Ahad, 28 September 2014

Mengapa aku tinggalkan KAMI

TULISAN aku tentang filem Kami minggu lalu, membuat beberapa rakan lama yang tidak terlibat dalam bidang perfileman menghubungi aku.

Mereka menonton filem Kami melalui YouTube selepas membaca artikel tersebut. Ada di antara mereka pernah menonton Kami menerusi televisyen dahulu.

Mereka bertanya betulkah aku penolong pengarah Patrick Yeoh untuk filem pertama dan terakhir lakonan Sudirman Haji Arshad itu? Mereka bertanya begitu kerana nama aku tidak ada pada credit titles pembukaan filem dan penutup credit titles akhir filem Kami.

Aku suruh mereka ikuti tulisan aku minggu ini untuk mendapatkan jawapannya.

Filem Kami lebih mendedahkan aku kepada pengalaman berharga mengenali sikap, perangai dan intrik-intrik tipu muslihat di belakang tabir pembikinan sesebuah filem.

Secara langsung dan tidak langsung sikap negatif mereka ini menyumbang kepada lembab dan liatnya filem-filem Melayu untuk berkembang dan maju dengan pemikiran dan sikap baharu selari dengan tuntutan perubahan dalam industri filem Melayu ketika itu.

Tahun-tahun awal 80-an dan akhir 70-an, warung-warung makan berdekatan dengan stesen minyak Caltex di Jalan Pahang Barat merupakan port lepak orang-orang filem.

Pekerja-pekerja belakang kamera dan krew serta pelakon-pelakon menjadikan warung-warung itu tempat untuk melepaskan penat selepas balik shooting atau menunggu untuk pergi shooting.

Senario ini berlaku kerana dua syarikat paling produktif ketika itu Indra Film dan Sabah Film terletak di situ, di bangunan lot kedai di mana Restoran Haslam ada sekarang.

Dalam suasana inilah Patrick Yeoh, Sudirman dan aku cuba untuk menghasilkan filem Kami. Sememangnya pendekatan Patrick dan Sudirman terhadap pembikinan naskhah Kami agak berlainan. Aku selesa dengan pandangan dan impian mereka untuk menghasilkan filem bercorak lain dari filem-filem Melayu yang dihasilkan ketika itu.

Aku telah menyusun jadual penggambaran untuk 50 hari tetapi penggambaran filem Kami hanya mampu disiapkan setelah mencecah hampir lebih tiga bulan.

Aku tidak pasti jumlah hari sebenar kerana aku telah meninggalkan produksi itu selepas cuba bertahan selama hampir 60 hari untuk menghabiskan penggambaran walaupun kontrak aku hanya untuk 50 hari.

Kenapa masalah ini terjadi? Aku lihat ketika itu terdapat kelompok yang berasakan Patrick Yeoh tidak layak memegang teraju utama sebagai pengarah. Kelompok ini akan cuba mencari kelemahan dan kesilapan pengarah.

Ramai dalam kelompok ini merupakan generasi pembikin filem yang berhijrah ke Kuala Lumpur selepas penutupan studio Jalan Ampas dan Cathay Keris di Singapura.

Cara kerja dan kesefahaman yang aku cuba jalin dan praktikkan dengan Patrick ialah setiap kali sebelum penggambaran sesuatu babak dilakukan aku akan bertanya Patrick apa mahu digambarkannya berdasarkan skrip.

Kami berbincang dan aku akan mencadangkan pergerakan kamera dan pelakon. Aku membantu beliau untuk memastikan babak-babak yang bakal dirakamkan tidak akan mengalami masalah dari segi kesinambungan ketika di peringkat penyuntingan kelak.

Membantu dari aspek teknikal menjadi keutamaan aku supaya penggambaran berjalan lancar. Pembaca, pelajar filem dan pembikin filem generasi sekarang perlu tahu ketika itu tidak ada kemudahan video assist.

Semuanya bergantung kepada hanya kekuatan minda untuk menvisualkan babak-babak yang ingin dihasilkan oleh sang pengarah.

Selepas aku mendapat kepastian daripada Patrick tentang pergerakan pelakon-pelakonnya, aku akan berbincang dengan jurukamera untuk penataan pencahayaan. Sistem kerja ini mulanya berjalan lancar tetapi bila masuk minggu kedua keadaan mula berubah.

