Ahad, 27 April 2014

The Batak Boys

MULAI minggu ini aku mahu menulis tentang muzik Melayu. Selama tujuh minggu lalu, aku banyak menulis tentang filem dan apa terjadi pada aku serta pengalaman aku lalui dalam bidang filem sehingga tahun-tahun akhir 80-an. Sejak itu aku mula banyak mengarah drama telemovie untuk stesen-stesen televisyen kerajaan dan swasta.

Aku bukan pemuzik tetapi memang meminati muzik, terutama muzik moden berasaskan genre blues dan rock n roll dari barat dan tempatan.

Aku rasa bertuah kerana membesar bersama dengan zaman negara kita ini membangun dan melalui proses pembangunan selepas merdeka dari penjajahan British pada 1957 sehingga ke saat ini. Aku melalui zaman ketika hanya radio merupakan media sebaran am dan diikuti kemunculan televisyen dalam bentuk hitam putih.

Radio Malaya mula beroperasi pada 1 April 1946 dan siaran televisyen pula bermula pada 28 Disember 1963 selepas lebih kurang tiga bulan Malaysia ditubuhkan.

Kampung Kelemak, kampung aku terletak lebih kurang 1.5 kilometer dari pekan Alor Gajah di Melaka, dikira bernasib kerana penduduknya mula mendapat bekalan elektrik pada tahun 1960 dan diikuti dengan bekalan air paip pada tahun berikutnya. Jadi selepas lima tahun merdeka kampung kami sudah ‘ado air dalam bosi, potek topi tongah menyalo’ – ungkapan popular daerah kami yang bertutur dengan dialek Minang Negeri Sembilan bukan dialek Melaka pantai ‘hawau lahabau’.

Kenapa aku kaitkan sejarah penubuhan radio dan televisyen ini dengan apa yang bakal aku tulis minggu ini? Kedua-dua media ini memainkan peranan penting dalam aku menempuh zaman kehidupan kanak-kanak dan remaja. Tahun-tahun aku di sekolah rendah dan menengah. Kedua-dua media ini mengenalkan aku kepada muzik tempatan dan luar, terutama dari barat.

Pada tahun-tahun awal 60-an lagu-lagu Melayu popular lebih banyak yang dipetik daripada filem-filem Melayu terbitan Malay Film Productions dan Cathay Keris yang berpusat di Singapura ketika itu.

Boleh dikatakan kebanyakan lagu yang menjadi hit adalah lagu-lagu dari filem dan bukan lagu-lagu yang sememangnya diterbitkan secara khusus oleh syarikat-syarikat rakaman piring hitam. Sebagai contoh kebanyakan lagu-lagu hit Allahyarham P Ramlee seperti Jeritan Batinku, Di Manakan Ku Cari Ganti adalah dari filem Ibu Mertuaku (1962), lagu Bunyi Gitar dari filem Tiga Abdul (1964), Aci Aci Buka Pintu dari filem Nasib Labu Labi (1963) dan banyak lagi.

Lagu-lagu dari filem ini di ke udarakan melalui Radio Malaya (sebelum 1963) dan Radio Malaysia (selepas 1963) serta Radio Singapura melalui siaran bahasa Melayunya. Kedua-dua stesen ini mempopularkan lagu-lagu dari filem-filem Melayu sehingga menjadi siulan ramai. Peminat-peminat juga boleh membeli piring hitam  lagu-lagu yang hit ini selalunya dalam bentuk EP iaitu empat lagu atau SP yang mengandungi dua lagu.

Memang tidak dapat dinafikan ketika itu radio adalah sumber utama dan penting bagi rakyat menikmati lagu-lagu Melayu dan lagu-lagu Inggeris, Tionghua, Tamil serta Hindustan.

Seingat aku lagu-lagu daripada filem memonopoli siaran radio sejak Radio Malaya ditubuhkan sehingga tahun 1965. Pada tahun ini satu kejutan berlaku dalam politik tanah air. Singapura keluar dari Malaysia dan membentuk pemerintahannya sendiri.

Dalam masa sama satu kejutan berlaku dalam arena seni dan hiburan tanah air. Tercetusnya satu fenomena muzik yang dikenali sebagai pop yeh yeh berlaku di Singapura. Pop Yeh Yeh adalah satu bentuk muzik yang hanya menggunakan alatan muzik seperti gitar dan dram. Kumpulan pemuzik ini dikenali dengan panggilan kumpulan gitar rancak atau singkatannya – kugiran.

Berbeza dengan muzik sebelum ini yang lebih mirip ke sound orchestra yang banyak menggunakan alat muzik tiupan seperti trompet, saksofon, flut, clarinet selain piano, dram dan biola. Lagu-lagu dari filem Melayu lebih kepada sound sebegini.

