Ahad, 30 November 2014

Dari komedi ke drama aksi

SETELAH selesai melunaskan tanggungjawab penolong pengarah dan pengarah seni untuk penggambaran filem Mekanik arahan Othman Hafsham, aku mendapat tawaran untuk tugas yang sama dari sebuah syarikat produksi baharu – ZSA Film Productions.

ZSA Film Productions diterajui oleh seorang produser muda bernama Zarul Hisham Al Bakri. Merupakan produser termuda tanah air berusia lewat 20-an ketika itu. Syarikat baharu ini menawarkan aku tugas penolong pengarah dan pengarah seni kepada Rahim Razali.

Beliau akan mengarahkan filem sulung terbitan syarikat Zarul ini, bergenre action drama berjudul Matinya Seorang Patriot.

Produksi dan penggambaran filem Matinya Seorang Patriot dimulakan pada pertengahan tahun 1983. Filem ini merupakan yang ketiga arahan Rahim Razali selepas filem-filem Abang (1981) dan Pemburu (1982).

Aku dapati ada beberapa first atau ‘pertama kali’ dalam produksi ketiga beliau ini.

First yang pertama ialah filem Matinya Seorang Patriot merupakan pertama kali Rahim Razali tidak menerbitkan sendiri filem ini. Dua filem beliau sebelum ini, Abang dan Pemburu adalah terbitan beliau sendiri dengan syarikat Fleet Communications.

Filem terbaharu ini merupakan pertama kali Rahim tidak memegang watak hero. Dalam Abang, beliau memerankan watak hero, Fuad Din, abang sulung kepada Faizal Din (Ahmad Yatim) dan Farid Din (Datuk Ahmad Tarmimi Serigar). Tiga watak anak-anak lelaki keluarga Datuk Din, diperankan oleh Datuk S Roomai Noor (Allahyarham).

Rahim juga tidak muncul sebagai pelakon undangan seperti dalam filem Pemburu, beliau memerankan watak ACP Razif. Untuk filem ketiganya ini Rahim bertindak seratus peratus sebagai penulis skrip dan pengarah.

Lagi satu first filem arahan ketiga Rahim ini ialah beliau tidak menggunakan direct sound recording atau rakaman terus seperti sebelum ini ketika mengarah dan memproduksikan filem Abang dan Pemburu.

Untuk pengetahuan pembaca, Rahim merupakan pengarah pertama menggunakan proses rakaman terus sejak filem-filem Melayu mula diterbitkan dalam warna selepas era filem hitam putih.

Sebelum ini penggambaran filem menggunakan proses rakaman terus hanya dilakukan ketika era filem-filem terbitan studio Jalan Ampas dan Cathay Keris di Singapura dan sebelum tutupnya studio Merdeka Ulu Kelang pada penghujung 70-an.

Dengan penutupan studio-studio di Singapura dan studio Merdeka Ulu Kelang, syarikat-syarikat kepunyaan Melayu Bumiputera berpangkalan di Kuala Lumpur mengambil alih aktiviti penerbitan filem-filem Melayu.

Filem-filem terbitan syarikat-syarikat ini kesemuanya dihasilkan dalam warna dan menggunakan sistem dubbing untuk rakaman dialog pelakon-pelakon bermula dari filem Keluarga Si Comat (1975).

Tetapi Rahim tidak mengguna pakai sistem dubbing ini untuk filem-filem arahannya Abang dan Pemburu pada awal 80an. Kesannya amat ketara, kedua-dua filem ini gagal menghasilkan kesan bunyi dan rakaman dialog yang bersih dan bermutu dibandingkan dengan filem-filem menggunakan sistem dubbing ketika itu.

Pada pandangan aku, masalah ini disebabkan juga oleh peralatan rakaman dan kepakaran tenaga kerja yang belum berjaya dinaik tarafkan. Keadaan kerja rakaman terus ini masih di peringkat trial and error. Apa pun, usaha rakaman terus ini merupakan permulaan dan percubaan berani oleh Rahim. Untuk filem ketiganya ini, untuk pertama kalinya Rahim menggunakan sistem dubbing.   

Hassan Abd Muthalib dalam bukunya, Malaysian Cinema In A Bottle (2013) menulis, Rahim Razali merupakan pengarah filem yang kurang pengetahuan dan kemahiran aspek teknikal pembikinan filem.

Tetapi untuk membantu beliau menghasilkan dua filem arahannya sebelum ini Abang (1981) dan Pemburu (1982), beliau telah mengumpulkan barisan tenaga kerja dan kru teknikal berpengalaman untuk melahirkan apa beliau bayang dan inginkan secara visual.

Kebanyakan mereka adalah tenaga kerja dari RTM. Di antaranya adalah jurukamera Zainal Othman dan Fuad Ariffin, penyunting filem Aziz Razak serta jururakam suara dan bunyi, Hashim Omar.

Menurut Hassan lagi, kekuatan filem-filem Abang dan Pemburu adalah pada naratif dan kemantapan lakonan pelakon-pelakonnya. Hampir kesemua pelakon pilihan Rahim kebanyakannya bermula dan punya asas lakonan dari bidang teater.

Dua filem awal beliau ini tidak sinematik dalam pengolahan visualnya. Beliau perlu memahami film grammar bagi menambah kekuatan dirinya sebagai seorang filmmaker untuk menghasilkan filem-filem lebih mencabar dan lebih sinematik.

Ketika aku ditawarkan peluang bekerja dengan Rahim, pemikiran dan pandangan aku terhadap Rahim sebagai pengarah filem ketika itu sama seperti apa ditulis oleh Hassan dalam bukunya Malaysian Cinema In A Bottle pada 2013. Lebih 30 tahun kemudian.

