Ahad, 25 Mei 2014

Mereka yang bertahan dalam lingkaran maut

STUDIO Malay Film Productions (MFP), Jalan Ampas, Singapura ditutup secara rasminya pada 30 November 1967. Mula beroperasi sejak 1947 selepas Perang Dunia Kedua dengan filem sulung mereka berjudul Singapura Di Waktu Malam arahan B.S. Rajhans.

Filem ini dibintangi barisan pelakon Siput Sarawak, Bachtiar Effendy dan Jaafar Wiryo.

Filem terakhir diproduksikan oleh MFP berjudul Raja Bersiong dalam warna Eastmancolor dan cinemascope arahan Jamil Sulong berdasar skrip karya Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia ketika itu.

Selepas penutupan studio MFP, antara tahun 1968 hingga tahun 1973 penghasilan filem-filem Melayu masih terus diusahakan oleh syarikat Cathay Keris juga berpusat di Singapura.

Di antara filem-filem terbitan Cathay Keris ialah filem-filem siri ‘Mat’ arahan Mat Sentol seperti Mat Bond, Mat Raja Kapor (1967), Mat Lanun (1968), Mat Toyol (1969), Mat Karong Guni (1970), Mat Magic (1971) dan Darakula (1973).

Mat Sentol merupakan pengarah yang produktif dan inovatif mengarahkan tujuh filem ketika zaman kemerosotan filem Melayu. Untuk menarik penonton, Mat Sentol banyak bereksperimen dengan special effect dan teknik animasi yang memberi kelainan kepada filem-filem arahannya.

Mat Sentol juga berjaya menjemput John Calvert, seorang ahli silap mata terkenal dari England yang berada di Singapura mengadakan pertunjukan ketika itu untuk berlakon dalam filem arahannya Mat Magic (1971).

Tetapi kelainan filem-filem Mat Sentol masih gagal menarik penonton ke panggung seperti pada era kegemilangan filem Melayu tahun 50an dan awal 60an. Apa pun Mat Sentol adalah pengarah filem Melayu dalam kelasnya tersendiri.

M Amin atau nama sebenarnya Muhammad Amin Ihsan (1924 – 2003) merupakan seorang lagi pengarah Cathay Keris yang terus berkarya walaupun kesuraman menyelubungi dunia filem Melayu.

Antara 1967 hingga 1973 M Amin mengarah lebih kurang 13 filem berbagai genre sebelum beliau berpindah ke Merdeka Studio, Ulu Kelang pada 1974. Di antara filem-filem arahan beliau ketika di Cathay Keris (jumlah ini tidak termasuk filem-filem arahan awal beliau sebelum 1967) ialah Dosa Wanita (1967), Pop Muda (1968), Srikandi (1969), Sial Wanita (1969), Puaka (1970), Jahanam (1971), Satu Titik Di Garisan (1972) dan filem terakhirnya dengan Cathay Keris, Hati Batu (1973). M Amin hanya mengarah tiga filem di Merdeka Studio.

Filem-filem Penyamun Si Bongkok, Satu Penentuan dan Pertiwi dalam masa setahun 1974.

Seorang lagi pengarah Cathay Keris yang terus mengarah ketika zaman kejatuhan filem Melayu itu ialah Nordin Ahmad (1932 – 1971). Antara 1967 hingga 1971, beliau mengarah enam filem berjudul Playboy (1967), Kekasih (1968), Simurai (1968), Nafsu Belia (1969), Keranda Berdarah (1969), Lobang Neraka (1970) sebelum meninggal pada usia baharu 39 tahun kerana mengidap demam kuning.

Ada juga bekas pelakon MFP menerbitkan filem secara independant selepas penutupan studio MFP Jalan Ampas. Pelakon Ahmad Mahmud pernah menerbit dan mengarahkan filemnya sendiri berjudul Di Antara Dua Nesan (1968).

Filem ini menggunakan format penggambaran 16mm untuk di blowup ke 35mm. Filem ini tidak ditayangkan di panggung kerana mutunya rendah. Apa pun filem Di Antara Dua Nesan boleh dianggap sebagai filem indie Melayu pertama dihasilkan. Satu keberanian yang luar biasa daripada pelakon dan pengarah Ahmad Mahmud. Salut!