Perubahan berlaku bukan kerana ketiadaan kesefahaman antara aku dengan Patrick tetapi lebih kepada sikap pengkritik luar yang tidak terlibat dalam produksi ini. Mereka  mempersoalkan kebolehan Patrick untuk mengarah kerana banyak masa kononnya terbuang kerana perbincangan di set.

Perbincangan kami di set merupakan perbincangan untuk memuktamadkan pelaksanaan sesuatu babak berdasarkan skrip.

Terus-terang aku nyatakan, sebagai penolong pengarah aku hafal setiap babak dalam skrip itu - muka surat demi muka surat. Perbincangan ini perlu kerana bila kami berada di lokasi keadaan dan suasana akan berubah. Kami perlu membuat penyesuaian untuk memenuhi kehendak skrip walaupun lokasi-lokasi itu telah direcce sebelum ini.

Aku tidak tahu apa motif sebenar puak-puak ini bertindak begini. Apa yang pasti suara-suara sumbang ini datang dari mereka-mereka yang kononnya lebih tahu ‘bikin gambar.’

Warung-warung menjadi tempat gosip-gosip ini tersebar luas. Aku sebenarnya menyampah dan meluat dengan perangai puak-puak ‘serba pandai bikin filem’ ini. Aku tidak pernah melalui pengalaman seperti ini ketika bekerja dalam bidang pembikinan filem iklan.

Aku berjanji kepada diriku untuk cuba bertahan semampu boleh bila berdepan dengan kerenah-kerenah ‘bodoh’ ini. Episod cucuk dan menikam dari belakang ini makin hari makin sukar dikawal.

Suasana di set penggambaran pula bertambah kecoh dan bercelaru. Ramai ‘bijak pandai’ turut sama mahu terlibat untuk ‘call for shot’. Aku terus bertahan walaupun aku mengalami tekanan dan tension.   

Akhirnya aku meninggalkan produksi Kami kerana kontrak aku telah tamat walaupun penggambaran masih ada berbaki kurang lebih 60 peratus  lagi.

Aku boleh sahaja bertahan sehingga penggambaran selesai tetapi aku sudah tidak ada mood dan bosan dengan sikap PHD (perasaan hasad dengki) yang sering dikaitkan dengan sikap kebanyakan orang-orang Melayu dulu, kini dan mungkin selamanya.

Aku lihat produksi filem Melayu tidak banyak ketika itu. Rasanya tidak salah jika aku berpendapat kehadiran pengarah dan orang-orang baharu dalam filem seperti Patrick Yeoh akan menyempitkan peluang orang-orang lama ini untuk mengarah.

Tindakan aku berhenti itu mungkin menyebabkan nama aku digugurkan dari credit titles filem Kami. Aku bertindak berhenti berlandaskan undang-undang.

Aku telah memenuhi tuntutan kontrak yang menyatakan penglibatan aku sebagai penolong pengarah dan pengarah seni hanya untuk 50 hari penggambaran.

Walaupun nama aku tidak tercatat pada credit titles filem Kami tetapi aku percaya kepada konsep yang benar tetap benar. Ini terbukti selepas hampir 30 tahun berlalu.

Dalam rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) TV3 bersiaran sempena mengingati 20 tahun kepergian Allahyarham Sudirman pada 22 Februari 2012, pelakon Zul Zamanhuri, kini berusia awal 40-an yang memegang watak Din menyatakan nama aku sebagai penolong pengarah kepada Patrick Yeoh.

Menurut Zul Zamanhuri ini merupakan satu kombinasi yang bagus.

Terima kasih Zul Zamanhuri aka Din dan Al-Fatihah buat Allahyarham Sudirman aka Tookoo – KAMI.

Ahad, 21 September 2014

Dari iklan ke cereka...

AKU memulakan langkah menjadi penolong pengarah pada tahun 1981. Aku bermula dengan sebuah produksi antarabangsa dari Perancis untuk penggambaran filem berjudul After The River.

Filem yang menjalani penggambaran di Setiu, Terengganu ini berlatarbelakangkan perang Vietnam yang berlaku sejak 1955 sehingga 1975. Perang yang melibatkan pertembungan antara Amerika Syarikat dengan blok fahaman komunis Vietnam Utara ketika itu.

