Ahad, 29 Jun 2014

Cukup hanya pecah panggung atau...

ANTARA 1974 sehingga 1980, Merdeka Film Productions mula mengorak langkah baru dengan memproduksikan filem-filem berwarna dengan tujuan menarik sambutan penonton filem Melayu semula ke panggung.

Dalam masa sama syarikat-syarikat filem independent atau syarikat persendirian bebas diasaskan oleh usahawan-usahawan Melayu mula ditubuhkan dan berkembang di Malaysia, khususnya di Kuala Lumpur.

Di antara syarikat atau rumah produksi – production house mula aktif ketika itu terdiri daripada Jins Shamsuddin dgn PERFIMA – Perusahaan Filem Malaysia Sdn Bhd dan kemudian Jins Shamsuddin Filem Productions. Diikuti oleh Deddy M Borhan, seorang usahawan muda berasal dari Sabah mewujudkan Sabah Filem Productions. Syarikat Indra Filem Productions diasaskan oleh dua beradik, Zain dan Zahran sementara Syed Kechik Film Productions diasaskan oleh Datuk Syed Kechik.

Di samping itu tumbuh juga syarikat-syarikat produksi berskala kecil dan sederhana di antaranya – Anang Enterprise, Bintang Maju Produksi Sdn Bhd, Karya Film Promotions Sdn Bhd, Solo Filem Productions, Varia Filem Productions, Sarimah Filem Productions, Baiduri Filem Productions dan lain-lain lagi. Ada di antara syarikat-syarikat ini menghasilkan satu atau dua filem kemudian ‘tutup kedai’.

Masalah modal merupakan faktor utama yang sering menjadi halangan kepada syarikat-syarikat ini.

Aku lihat antara 1974 sehingga 1980 kegiatan atau bisnes filem Melayu sudah berpindah keseluruhannya ke Kuala Lumpur.

Senario ketika itu melihatkan syarikat-syarikat filem tempatan yang baharu muncul itu memberi peluang mengarah kepada kebanyakannya bekas pelakon-pelakon studio Jalan Ampas atau Cathay Keris dari Singapura.

Pelakon-pelakon dari Malay Film Productions, Jalan Ampas seperti Aziz Sattar, Aziz Jaafar, Ahmad Mahmud, Saadiah dan Malik Selamat bekas pelakon Cathay Keris menduduki kerusi pengarah untuk syarikat-syarikat baharu ini.

Kemunculan barisan pengarah baharu ini menambahkan bilangan pengarah filem sedia ada bernaung di bawah Merdeka Film Productions ketika itu seperti Jamil Sulong, Omar Rojik, S Kadarisman dan M Amin.

M Amin dan Omar Rojik kemudiannya berpindah ke Sabah Filem selepas Merdeka Films Production menghentikan produksi mereka buat sementara waktu selepas kegagalan filem Loceng Maut (1978).

Merdeka Film Productions menyambung semula produksi dengan menerbitkan Adik Manja (1980) arahan Othman Hafsham. Walaupun filem ini ‘pecah panggung’ boxoffice tetapi filem ini adalah produksi terakhir mereka.

Sabah Film Productions memberi peluang kepada Aziz Sattar mengarah filem-filem Keluarga Comat (1975), Si Badul (1978). Kedua-dua filem ini meletup di boxoffice.

Kejayaan yang ditempa oleh Sabah Filem ini memberi suntikan semangat baru untuk ramai lagi usahawan Melayu mula berani menceburi dan melabur dalam penerbitan filem Melayu.

Aku dapati di antara 1975 hingga 1980 sememangnya tidak dapat dinafikan keberanian Deddy M Borhan, si peneraju Sabah Filem Productions menghasilkan filem-filem berwarna bergenre komidi, muzikal, purba dan seram berjaya menggamit penonton untuk kembali ke panggung menonton filem Melayu.

Filem Si Badul (1978) berjaya meraih kutipan pecah panggung hampir  RM2 juta. Jumlah sungguh besar dan gempak dibandingkan dengan kos penerbitan yang rata-ratanya kurang dari RM200,000 ketika itu. Harga tiket untuk menonton filem pula bernilai antara RM1 hingga RM2.50 ketika itu. Filem Si Badul memecahkan rekod tayangan selama tiga bulan di Pawagam P Ramlee dan selama dua bulan di panggung Coliseum. Satu kejayaan di luar jangkaan yang mengejutkan dalam sejarah filem Melayu. Deddy M Borhan berjaya memulihkan semangat pembikin, penonton, peminat dan pencinta filem Melayu. Salut!

Sabah Filem Productions sungguh produktif menghasilkan tujuh filem sepanjang 1975 hingga 1980. Filem-filem Keluarga Comat (1975) dan Si Badul (1978) arahan Aziz Sattar, M Amin mengarah Hapuslah Air Matamu (1976), Pendekar (1977) dan Kisah Seorang Biduan (1979). Filem Gila-Gila (1979) arahan Omar Rojik dan filem genre seram Toyol (1980) arahan Malek Selamat.

Menariknya filem muzikal Hapuslah Air Matamu (1976) ialah percubaan Sabah Filem membawa pelakon dan penyanyi top Indonesia ketika itu, Broery Marantika untuk digandingkan dengan penyanyi top Malaysia Sharifah Aini berjaya meraih sambutan hangat penonton membanjiri panggung.