Setelah menonton kedua-dua filem awal beliau, aku dapati filem Abang terlalu dipengaruhi oleh unsur-unsur teater. Sememangnya Rahim bermula sebagai pelakon dari pentas teater dan kemudian ke drama-drama televisyen hitam putih terbitan RTM.

Untuk filem arahan pertamanya itu, banyak pergerakan kameranya bermain dengan hanya long shot yang statik. Rahim membiarkan pelakon-pelakonnya berdialog dan bergerak dalam frame yang statik. Penonton terasa seperti menonton satu lakonan pentas berbentuk proscenium – pentas konvensional seperti pentas bangsawan.

Aku sememangnya sependapat dengan Hassan, Abang berjaya meninggalkan kesan kepada sinema Melayu kerana kekuatan ceritanya yang belum pernah dihasilkan dan disentuh oleh mana-mana pengarah sebelum ini.

Tidak dinafikan filem Abang adalah pencetus kepada kebangkitan gelombang baharu filem Melayu – the Malaysian new wave cinema.

Isu yang diangkat oleh Rahim melibatkan sebahagian besar golongan korporat Melayu. Rahim menelanjangkan kebobrokan dan kebejatan golongan jutawan dan usahawan Melayu berjaya atas ihsan polisi Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan oleh pemerintah selepas Peristiwa 13 Mei 69. Mudah cerita, filem Abang adalah kisah tentang perangai manusia Melayu yang lupa diri dan asal-usul setelah berjaya dan kaya-raya dalam dunia korporat.

Filem keduanya, Pemburu mula menunjukkan peningkatan kefahaman Rahim terhadap bahasa filem atau film grammar. Tetapi pada aku dari segi naratif Pemburu kurang terasa kesan sengatan bisa ‘makan dalam’nya berbanding Abang.

Pemburu mengisahkan pembalasan dendam seorang ayah terhadap pembunuh dan perogol anak gadisnya. Kecemerlangan dari segi lakonan oleh pelakon-pelakon seperti Ahmad Yatim, Ahmad Tarmimi Serigar, Aznah Hamid sememangnya ketara. Malah melalui filem ini pemeran watak utamanya, Ahmad Yatim berjaya dinobatkan Pelakon Terbaik Lelaki di Festival Filem Malaysia ke-3 (1982).

Ini merupakan penilaian dan pandangan peribadi aku sebagai seorang anak muda yang sedang mencari pengalaman serta tapak dalam bidang pembikinan filem cereka tanah air ketika itu. Jadi, bagaimana perasaan aku bila berpeluang bekerja dengan Rahim Razali – seorang pengarah sedang hangat dan top ketika itu?

Aku sememangnya teruja dan looking forward untuk berkolaborasi dengan pengarah yang merupakan pemenang Anugerah Skrip Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-2 (1981) melalui filem sulungnya, Abang.

Paling penting aku mahu terlibat dengan Rahim Razali dalam penggambaran filem genre action drama setelah menimba pengalaman menghasilkan filem genre komedi dengan Othman Hafsham. Apa perbezaannya?

Ahad, 23 November 2014

Roh filem: Satu pencarian

MINGGU ini aku bercadang untuk menulis tentang penglibatan aku sebagai penolong pengarah dan pengarah seni kepada Rahim Razali (Datuk) untuk produksi filem ketiganya, Matinya Seorang Patriot (1984) terbitan ZSA Film Productions.

Apabila aku melayari internet dan meng‘google’ bahan-bahan cerita terbaru dan terkini tentang Rahim Razali sebelum memulakan tulisan, aku bertemu dengan satu artikel sebuah akhbar tahun 2007 – satu temu bual akhbar itu dengan Rahim Razali.

Penemuan ini membuat aku menangguhkan dahulu hasrat awal untuk menulis pengalaman bekerja dengan beliau sehingga minggu depan, insyaALLAH.

Temu bual itu mengingatkan aku tentang tulisan aku pada minggu lalu. Sebelum aku pergi lebih lanjut lagi, aku ingin mengimbas kembali apa aku tuliskan minggu lalu.

Dalam tulisan itu aku menyatakan - seseorang pengarah itu perlukan ada kefahaman mendalam tentang kehidupan, sejarah dan budaya masyarakat dan bangsa, di mana beliau juga adalah salah seorang anggota masyarakat atau bangsa itu. Hanya dengan ada kefahaman ini membolehkan sang pengarah itu meluahkan statement atau kenyataan melalui filem-filemnya. Kenyataan ini pula akan hanya zahir daripada filem-filem yang ada soul – ada roh!

Dalam temu bual itu Rahim Razali telah ditanya tentang pandangannya terhadap filem-filem sekarang arahan pengarah-pengarah baharu generasi sekarang. ‘Sekarang’ bermaksud ketika itu – 2007. Aku rasa ‘sekarang’ itu masih boleh diguna pakai dengan membawa maksud sehingga masa terkini tahun 2014.  

Apa jawapan beliau? Beliau memberi pandangan sesebuah filem mesti ada roh!

Minggu lalu ketika aku menulis tentang perlunya filem ada roh, aku belum terjumpa artikel temu bual Rahim Razali itu. Apa yang menarik tentang temu bual yang telah berusia lebih 7 tahun itu?

Menurut artikel tersebut, Rahim Razali berkata - “Seorang pengarah perlu ada sensitiviti untuk mengarah dan jika ada sifat itu, dengan sendirinya ‘roh’ filem akan wujud. Sensitiviti bernilai yang ada dalam diri pengarah menghasilkan sebuah filem berkualiti.

Ini bermakna filem itu akan mempunyai rohnya sendiri,” katanya.