Dengan meletupnya lagu berjudul Suzanna nyanyian M Osman dan Kugiran The Mods pada awal 1965 melahirkan satu bentuk muzik Melayu yang dikenali sebagai pop yeh yeh. Bermula satu perubahan kepada muzik Melayu.

Nama pop yeh yeh ini berasal dari tajuk lagu, She Loves You Yeah Yeah rakaman The Beatles. Satu kumpulan pemuzik muda berasal dari Liverpool, England.

The Beatles adalah pelopor kepada satu revolusi muzik dunia yang berasaskan kepada muzik rock n roll. Muzik dari The Beatles menjadi kegilaan dan ikutan anak-anak muda di serata dunia.

The Beatles memperkenalkan lineup kumpulan pemuzik terdiri daripada pemain gitar utama, gitar irama (rhythm guitar), gitar bass dan dram.

Lineup inilah menjadi ikutan kebanyakan kugiran pop yeh yeh. Ada juga kugiran yang menampilkan pemain organ sebagai tambahan. Selalunya, kugiran-kugiran ini ada penyanyinya sebagai frontman tidak seperti The Beatles yang semua anggota mereka berkebolehan menyanyi.

Menariknya tentang kugiran-kugiran pop yeh yeh adalah nama yang mereka pilih untuk menamakan kugiran mereka. Selalunya nama Inggeris jadi pilihan sedangkan mereka menyanyikan lagu-lagu berbahasa Melayu. Contohnya, M Osman dan The Mods, Jefri Din dan The Siglap 5, A Ramlie dan The Rhythm Boys, Kassim Selamat dan The Swallows, Eddie Ahmad dan The Antartic, Hussein Ismail dan The Sandblues, A Romzi dan The Hook serta lain-lain lagi.

Penyanyi-penyanyi wanita juga menggunakan format yang sama, seperti Jun Abdullah dan The Cliffters, Fatimah M Amin dan The Clans, P Rosnah dan The Siglap 5, Siti Zaiton dan The Hornets dan ramai lagi.

Seingat aku ada juga kugiran menggunakan nama-nama Melayu seperti M Rahmat dan The Teruna, S Jibeng dan Sri Arjuna, A Rahman Hassan dan Orkes Nirwana, L Ramlee dan Teruna Ria, Rudin AlHaj dan Impian Batek, Ismail Kasdi dan The Jejaka serta penyanyi wanita Alina Rahman dan The Batek.

Nama kugiran yang paling aku ingat sampai sekarang adalah The Batak Boys. Mereka pilih nama tersebut sempena nama jalan di kampung mereka di Singapura. Tapi sayang mereka tidak ada lagu yang hit!

Walaupun Singapura merupakan pusat tumbuh dan berkembang biaknya muzik pop yeh yeh tetapi ada ramai juga anak-anak muda dari negeri-negeri dan bandar-bandar lain di Semenanjung Malaysia menubuhkan kugiran-kugiran.

Ada di antara mereka yang berjaya merakamkan lagu-lagu hit. Lagu Dara Pujaan nyanyian L Ramlee dan kugiran Teruna Ria berasal dari Pulau Pinang. Dari Melaka, Helen Velu dan The Kilat berjaya menghitkan lagu Kereta Lembu. Dari Seremban, Roziah Latif dan The Jayhawkers berjaya dengan lagu Aku Kecewa.

Johor merupakan negeri paling banyak melahirkan kugiran-kugiran dan penyanyi pop yeh yeh selain Singapura. Siapa boleh lupa A Rahman Onn dan The Strangers dengan lagu hit mereka Cincin Emas dan Peracun Kalbu.

Dari Muar, A Halim dan De Fiction dengan Kisah dan Tauladan, Salam Mesra dan Teman Barunya yang meletup. A Rahman Hassan dan Orkes Nirwana dengan lagu hit mereka Tak Mengapa merupakan kugiran pertama dari luar Singapura yang berjaya meletakkan diri mereka sebaris dengan kugiran-kugiran paling top ketika itu.

Di antara penyanyi aku ceritakan di atas tadi ada yang mempunyai waris mereka dalam bidang filem masa kini. Khir Rahman pengarah filem ...Dalam Botol adalah anak kepada A Rahman Hassan, penyanyi dan ketua kugiran Orkes Nirwana. Seorang anak muda pelapis berpotensi besar dalam bidang pengarahan dan lakonan filem tanah air. Aku berpeluang bekerjasama dengan Khir awal tahun ini dalam filem Gangsterock...Kasi Sengat arahan Soffi Jikan.

Aziz M Osman dan Zul M Osman, dua pengarah filem anak kepada penyanyi pelopor pop yeh yeh, Allahyarham M Osman. Ibu mereka, Afida Es juga adalah penyanyi pop yeh yeh.