Sabah Filem menggunakan formula sama dengan membawa pelakon watak crook tersohor Indonesia, Farok Afero berganding dengan pelakon-pelakon Malaysia, Aziz Jaafar, Noor Azizah dan Deddy M Borhan sendiri untuk membarisi filem Pendekar (1977).

Kolaborasi antara pelakon dua negara serumpun ini bertujuan  menghasilkan filem-filem Melayu yang diharap berupaya menembusi pasaran Indonesia. Tetapi usaha Sabah Filem ini gagal kerana syarat-syarat ketat yang dikenakan oleh kerajaan Indonesia bagi melindungi pasaran filem tempatan mereka.

Apa pun keberanian Deddy M Borhan sebagai produser persendirian memang patut dipuji.

Usaha yang dimulakan oleh beliau pada tahun-tahun akhir 70an ini patut diteruskan sehingga hari ini oleh pihak-pihak berwajib yang bertanggungjawab terhadap industri perfileman kita. Kenapa tiada kesinambungan dalam usaha mencari pasaran baharu di Indonesia?

Dalam masa sama pelakon dan pengarah Jins Shamsuddin memproduksikan filem-filem siri ‘esok’nya.

Bermula dengan syarikatnya Perfima, beliau menghasilkan filem warna pertamanya berjudul Menanti Hari Esok (1977). Filem ini memperkenalkan model Noor Kumalasari sebagai heroin.

Selain ditayangkan di rangkaian panggung-panggung Cathay, Perfima juga mengambil usaha menayangkan sendiri filem Menanti Hari Esok di dewan Bangunan Mara, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan tidak silap aku di Dewan Hamzah, Kelang.

Ini merupakan langkah permulaan syarikat tempatan Bumiputera menceburi bidang penayangan dan pengedaran filem tempatan.

Usaha ini mati sekerat jalan – gagal. Sekali lagi persoalan sama timbul. Kenapa tidak ada kesinambungan usaha ke arah ini oleh pihak berwajib sehingga ke hari ini?

Kegigihan dan semangat untuk mengembalikan dan memartabatkan filem Melayu dilakukan oleh penggiat-penggiat filem ketika itu memang hebat dan mengagumkan. Sejarah sumbangan mereka ini tidak boleh dinafikan memenuhi tuntutan - tiada esok tanpa hari ini yang dibina dengan sejarah semalam.

Ketika semua ini berlaku, aku baru mencari tapak dalam bidang perfileman, khususnya dalam pembikinan filem-filem iklan selepas aku berjaya menamatkan pengajian dalam bidang sebaran am dari ITM, sekarang UiTM, Shah Alam pada 1977.

Banyak masa terluang aku gunakan menonton filem-filem yang ditayangkan di panggung-panggung sekitar KL tanpa mengira filem-filem Melayu, Barat, Hong Kong, Hindustan, Tamil dan menghadiri tayangan-tayangan filem di kedutaan-kedutaan asing.

Aku menjadi seorang pencandu filem.

Aku berinteraksi dengan rakan-rakan yang sama minat dalam filem. Peluang ini membolehkan aku menambah ilmu dan pengetahuan tentang filem dan sejarah filem dunia.

Dari pendedahan kami kepada filem-filem dari berbagai pelosok dunia dan perbincangan serta sembang-sembang sesama kami itu mencetuskan satu persoalan.

Apakah kemajuan dan pencapaian filem-filem Melayu cukup sekadar dengan kutipan boxoffice filem-filem keluaran Sabah Filem dan filem-filem siri ‘esok’ Jins Shamsuddin?

Apakah tugas lebih penting dan ultimate yang dituntut dari penggiat-penggiat filem oleh industri filem Melayu ketika itu? Aku akan jelaskan minggu depan.

Ahad, 22 Jun 2014

Filem 70-an berwarna tanpa makna

SELAMA tiga minggu berturut-turut aku menulis tentang Seniman Agung P Ramlee. Aku terasa seperti kering idea pula. Aku minta pandangan daripada anak bujangku apa patut aku tulis untuk kolum minggu ini. Dia menyarankan supaya aku tulis tentang muzik yang popular pada tahun-tahun 70-an. Anak bujang aku berusia 23 tahun. Dia membesar dengan muzik rock barat dan tempatan seperti Search, Wings dan grup-grup yang sewaktu dengan mereka. Tidak ketinggalan muzik dari grup-grup indie 90-an dan tahun 2000 hingga sekarang.

Menarik juga cadangannya itu. Tapi aku rasa aku akan tulis tentang muzik 70-an di kesempatan lain, insya-ALLAH.

Muzik dan lagu-lagu Melayu era 70-an kebanyakannya saduran lagu-lagu barat baik, melodi mahupun liriknya yang dialih bahasa dari Inggeris ke Melayu. Buat masa ini aku masih dalam mood lebih selesa ‘melayan’ dan menulis tentang filem-filem Melayu di tahun-tahun 70-an, terutamanya selepas meninggalnya P Ramlee pada 1973.

Setahun selepas kepergian P Ramlee, Merdeka Film Productions mula menghasilkan filem-filem dalam bentuk warna di samping meneruskan filem-filem berbentuk cinemascope. Satu kombinasi yang digemari dan dituntut penonton – filem berwarna dan berbentuk layar lebar.