Jika diamati kata-kata Rahim Razali itu maka jelaslah relevannya bila aku menyatakan keperluan dan pentingnya seseorang pengarah perlu ada kefahaman jitu dan mendalam tentang kehidupan, sejarah dan budaya bangsanya. Kefahaman ini berkait rapat dengan nilai dan mutu sesebuah filem yang dihasilkan oleh seseorang pengarah. Kefahaman ini juga menyumbang kepada kewujudan sifat sensitiviti seseorang pengarah seperti yang dimaksudkan oleh beliau.

Seterusnya melalui temu bual itu, Rahim Razali melihat dan menyatakan perkembangan pengarahan filem tempatan pada masa ini (baca 2007) sebagai terlalu mengikut ‘trend’' garapan filem luar yang bersifat komersial sehingga soal identiti negara bangsa diketepikan. Katanya lagi, filem dulu menekankan soal sosial, kenegaraan dan kemasyarakatan yang bertujuan sebagai satu wadah mendidik masyarakat ke arah nilai positif.
Aku menyentuh persoalan itu tanpa aku sedari Rahim Razali telah memperkatakannya 7 tahun lalu. Aku menyatakan - ‘Terlepas pandang dan ketiadaan statement oleh ramai pengarah sekarang dalam karya-karya mereka mungkin disebabkan keutamaan untuk memenuhi tuntutan komersial. Bila berlaku keadaan begini selalunya ia akan berkait dengan persoalan mutu sesebuah filem.’

Pastinya sekali lagi cetusan rasa dan pandangan beliau yang sudah hampir 7 tahun berlalu itu masih terus relevan sehingga sekarang. Malahan jika kita berani bertanya diri kita secara jujur, apakah kita sudah berjaya menyelesaikan masalah ini?

Jawapannya ialah sejujurnya kita masih belum jumpa jalan penyelesaiannya. Malahan keadaan sekarang makin jauh menyimpang dan hanyut menuju ke satu ruang ketidakpastian yang menggerunkan. Ke mana perginya usaha untuk menggarap soal identiti negara bangsa dalam filem-filem sekarang?

Tuntutan-tuntutan komersial inilah selalu menghantui pengarah-pengarah filem dalam melahirkan karya-karya mereka. Apakah kerana tuntutan komersial menuntut seseorang pengarah menghasilkan filem hanya untuk hiburan demi menjamin pulangan kutipan pecah panggung sahaja? Apakah dengan membuat filem-filem seperti dinyatakan oleh Rahim Razali itu yang menekankan soal sosial, kenegaraan dan kemasyarakatan yang bertujuan sebagai satu wadah mendidik masyarakat ke arah nilai positif terpaksa dikorbankan demi jaminan kutipan pecah panggung? Jawapan dan penyelesaian perlu dicari oleh semua penggiat-penggiat filem. Tugas ini adalah tanggungjawab bersama tanpa pengecualian.

Berbalik kepada kenyataan Rahim Razali dan tulisan aku tentang filem perlu ada roh. Kita mesti tahu dan faham - apa itu roh?

Manusia terbentuk daripada jasad dan roh. Jasad adalah apa yang dilihat dan dirasai secara fizikal. Sementara roh merupakan elemen yang tidak dapat dirasai dan dilihat dengan mata kasar. Dalam bahasa mudahnya, roh boleh diertikan sebagai semangat yang berkait rapat dengan kekuatan dalaman.

Apakah yang dimaksudkan dengan filem yang ada roh? Seperti juga manusia, filem ada jasad dan rohnya. Visual-visual atau imej-imej bergerak yang digarap oleh pengarah untuk memaparkan dan menceritakan apa ingin disampaikan oleh pengarah boleh dianggap sebagai jasad. Roh filem pula adalah semangat yang tidak nampak tetapi boleh dirasai oleh penonton jika pengarahnya berjaya mewujudkannya. Aku ulang, jika pengarahnya berjaya mewujudkannya!

Menurut Rahim Razali - ‘Roh’ sebuah filem perlu wujud dari dalam diri pengarah itu sendiri hingga berjaya menghidupkan filem seperti dikehendaki penerbit dan memuaskan hati penonton. Beliau menegaskan ‘roh’ filem terletak pada garapan dan sentuhan pada seseorang pengarah.

Di sinilah pada aku merupakan cabaran yang akan ‘menghentak’ dan mungkin sampai ‘menghancur lumatkan’ minda dan daya fikir seseorang pengarah untuk mencari dan mewujudkan ‘roh’ untuk filem-filem arahannya.

Apa bezanya – manusia berjasad tetapi tiada roh atau semangat dengan manusia berjasad dan punya roh atau semangat? Pasti manusia tanpa roh ini boleh sahaja meneruskan kehidupannya. Persoalannya, adakah sama manusia seperti ini jika dibandingkan dengan manusia yang berjasad, bersemangat dan punya roh? Pasti tidak sama!

Selalunya, manusia yang hanya berjasad tanpa roh ini mudah dieksploitasi dan dipergunakan oleh pihak-pihak berkepentingan bagi mencari keuntungan melalui jalan pintas dan singkat. Manusia tanpa semangat dan roh adalah manusia yang tidak ada keupayaan berfikir sendiri - manusia tanpa jati diri.

Cuba acuan ini digunakan kepada kebanyakan filem-filem tanah air kita terutamanya filem-filem Melayu. Filem-filem tanpa roh ini umpama manusia tanpa jati diri, mudah dieksploitasi oleh kaum kapitalis untuk mencari untung. Filem-filem yang ada roh dan semangat pula umpama manusia boleh berfikir apa yang baik untuk diri dan masyarakatnya.

