Ahad, 19 Oktober 2014

Hafsham dan filem cerdiknya

AKU mula bertugas dengan Othman Hafsham dalam produksi filem arahan keduanya, Mekanik pada pertengahan tahun 1982. Selama kurang lebih enam bulan sehingga penghujung 1982, aku memikul tugas sebagai penolong pengarah untuk membantu Hafsham (nama panggilan santai tidak rasmi beliau) untuk mengemas kini dan mencantikkan lagi cerita serta skrip filem Mekaniknya itu.

Di peringkat ini cuma kami berdua sahaja merupakan anggota pasukan produksi untuk projek ini. Rumah Hafsham di Taman Melawati ketika itu merupakan pejabat kami. Waktu kerja kami selalunya pada sebelah malam. Pada waktu siang Hafsham masih dengan syarikatnya, Profilm membuat filem-filem iklan. Kami tidak berjumpa setiap malam. Perjumpaan dan perbincangan untuk olahan dan mengemaskinikan skrip selalunya diadakan dua atau tiga malam dalam seminggu. Rutin kerja ini bergantung kepada jadual penggambaran filem-filem iklan arahan Hafsham di Profilm.

Dalam masa yang sama setelah tidak lagi bekerja dengan Urusan Film, aku terlibat dengan satu projek teater yang diberi nama Teater Generasi Ketiga. Dianjurkan oleh penggiat-penggiat teater seperti Dinsman, Johan Jaffar (Datuk), Nordin Kardi (Tan Sri), Hanafiah A Samad dan beberapa rakan dari kumpulan-kumpulan teater yang aktif bergiat di Kuala Lumpur ketika itu.

Di tahun-tahun akhir 70-an hingga awal 80-an, selain bertugas dan mencari pengalaman dalam bidang perfileman cereka dan filem-filem iklan, aku juga terlibat dalam teater. Aku mula berteater dengan Bengkel Teater, KL Teater Kelab. Aku bercampur dan menimba pengalaman daripada tokoh-tokoh dan tenaga pengajar teater seperti Allahyarham Mustaffa Nor dan Shuhaimi Baba, pengarah filem Tanda Putera yang ketika itu bertugas sebagai penerbit drama TV di RTM. Rakan-rakan seangkatan dan sama berteater dengan aku ketika itu ialah Meor Hashim Manap, sekarang pengarah drama TV yang produktif, pelakon berwatak Abu Bakar Juah dan Fatimah Abu Bakar yang popular dengan panggilan Cikgu Fati, salah seorang tenaga pengajar siri Akademi Fantasia. Tidak ketinggalan Sani Sudin, salah seorang daripada ahli kumpulan trio penyanyi lagu-lagu puisi, Kopratasa.

Kehidupan yang aku lalui ketika itu cuma dua – obses dengan filem dan teater. Menariknya, penglibatan aku dalam teater banyak membantu aku ketika berkolaborasi dengan Hafsham menghasilkan filem Mekanik.

Sebagai orang baru yang sedang mencari pengalaman dalam bidang pembikinan filem cereka yang berskala lebih besar daripada filem iklan, keadaan kerja ini agak di luar jangkaan aku. Sejujurnya, ketika itu aku merasa tidak yakin. Apakah bermula dengan hanya kami berdua sebagai tenaga produksi boleh menghasilkan filem berdurasi lebih kurang dua jam? Kos produksi pembikinan filem ini pula memerlukan bajet dalam lingkungan RM200,000 hingga RM250,000. Ketika itu jumlah tersebut pula bukan merupakan jumlah lazim semasa berbanding dengan kos produksi dalam lingkungan RM100,000 hingga RM150,000 bagi memproduksikan kebanyakan filem cereka ketika itu.

Sememangnya keadaan ini merupakan pengalaman baharu dan menarik bagi aku. Walaupun bermula hanya dengan dua orang tetapi aku berkongsi keyakinan dengan Hafsham. Kami sama berkeyakinan usaha kami ini akan membuahkan kejayaan.

Keyakinan dan semangat kerja yang sukar untuk aku gambarkan dan ceritakan ketika itu dan berlarutan sehingga sekarang. Jujur aku nyatakan setelah hampir 30 tahun berlalu aku masih belum dapat menzahirkan dalam bentuk tulisan mahupun kata-kata tentang semangat kerja yang kami kongsi untuk melahirkan sebuah filem berjudul Mekanik.