Mulai 1974 Merdeka Film Productions mengorak langkah menghasilkan filem-filem berbentuk warna. Impian yang tidak sempat dinikmati dan dihasilkan oleh P Ramlee. Zaman filem-filem Melayu hitam putih berakhir dan pergi bersama dengan kepergian P Ramlee buat selama-lamanya.

Filem warna pertama dihasilkan oleh Merdeka Film Productions, Permintaan Terakhir (1974) arahan Jamil Sulong. Dibintangi oleh Sonny Abdullah dan memperkenalkan aktres Uji Rashid. Filem ini mendapat sambutan baik dan memberangsangkan walaupun naratif filem ini masih berkisar cara filem-filem Melayu era Jalan Ampas dan Cathay Keris, Singapura.  

Sebenarnya dalam masa sama, ada satu lagi filem warna diproduksikan di Merdeka Film Productions ketika itu. Filem Rahsia Hatiku arahan Naz Achnas, seorang pengarah Indonesia.

Filem ini ditayangkan selepas filem Permintaan Terakhir ditayangkan pada umum. Naz Achnas pernah terlibat dalam produksi filem-filem Melayu di Cathay Keris, Singapura sebelum ini.

Filem-filem dalam bentuk cinemascope dan warna yang dihasilkan oleh Merdeka Film Productions seterusnya adalah filem Jiwa Remaja (1975) arahan Jamil Sulong. Filem ini memperkenalkan pelakon dan penyanyi Hail Amir sebagai hero di samping aktres Uji Rashid sebagai heroin. Aku ketika itu baru memasuki semester kedua dalam Kajian Sebaran Am (Mass Commuciation) di ITM, Shah Alam sekarang dikenali sebagai UiTM.

Aku menonton filem Jiwa Remaja di panggung Capitol, Kelang. Aku tidak pasti sama ada panggung ini masih wujud lagi atau tidak sekarang. Bermula dari 1974, filem-filem Melayu seperti  mula menunjukkan kebangkitan semula dengan memasuki era baharu - era filem-filem warna.

Di antara 1974 hingga 1980, filem-filem warna yang dihasilkan oleh Merdeka Film Productions selain filem-filem Permintaan Terakhir, Rahsia Hatiku, Jiwa Remaja ialah filem Sayang Anakku Sayang (1976) arahan Jamil Sulong. Filem ini menampilkan pengarah Aziz M Osman untuk pertama kalinya sebagai pelakon kanak-kanak ketika itu. Melalui filem ini, Aziz M Osman memenangi anugerah Pelakon Kanak-kanak Terbaik Festival Filem Asia ke-22 di Korea Selatan, 1976.

Jamil Sulong seterusnya mengarah filem bercorak muzikal ala broadway Cinta dan Lagu (1977) dibintangi oleh Hail Amir dan Noor Azizah. Filem ini tidak berapa mendapat sambutan. Mungkin muzik dan lagu-lagu yang menghiasi filem ini tidak memenuhi cita rasa penonton dan peminat-peminat lagu ketika itu.

Merdeka Film Productions seterusnya memproduksikan filem Loceng Maut (1978) arahan Naz Achnas. Produksi ini merupakan satu usaha sama antara Merdeka Studio dan Tuti Mutia Indonesia. Loceng Maut adalah filem genre aksi purba yang menampilkan hero baharu Omar Syarif dan heroinnya Teh Faridah, bekas Miss Malaysia 1976.

Selepas filem Loceng Maut tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan, Merdeka Film Productions berhenti memproduksikan filem-filem baharu untuk sementara waktu. Hanya pada 1980 selepas empat tahun menyepi, Merdeka Film Productions aktif semula dengan memberi peluang Othman Hafsham, pengarah filem iklan mengarah filem cereka pertamanya berjudul Adik Manja.

Filem Adik Manja memperkenalkan pendatang baharu, Dharma Harun Al-Rashid di samping heroinnya, aktres sedang meletup ketika itu, Noor Kumalasari. Satu gandingan yang berjaya menghasilkan lakonan berkesan di hati penonton.

Adik Manja meletup di boxoffice dan seterusnya di Festival Filem Malaysia Pertama 1980 berjaya merangkul anugerah Filem Komedi Terbaik, Skrip Terbaik – Othman Hafsham dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik – Adibah Amin. Filem Adik Manja juga memenangi anugerah Filem Komidi Terbaik dan anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik – Shasha di Festival Filem Asia Pacific ke-26, 1980 di Jakarta.

Walaupun ‘anak sulung’ Hafsham ini meletup ‘pecah panggung’ dan menang anugerah dalam dan luar negara tapi sayang pemilik Merdeka Film Productions iaitu Shaw Brothers tetap dengan keputusan menutup operasi dan produksi filem mereka.

Di antara 1974 sehingga 1980, sambutan penonton filem-filem Melayu terutamanya keluaran Merdeka Film Productions kecuali filem Adik Manja tidak menggalakkan walaupun sudah berwajah baharu – berwarna. Kenapa?

Menurut Hassan Muthalib dalam bukunya, Malaysian Cinema In A Bottle – salah satu sebabnya ialah – none of the films were cinematic in narrative or narration and displayed a lack of understanding of the medium.