Ini merupakan filem cereka pertama aku terlibat sebaik sahaja aku berhenti dari syarikat Profilms. Untuk filem ini aku berpeluang bertugas sebagai penolong pengarah ketiga. Tugas aku memastikan lokasi dan logistik melibatkan kru tempatan dalam keadaan tersusun dan siap siaga. Tenaga kerja terlibat dalam produksi ini terdiri dari Perancis dan tempatan berjumlah hampir 60 orang.

Pengalaman aku lalui dengan keterlibatan dalam produksi dari warganegara Perancis itu membuka mata aku untuk memahami berbagai benda boleh dilakukan dan dihasilkan melalui filem sama ada baik atau buruk. Terpulang kepada niat dan rasa tanggungjawab sang pengarah terhadap hasil kerja seninya yang bernama filem.

Pengarah menentukan ke arah mana mahu dibawanya karya seni filemnya itu. Kementerian Dalam Negeri mengarahkan penggambaran filem After The River dibatalkan dan diarah berhenti selepas seminggu penggambaran.

Ini terjadi kerana kes pengarah filem ini telah cuba membuat adegan melibatkan seorang kanak-kanak perempuan Melayu berusia 8 tahun melakonkan watak kanak-kanak Vietnam berlari dalam keadaan bertelanjang bulat dari serangan bom napalm ketika dalam perang Vietnam.

Pengarahnya cuba melakonkan semula insiden yang berlaku di kampong Trang Bang pada 8 Jun 1972 ketika perang Vietnam sedang memuncak. Aku mengamuk dalam set penggambaran untuk menyelamatkan maruah seorang anak dara sunti Melayu dari menjadi mangsa manipulasi oleh produksi filem dari luar.

Ia suatu pengalaman kerja yang meninggalkan kesan dramatik di luar jangkauan aku ketika mula-mula hendak mencari pengalaman dan tapak dalam pembikinan filem cereka. Inilah pengalaman paling mencabar fizikal dan mental sebagai seorang filmmaker.

Pada penghujung 1981 aku mendapat peluang untuk menjadi penolong pengarah untuk satu filem feature keluaran syarikat Indra Filem Sdn Bhd. Aku dihubungi oleh Shaharudin Wahid yang merupakan pengurus produksi untuk syarikat tersebut.

Aku memang telah mengenali beliau lama sebelum ini. Beliau yang senang dengan panggilan Shah sesama rakan juga bermula dari bidang filem iklan. Ketika aku di Profilm, Shah bertugas sebagai pengurus produksi di Gaya Filem, syarikat filem iklan kepunyaan Datuk L Krishnan. Kemudian beliau berpindah menceburi bidang filem cereka bertugas sebagai pengurus produksi di Indra Filem Sdn Bhd.

Beliau yang juga merupakan pengurus produksi unit tempatan yang terlibat dalam produksi filem After The River. Shah menawarkan tugas penolong pengarah kepada aku untuk satu produksi baharu bakal diterbitkan oleh syarikat Indra Filem Sdn Bhd. Beliau juga menawarkan tugas itu kepada aku kerana beliau tahu aku minat dan boleh membuat kerja-kerja dalam bidang art direction.

Aku tanya siapa pengarah dan apa tajuk filem yang bakal aku terlibat jika aku setuju? Shah memberitahu aku, filem ini berjudul KAMI bakal dibintangi oleh Sudirman Hj Arshad, penyanyi sedang top ketika itu. Sudirman merupakan juara Bintang RTM 1976. Beliau juga baharu selesai pengajiannya dalam bidang undang-undang di Universiti Malaya ketika itu.

Pengarahnya pula, Patrick Yeoh, seorang wartawan dan pengkritik filem dengan akhbar berbahasa Inggeris, The New Straits Times. Ramai yang menyangka pengarah filem ini ialah Patrick Teoh yang merupakan seorang deejay radio, pelakon teater dan filem-filem keluaran tahun-tahun 2000. Mereka adalah dua orang yang berbeza cuma berkongsi nama awal yang sama – Patrick.