Tekad kami hanya satu – mahu melakukan perubahan dan menghasilkan filem Melayu yang lain daripada kebiasaan terutamanya filem-filem genre komedi. Komitmen yang didasari semangat untuk menyumbangkan pembaharuan kepada filem-filem tempatan supaya ada peningkatan dari segi tema dan isu serta mutu yang ingin diangkat.

Nama Hafsham ketika itu sedang meletup selepas kejayaan pecah panggung filem arahan pertamanya Adik Manja yang berjaya memberi satu kelainan dan membawa pembaharuan kepada filem-filem Melayu bergenre komedi. Hafsham berjaya menukar habis cara penceritaan dan stail persembahan filem-filem komedi Melayu yang masih berpaksi kepada cara dan gaya komedi slapstick. Dalam bahasa mudah, Hafsham berjaya melalui filem pertamanya, Adik Manja mencerdikkan komedi filem-filem Melayu daripada terus dibelenggu oleh lawak bodoh yang ketinggalan zaman. Terutamanya filem-filem komedi dalam bentuk warna yang dihasilkan oleh syarikat-syarikat filem Bumiputra Melayu berpusat di Kuala Lumpur pasca era hitam putih.

Aku tidak terlibat dalam produksi filem Adik Manja arahan pertama Hafsham. Tetapi kejayaan luar biasa filem pertama Hafsham itu membuat aku yakin dan bersemangat untuk bersama Hafsham bagi mencipta kejayaan dengan filem arahan keduanya itu.

Aku diminta oleh Hafsham di peringkat pertama ini untuk membantu beliau dalam prosesnya mengetatkan kelonggaran dan mengemaskinikan skrip Mekanik. Skrip dan cerita filem Mekanik ini merupakan idea asal dan tulen daripada Hafsham.

Dari aspek penghasilannya aku lihat banyak dipengaruhi oleh hasil-hasil kerja filem-filem daripada pengarah-pengarah Barat. Apatah lagi Hafsham merupakan lepasan dari London Film School. Ketika menuntut di London beliau banyak mengetahui dan didedahkan kepada tokoh-tokoh filem-filem komedi seperti Buster Keaton, Charlie Chaplin, Mel Brooks dan pengarah lagenda British, Alfred Hitchcock.

Di peringkat dan kesempatan ini banyak ilmu menulis dan mengolah penceritaan atau naratif sesebuah filem berjaya aku timba daripada Hafsham untuk menghasilkan skrip yang mantap, di samping cuba memenuhi sebanyak mungkin cita rasa penonton.

Kami banyak berbincang dan mencari elemen-elemen baharu yang tidak ada atau belum diguna pakai dalam filem komedi Melayu sebelum dan ketika itu.

Menurut Hafsham, naratif filem ini mengisahkan tentang kehidupan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Seboleh dan sebanyak mungkin Hafsham mahu memaparkan realiti kehidupan seharian masyarakat majmuk negara kita.

Filem Mekanik ini berlandaskan konsep filem Malaysia. Bermakna filem ini bakal ditonton, difahami dan dinikmati oleh semua bangsa di Malaysia. Mekanik bukan berlabelkan sebuah filem Melayu untuk penonton Melayu sahaja. Tagline untuk filem ini adalah – Filem Malaysia.

Selepas perbincangan demi perbincangan, aku mula faham apa visi dan bentuk filem mahu dihasilkan oleh Hafsham lewat naskhah keduanya itu.

Selain menggalas tanggungjawab sebagai penolong pengarah, aku juga memikul tugas sebagai pengarah seni yang bertanggungjawab untuk melahirkan secara visual apa dalam pemikiran Hafsham.

Beliau mahu melahirkan suasana kehidupan masyarakat Malaysia melalui filem ini. Sebagai pengarah seni, aku berfahaman penciptaan mis-en-scene memainkan peranan penting untuk menterjemahkan apa dalam minda beliau dan corak visual yang bagaimana dimahukannya.

Apa itu mis-en-scene? The arrangement of everything that appears in the framing – actors, lighting, decor, props, costume – is called mise-en-scene.

Perkataan mis-en-scene merupakan perkataan Perancis membawa maksud susunan apa sahaja yang berada dalam frame atau bingkai empat penjuru kamera – gerak susun pelakon, tata pencahayaan, dekorasi set, peralatan, busana.

Tugas dan kerja-kerja menghasilkan mis-en-scene yang dimahukan dan dibayangkan oleh pengarah akan jadi mudah serta lancar apabila seseorang pengarah seni merangkap production designer atau pereka produksi bukan setakat memahami tetapi sama-sama menghayati apa yang mahu dizahirkan oleh sang pengarah.