Kesimpulannya, filem-filem Melayu pertengahan hingga akhir 70-an hanya jasadnya cantik berwarna-warni tetapi tidak pada rohnya.

Ahad, 15 Jun 2014

P Ramlee: Iktibar dari satu trilogi

TRILOGY atau trilogi adalah satu terma dalam bidang pembikinan filem bermaksud satu susunan tiga filem yang berkaitan antara satu dengan lain. Trilogi boleh juga digunakan untuk mendiskripsikan tiga susunan karya hasil penulisan daripada seseorang penulis.

Sejak dua minggu lepas aku menulis tentang P Ramlee. Jadi minggu ini aku hendak melengkapkan penulisan tentang P Ramlee sehingga menjadi satu trilogi.

P Ramlee merupakan pengarah filem Melayu pertama menghasilkan filem berbentuk trilogi. Trilogi Bujang Lapok – bermula dengan Bujang Lapok (1957), Pendekar Bujang Lapok (1959) dan Seniman Bujang Lapok (1961). Semasa di Merdeka Studio, Ulu Kelang, P Ramlee telah mengarah trilogi Do Re Mi – bermula dengan Do Re Mi (1966), Nasib Do Re Mi (1966) dan Laksamana Do Re Mi (1972) yang merupakan filem terakhirnya. Setakat ini selepas P Ramlee, pengarah Jins Shamsuddin pernah menghasilkan trilogi esoknya – Menanti Hari Esok (1977), Tiada Esok Bagi Mu (1978) dan Esok Masih Ada (1979).

Aku ingin berkongsi dengan pembaca pengalaman ketika asyik ‘melayan’ bahan-bahan berkaitan dengan P Ramlee sejak dua minggu lalu. Aku ulang tonton melalui YouTube dokumentari Biography P Ramlee arahan Shuhaimi Baba yang pernah disiarkan melalui History Channel pada 2010.

Memang sedih apabila kita dipaparkan dengan realiti hidup yang terpaksa ditempuhi oleh seorang Seniman Agung negara ini. Disanjung ketika zaman kegemilangannya tetapi melarat tidak dipedulikan pada zaman kejatuhannya sehingga beliau menghembuskan nafas terakhir. Aku baca komen-komen penonton dan peminat-peminat beliau selepas menonton dokumentari tersebut. Aku dapati kebanyakan komen-komen mereka merupakan manifestasi luahan rasa kekesalan daripada peminat-peminat P Ramlee, khususnya dan rakyat Malaysia amnya. Mereka seakan tidak tahu kepada siapa patut ditujukan atau dipertanggungjawabkan pengakhiran hidup tragik yang menimpa P Ramlee.

Melalui dokumentari itu kita melihat dan mendengar luahan rasa ketidakpuasan hati mereka yang rapat dan akrab dengan P Ramlee. Cuba perhatikan luahan hati Seniwati Mariani yang juga kakak ipar kepada P Ramlee.

Menurut Mariani – "Bila dia dah pergi baru nak diagung-agungkan. Masa dia hidup tak ada orang pedulikan dia!"    

Salah satu segmen dalam dokumentari itu menceritakan tentang P Ramlee pernah dikhianati dan dianiaya oleh pihak-pihak rapat dengannya ketika di Singapura dan di Kuala Lumpur. Pengkhianatan ini bukan saja daripada individu-individu di kelilingnya yang pernah dibantunya. Paling mengecewakan P Ramlee ialah sikap syarikat perfileman dan syarikat rakaman yang turut memandang sepi pada saat sengsara menimpanya.

Aku cuba faham kenapa kapitalis seperti mereka tidak mahu menyambung kontrak P Ramlee ketika itu. Pada mereka P Ramlee tidak mendatangkan keuntungan lagi maka tidak ada keperluan untuk mereka menyimpan P Ramlee. Di mana-mana sahaja syarikat gergasi seperti ini hanya bertuhankan keuntungan. Itu memang sikap kapitalis, mereka mengeluarkan modal untuk P Ramlee berkarya. Tidak ada dalam kamus mereka sikap mengenang budi atau membantu orang yang pernah berjasa kepada mereka.

Tetapi sukar untuk aku faham ialah sikap pihak-pihak yang tidak perlu mengeluarkan modal tetapi meraih keuntungan daripada karya-karya P Ramlee. Mereka ini lebih kejam daripada kapitalis yang buta erti setia kawan dan kemanusiaan.

Renungkan komen-komen daripada Ahmad Nawab yang menceritakan tentang P Ramlee di kantin RTM menunggu Saloma sedang membuat rakaman program TV. Ahmad Nawab mempersoalkan kenapa P Ramlee tidak diberi peluang muncul dalam program TV sedang sumbangannya kepada rakyat dan negara banyak tidak terhitung.

Cuba renungkan kata-kata Ahmad Daud – "Kerajaan boleh tolong dia, dia biasa menghadap ini orang... Ini orang, semua orang tepis, tepis dia."

Sememangnya kita boleh larut dalam kesedihan dan kemarahan bila menonton dokumentari tentang P Ramlee ini. Sama ada kita sedar atau tidak di penghujung hayatnya P Ramlee telah menunjukkan kepada kita terutamanya penggiat-penggiat filem Melayu tentang pentingnya memiliki panggung sendiri. P Ramlee dan HM Shah menubuhkan syarikat Rumpun Melayu selepas disingkirkan dari syarikat Perfima yang mereka berdua sama-sama asaskan dengan beberapa orang lagi.