Menurut Shah, Patrick Yeoh tidak ada pengalaman mengarah dan penglibatan dengan kerja-kerja filem sebelum ini. Beliau meminta aku membantu Patrick dalam hal-hal pengarahan dan teknikal. Jujur aku katakan, sebenarnya aku risau kerana sebelum ini aku tidak pernah bekerja dengan pengarah filem yang tidak ada langsung pengalaman asas cinematic.

Ini pertama kali aku bekerja dengan pengarah yang akan hanya mengarah pelakon-pelakonnya berdasarkan skrip tulisannya sendiri tanpa pengetahuan asas pembikinan filem. Satu tugas berat dan penuh cabaran. Aku agak skeptikal tetapi aku terima tawaran itu kerana ini adalah peluang pertama untuk aku terlibat dalam produksi filem cereka dari peringkat awal sehingga akhir, insya-Allah.

Aku suka dan tertarik dengan  cerita Kami selepas membaca skrip hasil tulisan Patrick Yeoh itu. Cerita Kami ini lain dari cerita filem-filem Melayu ketika itu. Ada kesegaran dari segi tema dan isu yang ingin diangkat oleh Patrick.

Kami bukan cerita klise. Ada statement - penyataan tentang masalah anak-anak gelandangan terbiar disebabkan oleh masalah sosial dan ketandusan nilai kasih sayang kekeluargaan. Kisah sebuah persahabatan dan pengorbanan. Tema seperti ini sememangnya tidak pernah disentuh oleh pengarah-pengarah filem Melayu ketika itu.

Aku berjumpa dan berbincang dengan Shah, Patrick dan Sudirman tentang produksi yang bakal kami usahakan ini. Dari perbincangan-perbincangan yang kami adakan, aku bertanggungjawab menyusun atur cara kerja yang akan kami gunakan untuk melicinkan penggambaran.

Secara asasnya, tugas aku adalah membantu Patrick dari aspek teknikal, susun atur jadual dan gerak kerja penggambaran. Patrick dan Sudirman menumpukan kepada skrip, penceritaan, lakonan dan pemilihan pelakon.

Ketika peringkat pra-produksi atau pre-production aku menumpukan perhatian kepada pemilihan lokasi, props dan paling penting menyediakan jadual penggambaran. Aku menyusun jadual penggambaran berdasar kepada kemampuan dan kefahaman Patrick sebagai pengarah untuk melaksanakan babak-babak bakal diarahkannya pada setiap hari.

Aku faham tentang kekurangan pengetahuan teknikal Patrick dari segi komposisi, pergerakan kamera, pencahayaan dan kesinambungan untuk semua aspek melibatkan penghasilan sesebuah filem.

Pada aku kekurangan Patrick dalam aspek ini tidak merupakan masalah besar kerana paling penting beliau tahu apa yang hendak dihasilkan dari pelakon-pelakonnya untuk merealisasikan jalan cerita dan tema cerita yang telah dituliskannya. Akhirnya, aku menyediakan jadual untuk 50 hari penggambaran. Penggambaran untuk 45 hari dengan 5 hari tambahan untuk luar jangkaan atau contingency.

Penggambaran dimulakan dengan babak-babak yang tidak berapa berat dan mencabar. Aku masih ingat hari pertama shooting ialah babak Tookoo (Sudirman) dan Din (Zul Zamanhuri) mengambil upah memotong rumput di sebuah rumah di Taman Tun Dr Ismail.

Jika tidak silap aku selepas seminggu baru dilakukan penggambaran di banglo lama yang merupakan tempat kediaman Tookoo dan Din. Lokasi banglo lama itu terletak di Jalan Pinang berhampiran dengan Impiana KLCC Hotel sekarang.

Sejujurnya aku berasakan melalui filem Kami, aku tidak banyak belajar dan menimba pengalaman kerja dari aspek pengurusan dan teknikal pembikinan sesebuah filem cereka atau feature film. Sebaliknya penglibatan aku dalam filem Kami ini banyak memberi aku pendedahan dan pengalaman berharga tentang sikap, perangai dan intrik-intrik tipu muslihat di belakang tabir pembikinan sesebuah filem. Aku akan ceritakan minggu depan, insya-Allah.

Ahad, 14 September 2014

Aku bermain di tepian gelanggang

TAHUN-tahun 1981 sehingga 1985 merupakan jangka masa penting dalam proses dan usaha aku untuk menjadi seorang pembikin dan pengarah filem. Aku juga mengalami dan melalui perubahan peribadi dalam melengkapkan diri mengejar cita-cita.