Alhamdulillah, kami ada chemistry itu.

Ahad, 12 Oktober 2014

Aku kembali bikin filem

PENGGAMBARAN filem Kami arahan Patrick Yeoh dan dilakonkan oleh Sudirman Haji Arshad dan adik Zul Zamanhuri dilakukan pada penghujung 1981.

Aku meninggalkan produksi tersebut setelah kontrak aku tamat walaupun penggambaran belum berakhir. Ketika itu sudah masuk ke tahun 1982.

Bagi menggambarkan suasana aku alami dalam produksi Kami ketika itu boleh aku pinjam gunakan bahasa orang-orang filem, shooting dah bust atau delay! Bererti penggambaran sudah melebihi jadual dan lambat. Keadaan jadi kalut.

Aku sudah tidak berupaya melayan kerenah-kerenah ditimbulkan oleh mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan produksi tersebut. Akhirnya, pada awal tahun baharu 1982 dengan hati yang berat aku mengambil keputusan meninggalkan produksi Kami.

Banyak peristiwa berlaku di negara kita dengan bermulanya tahun baharu 1982.

Bermula dari 1 Januari 1982, negara mula diperintah oleh perdana menteri ke empat, Dr Mahathir Mohamad yang menggantikan perdana menteri ketiga Allahyarham Hussein Onn.

Mahathir memulakan pemerintahan dengan slogan gempaknya - bersih, cekap dan amanah. Tetapi sayang hasilnya selepas 23 tahun tidak segempak yang disangka dan diharapkan. Perubahan paling ketara dibuat oleh beliau ialah menukar masa. Beliau menukar waktu di Semenanjung setengah jam ke depan untuk diselaraskan dan disamakan dengan waktu  Sabah dan Sarawak. Aku masih ingat sebelum itu contoh pengumuman waktu di radio dan televisyen adalah seperti begini – “Pukul 8 malam waktu Semenanjung dan pukul 8.30 malam waktu Sabah dan Sarawak, inilah berita dari RTM. Tajuk-tajuk berita...” dan seterusnya.

Bermula dari 1 Januari 1982, waktu antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah, Sarawak termasuk Singapura dan Brunei telah disamakan dan diselaras. Aku tidak tahu dan tidak faham kenapa perubahan ini perlu dilakukan. Jika tidak silap ketika itu aku difahamkan oleh pihak pemerintah dan perdana menteri baharu yang perubahan ini dilakukan supaya rakyat menjadi lebih rajin  dan produktif kerana masa siang jadi lebih panjang terutamanya di Semenanjung.

Berlatar belakangkan suasana baharu ini harapan rakyat bersemangat cergas dan segar bakal wujud di Malaysia.

Tetapi aku pula jadi tawar hati dan tidak bersemangat untuk meneruskan penglibatan aku dalam bidang pembikinan filem cereka setelah melalui pengalaman pahit terlibat dalam produksi filem Kami penghujung 1981. Kekecewaan aku itu lahir bila terpaksa berdepan dengan sikap negatif orang-orang filem kita sendiri.

Aku membuat keputusan untuk kembali kepada kerjaya dalam bidang filem iklan sementara aku mendapat peluang baharu terlibat dalam produksi filem cereka. Kali ini aku akan memilih produksi filem cereka yang menjanjikan seminimum mungkin berulangnya suasana seperti produksi Kami.

Pengalaman first hand itu sangat tinggi nilainya buat diri aku. Aku jadi faham kenapa susah sangat filem-filem kita hendak maju.

Aku berpendapat tidak akan ada perubahan dari segi mutu dan peningkatan aspek pembikinan filem kita selagi tenaga-tenaga produksi terlibat masih lagi orang-orang yang berasal dari zaman filem Melayu hitam putih era Jalan Ampas dan Cathay Keris, Singapura.

Faktor paling ketara ialah masalah mentaliti yang sangat-sangat berbeza antara kami, generasi baru pembikin filem Melayu dengan golongan lama zaman filem hitam putih.

Seperti yang telah aku tuliskan sebelum ini bagaimana perbezaan isu dan tema yang diangkat oleh Rahim Razali dibandingkan dengan apa cuba diangkat oleh Jins Shamsuddin lewat filem-filem mereka.

Perbezaan ini adalah manifestasi masalah jurang mentaliti di antara pengarah-pengarah generasi baharu Malaysia yang rata-ratanya berpusat di Kuala Lumpur dengan generasi lama dari Singapura.