Sementara itu di Kuala Lumpur, antara 1967 hingga 1978 syarikat Merdeka Film Productions masih lagi menerbitkan filem yang diarahkan oleh P Ramlee, S Kadarisman, Omar Rojik, Naz Achnas, Diresh Ghosh dan Jamil Sulong. Tiga tahun sebelum MFP ditutup P Ramlee berpindah dari studio Jalan Ampas, Singapura ke Merdeka Studio Ulu Kelang pada 1964.

Studio MFP di Singapura terpaksa ditutup kerana masalah mogok pekerja menuntut kenaikan gaji. Ditambah dengan kemerosotan dari segi sambutan penonton dan kutipan filem-filem Melayu ketika itu.

Filem-filem Melayu baik terbitan MFP mahupun Cathay Keris mula tidak mendapat sambutan penonton. Salah satu sebabnya adalah kerana kemunculan televisyen.

Televisyen dilancarkan pada 1963 di Malaysia dan menjadi kegilaan ramai.

Program-program televisyen menjadi medium alternatif kepada rakyat. Televisyen memberi satu bentuk hiburan baharu kepada rakyat negara ini. Mereka tidak perlu bersusah payah ke panggung untuk mencari hiburan.

Hiburan datang secara mudah ke ruang tamu rumah mereka baik di bandar atau di kampung.

Syarat utama yang perlu ada ialah kemudahan bekalan elektrik di kawasan-kawasan pinggir bandar dan kampung-kampung.

Selain pengaruh televisyen, tidak dapat dinafikan filem-filem Melayu keluaran tahun-tahun selepas penutupan MFP sememangnya jauh ketinggalan dari segi idea, cerita dan teknik penggambaran terkini masa itu.

Tahun awal 70an merupakan era kejatuhan dan kemuraman filem-filem Melayu selepas melalui era kegemilangan pada tahun-tahun 50an sehingga 60an.

Saingan dari filem-filem keluaran Hollywood, Bollywood (masa itu belum ada ungkapan Bollywood hanya dikenali filem Hindustan), filem-filem Hong Kong dan Indonesia ditayangkan di negara kita semuanya dalam warna dan bentuk bidang luas dikenali sebagai cinemascope.

Filem-filem Melayu pasca penutupan studio MFP, Jalan Ampas sama ada yang dihasilkan oleh Cathay Keris mahupun Merdeka Studio masih lagi dalam bentuk hitam putih. Ini merupakan salah satu sebab kurangnya minat orang menonton filem-filem Melayu.

Aku melihat kejatuhan dan merudumnya filem-filem Melayu ketika itu berkait rapat juga dengan sikap dan jati diri bangsa Melayu sendiri. Walaupun pendapat aku ini bukan berdasarkan kajian ilmiah tetapi lebih kepada pengamatan aku terhadap suasana kehidupan yang aku lalui pada zaman remajaku ketika itu.

Rata-rata orang-orang Melayu baik remaja dan dewasa bila ditanya sama ada mereka tonton filem Melayu atau tidak akan berasa bangga memberi jawapan – "I tak tengok filem Melayu" atau "I tak minatlah filem Melayu".

Sikap ini ketara pada golongan Melayu kelas menengah dan atasan terutamanya yang berpendidikan Inggeris.

Golongan ini juga merupakan kelompok masyarakat Melayu yang ada kekuatan ekonomi. Mereka lebih berkemampuan untuk menonton dibandingkan dengan golongan marhaen. Sehingga hari ini sukar aku mentafsirkan kenapa mereka bersikap begitu.

Aku masih lagi berjumpa orang-orang Melayu yang bersikap begini sekarang. Aku berani membuat kesimpulan bahawa keadaan sebegini masih belum berubah. Kenapa?

Aku juga berlatar belakangkan pendidikan Inggeris tetapi aku tonton juga filem Melayu, di samping menonton filem-filem barat pada zaman remaja dan sehingga sekarang. Ketika itu aku tidak terfikir untuk menjadikan bidang filem ini sebagai kerjaya masa depan aku.

Sejujurnya aku katakan walaupun aku tahu filem-filem Melayu ketika itu ‘teruk’ tetapi aku tetap menonton kerana pada aku apa yang dipaparkan dalam filem-filem itu aku faham dan dekat dengan diri aku baik secara fizikal, mental dan paling penting spiritual.

Ini pendapat peribadi aku dari dulu hingga sekarang. Muktamad.

Untuk berlaku adil kita perlu akui bahawa sememangnya saingan filem-filem luar memang tidak mampu ditandingi oleh pengarah-pengarah kita terutama dari aspek teknikal dan modal.