Benarlah pepatah orang-orang tua kita – ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi. 

Minggu depan aku sambung lagi tentang fenomena pop yeh yeh ini.

Ahad, 20 April 2014

Bara di lautan teduh

ARTIKEL aku minggu lepas "Nasib baik aku mengamuk" menimbulkan pelbagai reaksi kawan-kawan. Di antara maklum balas aku dapat daripada kawan-kawan penggiat filem ialah mereka tidak tahu tentang insiden aku mengamuk di set penggambaran filem Perancis, After the River pada 1981 itu.

Ramai terkejut dan mengakui minggu lalu merupakan kali pertama mereka mengetahui insiden itu.

Memang aku jarang menceritakan insiden yang berlaku 33 tahun lampau itu kepada sesiapa selama ini. Hanya orang-orang tertentu sahaja yang tahu dan pernah aku ceritakan. Aku pun tidak tahu mengapa bersikap begitu. Secara berjenaka aku katakan kepada mereka – “Gua belum famous lagi masa tu! Tu sebab lu orang tak tahu!”

Pada aku, peristiwa itu terlalu istimewa dan tinggi nilai sumbangannya dalam membentuk aku untuk menjadi pengarah filem. Insiden itu berjaya membina kekuatan dan jati diri aku secara langsung dan tidak langsung untuk berdepan segala fitnah dan mehnah yang terpaksa aku lalui selama hampir dua dekad.

Tidak aku nafikan insiden 33 tahun lalu itulah yang mencorak pendekatan aku kepada kerjaya yang aku pilih iaitu untuk menjadi pengarah filem.

Selepas berjaya mengarah filem-filem Kembara Seniman Jalanan - KSJ (1985) dan Rozana Cinta ‘87 (1987) aku mula melalui fasa mencabar. Aku berdepan dengan berbagai kerenah yang membuat aku bertindak menentang arus.

Kerenah birokrasi dan hubungan tidak mesra dengan sesetengah pihak media cetak yang telah aku ceritakan dalam tulisan-tulisan aku sebelum ini berlaku antara tahun-tahun 1987 sehinggalah tahun-tahun awal 90-an.

Dalam jangka masa itu aku diberitahu oleh produser-produser yang aku di‘gam’ oleh RTM kerana adegan-adegan dan dialog-dialog dalam KSJ yang mengutuk RTM seperti dialog Osman Tikus yang diperankan oleh Pyanhabib kepada Bujang (M Nasir) ketika dalam studio rakaman – “Jangan sound macam orkestra RTM tak berubah.

Dari gua boleh mendengar sampailah gua tak boleh mendengar dok macam tu je!”. Watak Osman Tikus merupakan watak seorang OKU yang tidak boleh mendengar.

Peliknya tidak ada surat atau pengumuman rasmi dari RTM yang sepatutnya aku terima untuk mengesahkan aku di’gam’ atas sebabsebab jelas. Aku dilontarkan ke dalam satu situasi tidak menentu – ada pihak kata aku di’gam’. Ada pula pihak mengatakan tidak ada tindakan dikenakan kepada aku oleh RTM.

Situasi ini membuatkan aku menghadapi masalah untuk mendapat peluang mengarah filem dan drama daripada ramai produser.

Alasan mereka takut drama atau filem terbitan mereka akan di’gam’ oleh RTM jika aku diambil sebagai pengarah.

Ketika itu, RTM telah mula menswastakan program-program terutamanya drama mereka kepada penerbit-penerbit tempatan. Peluang menerbitkan drama untuk siaran RTM mula menarik ramai orang mencebur diri dalam perniagaan penerbitan drama.

Walaupun penerbit drama untuk televisyen bertambah, tetapi ramai di antara mereka takut memberi peluang untuk aku mengarah bagi syarikat- syarikat mereka.

Senario sama juga aku alami dalam mencari peluang untuk mengarah drama tv.

Dalam bidang filem ada Allahyarham Harun Hassan merupakan produser berani melawan arus memberi aku peluang mengarah Rozana Cinta ‘87 untuk syarikatnya.

Dalam bidang penerbitan drama untuk TV khasnya untuk RTM, aku bertemu dengan seorang penerbit berasal dari Sabah yang berani menongkah arus dengan mengambil aku untuk mengarah drama-drama terbitan syarikatnya, RGM Production Sdn Bhd. Nama penerbit ini, Haji Sheikh Muhammad Sheikh Omar atau lebih dikenali dengan panggilan Hj Max sahaja.

Hj Max berani menawarkan aku peluang mengarahkan drama-drama terbitan syarikatnya kerana dia berpendapat jika betul aku digam oleh RTM mana hitam putihnya - memang tiada dikeluarkan oleh RTM ketika itu.