Perubahan peribadi yang aku maksudkan ialah peralihan dari pembikinan filem iklan ke bidang pembikinan filem feature atau filem cereka untuk layar lebar – filem untuk panggung. Aku mengambil langkah sedemikian kerana aku mahu mencari pengalaman bekerja dengan pengarah-pengarah filem cereka. Ketika aku terlibat dalam filem iklan, aku sering berpeluang bekerja dengan pengarah-pengarah luar dari London dan Australia selain pengarah filem iklan tempatan seperti Othman Hafsham dan Kamal Mustapha.

Dalam bidang pembikinan filem iklan tempatan, penglibatan pengarah filem iklan daripada semua anak bangsa Malaysia lebih terserlah dibandingkan dengan bidang pembikinan filem cereka khususnya filem Melayu. Lebih separuh dari filem-filem iklan yang dihasilkan adalah untuk tayangan televisyen dan selebihnya untuk tayangan di panggung-panggung terutamanya iklan-iklan yang melibatkan minuman keras dan rokok. Ini adalah kerana, iklan untuk dua jenis produk ini tidak dibenarkan di televisyen.

Penggambaran filem-filem iklan tidak memakan masa panjang. Selalunya untuk filem iklan berdurasi 30 saat mengambil masa di antara 24 jam, dua hingga tiga hari dan paling lama seminggu.

Selalunya iklan komersial dilakukan dalam studio di mana aspek pencahayaan dan logistik mudah dikawal. Perubahan cuaca hujan dan panas tidak menjadi halangan. Iklan begini selalunya tidak melibatkan ramai pelakon dan adakalanya cuma melibatkan produk sahaja. Penggambaran jenis ini dipanggil pack shoot.

Penggambaran filem iklan yang berdurasi 60 saat atau lebih bergantung kepada konsep kreatif dan skrip cerita yang hendak dipaparkan. Semua ini divisualkan di papan cerita atau storyboard. Dari visual papan cerita menjadi panduan untuk menentukan berapa lama masa dan bajet diperlukan untuk penggambaran iklan produk yang mahu dihasilkan. Kebiasaannya iklan berdurasi 60 saat atau lebih akan memakan masa penggambaran antara seminggu hingga sepuluh hari. Ada juga yang memakan masa sehingga sebulan. Semua ini bergantung kepada betapa canggih dan uniknya filem iklan yang ingin dihasilkan atas permintaan pelanggan.

Perbezaan paling asas ialah jangka masa penggambaran antara filem iklan dengan filem cereka. Selalunya filem cereka pasti akan memakan masa sekurang-kurangnya 45 sehingga 50 hari penggambaran. Pengalaman kelainan cara bekerja seperti ini yang aku mahu cuba. Kebelakangan ini aku sering terbaca berita ada penggambaran filem-filem cereka untuk panggung dihasilkan dalam masa dua minggu sahaja.    
   
Untuk mencapai cita-cita menjadi pengarah filem, aku mengorak langkah menceburi bidang pembikinan filem cereka sebagai pembikin filem bebas atau freelancer. Selepas hampir tiga tahun bergiat menimba pengalaman dalam pembikinan filem-filem iklan, aku memberanikan diri memikul tugas sebagai penolong pengarah dan dalam masa sama sebagai pengarah seni atau art director. Aku juga minat kepada kerja-kerja seni dan rekaan produksi – production design selain meminati bidang pengarahan dan penulisan skrip. Pengalaman aku kutip selama dalam bidang pembikinan filem iklan merupakan aset berharga untuk meyakinkan produser-produser dan pengarah-pengarah filem untuk mengambil aku bekerja dalam produksi mereka.

Untuk pengetahuan pelajar-pelajar filem, pembikin, penggiat filem dan pembaca generasi sekarang, mereka yang terlibat dalam industri perfileman Malaysia ketika itu secara keseluruhannya terbahagi kepada dua kelompok.