Pembikin-pembikin filem yang berusaha menghasilkan filem-filem yang ada roh akan sentiasa mencari jalan untuk tidak tunduk kepada desakan kaum kapitalis walaupun mungkin gagal di peringkat awal. Penemuan-penemuan baharu akan terus dicari dan diusahakan. Berjaya atau gagal persoalan kedua. Setakat ini aku perhatikan pengarah-pengarah berfikiran begini tidak ramai. Antaranya selain Rahim Razali ialah Uwei Hj Shaari, Mamat Khalid, Shuhaimi Baba, Mahadi J Murad, Hishamuddin Rais dan daripada generasi baharu, Dain Said.

Keadaan industri perfileman tanah air sekarang makin berkembang. Pengarah dan pembikin filem terdiri daripada anak-anak muda berbilang kaum dengan latar belakang pendidikan yang berbagai, selain dari lepasan-lepasan sekolah filem dan akademi perfileman tempatan dan luar negara. Cara pembikinan filem sedang melalui perubahan drastik. Pembikinan filem secara digital semakin mengambil alih pembikinan filem secara konvensional, iaitu penggunaan stok filem bentuk negatif.

Dengan perkembangan baharu dari aspek pembikinan dan pengisian kreatif yang sedang melanda industri perfileman tanah air, kenapa kita masih seperti apa yang disuarakan oleh Rahim Razali – pembikin filem kita terlalu mengikut ‘trend’ garapan filem luar yang bersifat komersial sehingga soal identiti negara bangsa diketepikan. Sikap beginilah merupakan salah satu sebab pembikin-pembikin filem lama dan baharu gagal menghasilkan filem-filem yang ada roh. Bagaimana mengatasi masalah ini?

Jawapannya ada dalam diri kita semua – baik pembikin filem mahupun penonton. Marilah sama-sama kita cari!

Ahad, 16 November 2014

Filem mesti ada kenyataan

SELEPAS hampir 30 tahun filem Mekanik dihasilkan dan ditayangkan, aku rasa masih banyak perkara dan pengalaman boleh aku kongsi dengan penonton, peminat, penggiat dan pelajar filem generasi sekarang.

Aku ingin menceritakan manfaat daripada pengalaman bekerja dan berkolaborasi dengan Hafsham untuk menghasilkan filem Mekaniknya pada 1983.

Salah satu perkara penting aku belajar daripada Hafsham ialah tentang pengurusan masa dalam mengendalikan penggambaran sesebuah filem. Aku dapati Hafsham seorang pengarah yang paling mementingkan ketepatan masa.

Kata-kata Hafsham yang Insya-ALLAH tidak aku lupa sehingga bila-bila ialah: “Shooting filem ni macam kita naik teksi, pastikan destinasi kita sebelum naik teksi jadi kita tidak sesat, tak buang duit dan masa kerana meter teksi akan terus bergerak!”

Pengajaran aku dapat dan fahami ialah tanpa persediaan teliti dan selengkap mungkin sebelum memulakan penggambaran akan mengakibatkan peningkatan kos produksi.

Setiap detik dan saat sesuatu penggambaran itu dilakukan melibatkan kos. Kebenaran ini sememangnya tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun yang terlibat dalam bidang pembikinan filem, baik filem cereka mahupun iklan dan dokumentari.

Hakikatnya, bikin filem bukan kerja main-main untuk glamor dan enjoy.

Bekerja di bawah Hafsham mengajar aku tentang betapa pentingnya peringkat pra-produksi dimanfaatkan semaksimum mungkin demi menjamin kelancaran kerja-kerja produksi kelak.

Gunakan masa secukupnya ketika peringkat pra produksi untuk membuat perancangan dan jadual penggambaran sesempurna mungkin walaupun perlu mengambil pertimbangan cuaca dan keadaan di luar jangkaan kita.

Jika perlu biarlah kita tangguh dahulu memulakan penggambaran sehingga semua susun atur gerak kerja telah tersusun dan pasti. Ini adalah lebih baik daripada memulakan penggambaran dalam keadaan tergesa-gesa hanya kerana keghairahan oleh suntikan glamor untuk jadi orang filem.

Ramai manusia berperangai begini aku temui selama lebih 30 tahun berada dalam bidang ini. Aku tidak mahu sebut nama produser-produser yang berperangai begini.

Aku pernah menolak beberapa tawaran sebagai penolong pengarah dan pengarah filem dan drama TV atas sebab sikap ghairah hendak buat filem secepat mungkin tanpa persediaan kukuh dan tersusun.

Senang cerita, jumlah penggiat-penggiat filem berperangai gila glamor untuk bergelar produser dan pengarah – semua hendak cepat ini lebih ramai berbanding mereka yang komited dan serius sebagai filmmaker.

Insiden penolakan Dharma Harun untuk watak hero pada saat-saat akhir sebelum penggambaran Mekanik dimulakan membuktikan walaupun kami telah membuat persediaan rapi, namun perkara-perkara di luar jangkaan dan kawalan masih boleh berlaku.

Kami bernasib baik pengganti hero Mekanik, Azmil Mustapha berjaya dijumpai hanya beberapa hari sebelum penggambaran bermula.

Aku pernah menyatakan dalam temu bual dengan wartawan Zass pada awal tahun ini sebelum aku mula menulis untuk kolum Lantera, iaitu filem perlu ada statement – ada kenyataan.

Filem perlu ada keupayaan untuk membuat kenyataan. Kenyataan dalam sesebuah karya filem ini hanya mampu dizahirkan melalui kepekaan sang pengarah terhadap apa berlaku di sekelilingnya.

Ini memerlukan sensitiviti seseorang pengarah untuk mengangkat isu-isu yang dianggap penting untuk dikongsi bersama dengan penonton, khususnya dan masyarakat jelata amnya.

Statement atau kenyataan-kenyataan ini tidak semestinya diangkat oleh pengarah melalui karya-karya filem bergenre drama sahaja. Semua genre filem boleh dijadikan alat untuk pengarah membuat kenyataan.