Filem sebagai satu produk dalam sistem ekonomi kapitalis yang mengutamakan keuntungan terpaksa berdepan dengan persaingan untuk menarik pembeli (baca penonton).

Jika ada pihak dengan modal lebih besar boleh menghasilkan produk lebih ‘gempak’ maka kita tidak boleh menyalahkan pembeli (penonton) lebih tertarik kepada produk pesaing kita.

Objektif utama pemodal adalah mengaut sebanyak mungkin keuntungan.

Masalah pembikin filem Melayu dahulu dan sekarang pembikin filem Malaysia adalah sama - kita berdepan dengan satu vicious circle – lingkaran maut!

Seniman Agung P Ramlee merupakan ‘panglima’ paling handal dalam gelanggang filem Melayu juga tumpas di penghujung hayatnya ditelan oleh lingkaran maut ini!

Pembikin filem kita sekarang, bagaimana?

Ahad, 18 Mei 2014

Perkenalan pertama dengan filem dokumentari

MENJELANG penghujung tahun 60-an satu fenomena muzik dan gaya hidup baharu melanda anak-anak muda seluruh dunia. Malaysia tidak terkecuali.

Pengaruh muzik psychedelic yang berakar umbi genre blues dan rock n roll melalui counter culture dikenali sebagai budaya Woodstock.

Budaya popular Woodstock ini diasosiasikan dengan fahaman dan gaya hidup hippies - make love not war.

Fahaman dan pegangan hidup protes dan anti perang. Generasi muda Amerika lahir selepas perang dunia kedua inilah yang meraikan cinta, kasih dan sayang sesama manusia. Cara dan fahaman hidup hippies ini bermula dan berkembang dari Amerika Syarikat.

Anak-anak muda penganut fahaman hippies dari kelompok counter culture ini memprotes tindakan kerajaan Amerika memaksa anak-anak muda didaftarkan untuk menjadi soldadu dan dihantar ke Vietnam untuk berperang.

Lambang protes mereka ialah dengan imej rambut panjang, seluar jeans bell bottom, memakai rantai dengan baju T bercorak tie and dye.

Protes mereka ini disuara dan dizahirkan  melalui demonstrasi jalanan dan tunjuk perasaan pelajar di kampus-kampus universiti di seluruh Amerika.

Protes pelajar kampus paling diingati dan ikonik ialah insiden pada 4 Mei 1970 di kampus Ohio Kent State University di mana empat pelajar ditembak mati oleh Ohio National Guards dan sembilan lagi cedera.  

Perang yang bermula dari 1956 dikenali sebagai Vietnam War atau Perang Vietnam. Kemuncak perang ini pada tahun-tahun pertengahan 60-an hingga awal tahun 70-an.

Pada 30 April 1975 Amerika dan sekutunya Vietnam Selatan menyerah kalah. Akhirnya, pada 2 Julai 1976 Vietnam Utara dan Selatan bersatu menubuhkan Republik Sosialis Vietnam dan kekal hingga ke hari ini.

Woodstock Festival diadakan di Bethel, New York pada 15 hingga 18 Ogos 1969 dengan tema 3 Days of Peace and Music.

Ia merupakan satu event protes yang menggunakan muzik untuk menyampaikan mesej anti perang. Woodstock Festival membawa satu bentuk partisipasi dan penerimaan peminat kepada muzik yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Walaupun pada 1967 di California pernah diadakan Monterey Pop Festival tetapi tidak dapat menyaingi Woodstock Festival dari segi jumlah penonton dan suasana festival itu sendiri.

Festival muzik ini adalah lambang protes dan penentangan generasi muda Amerika terhadap sistem kerajaan mereka.

Seramai 32 penyanyi dan kumpulan muzik mengadakan persembahan di kawasan terbuka dengan ditonton oleh hampir 500,000 peminat yang berkampung selama tiga hari tiga malam berbanding dengan seramai antara 25,000 hingga 90,000 untuk jangka masa sama di Monterey Pop Festival sebelum ini.

Bila sebut saja perkataan Woodstock sejak dari tahun 1970 sehingga sekarang terutamanya di negara kita ini akan membawa konotasi berkaitan dengan keruntuhan moral anak-anak muda.