Satu kelompok terdiri dari pengarah dan pembikin filem yang terlibat hanya memproduksikan filem-filem cereka Melayu. Dalam kelompok inilah berkumpulnya pengarah dan pembikin filem yang berlatar belakangkan pengalaman pembikinan filem dari studio Jalan Ampas dan Cathay Keris, Singapura. Akibat penutupan dua studio filem Melayu terbesar ini pada akhir 60-an dan awal 70-an, ramai antara mereka berhijrah ke Kuala Lumpur. Mereka meneruskan kerjaya filem mereka dengan Merdeka Filem Studio, Ulu Klang.

Di antara pengarah dalam kelompok ini ialah Jins Shamsuddin, Aziz Sattar, Malek Selamat, Ahmad Mahmud, Aziz Jaafar dan A Rahim. Mereka ini merupakan pelakon ketika zaman kegemilangan filem Melayu di Singapura. Selain Jamil Sulong dan Omar Rojik yang banyak mengarah filem-filem keluaran studio Jalan Ampas, S Sudarmaji pula banyak terlibat sebagai penolong pengarah kepada P Ramlee ketika di Singapura sebelum menjadi pengarah setelah berhijrah ke Kuala Lumpur. Dari studio Cathay Keris pula, Salleh Ghani dan M Amin sudah bergelar pengarah sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur untuk meneruskan kerjaya pengarahan mereka.

Pada akhir 70an dan awal 80an, pengarah-pengarah ini mula mengarah filem-filem keluaran syarikat-syarikat filem kepunyaan produser-produser Melayu. Suasana ini terjadi selepas Merdeka Filem Studio, Ulu Klang ‘tutup kedai’. Ketika ini semua filem terbitan produser-produser Melayu dihasilkan dalam warna dan bentuk bidang luas.

Kelompok kedua terdiri dari pengarah dan pembikin filem yang terlibat dalam bidang filem iklan. Dalam kelompok ini juga terdapat mereka yang datang dari latar belakang pentas teater dan mereka yang berpengalaman bekerja dengan stesen televisyen.

Othman Hafsham bermula dari pengarah filem iklan. Rahim Razali dan Yassin Salleh berbekal pengalaman sebagai pelakon dan pengarah teater yang telah terbukti kemampuan mereka. Shahrom Mohd Dom berlatar belakangkan kerjaya sebagai penerbit tv di RTM. Tidak boleh dikesampingkan sumbangan pengarah filem Patrick Yeoh yang merupakan wartawan akhbar Inggeris dan pengkritik filem sebelum mengarah filem Kami (1982) lakonan Allahyarham Sudirman. Filem Kami adalah filem pertama dan terakhir Patrick Yeoh sebagai pengarah dan Allahyarham Sudirman sebagai pelakon.
          
Kami, generasi pembikin filem baru ketika itu terpaksa lalui pembaharuan sememangnya menuntut ketabahan dan kecekalan tahap tinggi. Bukan mudah untuk mencari dan meyakinkan produser yang mahu bersama menghasilkan filem yang tidak membodohkan penonton. Dalam masa sama pulangan modal dan keuntungan perlu diambil perkiraan. Situasi memenatkan dan boleh mematahkan semangat mereka yang tidak kuat dan lemah serta mudah mengalah.

Bila Rahim Razali memulakan langkah mengarah filem Abang pada 1981 maka gelanggang baharu perfileman Melayu mula terbuka. Pengarah dan pembikin filem seperti Rahim Razali, Othman Hafsham, Shahrom Mohd Dom, Yassin Salleh dan Patrick Yeoh mula masuk bertarung dalam gelanggang ini. Aku pun tidak mahu ketinggalan. Aku memulakan langkah sulungku di tepian gelanggang perfileman tanah air kerana ketika itu aku merupakan orang baharu sedang mencari tapak.

Idea tentang dalam gelanggang dan tepian gelanggang ini menjentik minda aku selepas hampir 30 tahun setelah semuanya berlaku. Inilah cara paling mudah untuk aku menceritakan laluan yang aku lalui sebelum berjaya menduduki kerusi pengarah selepas hampir lima tahun menjadi pembantu di tepian gelanggang kepada ‘abang-abang’ pengarah yang bertarung dalam gelanggang.  

Minggu depan aku akan mula menulis pengalaman aku menjadi penolong pengarah kepada pengarah-pengarah yang membawa gelombang baru dalam industri perfileman Malaysia. InsyaAllah.