Selain mahu menerbitkan dan mengarah filem Melayu dalam bentuk warna, P Ramlee melalui Rumpun Melayu memberi perhatian kepada usaha untuk pemilikan panggung sendiri.

Ramai tokoh dalam dokumentari itu menyatakan P Ramlee seorang yang berpandangan jauh. Pada aku kemuncak visi pandangan jauh ke depan P Ramlee ialah untuk mempunyai panggung sendiri. Pawagam P Ramlee dilancarkan pada 8 Ogos 1973, selepas tiga bulan beliau meninggal dunia. Panggung ini hanya mampu bertahan sehingga 1976 sebelum ditutup.

Walaupun gagal di pertengahan jalan tapi idea dan usaha beliau ini sepatutnya diteruskan. Langkah-langkah konkrit dan khusus perlu disusun dan dilaksanakan oleh pihak yang berwajib.

Aku percaya P Ramlee tahu dan beliau mahu kita semua tahu lubuk keuntungan kepada sesiapa terlibat dalam industri filem hanya boleh dinikmati sepenuhnya jika kita ada rangkaian panggung sendiri untuk menayangkan filem-filem hasil karya kita sendiri. Pada aku usaha ini lebih mendatangkan manfaat kepada penggiat filem daripada sibuk mengambil kesempatan dengan aktiviti-aktiviti ‘poyo’ atau mewujudkan Yayasan P Ramlee yang sekarang mula ditanya oleh banyak pihak tentang kesepiannya sejak diuar-uarkan pada 2012. Apa sudah jadi?

Dalam dokumentari itu juga P Ramlee ada memberi pendapatnya tentang perlunya muzik asli dan tradisional Melayu dipertahankan dan dikembangkan kepada generasi muda. Bagaimana caranya?        

Aku teringat ketika aku dan keluarga berpindah dari Kuala Lumpur balik ke kampung di Melaka pada 1996. Aku ada terjumpa dan terbaca majalah Mastika lama keluaran Julai, 1973 yang tersimpan di rumah pusaka keluarga aku.

Dalam keluaran itu ada disiarkan kertas kerja yang dibentangkan oleh P Ramlee bertajuk ‘Meningkatkan mutu muzik asli dan tradisional’ dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang berlangsung dari 16 hingga 20 Ogos 1971 di Universiti Malaya. Aku berusaha mencari semula majalah itu dan Alhamdulillah aku jumpa semula. Apa yang menarik tentang kertas kerja dua helai yang dibentangkan oleh P Ramlee itu?

Ada lapan usul beliau bentangkan untuk meninggikan dan memperkayakan muzik asli dan tradisional Malaysia demi kepentingan negara. Aku paling tertarik dengan usul ke empatnya – ‘Di sekolah (apa jua jenis sekolah sekalipun) harus diajar muzik jenis asli dan tradisional Malaysia sebagai satu mata pelajaran.’ Sudahkah kita usahakan usul P Ramlee ini? Jika sudah, apakah usaha ini berjaya dan berkesan?

Dalam kita mengenang dan menyanjung P Ramlee, jangan kita terlupa hanya tinggal sembilan tahun lagi sebelum 2023 bila semua lagu-lagu ciptaan beliau menjadi public domain iaitu semua lagu P Ramlee bebas dimainkan tanpa perlu membayar royalti kepada Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP).

Menurut MACP, Akta Hak Cipta 1987 menyatakan bayaran royalti yang diuruskan MACP hanya tertakluk untuk tempoh 50 tahun selepas komposer dan penulis lirik itu meninggal dunia untuk diagihkan kepada pewaris.

Pada 2013, MACP mencadangkan perlunya pindaan baharu kepada Akta Hak Cipta supaya pewaris P Ramlee dan pewaris komposer, penulis lirik lain berpeluang menikmati royalti sehingga 75 tahun seperti yang diamalkan di luar negara. Apa tindakan pihak berwajib terhadap isu pindaan ini?

Dalam kes P Ramlee, isu ini sangat mendesak kerana masa makin suntuk. Apakah kita sanggup melihat ada di antara pewaris-pewaris P Ramlee terpaksa membuka kedai meja mah jong semula, baharu mahu bertindak?

Kita perlu berlaku jujur kepada P Ramlee dan pewaris-pewarisnya. Kepada pihak berwajib dan berkeupayaan bertindaklah segera sebelum terlambat jika kita benar-benar sayang dan ikhlas menganggap Tan Sri P Ramlee @ Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh  adalah Seniman Agung bangsa Melayu!

Akhir kalam, Al-Fatihah buat roh Allahyarham P Ramlee.

Ahad, 8 Jun 2014

P Ramlee cuma ada cinemascope...

MINGGU lalu aku tulis tentang zaman kegemilangan dan kejatuhan P Ramlee berdasar pemerhatian dan melalui pengalaman aku sendiri.

Aku tidak merujuk kepada mana-mana bahan arkib dan kajian ilmiah. Aku menulis berdasarkan naluri dan apa yang aku pernah tahu melalui imbas kembali, flashback pengalaman aku membesar di penghujung zaman kemuncak kegemilangan dan awal kejatuhan P Ramlee. Aku lalui satu pengalaman first hand.