Inilah stigma yang ditempelkan kepada apa-apa sahaja yang ada hubung kait dengan Woodstock. Baik muzik, filem, fesyen pakaian, rambut dan apa saja isu akan cuba dikaitkan dengan Woodstock untuk memberi persepsi negatif.

Berbalik kepada filem Woodstock, aku menulis tentang filem ini dalam konteks filem dan sejarah perfileman bukannya konteks moral. Woodstock Festival ini dirakam dalam bentuk filem dokumentari dengan judul Woodstock diarah oleh Michael Wadleigh.

Filem dokumentari ini diterbitkan dan diedar oleh Warner Bros. Ditayangkan pada 1970 dan mendapat sambutan hangat di seluruh dunia termasuk Malaysia. Filem dokumentari ini berjaya mencipta kutipan boxoffice berjumlah US 50 juta di seluruh dunia.

Aku menonton filem Woodstock di panggung Rex, Melaka pada tahun 1971. Panggung Rex Melaka telah lama diruntuhkan untuk memberi laluan kepada pembinaan bangunan komersial.

Filem Woodstock adalah filem dokumentari pertama aku tonton tanpa aku sedari yang Woodstock adalah filem dokumentari.

Pengetahuan dan pendedahan kebanyakan pelajar-pelajar sekolah termasuk aku ketika itu tentang jenis-jenis filem tidak seperti pelajar-pelajar sekarang yang lebih berpengetahuan tentang filem.

Filem kepada aku dan kebanyakan kami ketika itu adalah satu penceritaan yang mesti ada hero dan crook. Elemen ini biasa bagi filem-filem mainstream atau arus perdana. Filem Woodstock tidak ada elemen filem arus perdana tetapi masih boleh menarik minat ditonton ramai.

Ketika itu aku bersekolah dalam tingkatan lima di High School Melaka dan tinggal di asrama. Aku menonton filem Woodstock sebanyak tiga kali. Beberapa rakan aku yang ada lebih kemampuan kewangan menonton sehingga empat lima kali.

Kenapa kami begitu teruja dengan filem Woodstock?

Tarikan yang pasti sehingga kami mengulang tonton ialah muzik dan lagu-lagu yang dipersembahkan dalam filem ini oleh penyanyi-penyanyi dan band-band seperti The Who, Jimi Hendrix, Santana, Ten Years After, Joe Cocker, Janis Joplin dan ramai lagi. Lagu-lagu dan muzik mereka ini tidak pernah disiarkan melalui radio (RTM) ketika itu.

Sememangnya peluang menikmati lagu-lagu melalui filem Woodstock itu adalah satu pengalaman yang mahal.

Setelah aku tamat pengajian di UiTM dan memulakan kerjaya sebagai filmmaker sekali lagi filem dokumentari Woodstock ini menerpa masuk dalam hidup aku. Banyak informasi baharu tentang filem dokumentari Woodstock aku temui.

Aku memang peminat tegar pengarah Martin Scorsese. Dia dikenali melalui filem-filem hebatnya di antaranya filem Means Street (1973), Taxidriver (1976), Raging Bull (1980), Gangs Of New York (2002), The Aviator (2004), The Departed (2006) dan yang paling terkini filem The Wolf Of Wall Street.

Rupa-rupanya pengarah yang aku minati ini adalah salah seorang penolong pengarah dan penyunting filem Woodstock. Martin Scorsese baharu tamat pengajiannya dalam bidang filem dari New York University dan baharu berusia 27 tahun ketika terlibat dalam produksi Woodstock pada 1969.

Aku juga menemui informasi filem Woodstock memenangi anugerah Academy Award for Best Documentary Feature tahun 1971. Filem ini juga dicalonkan untuk anugerah Academy Award Bunyi Terbaik dan Suntingan Terbaik.

Filem dokumentari Woodstock ini penting untuk dijadikan rujukan kepada pelajar-pelajar filem dan peminat-peminat tegar filem dan pengkaji sosial dan antropologi.

Pada aku filem dokumentari Woodstock bukan kayu ukur penentu moral tetapi filem dokumentari Woodstock adalah perakam satu era penting dalam sejarah perkembangan dunia.

Renungkan kata-kata pengarah filem Martin Scorsese – “Film is history. With every foot of film that is lost, we lose a link to our culture, to the world around us, to each other and to ourselves.”

Kesimpulannya, tontonlah filem dengan minda terbuka.