Kita mesti tahu membezakan kenyataan pengarah melalui filem-filem arahannya dengan isu yang mahu diangkat melalui filem-filem arahan mereka.

Kenyataan melalui sesebuah filem oleh pengarahnya merupakan impian dan cita-citanya.

Apa yang mahu dilihatnya terbentuk dalam kehidupan harian masyarakat atau bangsanya.

Impian dan cita-citanya untuk menambah baik nilai-nilai kehidupan sedia ada dalam masyarakat bangsanya. Kenyataan sesebuah filem oleh pengarahnya berkait rapat dengan tanggungjawab sosial yang perlu dipikul oleh seseorang pengarah filem.          

Hafsham merupakan pengarah filem yang faham tanggung jawab sosial yang dituntut daripada seseorang pengarah filem.

Melalui Mekanik, Hafsham membuat kenyataan tentang pentingnya perpaduan bangsa dalam negara majmuk seperti Malaysia. Berani aku nyatakan Hafsham telah mendahului zaman.

Sebagai pengarah filem dan karyawan, 30 tahun lalu beliau telah mencetuskan konsep 1Malaysia dalam penghasilan filem-filem tanah air.

Jika dilihat, di mana sahaja di dunia sekarang ini selalunya karyawan seni akan mendahului orang-orang politik dalam mentafsirkan apa yang baik dan buruk demi kelangsungan hidup manusia yang sementara di dunia ini.

Aku rasa atas sebab ini maka kerja-kerja seni dan karyawan-karyawan itu sendiri sering dipantau oleh orang-orang politik yang memegang tampuk kuasa sesuatu daulah. Mungkin aku silap? Apa pun ia terbuka untuk perbincangan di kesempatan yang lain.

Medium paling berkesan untuk membuat statement adalah filem dibandingkan dengan bidang penulisan, lukisan, puisi, lagu dan teater. Jangkauan filem untuk mendapat perhatian massa adalah lebih luas tanpa had batas masa.

Cuba perhatikan dan hayati dialog watak Nina diperankan oleh Susan Lankaster ketika di bengkel Syamil (Azmil Mustapha) – “Orang putih ke, orang hitam ke, orang coklat ke, orang biru ke. Kita orang Malaysia kan?” Dialog ini diingati sehingga sekarang.

Nilai positif terkandung dalam dialog tersebut akan terus relevan walaupun berunsur komedi bila kita berbicara tentang perpaduan kaum di negara ini.

Melalui dialog inilah terpancar kenyataan Hafsham tentang pentingnya perpaduan kaum yang ingin disampaikan melalui filem Mekaniknya itu. Tidak dapat dinafikan inilah kenyataan yang mendasari naratif filem kedua arahan Hafsham walaupun disampaikan dalam bentuk komedi.

Aku rajin juga membaca tulisan-tulisan tentang filem-filem tempatan di blog-blog dalam internet. Aku ada terbaca beberapa tulisan mempersoalkan kenapa cerita filem-filem sekarang tidak seperti filem-filem tahun-tahun 80-an terutamanya filem-filem garapan Othman Hafsham dan Rahim Razali.

Aku berpendapat keadaan ini berlaku kerana kurangnya perhatian oleh pengarah-pengarah generasi baharu sekarang terhadap perlunya ada kenyataan dalam hasil karya mereka.

Terlepas pandang dan ketiadaan statement oleh ramai pengarah sekarang dalam karya-karya mereka mungkin disebabkan keutamaan untuk memenuhi tuntutan komersial. Bila berlaku keadaan begini selalunya ia akan berkait dengan persoalan mutu sesebuah filem.

Aku lihat setakat ini Mamat Khalid sentiasa membawa dan melontarkan statement atau kenyataan-kenyataan untuk difikirkan oleh penonton melalui karya-karyanya walaupun kebanyakan filem-filem arahannya bergenre komedi.

Sememangnya, sebagai pengarah filem aku akui untuk menyampaikan sesuatu statement melalui filem bukan satu tugas mudah.

Ia memerlukan kefahaman mendalam tentang kehidupan, sejarah dan budaya masyarakat dan bangsa, di mana sang pengarah terlibat juga adalah salah seorang anggota masyarakat atau bangsa itu.

Kesimpulannya, hanya dengan ada kefahaman ini membolehkan pengarah meluahkan kenyataan melalui filem-filemnya. Kenyataan ini pula akan hanya zahir daripada filem-filem yang ada soul – ada roh!

Ahad, 9 November 2014

Siapa di sebalik filem Mekanik

KETIKA Hafsham membuat keputusan muktamad untuk mengambil Azmil Mustapha menggantikan Dharma Harun sebagai hero filem Mekanik, waktu pejabat sudah berakhir. Keesokan harinya, seawal pagi aku berusaha menghubungi syarikat Showmaster untuk mendapatkan Azmil.

Pihak Showmaster tidak tahu bila beliau akan hadir ke pejabat. Azmil merupakan freelancer dengan syarikat Ali Bakar itu. Ketika itu belum ada kemudahan telefon bimbit atau smartfon. Aku tinggalkan pesan supaya Azmil menghubungi kami di studio Perfima secepat mungkin.

Memandangkan masa makin suntuk dan aku khuatir Azmil tidak masuk pejabat hari itu, aku hubungi semula pejabat Showmaster untuk mendapatkan alamat kediaman beliau. Aku masih ingat hari itu adalah hari Jumaat. Sebaik sahaja aku mendapat alamat kediamannya, aku bergegas ke rumahnya yang terletak di Bangsar. Aku mengejar waktu.

Aku berharap dapat menemui beliau untuk mengatur sesi pertemuan dengan Hafsham selepas solat Jumaat nanti. Aku berjaya menemui rumah beliau tetapi pintu pagarnya berkunci. Aku memberi salam beberapa kali tetapi tidak ada respons. Suasana senyap dengan pintu dan tingkap rumah bertutup.