Jangan pula ada yang menyangka aku ada secara fizikal bersama P Ramlee ketika itu. Maksud aku ialah apa berlaku dan dilalui oleh P Ramlee ketika itu aku ketahui melalui media massa.

Aku berkesempatan membaca tulisan-tulisan yang disiarkan melalui akhbar dan majalah memuji kehebatan filem-filemnya di zaman kegemilangannya. Aku sempat mengikuti ulasan dan tulisan yang mengkritik filem-filem arahan P Ramlee di zaman kejatuhannya. Aku juga berpeluang mendengar serta mengutip perbualan mereka yang lebih senior terutamanya peminat-peminat setianya berpangkat abang dan pakcik kepada aku tentang apa yang dialami dan dilalui oleh P Ramlee ketika itu.

Antara 1964 sehingga 1973, aku masih di bangku sekolah dan aku menganggap diri aku sebagai seorang pemerhati yang naif tentang apa sebenarnya berlaku kepada seorang insan seni bernama P Ramlee.

Aku sebagai salah seorang dari 11 juta penduduk Malaysia ketika itu, cuma menjadi penerima maklumat dan berita.

Kenapa, mengapa dan bagaimana P Ramlee melalui zaman gemilang dan zaman kejatuhannya tidak pernah terlintas di benak fikiranku.

Apa aku tahu ketika itu ialah aku suka dan sentiasa mencari peluang menonton filem-filem Melayu baik terbitan Malay Film Productions (MFP), Merdeka Studio atau Cathay Keris sama ada tayangan di televisyen atau menonton di panggung di bandar Melaka dua kali setahun ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.   

Selepas merdeka pada tahun-tahun penghujung 50-an sehingga 1964, ketika P Ramlee di Singapura, filem-filem arahan dan lakonannya meletup di box-office.

Tapi sayang aku tidak berpeluang menonton dan merasai bagaimana seronoknya menonton filem-filem P Ramlee di panggung. Ketika itu aku masih di bangku sekolah rendah. Ditambah pula di pekan aku duduk tidak ada panggung wayang. Itu zaman kegemilangan P Ramlee dengan filem-filem komedi siri Bujang Lapuk (1957 – 1961), siri Labu Labi (1962 -63) dan filem-filem drama masyarakatnya seperti Antara Dua Darjat (1960), Ibu Mertua Ku (1962). P Ramlee berpindah ke Studio Merdeka, Ulu Kelang pada 1964.

Ketika di Merdeka Studio, Ulu Kelang adalah zaman kejatuhan P Ramlee. Ketika zaman mula kejatuhannya pada 1967, aku mula melangkah ke sekolah menengah dan duduk di asrama di bandar Melaka. Masa inilah baru aku berpeluang menonton filem-filem arahan P Ramlee di panggung terutamanya di panggung Lido, Melaka.

Pada aku di antara filem-filemnya di era Merdeka Studio yang menarik dan punya jalan cerita dan idea yang kuat adalah Sesudah Subuh (1967), Keluarga 69 (1967), Anak Bapak (1968), Gerimis (1968) dan Doktor Rushdi (1970).

P Ramlee sudah mengangkat isu hubungan antara kaum dalam filem Sesudah Subuh dan Gerimis sebelum tercetusnya pergaduhan dan rusuhan peristiwa 13 Mei 1969 terjadi. Aku tidak nafikan kebanyakan filem-filem arahan P Ramlee di Merdeka Studio selepas penutupan studio MFP tidak menarik minat penonton.

Aku berpendapat ini berlaku disebabkan produksi filem Melayu ketika itu tiada perubahan, baik di Merdeka Studio mahupun Cathay Keris yang masih beroperasi di Singapura selepas penutupan studio Malay Films Production di Jalan Ampas. Filem-filem Melayu ketika itu masih dalam bentuk lama hitam putih.

Pembaharuan yang cuba ditonjolkan hanyalah melalui penggunaan layar luas atau dikenali sebagai cinemascope.

Kebanyakan filem-filem keluaran Merdeka Studio yang diarahkan oleh P Ramlee, Omar Rojik, S Kadarisman, Jamil Sulong hanya mampu dihasilkan dalam bentuk cinemascope dan bukan dalam bentuk warna. Sedangkan filem-filem Hindustan dan Indonesia yang merupakan pesaing paling hampir kepada filem-filem Melayu dihasilkan dalam bentuk warna dan juga cinemascope.


Di antara filem-filem arahan P Ramlee dalam bentuk cinemascope ialah Sesudah Subuh (1967), Anak Bapak (1968) dan Gerimis (1968).

Dari pengamatan aku, senario ketika itu sememangnya filem-filem kita jauh ketinggalan dari aspek teknikal. Bayangkan filem-filem asing yang mencurah masuk ke negara kita semuanya dalam bentuk warna tetapi pengarah-pengarah kita masih tidak dapat peluang untuk menghasilkan filem-filem berwarna yang menjadi kegilaan penonton.

Aku rasa memang tidak patut diletakkan beban kelesuan sambutan penonton terhadap filem-filem Melayu di bahu pengarah-pengarah filem sahaja. Aku lihat suasana ketika itu orang-orang Melayu sendiri yang menolak dan seolah ‘jijik’ untuk di asosiasikan dengan filem-filem Melayu. Tiada rasa bangga untuk menonton filem Melayu berbanding dengan menonton filem-filem dari luar.