Aku berasa pihak media cetak yang kurang mesra hubungannya dengan aku yang agak rajin menimbulkan isu dan cerita ‘gam mengegam’ ini. Melalui syarikat Hj Max, aku mula meneroka satu bidang baharu dalam kerjaya sebagai pengarah - berkarya untuk TV.

Drama TV pertama arahan aku adalah untuk RTM bertajuk Anjang (1988) tulisan Aziz Abbas dengan Baharuddin Hj Omar sebagai Anjang.

Aku mula memasuki fasa baharu di mana aku menggunakan kamera berbentuk video dalam format neumatic untuk penggambaran drama-drama aku.

Pengalaman paling menarik ialah bila aku mula dapat menggunakan kemudahan video assist ketika mengarah.

Kemudahan yang membolehkan pengarah melihat dan memantau melalui skrin monitor ketika penggambaran dilakukan.

Memang pada aku kemudahan inilah yang aku mahukan ketika mengarah, baik drama atau filem - impian setiap pengarah aku rasa.

Aku bersama dengan syarikat Hj Max dari 1988 sehingga 1991. Di antara drama arahan aku untuk RGM Production ialah Tok Kaya (1988) karya Aziz Abbas, Khalilah (1988), Dalam Perjalanan (1988) karya Allahyarham Azizi Abdullah.

Dalam Perjalanan merupakan drama pertama Wan Hanafi Su berlakon untuk TV.

Sebelum dan ketika itu beliau pelakon dan aktivis teater di Terengganu. Kami kenal kerana kegiatan teater.

Ketika dengan syarikat Hj Max ini, aku diberi peluang menulis skrip sendiri selain mengarahkannya. Di antara drama TV yang aku tulis dan arahkan berjudul Funfair. Skrip drama TV tulisan dan arahan aku yang paling meninggalkan kesan pada aku berjudul Bara (1989). Drama Bara ini aku tulis 'treatment'nya ketika dalam penerbangan balik ke Kuala Lumpur dari Los Angeles.

Aku bersama Hj Max dan seorang lagi produser telah menghadiri program film market di Las Vegas, Los Angeles dan San Francisco.

Penerbangan balik kami bermula 10 pagi waktu LA dan sampai di Narita jam 7 petang waktu Tokyo untuk transit sebelum meneruskan penerbangan ke Kuala Lumpur. Cukup membosankan.

Sepanjang penerbangan dari LA ke Tokyo hanya lautan teduh Pasific menjadi santapan mata. Aku bukan jenis yang suka menonton wayang dalam penerbangan.

Jadi aku mula menulis 'treatment' bila satu ilham mengetuk minda ketika aku asyik merenung kebiruan lautan Pacific.

Kisah seorang isteri yang gila glamor untuk menjadi pelakon sehingga sanggup meninggalkan suaminya yang baik.

Aku selitkan juga kisah-kisah yang sering berlaku di belakang tabir ketika penggambaran filem atau drama.

Aku berjaya menulis tangan (masa itu belum ada laptop) 'treatment' yang mengandungi 75 babak sebaik sahaja kami tiba di Lapangan Terbang Narita, Tokyo.

Bila sampai di Kuala Lumpur aku  mengambil masa seminggu menulis teleplay dan memasukkan dialog.

Penggambaran diadakan di Port Dickson. Drama ini merupakan yang pertama Ismail Yaakob (pengarah filem Lenjan (1998) dan Laga (2014) bertugas sebagai penolong pengarah.

Pada Anugerah Seri Angkasa 1989/1990 pada 1 dan 2 Mac 1990, Bara dicalonkan untuk kategori drama swasta terbaik, pengarah drama TV terbaik, lakon TV terbaik.

Pelakon-pelakon Bara turut juga tercalon.

Kamarool Hj Yusuf untuk pencalonan pelakon lelaki terbaik, Zu Ghairi untuk pelakon wanita terbaik. Jit Murad pula dicalonkan untuk pelakon harapan.

Anugerah pengarah drama TV terbaik dimenangi Aziz M Osman. Dramanya Scoop menang drama swasta terbaik. Aku puas hati dengan keputusan kerana dengan tercalonnya karya aku Bara dalam beberapa kategori sudah mencukupi.

Aku tidak mengharap kemenangan tetapi jika menang adalah bonus untuk semua yang terlibat dalam Bara.

Bara merupakan anugerah paling manis untuk aku. Aku berjaya melakar sejarah sendiri. Skrip ‘treatment’ yang aku tulis dalam masa kurang lebih tujuh ke lapan jam atas awan ketika melintasi lautan teduh Pasific tanpa aku sangka berjaya dicalonkan untuk Anugerah Seri Angkasa 1989/1990.

Terima kasih ALLAH.

Ahad, 13 April 2014

Nasib baik aku mengamuk!