Akhirnya, aku nekad mengambil keputusan memanjat pintu pagar dan menyelitkan di pintu rumahnya nota ringkas meminta beliau datang ke Perfima untuk pertemuan dengan Hafsham. Dalam pukul tiga petang, Azmil muncul di studio Perfima.

Sungguh lega aku dengan kedatangannya itu. Aku berharap perbincangan antara Hafsham dengan Azmil bakal menghasilkan sesuatu yang positif. Selepas hampir 30 minit mereka berbincang, akhirnya Hafsham mengumumkan secara rasmi Azmil Mustapha adalah hero filem Mekaniknya.

Apa berlaku seterusnya adalah seperti ungkapan popular – the rest is history! Watak heroin Rina diperankan oleh Julie Faridah dan Susan Lankaster dipilih untuk watak Nina. Kedua mereka ini adalah pendatang baharu. Pemilihan mereka dibuat oleh Hafsham melalui casting agency yang banyak membekalkan pelakon-pelakon untuk penggambaran filem-filem iklan ketika itu.

Jika tidak silap aku, Julie dan Susan lebih banyak terlibat dalam iklan dan peragaan. Pemilihan untuk pelakon-pelakon pembantu utama seperti watak ibu kepada hero, watak ketua perompak iaitu ketua mafia, watak inspektor dan dua orang anggota detektif polis, watak broker saham merangkap penasihat kewangan dan setiausahanya adalah pilihan yang diputuskan oleh Hafsham.

Hafsham memilih Noraini Hashim (Allahyarham) untuk watak ibu kepada hero. Sementara Yusof Haslam (Datuk) dipilih untuk memerankan watak ketua mafia yang diburu oleh pelakon teater Azmi Muhamad sebagai inspektor. Untuk watak dua detektif polis diperankan oleh pelakon drama tv popular Omar Abdullah dan M Rajoli (Allahyarham) yang sedang mula mencipta nama sebagai pelakon filem dan drama TV ketika itu.

Aku cadangkan kepada Hafsham supaya watak kedua orang detektif itu menggunakan loghat utara dan pantai timur. Tujuan aku ialah untuk memberi warna kepada watak-watak ini selain menambah nilai unsur komedi kepada watak-watak tersebut.

Hafsham menerima cadangan aku itu. Hasilnya berjaya mencuit hati penonton. Alhamdulillah. Satu lagi cadangan aku diterima oleh Hafsham ialah memberi imej ‘kepala botak tetapi rambut panjang’ untuk watak inspektor yang diperankan oleh Azmi Muhamad. Aku mendapat ilham untuk mencorakkan watak inspektor itu sedemikian rupa kerana aku terbayangkan imej kepala botak pelakon terkenal Hong Kong, Mak Kar.

Beberapa bulan sebelum itu aku berpeluang terlibat dalam produksi filem Hong Kong, It Takes Two lakonan dan arahan Mak Kar. Aku terlibat dengan produksi filem tersebut ketika mereka melakukan sebahagian penggambarannya di Malaysia. Aku terangkan kepada Hafsham imej untuk watak Inspektor Azmi itu diinspirasikan oleh imej Mak Kar.

Bezanya ialah watak Inspektor Azmi berambut panjang di sekeliling bahagian kepalanya dan tidak botak seratus peratus seperti Mak Kar. Walaupun Hafsham setuju dengan cadangan aku itu tetapi aku khuatir jika Azmi keberatan untuk melakukannya.

Sebagai pelakon Azmi berani mencuba dan mencari kelainan. Aku tabik Azmi kerana kesanggupannya membotakkan sebahagian kepalanya untuk menzahirkan watak Inspektor Azmi yang sering terbersin bila ada tekanan kerja.

Tetapi sayang Azmi tidak meneruskan kerjaya lakonannya. Beliau lebih banyak terlibat dengan kerja-kerja produksi di belakang kamera selepas filem Mekanik. Untuk watak-watak pembantu pula Hafsham banyak menyerahkan kepada aku untuk mencari pelakon-pelakon yang sesuai.

Aku tidak boleh mengambil sikap tangkap muat sahaja walaupun watak-watak itu cuma watak - watak pembantu sampingan sahaja. Aku berpandangan sesiapa bakal aku tawarkan watak-watak ini perlu ada sekurang-kurangnya pengetahuan dan pengalaman asas lakonan.

Aku tidak mahu mencadangkan pelakon-pelakon pembantu yang kaku dan kayu kepada Hafsham. Ketika itu kebanyakan mereka terlibat dalam pembikinan filem-filem Melayu lazimnya menggunakan dan memilih pelakon-pelakon pembantu dan pelakon tambahan secara tangkap muat sahaja.

Selalunya pelakon-pelakon ini dari kalangan kenalan dan kawan-kawan si pembikin filem yang gila hendak berlakon. Mereka ini jenis tidak kisah walaupun jadi pak pacak. Kepada mereka paling penting dapat peluang muncul dalam filem. Ada di antara mereka sanggup berlakon percuma asalkan mereka diberi peluang muncul sebagai pak cak.

Mungkin ada pembaca dan peminat filem tempatan generasi sekarang berpendapat aku cuma mengada-adakan cerita sahaja. Tetapi sejujurnya itulah realiti yang pernah aku alami. Sebagai penolong pengarah filem, aku juga ditugaskan untuk mendapatkan pelakon-pelakon pembantu dan tambahan yang diperlukan oleh pengarah.

Penglibatan aku dalam teater sebelum ini banyak membantu aku memberi peluang kepada seramai mungkin rakan-rakan teater aku untuk melakonkan watak-watak pembantu dan tambahan. Ramai di antara mereka terus berjaya sebagai pelakon dan tenaga penggiat filem selepas kemunculan sulung mereka dalam Mekanik.