Kepada generasi sekarang terutamanya pelajar-pelajar dan pengiat-pengiat filem yang berusia di bawah empat puluh tahun iaitu generasi yang lahir setelah kepergian P Ramlee buat selama-lamanya pada 1973, cuba gunakan daya imaginasi anda mengvisualkan suasana negara kita di tahun-tahun awal 70-an untuk memahami bagaimana peritnya P Ramlee dan rakan-rakan seangkatannya berjuang untuk memastikan filem Melayu masih ada penontonnya.

Bayangkan anda berada dalam suasana negara baharu pulih dari kekecohan akibat peristiwa 13 Mei 1969. Slogan muhibbah dan perpaduan berkumandang melalui radio dan televisyen saban waktu untuk melahirkan perpaduan nasional.

Bayangkan anda mendiami rumah teres di salah satu taman perumahan baharu dibuka di Petaling Jaya atau rumah setinggan di pinggir kota Kuala Lumpur.

Di rumah anda ada televisyen hitam putih dengan hanya dua saluran – RTM 1 dan 2.

Boleh dikatakan hampir semua rancangan TV adalah program dari barat. Bila anda memasang radio yang pastinya stesen siaran Melayu akan berkumandang lagu-lagu pop yeh yeh sementara lagu-lagu P Ramlee kurang disiarkan dan tidak diminati oleh generasi muda ketika itu. Stesen radio siaran Inggeris menyiarkan lagu-lagu The Beatles, Rolling Stones, Tom Jones dan macam-macam lagi.

Suasana di bandar-bandar besar Kuala Lumpur dan Singapura budaya hippie sedang melanda anak-anak muda tanpa mengira bangsa.

Berambut panjang dengan seluar bell bottom dengan baju T bercorak tie n dye berduyun-duyun menonton filem Woodstock di panggung Federal, Jalan Chow Kit.

Setiap petang hujung minggu di Panggung Aniversari iaitu panggung terbuka di Lake Garden berdekatan Tugu Negara pasti ada persembahan percuma dari kugiran-kugiran yang mahu mencipta nama.

Belum ada cineplex untuk menonton filem. Cuma ada panggung-panggung seperti panggung Rex menayangkan filem Godfather arahan Francis Ford Copolla atau panggung Capitol menayangkan filem Indonesia Si Pitung, lakonan Dicky Zulkarnain, panggung Odeon dan Cathay serentak menayangkan filem The French Connection. Semua filem-filem ini dalam cinemascope dan warna.

Visualkan anda, adalah P Ramlee yang hanya mampu memberi penonton filem-filem dalam cinemascope tapi masih hitam putih. Bagaimana?

Ahad, 1 Jun 2014

P Ramlee: Bukan perjuangan belum selesai tapi...

TIGA hari lalu bersamaan dengan 29 Mei 2014, genaplah 41 tahun legenda bangsa Melayu dan Malaysia umumnya, P Ramlee meninggalkan kita.

P Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh dilahirkan pada 22 Mac 1929 di Pulau Pinang dan meninggal dunia pada 29 Mei 1973 di Kuala Lumpur ketika berusia baharu 44 tahun.

Minggu ini aku rasa terpanggil untuk menulis tentang Seniman Agung ini sempena kita mengingati 41 tahun pemergian Allahyarham menghadap Yang Maha Esa.

Terlebih dahulu aku ingin menyatakan tulisan aku mengenai tokoh legenda besar ini bukan daripada kaca mata seorang ahli akademik, pengkaji sejarah, seorang ahli politik dan bukan juga daripada pandangan seorang pengagum dan peminat fanatik beliau. Tulisan aku ini adalah berdasarkan pengamatan dan pengalaman aku dari zaman kanak-kanak sehingga aku memasuki alam remaja dan membesar ke alam dewasa. Aku dikelilingi dengan aura P Ramlee melalui lagu-lagunya dan filem-filemnya. Aku berusia 19 tahun dan berada di tingkatan enam atas ketika P Ramlee meninggal dunia empat dekad lalu.

Aku melihat dan memahami keadaan ketika P Ramlee berada di puncak kegemilangannya ketika berada di Singapura dan seterusnya zaman kemerosotan dan kejatuhannya di Kuala Lumpur. Satu perjalanan hidup dan jatuh bangunnya seorang seniman, seorang hamba seni yang terlalu obses dengan kerja dan karya seninya. Dunianya hanyalah filem, filem dan filem. Aku rasa memang sukar untuk orang kebanyakan untuk memahami ketaksuban dan ‘kegilaan’ seorang bernama P Ramlee terhadap seni filem.

Aku menulis sebagai seorang pembikin filem. Kami mengarah filem Melayu. Apa juga pengalaman yang pernah dilalui oleh P Ramlee sebagai pembikin filem, pengalaman itu jugalah yang telah dan bakal terus aku lalui. Onak duri kehidupan yang pernah dilalui oleh P Ramlee tidak mengecualikan sesiapa saja di Malaysia yang mahu dan bercita-cita untuk duduk di kerusi pengarah – director’s chair!