DENGAN tersiarnya artikel 'Kenapa aku marah lagi' minggu lalu, makin ramai mula faham kenapa selama ini aku bertindak menentang arus. Ramai juga bertanya aku maksud ungkapan 'persona non grata' di akhir artikel aku itu.

Ada yang ingat lagi Persona Non Grata adalah tajuk filem arahan Syed Azidi pada 2006.

Dalam pengertian mudah 'persona non grata' adalah individu yang tidak punya tempat bermastautin – stateless person.

Aku hanya sedar apa aku lalui selama ini menggolongkan aku sebagai manusia berstatus 'persona non grata' selepas membaca buku Malaysian Cinema In A Bottle (2013) tulisan Hassan Abd Muthalib, seorang pengkritik dan pengkaji sejarah filem Malaysia.

Aku berkesempatan membaca buku terbaharu Hassan itu awal tahun ini.

Dalam salah satu bab, Hassan menceritakan tentang attitude, sikap rebel dan penentangan aku terhadap birokrasi Finas. Hassan merumuskan aku menjadi 'persona non grata' kerana kelantangan aku memprotes membuat produser-produser filem tidak berani mengambil risiko untuk aku mengarah filem-filem terbitan mereka.

Diringkaskan cerita, aku wujud dalam industri filem tanah air tetapi tiada peluang dan ruang untuk mengarah filem. Wujud tetapi sama macam tidak wujud! Macam mana tu?

Perang Vietnam,  filem dan aku...

Aku teringat pengalaman hidup aku lalui awal tahun 80-an. Lebih tepat kejadian pada Julai 1981 bersamaan Ramadan 1401 Hijrah.

Selepas aku berhenti dari Profilm aku cuba bekerja secara freelance. Tugasan pertama aku sebagai penolong pengarah freelance adalah untuk satu produksi besar bertaraf antarabangsa.

Aku berpeluang menjadi penolong pengarah ketiga produksi dari Perancis untuk filem After The River. Filem ini mengisahkan sekumpulan kanak-kanak Vietnam yang melarikan diri dari perang yang sedang mengganas antara Amerika dengan Vietnam Utara.

Perang antara fahaman demokrasi (Amerika dan Vietnam Selatan) dengan fahaman komunisme (Vietnam Utara dan Rusia). Perang Vietnam ini terjadi antara 1957 hingga 30 April 1975 dengan kekalahan di pihak Amerika dan Vietnam Selatan.

Melakonkan watak kanak-kanak Vietnam adalah kanak-kanak Malaysia dari bangsa Cina dan Melayu. Rata-rata dalam lingkungan umur tujuh hingga 12 tahun. Lokasi untuk penggambaran adalah di Terengganu.

Memang satu pengalaman gempak bagi seorang anak muda seperti aku yang baharu memulakan kerjaya dalam bidang filem cereka ketika itu. Tugas aku memastikan lokasi dan logistik melibatkan krew tempatan dalam keadaan tersusun dan siap siaga. Tenaga kerja terlibat dalam produksi ini terdiri dari Perancis dan tempatan berjumlah hampir 60 orang.

Tidak ada banyak hotel di bandar Kuala Terengganu ketika itu. Tidak silap aku hampir semua bilik di Hotel Warisan kami borong.   

Produksi ini bergerak dalam unit yang besar. Setiap hari kami bergerak dari hotel menuju ke lokasi penggambaran dengan empat buah bonded van membawa peralatan kamera, lampu dan generator.

Pelakon utama, pelakon extra, kru Perancis dan kru tempatan dengan dua bas besar berhawa dingin. Selain itu, ada lebih kurang tujuh van untuk keperluan kostum, mekap, prop, makanan dan minuman.

Paling aku ingat ada satu van khas untuk unit perubatan terdiri daripada seorang doktor dan dua jururawat didatangkan dari Perancis.

Ini kali pertama aku ikut shooting yang siap dengan doktor di lokasi penggambaran.

Dari segi peralatan pula, aku dapat pengalaman bekerja dengan unit kamera yang menggunakan kamera jenis Panavision. Sebelum ini ketika aku di Profilm ada juga peluang bekerja dengan pengarah-pengarah filem iklan dari England dan Australia yang guna kamera jenis Panavision.

Penggambaran After The River ini adalah pengalaman pertama aku dengan unit kamera menggunakan Panavision untuk filem cereka. Bezanya penggambaran 33 tahun dulu dengan sekarang cuma satu – kami tidak ada peralatan video assist ketika itu.

Selepas seminggu penggambaran, kami memasuki bulan Ramadan. Hari pertama puasa kami buat penggambaran di sebuah kampung di kawasan Setiu, Hulu Terengganu.