Ahad, 7 September 2014

Isu panas lariskan filem?

ANTARA 1981 hingga 1985, permulaan kemunculan pengarah-pengarah baharu dengan idea dan filem-filem membawa tema dan isu terkini yang lebih ke depan dan progresif. Seperti aku tulis sebelum ini, lima tahun awal 80an ini menyaksikan kebangkitan baru dalam industri perfileman tanah air.

Rahim Razali dengan filem-filem genre dramanya, Shahrom Mohd Dom dengan filem adaptasi dari novel dan Othman Hafsham dengan filem genre komidinya.

Dalam masa sama pengarah-pengarah bekas studio Jalan Ampas dan Cathay Keris, Singapura masih mendominasi industri filem tanah air. Penggiat-penggiat filem yang punya kemampuan kewangan melalui syarikat yang mereka tubuhkan sendiri mencuba mengarah filem walaupun tanpa ilmu perfileman.

Filem-filem mereka kebanyakannya masih mengikut acuan lama dari segi persembahan visual dan olahan walaupun dalam bentuk warna dan bidang luas. Tema dan cerita arahan mereka juga masih berkisar kepada isu-isu lapuk yang tidak mencabar minda dan meningkatkan daya fikir penonton.

Filem-filem genre drama hanya mampu mengangkat tema berkisar tentang kisah anak derhaka kepada ibu dan bapa, kepercayaan kepada benda-benda khurafat dan tahyul, masalah remaja berebut cinta, halangan cinta remaja kerana darjat dan tema-tema kitar semula dari filem-filem zaman hitam putih yang klise sifatnya.

Perhatikan di antara filem-filem keluaran 1981 seperti Anita Dunia Ajaib, Langit Tidak Selalu Cerah, Mama oh Mama, Ribut Barat dan Sesejuk Air Mata Ibu masih membawa tema-tema seperti di atas.

Trend ini masih diteruskan oleh filem-filem keluaran 1982 hingga 1985 seperti di antaranya, Esok Untuk Siapa, Dendam Dari Pusara, Penentuan, Kabus Tengah Hari, Ilmu Saka, Jauh Di Sudut Hati, May 13, Talak dan beberapa filem lagi.

Tidak dinafikan ada di antara filem-filem jenis ini berjaya mencatat kutipan pecah panggung seperti filem Azura (1984) arahan Deddy M Borhan keluaran Sabah Film Production.

Kejayaan pecah panggung filem ini lebih kepada percubaan berani pengarahnya menampilkan untuk pertama kali penyanyi yang sedang meletup ketika itu, Jamal Abdillah sebagai hero. Ada pihak mengaitkan sukses filem Azura kerana berita panas kes penahanan Jamal kerana dadah di Lapangan Terbang Kuching, Sarawak. Insiden ini berlaku sebaik sahaja filem Azura mula ditayangkan di panggung.

Aku lihat isu panas yang berlaku kepada Jamal hampir 30 tahun lalu berulang semula pada 2011. Apakah sukses meletupnya kutipan 11 juta filem KL Gangster 1 arahan Shamsul Yusuf kerana isu melibatkan Pekida merupakan ulang tayang isu filem Azura? Masih boleh dipersoalkan sama ada persepsi ini boleh diterima atau tidak dalam konteks pemasaran dan promosi sesebuah filem terutamanya di Malaysia.

Isu panas membantu melariskan filem. Menarik juga untuk difikirkan. Renungkanlah. Tidak ketinggalan kemunculan Fauziah Ahmad Daud (Ogy) yang mula mengukir nama sebagai pelakon dan penyanyi sebagai heroin. Satu gandingan watak remaja yang berjaya melahirkan empati kepada penonton muda. Penonton muda ketika itu boleh mengidentifikasikan diri mereka dengan watak-watak Zek dan Azura.

Filem ini juga bercorak muzikal pertama yang menampilkan watak-watak remaja yang berimej rugged dan ranggi – blue jeans, jaket denim serta motosikal yang sinonim dengan cita rasa remaja. Memang tidak dinafikan filem Azura berjaya mencipta sensasi. Ia memberi pertanda filem Melayu masih boleh menarik penonton ke panggung.