Ahad, 11 Mei 2014

The Beatles pencetus budaya pop dalam filem

SEJAK dua minggu lalu, aku menulis tentang muzik pop yeh yeh yang popular tahun 60-an. Muzik ini bukan setakat popular melalui ruang udara (radio) tetapi popularitinya telah diangkat melalui filem -filem Melayu tempatan.

Bermula di Barat terutamanya di Britain, satu ledakan pop culture atau budaya popular – budaya pop dalam muzik bentuk baharu melanda dunia hiburan seni muzik dan filem dunia.

Tempias dari ledakan ini telah aku ceritakan sejak dua minggu lalu. Pengaruh dari The Beatles inilah yang melahirkan muzik pop yeh yeh di negara kita berpusat di Singapura ketika itu.

Apa akan aku tulis minggu ini adalah kaitan muzik dengan filem. Dua elemen hiburan dan seni yang saling melengkapi antara satu dengan lain. Baik filem-filem Barat mahupun Melayu tempatan.

Tetapi sebelum mulakan, aku hendak ceritakan tentang pertemuan aku dengan kenalan lama seorang pesara kerajaan yang baharu tiga tahun pencen.

Menurutnya, dia mengikuti kolum aku sejak dari tulisan pertama hinggalah ke minggu lepas.

Dia bertanya kenapa aku menulis tentang kisah-kisah yang telah berlaku 40 hingga 50 tahun lampau.

Maksudnya, tulisan-tulisan aku mengenai sejarah muzik dan filem Melayu berkaitan dengan pop yeh yeh.

Dia berpandangan aku cuma membuang masa kerana siapa minat membaca dan mahu ambil tahu tentang kisah pop yeh yeh yang telah menjadi barang antik dan ditelan masa.

Aku nyatakan kepadanya - aku mahu merakamkan sejarah perkembangan muzik moden Melayu untuk generasi muda - anak semua bangsa Malaysia masa kini terutama penuntut bidang muzik dan filem serta sesiapa yang berminat kedua bidang ini.

Aku katakan padanya aku berpegang kepada prinsip – kita mesti tahu sejarah sesuatu bidang yang kita ceburi untuk kesinambungan penerokaan kreatif dalam berusaha mencari dan melahirkan sesuatu yang baharu.

Konsep ini melibatkan semua bidang kehidupan manusia – politik, agama, budaya, sosial, seni dan apa saja bidang berkaitan dengan hidup kita di dunia ini.

Aku katakan padanya, paling penting setidak-tidaknya sehinggakan kita juga perlu tahu sejarah hidup diri kita sendiri untuk dijadikan pedoman sebelum dijemput ALLAH. Tiada hari ini tanpa semalam kerana esok belum pasti kita masih bernafas lagi atau tidak.

Berbalik kepada muzik pop yeh yeh dan filem, aku membesar dalam zaman itu.

Muzik pop yeh yeh berkembang mulai tahun 1965 selepas tiga tahun The Beatles melancarkan single pertama mereka Love Me Do tahun 1962. Arus gelombang gabungan muzik rock n roll yang dilahirkan The Beatles telah melanda dan menjadi kegilaan anak-anak muda di seluruh dunia.

Anak-anak muda di Nusantara tidak terkecuali dari ledakan muzik The Beatles. Anak-anak muda Melayu di Singapura dan Malaysia dengan kugiran-kugiran dan penyanyi-penyanyi seperti M Osman dan The Mods, A Ramlie dan The Rythmn Boys, Jefrydin dan The Siglap Five dan lain-lain.

Indonesia tidak terkecuali dengan kumpulan Koes Bersaudara dan menukar nama kepada Koes Plus awal tahun 70an.

Kumpulan Dara Puspita pula merupakan band atau kugiran pertama dan satu-satunya di Nusantara dianggotai oleh empat pemuzik terdiri daripada anak-anak gadis.

Kesimpulannya, sememangnya era 60-an dunia menyaksikan dan berasakan satu kebangkitan muzik corak baharu yang berasaskan muzik blues dan rock n roll.

Dalam masa sama dunia juga menyaksikan perang Vietnam terus meledak – peperangan antara fahaman demokrasi (Amerika) dengan fahaman komunis (Vietnam Utara).

Di Palestin perang terus bergolak antara Israel dan dunia Arab. Kelompok manusia yang berperang terus berperang berbunuhan sesama manusia untuk menegakkan fahaman dan ideologi masing-masing.