Sani Sudin dan Imuda, dua nama aku cadangkan kepada Hafsham untuk watak-watak pembantu mekanik kepada Azmil terus menyerlah dan berjaya sebagai pelakon sehingga sekarang. Majid Salleh pemegang watak sebagai salah seorang perompak berboskan Yusof Haslam yang sering berdialog ‘No problem, bos!’ terus mengorak langkah dalam bidang lakonan selepas kemunculan pertamanya ini.

Majid banyak berlakon dalam siri TV Gerak Khas terbitan Datuk Yusof Haslam. Seterusnya dari tahun 90-an sehingga sekarang beliau banyak mengarah drama untuk stesen TV swasta dan RTM. Hazali Ramli yang membawa watak perompak Cina dalam kumpulan mafia Yusof Haslam lebih menyerlah dalam kerja-kerja produksi filem dan drama.

Sekarang Hazali berjaya menduduki kerusi pengarah dan bergiat mengarah drama untuk televisyen. Selain rakan-rakan dari kumpulan-kumpulan teater, aku juga bernasib baik mendapat kerjasama daripada rakan-rakan pekerja dan krew filem iklan.

Mereka ini aku kenali ketika aku bekerja dalam pembikinan filem iklan dengan Profilm sebelum ini. Kebanyakan babak-babak melibatkan pelakon-pelakon pembantu bukan Melayu adalah rakan-rakan krew dan tenaga produksi daripada syarikat dan studio filem iklan seperti Jemima Film.

Salah seorang dari mereka ialah Frankie Lee. Beliau membawa watak bomoh Cina tukang telek nombor ekor dalam babak di kubur Cina. Siapa boleh lupa dialog klasiknya, “Saya bukan datuk, saya tan sri...nombor mahu mali... sudah mali...”

Aku rasa ramai tidak perasan, 30 tahun kemudian pelakon pembantu yang sama berlakon sebagai bapa bernama Uncle Chuan dalam filem The Journey. Filem tempatan paling berjaya setakat ini menghasilkan rekod kutipan pecah panggung RM17 juta. Akhirnya, Frankie berjaya membawa watak besar dan penting. Tahniah, bro!

Ahad, 2 November 2014

Bagaimana aku temui Azmil Mustapha

SELEPAS 30 tahun berlalu, semua sudah tahu pengganti Dharma Harun al-Rashid untuk watak hero filem Mekanik ialah Azmil Mustapha. Satu Malaysia khususnya peminat dan penonton filem Melayu dan bangsa Melayu amnya tahu apa yang tercetus daripada kemunculan sulung Azmil melalui filem Mekanik.

Azmil seterusnya mencipta fenomena melalui filem-filem siri Ali Setan dengan penampilannya dalam Ali Setan (1985) arahan Jins Shamsudin, Ali Setan 2 (1986) arahan Yasin Salleh.

Tetapi, siapa dia Azmil sebelum dia menjadi hero? Bagaimana dan di mana aku menemuinya? Sebelum meneruskan, izinkan aku ceritakan sedikit lagi senario industri filem Malaysia ketika itu.
     
Aku juga mahu ceritakan pengalaman aku bertugas sebagai penolong pengarah berhadapan dengan kerenah, sikap dan masalah pelakon ketika segala kemudahan untuk memproduksikan sesebuah filem amat terbatas dibandingkan dengan sekarang.

Pada awal 80-an ramai beranggapan kegiatan menerbitkan filem Melayu tempatan cuma sebagai aktiviti ekonomi berskala kecil yang belum boleh dipanggil sebagai satu industri.

Mereka yang terlibat dalam kegiatan penerbitan filem ketika itu pasti berdepan dengan hambatan dan keterbatasan dari segi kos penerbitan, kemudahan fasilitas pembikinan, pasaran dan penayangan. Keadaan ini masih terus menghantui produser-produser sekarang walaupun industri filem tempatan ada peningkatan dari segi kuantiti.

Untuk pengetahuan pembaca, pelajar dan penggiat filem generasi sekarang, ketika itu di negara kita belum ada lagi akademi dan jabatan pengajian lakonan seperti di Aswara dan kebanyakan institusi-institusi pengajian tinggi seperti sekarang.

Keadaan ini berlaku kerana penerbitan filem-filem Melayu tempatan hanya kira-kira lima belas judul setahun. Jauh bezanya dibandingkan dengan jumlah filem Melayu dan tempatan diterbitkan sekarang. Maka tidak hairanlah ketika itu jika kegiatan penerbitan filem hanya dianggap bagaikan satu industri pinggiran sahaja.

RTM merupakan stesen televisyen tunggal di negara ini. Belum ada lagi penerbitan drama-drama dan program-program tv yang diswastakan. Jumlah pelakon pun tidak seramai dan semeriah sekarang kerana peluang kerja yang terhad.

Berbalik kepada masalah aku dan pasukan produksi filem Mekanik hadapi, pengarah Hafsham memberi penegasan - walau apa pun keadaannya, pengganti hero perlu dicari dalam masa kurang dari seminggu sebelum penggambaran dimulakan. Tetapi, kami kesuntukan masa!   
   
Keadaan sememangnya genting. Sebab dan kenapa Dharma Harun tidak jadi memegang watak hero itu tidaklah jelas kepada aku ketika itu. Andaian aku adalah – besar kemungkinan ada pertindihan jadual penggambaran dengan tawaran filem lain untuk beliau.

Mungkin juga ada hubung kait dengan isu pembayaran? Sebenarnya aku malas hendak ambil tahu kerana itu bukan dalam bidang tugas dan kuasa aku. Aku berpendapat masalah ini hanya boleh dan layak  diselesaikan oleh pengarah dan pelakon yang terlibat.

