Ahad, 30 Mac 2014

Dulu funfair sekarang konsert

MINGGU ini sudah masuk yang ke empat aku menulis untuk kolum Lantera. Setakat ini banyak juga maklum balas aku dapat daripada kawan-kawan lama dan semasa. Daripada peminat-peminat lama dan baharu.

Tidak sangka masih ada peminat yang mahu mengikuti perkembangan aku. Terima kasih. Alhamdulillah.

Aku ada terjumpa seorang member lama yang sepatutnya sudah bersara, tapi kepakarannya masih diperlukan sebagai penasihat editorial. Kami tidak bertemu sudah hampir 25 tahun. Apa yang menarik hati aku ialah ungkapan pertamanya selepas kami bertanya khabar, bersalaman dan berpelukan ialah – “Sir, wartawan envelop (wartawan sampul surat) masih ada lagi!”

Aku hanya mampu tersenyum walau dalam hati bertanya mengapa perangai negatif ini sukar dihapuskan? Apakah bangsa aku makin hilang daya kemampuan membezakan haram dan halal? Sendiri mahu ingatlah!

Ada kawan-kawan beri semangat supaya menggunakan kolum ini untuk membersihkan nama aku yang tercalar selama hampir 30 tahun. Bersemangat kawan itu menyuruh aku membongkar apa yang selama ini tersorok di bawah karpet.

Aku juga menerima banyak pesanan ringkas. Salah satu adalah daripada pelakon dan pengarah filem Gangsterock – kasi sengat- Sofi Jikan. Pesanannya memang ringkas tapi tepat dan mantap - History Unfold.

Kita berdepan cuaca panas, kemarau, berjerebu, catuan air di Selangor dan Pilihan Raya Kecil Dun Kajang. Semua ini ditenggelamkan oleh peristiwa hilangnya pesawat MH370 pada 8 Mac lalu. Satu dunia tertumpu kepada peristiwa ini. Sehingga kini kehilangan MH370 masih belum bernoktah dengan kepastian muktamad.

Di celah-celah ketidakselesaan dan kecelaruan rutin hidup yang terpaksa kita semua lalui ini tiba-tiba tersiar berita tentang enam anak remaja kita meninggal dunia kerana pengambilan dadah berlebihan – overdose di konsert Future Music Festival Asia 2014 (FMFA) yang berlangsung tiga hari di Stadium Bukit Jalil dari 13 hingga 15 Mac lalu. Konsert untuk hari ketiga dibatalkan kerana insiden itu dan 14 lagi dimasukkan ke hospital dalam keadaan kritikal.

Berita insiden penonton konsert FMFA 2014 mati overdose kerana pengambilan dadah methamphetamine yang merupakan designer drug atau synthetic drug yang didatangkan dalam bentuk tablet atau pil bukan setakat disiar dalam akhbar tetapi lebih banyak tersiar dalam laman sosial di alam siber.

Aku mengikuti berita dan perkembangan insiden itu melalui YouTube dan blog-blog di internet. Dari apa aku baca dan saksikan membuat aku terfikir tentang betapa jauhnya perjalanan dan perubahan dalam budaya berhibur dan menonton konsert di negara kita ini.

Minda aku mula diterpa kenangan lama bagaimana aku mula mengenali dan tahu apa itu menonton konsert. Kegiatan atau aktiviti menonton konsert telah melalui evolusi yang panjang sehingga sampai ke tahap apa kita hadapi sekarang ini.

Aku lihat evolusi itu bermula dari pertunjukan atau konsert di tapak-tapak funfair pada tahun-tahun pertengahan 60an. Ketika itu orang ramai belum mengenali atau tahu perkataan konsert.

Paling tinggi mereka mengatakan show funfair. Aku masih ingat pada tahun 1966 ketika usia 12 tahun, pengalaman pertama menonton pertunjukan funfair aka konsert penyanyi popular angkatan pop-yeh-yeh.

Aku membesar di Alor Gajah, Melaka. Selalunya dalam setahun akan ada rombongan funfair datang ke pekan Alor Gajah. Selain gerai mainan, pentas joget dan judi, ada pentas kecil beratap zink dengan sistem bunyi menggunakan corong pembesar suara seperti kita lihat di menara-menara masjid sekarang.

Penyanyi pop-yeh-yeh yang popular ketika itu yang sempat aku tonton konsert mereka ialah Jefridin (Datuk) dan Allahyarham A Ramlie.