Ada kelompok yang terus berperang untuk mempertahankan pegangan dan kepercayaan agama masing-masing. Itulah senario dunia pada tahun-tahun 60an.

Sementara di medan seni pula, penemuan dan penghasilan karya-karya seni muzik dan filem terus berkembang. Hasil-hasil karya seni filem yang bercorak muzikal Barat seperti filem-filem lakonan The Beatles menambah khazanah seni pop culture atau budaya popular dunia.

Aku juga tidak dapat lari dari arus ledakan pop culture ini. Aku membesar dikelilingi oleh pop culture yang baharu bermula mempengaruhi kehidupan penduduk dunia tanpa mengira generasi tua atau muda ketika itu.

Apa itu pop culture? Secara ringkas budaya pop adalah cara penghayatan hidup seharian yang tidak sama seperti kehidupan lama atau tradisional.

Pop culture ini berkembang melalui muzik, filem, fesyen, seni lukis, sastera, teater dan juga makanan. Perubahan ini berlaku seiring dengan perubahan dan kemajuan dalam bidang media massa terutama televisyen, filem, media cetak dan alat komunikasi paling terkini - internet.

Televisyen adalah agen utama dalam membawa berkembangnya pop culture kerana peti televisyen yang dikenali sebagai the idiot box itu mula menjadi keperluan asas setiap keluarga di mana-mana saja di dunia ini termasuk negara kita bermula dari tahun 1963.

Pengaruh pop culture ini selalunya bermula dan berkembang di kota-kota besar setiap negara di dunia. Di Malaysia pop culture mula berkembang di Singapura pada tahun 60-an.

Zaman sekolah rendah, aku tinggal bersama dengan Allahyarham datuk dan nenek aku di kampung di Alor Gajah, Melaka.

Sementara Allahyarham bapa aku bekerja dan Allahyarham ibuku (suri rumah tangga sepenuh masa) menetap di Singapura.

Menjadi rutin aku setiap cuti penggal persekolahan menghabiskan masa bersama mereka. Allahyarham bapa akan membawa aku menonton filem-filem terbaharu yang ditayangkan di panggung-panggung di kota singa itu.

Filem muzikal lakonan The Beatles, A Hard Day’s Night (1964) merupakan filem bercorak muzikal pertama aku tonton ketika di darjah lima semasa menghabiskan cuti sekolah hujung tahun di Singapura.

Filem A Hard Day’s Night arahan Richard Lester ini meletup di boxoffice di seluruh dunia ketika itu. Filem ini dibuat dalam bentuk hitam putih dengan gaya cinema verite menggunakan muzik genre rock n roll sebagai elemen penting dalam menyampaikan cerita.

Filem ini diiktiraf oleh majalah Time sebagai di antara salah  satu dari 100 filem terhebat dunia dan filem muzikal yang paling berpengaruh sepanjang masa.

Selepas mendapat sambutan hangat, A Hard Day’s Night diterbitkan pula oleh Pan Books dalam bentuk novel oleh penulis, John Burke berdasarkan screenplay asal oleh Alun Owen.

Ada yang berpendapat A Hard Day’s Night selain dari satu hasil kerja filem ia juga merupakan video klip muzik panjang pertama pernah dihasilkan.

Setahun selepas itu The Beatles muncul dalam filem kedua mereka berjudul HELP (1965) diarahkan juga oleh Richard Lester. Filem ini bergenre comedy adventure dan difilemkan dalam warna. HELP juga mendapat sambutan hangat di seluruh dunia.

Tidak boleh dinafikan filem-filem A Hard Day’s Night dan HELP adalah inspirasi kepada pengarah-pengarah filem Melayu seperti Omar Rojik menghasilkan A Go Go 67 dan diikuti oleh pengarah-pengarah lain yang menghasilkan filem-filem yang ada elemen muzik rock n roll sama ada dalam bentuk muzik latar mahupun penampilan kugiran-kugiran sebagai artis jemputan dalam filem-filem genre drama dan muzikal.

Selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969, satu kejutan budaya pop berlaku dalam kalangan anak-anak muda di seluruh dunia dan negara kita.

Festival muzik WOODSTOCK berlangsung dari 15 hingga 18 Ogos 1969 di pekan kecil Bethel, New York. Festival tiga hari itu telah dirakamkan dalam bentuk filem dokumentari. Ia ditayangkan di panggung-panggung di seluruh dunia dan mendapat sambutan hangat seperti filem mainstream.