Adegan hari itu melibatkan sekumpulan kanak-kanak pelakon tambahan yang dipilih daripada anak-anak penduduk kampung itu. Adegan yang mahu diambil oleh pengarah filem itu berdasarkan satu kejadian benar serangan askar Amerika dan Vietnam Selatan ke atas Kampung Trang Bang pada 8 Jun 1972 ketika perang Vietnam sedang memuncak.

Dalam serangan untuk mencari askar-askar Vietnam Utara yang dikenali sebagai Vietcong, pihak Amerika telah menggugurkan bom jenis Napalm. Bom api kimia ini dilarang penggunaannya dalam perang oleh Badan Hak Asasi Manusia Sedunia.

Peristiwa ini dirakam dalam bentuk foto oleh jurugambar berbangsa Vietnam bernama Nick Ut yang bertugas dengan Associated Press (AP). Foto yang merakam wajah seorang budak perempuan berusia sembilan tahun berlari menangis kesakitan akibat terkena bom Napalm yang membakar belakang tubuhnya. Dia berlari dalam keadaan bertelanjang bulat.

Foto rakaman Nick Ut ini telah memenangi hadiah Pulitzer Prize tahun 1973. Selain foto ini menjadi ikon, ia juga merupakan salah satu imej yang memorable untuk kurun ke-20.

Pengarah filem After The River ini mahu mengvisualkan foto ikonik ini. Ketika rehearsal anak-anak orang kampung ini diarahkan untuk keluar dari pondok di tepi jalan kampung dan berlari sambil menangis.

Terlibat dalam babak itu seorang budak perempuan Melayu berusia dalam lingkungan lapan tahun dan beberapa budak lelaki serta perempuan yang berusia antara enam hingga 10 tahun. Kami juga diarah membakar tayar-tayar lama di bahagian belakang pondok untuk menampakkan seolah-olah asap dari guguran bom.

Selepas beberapa kali rehearsal, penggambaran pun dimulakan.

Bila pengarah jerit action tiba-tiba budak perempuan berusia lapan tahun itu keluar dari pondok tanpa seurat benang – bogel! Ini adalah konspirasi antara pengarah dengan unit kostum dan mekap.

Bayangkan seorang anak dara sunti diperlakukan begitu. Aku naik angin sebab pengarah itu menipu.

Ketika rehearsal berbaju tetapi ketika take lain jadinya. Aku tidak sanggup melihat anak kecil itu diperlakukan begitu. Aku dan kru-kru tempatan masing-masing memang ada parang kerana lokasi penggambaran kami itu di kawasan hutan di pinggir kampung.

Aku terus mencabut parang dari pinggang dan meluru ke depan kamera sambil menjerit supaya penggambaran dihentikan. Aku minta filem yang merakamkan shot tadi dikeluarkan dari kamera.

Jurukamera Perancis itu patuh dengan permintaanku walaupun pengarahnya cuba menghalang dan berkeras. Suasana jadi tegang dan hampir menumpahkan darah. Aku bertindak agresif melibaskan parang ke arah pengarah sambil menjerit meminta kain untuk menutup tubuh budak perempuan itu. Aku seperti hilang akal.

Pengurus produksi untuk unit tempatan, Shaharudin mengambil filem yang telah dikeluarkan dari kamera. Dia berusaha menenangkan aku dan beberapa kru lain yang hendak mengamuk.

Aku dan pengurus produksi membawa budak perempuan itu berjumpa tok penghulu dan melaporkan apa terjadi. Kami buat keputusan untuk memberhentikan penggambaran dan membuat laporan polis di Kuala Terengganu.

Pada sebelah petang satu sidang media diadakan di hotel penginapan kami. Pengarah Perancis itu cuba mempertahankan haknya sebagai pengarah atas dasar kerja seni dan kedudukannya sebagai produser yang mengeluarkan dana.

Dia meminta supaya penggambaran tidak dihentikan. Atas arahan polis mereka (unit produksi Perancis) diarahkan supaya balik ke Kuala Lumpur untuk sementara waktu. Selepas sebulan produksi itu diarahkan untuk tidak menyambung penggambaran dan meninggalkan Malaysia.

Aku bertindak sedemikian kerana pengarah Perancis itu menipu. Dia beranggapan boleh buat apa saja dengan apa cara sekali pun untuk memenuhi tuntutan karya seninya kerana dia yang mengeluarkan dana untuk produksi itu.

Aku tidak sanggup melihat seorang anak dara sunti sebangsa dan seagama dengan aku diperlakukan begitu. Aku terfikir apa akan jadi kepada budak perempuan itu jika babak itu berjaya difilemkan dan ditayangkan di seluruh dunia. Berapa sangat dia dibayar.

Maruahnya akan tercemar sepanjang hidupnya. Aku tidak mahu bersubahat dengan pembikin-pembikin filem yang suka mengambil kesempatan ke atas orang-orang yang naif.