Suasana ini berlaku sehingga melahirkan satu standard joke antara kami. Kami sebut perkataan filem sebagai “filem” sedangkan golongan lama ini sebutan perkataan filem jadi “filim”. Dari gurauan itu maka pada 1992 lahirlah lagu Bikin Filim ciptaan M Nasir dan liriknya adalah tulisan aku sendiri. Lagu ini terdapat dalam album M Nasir berjudul Saudagar Mimpi.

Aku bukan serik tapi aku punya semangat dan cita-cita hendak maju dalam bidang perfileman ini. Jika aku terus bersama mereka aku pasti tidak akan ke mana. Aku percaya maju mundurnya seseorang bermula dengan sikap individu itu sendiri. Secara jujur aku katakan, aku tidak sekepala dengan generasi bikin filem ini. Noktah.

Aku buat keputusan untuk bekerja semula dalam bidang filem iklan. Aku menyertai syarikat Urusan Filem yang ketika itu beroperasi di bangunan di mana KL Visitors Centre terletak sekarang ini. Bangunan ini bersebelahan Hotel Majestic  dan berdepan dengan stesen keretapi Tanah Melayu di Jalan Sultan Hishamuddin. Di syarikat ini aku bertugas sebagai penyelaras produksi dan juga pengarah.

Syarikat ini beroperasi dengan bilangan pekerja yang tidak ramai.

Walaupun aku tidak lama bersama Urusan Filem, aku mendapat peluang berharga terlibat dalam produksi filem cereka berjudul It Takes Two terbitan syarikat Cinema City dari Hong Kong. Filem ini diarahkan oleh Mak Kar, pengarah dan pelakon top Hong Kong ketika itu. Mak Kar terkenal dengan identiti berimej kepala botak. Mak Kar meletup dengan dengan lakonannya dalam filem komidi pecah panggungnya All The Wrong Clues (1981) arahan pengarah tersohor Tsui Hark. Aku menonton filem-filem lakonan Mak Kar dan suka gaya lawaknya tidak seperti filem-filem komedi Hong Kong konventional. Komedi Mak Kar banyak dipengaruhi gaya lawak atau komredi ala Amerika.

Untuk produksi filem It Takes Two arahan dan lakonan Mak Kar ini, syarikat Urusan Filem  bertindak sebagai penyelaras tempatan untuk keperluan logistik dan lokasi penggambaran.

Aku bertugas sebagai salah seorang pengurus produksi tempatan. Penggambaran filem ini dilakukan di Ipoh, Kuala Selangor selain dari Kuala Lumpur. Selama dua minggu aku terlibat dalam penggambaran ini, banyak ilmu mengarah dan cara kerja yang sistematik dapat aku kutip dan pelajari.

Untuk pengetahuan pelajar, peminat filem dan pembaca generasi sekarang, Mak Kar dilahirkan di tanah besar Cina pada 1944. Kemudian berhijrah ke Hong Kong sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang engineering di universiti di New York. Filem-filem terkenal arahan dan lakonan tokoh filem berkepala botak ini di antaranya filem-filem siri Aces Go Place, Aces Go Places 2 dan 3.

Inilah pengalaman paling berharga bila aku dapat peluang bekerja dengan salah seorang pengarah dan pelakon Hong Kong yang aku minati dan ikuti kerja-kerja seni filemnya.

Kalau tidak silap aku, selepas lebih kurang lima bulan bekerja di situ, aku menerima tawaran dari bos lama aku, Othman Hafsham.

Beliau menawarkan aku tugas penolong pengarah dan pengarah seni untuk filem keduanya berjudul Mekanik. Ketika itu Hafsham sedang dalam proses mencari produser untuk menerbitkan filemnya itu.

Beliau menawar aku untuk terlibat dalam produksi ini dari peringkat penulisan screenplay dan peringkat mencari produser yang berpotensi untuk melabur dalam filem keduanya ini.

Aku setuju menerima tawaran Hafsham itu kerana ada peluang terlibat daripada peringkat paling asas dan awal pembikinan sesebuah filem – peringkat penghasilan skrip dan pencarian dana dan produser. Aku nampak banyak peluang untuk aku belajar dan mendalami lagi cara-cara pembikinan sesebuah filem cereka atau feature film. Aku setuju menerima tawaran Hafsham itu.

Minggu depan aku akan ceritakan bagaimana aku bertugas sebagai penolong pengarah dan pengarah seni kepada Othman Hafsham untuk filem Mekaniknya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...