Minggu depan, aku akan menulis tentang filem WOODSTOCK dan impaknya pada perkembangan muzik dan filem tempatan.

Ahad, 4 Mei 2014

A Go Go 67 tanpa M Osman, A Ramlie & Jefrydin?

FILEM A Go Go 67 (1967) arahan Omar Rojik, terbitan Shaws Malay Film Productions, Singapura. Setahu aku sepanjang sejarah perfileman Melayu, filem ini merupakan genre muzikal pertama dihasilkan sejak filem Melayu pertama, Laila Majnun arahan BS Rajhan diterbitkan oleh SM Chisty di Singapura pada 1934.

Genre muzik pop yeh yeh bermula pada 1965 mencapai kemuncaknya dengan terhasilnya filem A Go Go 67. Filem ini merupakan pelengkap kepada satu evolusi muzik terkini ketika itu. Walaupun sebelum ini filem Muda-Mudi (1965) arahan M Amin ada menampilkan kugiran The Pretenders tetapi lebih sebagai artis undangan sahaja.

Aku menonton A Go Go 67 di panggung Lido, Melaka (sekarang sudah diubahsuai menjadi pasar raya) selepas lebih kurang sebulan tayangan first runnya pada umum. Selalunya, filem-filem Melayu keluaran Shaws Malay Film Productions akan ditayangkan di Melaka selepas tayangan first run di bandar-bandar utama seperti Singapura, Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kota Bharu, Pulau Pinang, Alor Star dan Ipoh. Tetapi filem-filem keluaran Cathay Keris yang berpusat di Singapura pula selalunya ditayangkan di panggung Cathay, Melaka serentak dengan tayangan first run dengan bandar-bandar utama lain ketika itu. Panggung Cathay, Melaka juga sekarang telah diubahsuai. Tidak silap aku dijadikan pusat pameran perabot.

Filem A Go Go 67 berjaya mencipta satu fenomena. Filem ini mendapat sambutan hangat peminat-peminat muzik pop yeh yeh dan penonton filem Melayu.

Dibintangi pelakon-pelakon utamanya, Aziz Jaafar, Nor Azizah dan Normah Zainal. Membariskan 12 kugiran-kugiran dan empat kumpulan penari a go go.

Naratif filem A Go Go 67 mudah dan senang diikuti. Mengisahkan hero (Aziz Jaafar), seorang pekerja penjaga kuda lumba dan juga ketua, penyanyi kepada kugiran Dendang Perindu. Si hero berdepan dengan konflik apabila dua penyanyi kugirannya, Noor Azizah dan Normah Zainal bermusuh sesama mereka untuk mendapatkan cinta sang hero. Kedua mereka adalah anak-anak orang kaya.

Kugiran-kugiran  dan penyanyi-penyanyi yang membarisi filem ini terdiri daripada Siti Zaiton dan The Hornets, M Hatta dan D’4 Ever, Nadar dan The Zarak, S Mariam dan The Rhythm Boys, Wan Intan dan The Mods, M Noor dan The Night Shadows, A Romzi dan The Hooks, Normah Zainal dan Blue Beats, Sanisah Huri dan The Terwellos, M Ishak dan The Young Lovers, M Fadzil & Okid Abdullah dan Les Coasters, S Jibeng dan Dendang Perindu. Lagu-lagu dan muzik filem ini adalah hasil karya Yusoff B dan Kassim Masdor.

Satu keunikan muzik pop yeh yeh ini selalunya setiap persembahan kugiran-kugiran dan penyanyi-penyanyinya akan diiringi oleh sekumpulan penari. Kumpulan penari-penari ini dipanggil penari a go go. Penari perempuan dengan mini skirtnya dan seluar ketat bagi penari lelaki. Ada kugiran-kugiran yang ditubuhkan siap sekali dengan kumpulan penari a go go mereka sendiri seperti penyanyi M Ishak dan kugirannya The Young Lovers. Kumpulan penari mereka bernama The Young Lovers Dancers. Begitu juga penyanyi Sanisah Huri dan The Terwellos dengan penari-penari mereka bernama Terwellos Dancers.