Paling aku marah pengarah Perancis itu tidak menghormati kami yang beragama Islam dan bulan Ramadan ketika itu. Hampir 33 tahun peristiwa di Setiu itu berlaku.

Ada kalanya aku terfikir apa terjadi kepada budak perempuan itu. Sekarang telah berusia dalam lingkungan awal 40-an. Aku harap dia berjaya dalam kehidupannya.

Pengajaran aku dapat dari peristiwa itu adalah - pengarah filem jangan cuba play GOD!

Ahad, 6 April 2014

Kenapa aku marah lagi

MINGGU ini aku akan menyambung apa yang terjadi selepas peristiwa pintu Finas yang pecah.

Ketika insiden itu aku sedang mengarah filem kedua Rozana Cinta 87. Sebelum aku diberi peluang dan kepercayaan oleh Pak Harun Hassan (Allahyarham) tuan punya syarikat penerbitan filem Amir Communication, aku berdepan kesukaran untuk mendapatkan produser bagi mengarah filem kedua, terutamanya selepas peristiwa filem pertamaku Kembara Seniman Jalanan (KSJ) disabotaj tayangannya.

Keadaan ini berlaku kerana tersiarnya banyak berita dan kisah kontroversial tentang aku dan isu wartawan sampul surat (wartawan envelop) dalam KSJ. Tidak ada produser yang berani mengambil aku mengarah filem untuk syarikat mereka. Aku faham mereka takut berdepan risiko. Aku pun tidak mahu menyalahkan mereka kerana pelaburan untuk menerbitkan filem ketika itu memerlukan modal dalam lingkungan RM200,000 hingga RM300,000. Jumlah itu besar dan tinggi ketika itu. Siapa mahu rugi?

Dalam aku menghadapi kesukaran mencari produser itu, aku ditawarkan peluang mengarah oleh seorang produser yang berani bernama Harun Hassan. Aku hargai dan salut keberanian dan keyakinannya pada aku. Pak Harun (nama mesranya) adalah seorang produser yang berani menongkah arus. Selain berani melabur untuk filem kedua aku, Pak Harun juga ada syarikat penerbitan majalah dan akhbar mingguan yang membolehkan promosi untuk filem-filem terbitannya dilakukan tanpa bergantung seratus peratus pada akhbar arus perdana yang ada ketika itu.

Syarikat Pak Harun sebelum ini telah menerbitkan filem Ali Setan (1985) arahan Jins Shamsuddin yang mendapat sambutan hebat. Di antara filem lain terbitan syarikat Pak Harun adalah Ali Setan 2 (1986) arahan Yasin Salleh, Suara Kekasih (1986) arahan Ida Farida, seorang pengarah dari Indonesia, Kepala Angin (1987) arahan Azmil Mustapha dan Balik Kampong (1986) arahan Zainal Othman.

Bekerja dengan Pak Harun merupakan satu pengalaman yang cukup berharga buat aku. Selain mempercayai keupayaan aku tanpa terpengaruh dengan liputan-liputan berita pihak-pihak yang mahu menegatifkan aku, Pak Harun juga memberi aku kebebasan untuk menentukan siapa pelakon dan juga tenaga teknikal untuk pembikinan filem kedua aku itu.

Dengan kepercayaan dan keyakinan yang diberikan lalu aku berani memilih barisan pelakon yang semuanya muka-muka baharu. Setelah diuji bakat, aku memutuskan untuk memberi peluang kepada Bibiana Layola, Erma Fatima dan Helmi Hussaini (adik penyanyi Jamal Abdillah) untuk memperankan watak-watak utama.

Watak-watak lain kebanyakannya diperankan oleh pelakon-pelakon muda ketika itu antaranya Kamarool Hj Yusuf, Siso (Kopratasa), Izzaidah Khairan, Johari Hamid dan Pyanhabib.

Rata-rata mereka ini adalah kawan-kawan aku yang sama terlibat dalam teater ketika itu. Melalui Rozana Cinta 87 ini aku sekali lagi berkolaborasi dengan M Nasir. Untuk filem ini M Nasir ditugaskan membuat muzik latar. Tajuk filem aku ini pun diangkat dari tajuk lagu Rozana ciptaan M Nasir yang terdapat dalam album kedua Search berjudul Langit dan bumi. Album ini meletup di pasaran.

Selain memilih barisan pelakon, Pak Harun juga memberi aku kebebasan memilih tenaga teknikal untuk produksi ini. Untuk tugas pengarah fotografi aku pilih seorang anak muda yang baharu berusia 20 tahun bernama Bade Hj Azmi. Ramai yang skeptikal dengan pilihan aku itu.