Filem ini berhasil memuaskan selera penonton filem Melayu dengan pembaharuan dari segi barisan pelakon dan ciptaan muzik dari M Nasir. Ini merupakan penglibatan pertama M Nasir dalam penghasilan muzik dan lagu untuk filem.
 
Persoalannya apakah sensasi dan kejayaan kutipan pecah panggung filem Azura ini berhasil meningkatkan pengisian minda penonton dengan tema dan cerita yang dipaparkan?

Pengajaran yang dapat aku kutip dari kejayaan filem Azura dengan segala isu panas dan kontroversialnya ialah perlu dan pentingnya unsur-unsur komersial sesebuah filem diadun dengan kefahaman tentang bahasa dan nahu filem – film grammar.

Bagi melahirkan kefahaman ini seseorang pengarah mesti menguasai dan mendalami ilmu untuk menghasilkan filem yang punya nilai estetik dan intelek. Kesedaran ini membuat aku jadi lebih obses untuk menimba ilmu dan pengalaman sebagai persediaan untuk menjadi seorang pengarah filem yang berani membawa pembaharuan.

Filem-filem komidi pula masih berlegar ditakuk lama tanpa perubahan. Penyampaian dengan gaya slapstick masih menjadi pilihan oleh pengarah-pengarah generasi lama ini. Tiada pembaharuan dari aspek cerita dan persembahan.

Jika dilihat dari jumlah 57 filem yang dihasilkan sepanjang lima tahun dari 1981 hingga 1985 hanya ada 7 filem membawa tema dan isu baharu serta berlainan. Dari 7 filem ini pula cuma 2 filem dihasilkan oleh seorang pengarah dari generasi Jalan Ampas berbanding dengan 5 filem yang dihasilkan oleh pengarah-pengarah generasi baharu.

Filem-filem Ranjau Sepanjang Jalan (1983) dan Jasmin (1984) arahan Jamil Sulong merupakan 2 filem dihasilkan oleh pengarah generasi Jalan Ampas yang membawa kelainan. Filem Ranjau Sepanjang Jalan adalah adaptasi dari novel paling penting di antara karya-karya Shahnon Ahmad. Sementara filem Jasmin adalah filem genre drama berdasarkan sejarah.

Dari kelompok pengarah generasi Jalan Ampas cuma Jamil Sulong yang berjaya membebaskan dirinya dari menghasilkan filem-filem dengan tema lama.

Pengarah filem generasi baharu berhasil mengangkat tema dan isu lebih terkini lewat 6 filem mereka. Bermula dengan filem Abang (1981) arahan Rahim Razali dan diikuti filem Pemburu (1982) dan Mati Seorang Patriot (1984). Shahrom Mohd Dom dengan filem Langit Petang (1982) adaptasi dari novel karya A Samad Said. Othman Hafsham dengan filem Mekanik (1984) berjaya membuat kutipan pecah panggung dengan filem bergenre komidi di samping membawa tema segar dan terkini tentang interaksi bangsa Malaysia. Bukan lagi komidi slapstick memualkan.

Aku lihat suasana industri perfileman tanah air ketika itu sedang mengalami perubahan. Transisi yang diidamkan oleh penggiat dan pengarah filem muda generasi baharu mula berlaku walaupun dengan momentum yang perlahan.

Tugas berat yang perlu dipikul oleh pengarah dan penggiat filem muda ketika itu bagaikan berada dalam situasi memecahkan satu tembuk batu yang pejal dan keras. Sukar namun usaha mesti dilakukan dan ditingkatkan.

Ketika semua ini berlaku aku sedang mencari tapak untuk membina kerjaya dalam bidang filem. Secara peribadi aku menganggap lima tahun pertama 80-an ini sebagai masa untuk aku menyiapkan diri aku secara fizikal dan mental sebelum aku menerjunkan diri sepenuhnya ke dalam bidang perfileman.

Masa aku banyak dihabiskan untuk menambah ilmu dan mencari pengalaman dengan terlibat dalam produksi filem cereka setelah hampir 3 tahun sebelum ini aku bergiat dalam pembikinan filem-filem iklan. Rutin hidup aku ketika itu semuanya berkaitan dengan filem. Aku makan filem, minum filem dan tidur filem. Ada ketikanya aku mimpi pun filem. Aku obses dengan filem.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...