Sepak-terajang, tindas-menindas, pijak-memijak dalam dunia perfileman kita tiada bezanya dari zaman P Ramlee hinggalah sekarang. Masalah modal dan panggung untuk tayangan masih belum selesai dari zaman P Ramlee sehingga sekarang. Apa lagi masalah nombor wahid – cetak rompak!

Keadaan ini ditambah burukkan dengan budaya mempolitikkan seni demi survival kelompok tertentu orang-orang politik. Mungkin ada yang meragui kenyataan aku ini. Aku menulis berdasarkan kenyataan dan pengalaman. Cuba kita lihat secara jujur isu-isu melibatkan artis-artis kita, terutamanya sejak awal 80an. Isu-isu berkaitan dengan artis lebih menjurus kepada bentuk divertion – untuk mengalih perhatian massa. Contoh paling klasik ialah isu rambut panjang pada 1992. Penyanyi dan kumpulan rock berambut panjang tidak dibenarkan muncul di RTM, kononnya membawa kepada keruntuhan moral anak-anak muda. Betul ke?

Apakah hasil peraturan cetusan daripada minda seorang pak menteri ini, moral rakyat Malaysia daripada kanak-kanak sekolah rendah hingga ke golongan remaja, dewasa dan orang-orang tua makin bertambah baik sekarang? Kita perlu jujur pada diri kita dalam mencari dan memberi jawapan terhadap isu moral ini. Jawapannya ada depan mata kita.

Apa aku saksikan ialah isu rambut ketika itu digembar-gemburkan untuk menutup suara-suara ketidakpuasan penggiat seni, terutamanya pembikin filem dan drama tv terhadap agihan slot dan modal oleh Kementerian Penerangan kepada produser-produser tempatan (baca Melayu). Kami yang terlibat dalam pembikinan filem dan drama dipinggirkan. Tiba-tiba wujud satu studio gergasi HVD memonopoli produksi drama untuk siaran di RTM dengan tenaga kerja ramai dibawa dari Hong Kong. Produser tempatan hanya dapat tulang sedangkan daging dan isi dibaham oleh studio gergasi yang tiba-tiba muncul itu. Apa jadi kepada HVD sekarang? Tinggal batu nisan!

Kesimpulannya, isu rambut panjang 1992 itu adalah salah satu contoh klasik bagaimana artis digunakan menutup salah laku dan rasuah pihak tertentu ketika itu. Apakah senario serupa masih berlaku sekarang?

Berbalik semula kepada P Ramlee, aku mula mengenali karya seni beliau melalui lagu-lagunya. Kebanyakannya adalah lagu-lagu yang terdapat dalam filem-filem lakonan dan arahannya. Pada tahun-tahun awal 60an lagu filem-filem Melayu disiarkan oleh Radio Malaya dan Radio Singapura sebagai salah satu cara dan bahan promosi sebelum dan ketika sesuatu filem itu ditayangkan.

Aku masih ingat mendengar lagu Menceceh Bujang Lapok petikan dari filem Seniman Bujang Lapok (1961) melalui radio transistor kepunyaan arwah datuk aku. Promosi lagu-lagu dari filem melalui radio ini diteruskan walaupun televisyen mula diperkenalkan pada 1963.

Di antara lagu hit P Ramlee sebelum fenomena pop yeh yeh melanda generasi muda pada 1965 ialah Yang Mana Satu dari filem Labu Labi (1962), Jangan Tinggal Daku, Di Manakan Ku Cari Ganti dari filem Ibu Mertuaku (1962), Aci Aci Buka Pintu dari filem Nasib Si Labu Labi (1963), Selamat Pengantin Baru dari filem Madu Tiga (1964), Bunyi Gitar dari filem Tiga Abdul (1964) dan banyak lagi.

Filem pertama melibatkan P Ramlee yang aku tonton berjudul Panggilan Pulau (1954) arahan S Ramanathan. Aku bukan menonton di panggung tetapi melalui tayangan di televisyen hitam putih pada 1964. Aku berusia 10 tahun ketika itu. Televisyen Malaysia mula menayangkan filem-filem Melayu seminggu sekali selepas setahun televisyen diperkenalkan pada 1963. Melalui slot ini banyak filem awal lakonan P Ramlee, terutamanya yang diproduksikan pada tahun-tahun sebelum 1957 ditayangkan.

Di antara filem-filem lakonan P Ramlee yang aku tonton melalui televisyen Malaysia ialah Sejoli (1951) arahan BS Rajhans, beliau juga merupakan orang yang mengesan bakat seni P Ramlee ketika melihatnya menyanyi di satu pertunjukan di Pulau Pinang dalam rangka jelajahnya untuk mencari bakat baharu.

Filem-filem P Ramlee yang aku tonton di panggung adalah kebanyakannya filem-filem arahannya ketika di Studio Merdeka, Ulu Kelang. Hasil karyanya pada zaman kemerosotan dan kejatuhannya.

Merenung kembali sejarah jatuh bangunnya P Ramlee membuat aku berfikir yang P Ramlee telah menentukan hala tuju dan asas perjuangan untuk semua penggiat seni dan karyawan tanpa mengira bangsa perlu lakukan untuk memartabatkan seni muzik dan filem kita. Perjuangan P Ramlee sudah selesai. Hanya yang belum selesai hingga sekarang ialah masalah dalam industri seni kita.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...