Dalam keadaan kritikal ini, tugas aku ialah mencari pelakon pengganti sama ada pelakon baharu atau yang sudah establish untuk menggantikan kekosongan watak hero yang ditinggalkan oleh Dharma Harun.

Itu adalah arahan dari pengarah yang mesti aku laksanakan dengan segera. Kami berdepan dengan hambatan masa kerana penggambaran akan dimulakan dalam masa kurang dari seminggu.

Jika kami tidak berjaya mendapatkan pengganti Dharma Harun kemungkinan besar penggambaran perlu ditangguhkan. Ini bererti banyak perancangan perlu diubah.

Satu perubahan besar dan drastik perlu dilakukan hanya kerana kegagalan mendapatkan seorang pelakon untuk watak penting. Perubahan besar dan drastik aku maksudkan ialah jadual penggambaran dan lokasi yang telah dikenal pasti serta persetujuan di antara kami dengan tuan punya lokasi perlu dibincang semula untuk mencari tarikh penggambaran baharu.

Dalam bahasa mudah – bila jadual penggambaran bertukar secara automatik perancangan-perancangan lain yang telah disusun atur akan menerima kesannya. Dari perkara penting dan besar sehingga yang sekecil-kecilnya akan terkena tempiasnya.

Semua bahagian produksi dan logistik perlu dirombak semula untuk menampung pertukaran jadual penggambaran baharu. Bertukar jadual penggambaran maka akan bertukarlah perkara-perkara lain yang melibatkan produksi sesebuah filem.  
   
Bayangan awal dan asas untuk watak utama hero filem Mekanik ini merupakan seorang anak muda yang nakal tetapi cerdik, kacak dan rugged. Bapanya telah meninggal dunia. Dia menjaga dan tinggal bersama ibunya. Seorang anak muda yang bertanggungjawab, penyayang dan rapat dengan ibunya.

Ciri-ciri utama perlu ada pada watak hero Mekanik ini merupakan seorang anak muda yang punya nilai-nilai hidup positif, progresif, berani dan berfikiran jauh. Seorang anak muda berpelajaran tetapi tidak suka bekerja pejabat.

Berani berdikari menjadi bos sendiri – suka bebas. Watak ini bermotivasi tinggi untuk mencapai kemajuan dalam hidupnya. Hafsham cuba lari daripada mewarnakan watak itu seperti hero-hero kebanyakan filem-filem komedi Melayu ketika itu.

Lari dari acuan klise watak hero filem-filem komedi Melayu ketika itu. Hero filem Mekanik adalah lambang anak muda Melayu generasi baharu selari  dengan peredaran zaman dan perubahan hidup sejagat.

Sememangnya ketika itu belum ada watak-watak dalam filem-filem Melayu yang diangkat dari golongan pekerja kolar biru seperti watak seorang mekanik. Mekanik adalah filem Melayu pertama menampilkan watak hero generasi muda daripada golongan marhaen yang berkerjaya mekanik – a working class hero.

Untuk pengetahuan generasi sekarang, pelakon-pelakon popular dan top selain Dharma Harun ketika itu yang boleh dipertimbangkan untuk watak hero filem Mekanik di antaranya ialah Allahyarham Latif Ibrahim, Yusuf Haslam (Datuk), Ahmad Tarmimi Serigar (Datuk) dan Mozaid.  

Untuk mencari pelakon yang sesuai aku perlu juga mengambil kira konsep yang dimahukan oleh Hafsham untuk filem keduanya ini. Filem Mekanik berkonsepkan - sebuah filem Malaysia. Naratifnya menitik beratkan penglibatan watak-watak semua bangsa Malaysia.

Hero filem ini mestilah yang boleh diterima oleh semua lapisan dan semua bangsa Malaysia.

Langkah pertama aku ialah mencari dan melihat gambar-gambar pelakon lelaki sedia ada dan bakat-bakat baharu dalam lingkungan umur awal dan pertengahan 20-an melalui majalah-majalah hiburan dan akhbar.

Ketika itu agensi pelakon belum banyak beroperasi. Jika adapun mereka lebih kepada menyediakan pelakon-pelakon untuk penggambaran filem-filem iklan dan fotografi untuk iklan di media cetak.

Dalam proses aku membongkar dan menyelak majalah-majalah hiburan popular ketika itu seperti majalah URTV, Kisah Cinta, Variapop, Penghibur dan lain-lain, aku terjumpa satu artikel dengan gambar sisipan berwarna dalam majalah Penghibur terbitan Berita Publishing yang memaparkan wajah Azmil.

Majalah yang aku temui itu merupakan majalah lama keluaran dua atau tiga bulan sebelumnya. Hati aku tergerak menyatakan inilah hero baharu filem Mekanik dan aku berkeyakinan Hafsham akan setuju dengan cadangan aku itu. Aku lihat Azmil ada pakej yang dimahukan oleh Hafsham. Aku harap aku tidak silap.

Artikel itu menceritakan tentang Azmil sedang menjalani proses rakaman album sulungnya yang bakal dilancarkan oleh syarikat AB Rekod, syarikat kepunyaan Ali Bakar, promoter hiburan sedang meningkat naik ketika itu. Azmil juga merupakan penyanyi band Showmaster City Band yang bernaung di bawah syarikat Showmaster Sdn Bhd juga kepunyaan Ali.

Aku tunjukkan gambar dan artikel dalam majalah Penghibur itu kepada Hafsham. Sebaik sahaja Hafsham menatap gambar Azmil, beliau terus setuju untuk mengambil Azmil menggantikan Dharma. Hafsham  menugaskan aku segera mencari dan mendapatkan Azmil untuk sesi pertemuan.

Apa seterusnya berlaku? Kita sambung minggu depan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...