Aku pernah bekerja dengan Bade sebelum ini dalam produksi filem untuk TV3 Maria (1984) arahan Shuhaimi Baba. Bade bertugas sebagai penolong jurukamera. Dia juga terlibat sebagai salah seorang tenaga teknikal untuk filem KSJ.

Aku melihat Bade seorang anak muda yang punya potensi besar dalam bidang ini. Ada komitmen dan dia bermula dalam bidang kamera sebaik tamat persekolahan menengahnya. Bade berguru dengan bapanya, Hj Azmi (Allahyarham) yang merupakan seorang jurukamera dan pengarah fotografi yang disegani di RTM. Allahyarham juga pengarah fotografi untuk filem Abang (1981) dan Pemburu (1982) arahan Rahim Razali.

Pada aku Bade seorang anak muda mempunyai attitude yang jarang aku jumpa pada anak-anak muda lain ketika itu. Dia merancang dan tahu apa dimahukan sebagai kerjaya masa depannya. Aku mahu membantu dan beri ruang kepada anak-anak muda seperti Bade mencapai cita-cita mereka.

Untuk tugas penyuntingan filem kedua ini, aku juga memilih seorang penyunting muda yang baharu berusia awal 20an bernama Rassul Salim- seorang penyunting filem iklan.

Tujuan aku mengumpulkan anak-anak muda ini kerana filem kedua adalah filem orang muda dengan membawa persoalan dan permasalahan generasi muda. Masalah sosial lesbianism hubungan sejenis dan masalah sosial yang dihadapi mereka.

Dalam rebel aku, aku berbangga dan tumpang gembira melihat kejayaan yang dicapai Bade dan Erma Fatima sekarang. Aku harap mereka akan terus berkarya selagi termampu. Good luck! Filem Rozana Cinta 87 dicalonkan untuk semua kategori di Festival Filem Malaysia ke-7 di Hotel Ramada Renaissance, Melaka pada 6 Disember 1987.

Kali ini aku menolak semua pencalonan yang melibatkan diri aku. Aku dicalonkan untuk kategori pengarah terbaik, pengarah seni terbaik dan screenplay terbaik. Aku tidak menarik keluar pencalonan yang lain untuk filem aku ini. Aku bertindak begitu kerana kes penolakan pencalonan filem KSJ yang menimbulkan kontroversi pada tahun sebelumnya masih belum diselesaikan oleh Finas.

Setahun aku menunggu penjelasan dan penyelesaian terhadap kes KSJ. Tiada apa-apa respons daripada Finas. Aku bertindak begitu untuk memberi mesej kepada Finas yang aku percaya telah menganiayai aku dan semua yang terlibat dalam KSJ di festival filem ke-6. Ini menambahkan lagi ketegangan hubungan aku dengan Finas selepas peristiwa membaling batu dan memecah pintu Finas.

Selepas itu aku mendapat tawaran untuk mengarah satu filem usaha sama antara Malaysia dan Indonesia. Aku diperlukan untuk co-direct dengan seorang pengarah Indonesia untuk filem Dewi Cinta. Tawaran itu disampaikan melalui seorang kawan aku seorang pelakon. Aku diperlukan berjumpa dengan Pengerusi Finas (ketika itu) untuk berbincang lanjut.

Aku bertanya pada diri sendiri kenapa aku ditawarkan projek filem usaha sama itu. Mungkin juga untuk mengambil hati aku? Macam-macam persoalan bermain di minda aku. Apa pun aku mengambil keputusan untuk berjumpa dan mendapatkan keterangan lanjut daripada Pengerusi Finas. Aku ke pejabat Finas dan bertemu pegawai yang menguruskan pemergianku ke Indonesia.

Dalam pertemuan itu aku menerangkan kepada beliau yang aku akan menerima tawaran itu jika terlibat dalam produksi ini dari peringkat awal, iaitu peringkat penulisan screenplay, pre-produksi, produksi dan sehinggalah siap filem itu.

Apa jawapan yang aku dapat?

“Kau ikut je director Indonesia tu shooting. Duduk sebelah dia… tak payah buat apa-apa pun. Ni nak penuhkan syarat usaha sama. Mesti ada dua director.”

Aku tidak setuju cara kerja itu. Aku berkeras menuntut hak aku sebagai pengarah bersama untuk produksi tersebut. Apa jawapannya?

“Kita bayar tambang kapal terbang kau, hotel kau…”

Aku terkedu dan marah. Aku naik angin lalu aku hempaskan pintu pejabatnya dan keluar.
Bertambah lagi konfrontasi aku dengan Finas. Mula saat itu aku mula menjadi seorang yang berstatus ‘persona non grata’ dalam industri perfileman Malaysia!

Itu sejarah dulu, Finas dulu. Finas sekarang aku tengok dah okey sikit.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...