Filem A Go Go 67 tidak ketinggalan menampilkan kedua kumpulan penari tersebut di samping kumpulan Tami Dancers dan Group 7 Dancers. Filem ini sedaya mungkin cuba memberikan satu package hampir lengkap untuk memenuhi cita rasa penonton dan peminat pop yeh yeh ketika itu. Aku di tingkatan dua ketika menonton A Go Go 67. Tidak aku nafikan sememangnya aku teruja dengan apa aku tonton dan dengar melalui layar lebar ketika itu – satu pengalaman muzik dan tontonan filem yang memuktamadkan cita rasa muzik Melayu aku. Dari saat itu aku memilih muzik Melayu berasaskan rock n roll dan blues. Noktah.

Selepas hampir 47 tahun berlalu, aku masih memikirkan dan mencari jawapan kenapa filem A Go Go 67 tidak menampilkan tiga penyanyi penting aka pelopor pop yeh yeh – M Osman, A Ramlie dan Jefrydin!

Sehingga ke saat ini aku masih bertanya dan mencari jawapannya. Kenapa isu ini tidak disuarakan oleh wartawan-wartawan hiburan baik akhbar mahupun majalah dalam ulasan dan pemberitaan mereka mengenai filem A Go Go 67. Aku ada dan masih menyimpan majalah-majalah lama tahun-tahun 60an (walaupun tidak banyak dan tidak lengkap bilangannya) seperti Majallah Filem terbitan Shaw Brothers, Majalah  Bintang dan Lagu, Berita Filem, Mastika Filem, Majalah Filem Malaysia dan Majalah Lagu-Lagu, Filem & TV. Setakat keluaran tahun 1967 dan 1968 majalah-majalah ini terutamanya Majallah Filem yang merupakan media rasmi syarikat Shaws Malay Film Productions tiada langsung membuat liputan tentang ketiadaan tiga ikon penting pop yeh yeh dalam filem A Go Go 67. Aku yakin tidak terlepas pandang tentang hal ini.  

Pada aku filem A Go Go 67 tidak lengkap tanpa tiga ikon ini. Sungguh malang dan satu kerugian besar apabila pengarahnya, Omar Rojik gagal merakamkan penglibatan ikon-ikon ini dalam filemnya. Pada aku ini satu hal penting. Kehadiran tiga ikon pop yeh yeh ini secara langsung akan menjadi bahan rujukan sejarah seni muzik dan filem tanah air. Di antara mereka bertiga hanya Datuk Jefrydin yang masih bersama kita. Mungkin Jefrydin boleh memberi pencerahan kepada persoalan ini!

Pengaruh pop yeh yeh bukan hanya pada muzik yang direvolusikan tetapi pada fesyen pakaian, rambut, kasut dan juga kenderaan – motosikal Vespa dan Lambretta. Semua ini membentuk satu pop culture atau budaya popular yang menyatukan anak-anak muda Melayu di Malaysia, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei dalam mengharungi kehidupan harian mereka ketika itu.

Selepas A Go Go 67, ramai pengarah filem Melayu mula menggunakan muzik pop yeh yeh sebagai daya tarikan untuk memancing penonton untuk menonton filem-filem mereka. Di antara filem yang aku ingat menggunakan formula ini ialah filem-filem keluaran Cathay Keris. Dosa Wanita (1967) arahan M Amin yang menampilkan penyanyi baharu A Rhyme dan The Rythmn Boys. Filem arahan Nordin Ahmad, Playboy (1968) dengan kugiran Les Fentones.

Aku pernah diberitahu oleh Ito, penyanyi kumpulan Blues Gang tentang pertemuannya dengan ikon pop yeh yeh, A Ramlie ketika Blues Gang merakamkan album pertama mereka Any Time, Any Day di Singapura pada tahun 1979. A Ramlie memberitahu Ito – Blues Gang adalah penyambung kepada pop yeh yeh.

Ito juga ada menceritakan kepada aku sumbangannya dengan J Sham, penyanyi pop yeh yeh dengan kugiran The Wanderers berasal dari Tampin, Negeri Sembilan. Lagu popular dan hit mereka ialah Suratku Untukmu yang meletup di penghujung era kegemilangan pop yeh yeh pada awal tahun 70-an.

Menurut J Sham, muzik pop yeh yeh Melayu adalah pengaruh dari The Beatles. Bezanya adalah cara nyanyian penyanyi-penyanyi pop yeh yeh. Aku rasa pandangan J Sham tepat apatah lagi beliau seorang bekas pensyarah bidang muzik.     

Sejarah telah melakarkan genre pop yeh yeh adalah benih kepada suburnya pepohon muzik moden Melayu berasaskan gitar dan dram sehingga sekarang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...