesempatan aku tonton menerusi slot tayangan filem Melayu pada setiap malam Khamis di saluran satu RTM pada awal 70-an.

Hussein Haniff mencapai kemuncak pengkaryaannya pada 1964. Dalam tahun tersebut beliau mengarah 4 filem bergenre purba. Filem-filem tersebut ialah Dua Pendekar dibintangi oleh Yusof Latif, Salleh Melan dan Roseyatimah, Istana Berdarah dengan barisan pelakon Salleh Melan, Fatimah Ahmad, Ahmad Osman, Suraya Harun. Filem Hutang Darah Dibayar Darah pula dibarisi oleh Nordin Ahmad dan Roseyatimah. Filem Kalong Kenangan dengan pelakon utamanya Latifah Omar dan Ghazali Sumantri.

Di antara 4 filem arahan Hussein ini, filem-filem Dua Pendekar dan Istana Berdarah aku tonton di panggung. Filem Istana Berdarah merupakan adaptasi daripada filem Jepun arahan pengarah besar tersohor dunia Akira Kurosawa (1910-1998)yang diinspirasikan daripada karya teater berjudul Macbeth oleh William Shakespeare.

Pada 1965, Hussein hanya mengarah dua filem bergenre drama berjudul Jiran Sekampung dan Cinta Kasih Sayang. Filem terakhir beliau bergenre purba, Udang Sebalik Batu diarahkan pada 1966.

Minggu depan aku sambung lagi menulis tentang pengarah yang agak under rated ini walaupun filem-filemnya berada dalam kelasnya yang tersendiri.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...