Pertunjukan paling hampir boleh dikatakan konsert yang aku tonton ialah yang menampilkan penyanyi-penyanyi dan kumpulan pop-yeh-yeh dari Singapura terdiri daripada Rickieno Badjuri dan The Cliffters. Penyanyi-penyanyi lain yang aku ingat turut serta ialah Hussein Ismail, Halim Yatim dan Jun Abdullah. Nyanyian mereka diiringi The Cliffters yang juga digelar The Rolling Stones of Singapore.

Pertunjukan ini diadakan di Dewan Hang Tuah merupakan dewan tertutup di bandar Melaka. Sambutan penonton sungguh hangat dan hebat. Aku ketika itu baharu menjejak kaki ke tingkatan dua.

Pada awal tahun 70an pengaruh dan kegilaan terhadap muzik pop-yeh-yeh mula berkurangan. Pertunjukan nyanyian yang diadakan masih belum boleh diklasifikasikan sebagai konsert.

Aku ingat lagi pertunjukan yang diadakan di padang bola di tengah-tengah pekan Alor Gajah masih menggunakan sistem bunyi corong. Antara penyanyi yang sempat aku tonton pertunjukan mereka ketika itu antaranya D.J Dave, Sharifah Aini, Allahyarham Ahmad Jais dan Allahyarham Saloma.

Dalam masa sama persembahan atau pertunjukan muzik yang menepati ciri-ciri sebuah konsert hanya mampu dilakukan di Kuala Lumpur, terutama di Stadium Negara. Ini dimungkinkan dengan kehadiran kumpulan-kumpulan dari luar negara seperti Santana, Bee Gees, The Hollies yang mengadakan konsert mereka di sekitar tahun 1972-73.

Perubahan besar berlaku pada 1984, apabila seorang promoter muda, Ali Bakar telah menganjurkan Konsert Raksasa Blues Gang dan Sweet Charity.

Dengan pentas lebih besar dan sistem bunyi menggunakan jumlah speaker yang lebih besar dan berkuasa tinggi serta sistem lampu yang terkini, maka bermulalah satu era baharu yang menepati konsep dan ciri-ciri sebuah konsert.

Tidak boleh dinafikan Blues Gang dan Sweet Charity adalah pelopor kepada persembahan berbentuk konsert sebenar. Ali Bakar telah membawa konsert raksasa ini melakukan tour menjelajah ke bandar-bandar utama di Semenanjung Malaysia.

Sekarang apa hubung kaitnya coretan di atas dengan  konsert Future Music Festival Asia 2014?

Aku mahu berkongsi pandangan dengan pembaca-pembaca muda dan yang berstatus otai. Dari zaman funfair hingga ke zaman konsert seperti FMFA 2014, aku dapati tujuan utama penonton datang adalah untuk berhibur. Itu sahaja.

Perbezaan antara show 50 tahun dulu dengan sekarang adalah dari segi peralatan pentas, sistem bunyi dan lampu, gimik persembahan seperti penggunaan pyrotechnic (kesan khas cahaya, bunyi dan asap) dan kecanggihan alat bantu visual seperti monitor LED.

Perangai penonton tetap sama. Jika 50 tahun lampau ketika menonton pertunjukan Jefridin di funfair aku tahu ada di antara penonton yang pangkat abang-abang pada aku menghisap ganja.

Aku tahu ketika aku menonton show D.J Dave, Sharifah Aini di padang bola Alor Gajah pada tahun-tahun awal 70an ada di antara penonton yang dating dengan pasangan masing-masing.

Pada tahun-tahun 80an aku berpeluang menonton konsert-konsert besar dari luar negara seperti konsert Deep Purple, Climax Blues Band dan juga konsert grup The Mercys dari Indonesia di Stadium Negara.

Di Stadium Merdeka aku menonton konsert Uriah Heep dan paling tidak dapat aku lupa konsert yang menggabungkan Blues Gang dari Malaysia dengan Heritage (Singapura) dan Ram Band (Hong Kong) – satu gabungan muzik blues, rock dan jazz. Konsert ini diadakan antara jam 3 hingga 6 petang.

Konsert-konsert di kedua stadium ini aku dapati perangai penonton sama saja, ada yang meneguk arak dan ada yang telah mengambil dadah sebelum masuk stadium.

Hanya di konsert Battle of The Bands di tapak pesta Sungai Nibong, Pulau Pinang pada 1986 terjadi penonton merusuh kerana terlalu teruja sehingga ada yang naik ke pentas dan mengganggu penonton lain. Timbul kekecohan mungkin kerana kawalan keselamatan yang longgar.

Kesimpulannya, dari zaman funfair sampai sekarang ciri-ciri perangai penonton konsert tidak banyak berubah. Ada yang datang hanya hendak menikmati muzik tanpa menelan dadah dan meneguk arak. Ada yang datang untuk enjoy dengan makwe dan pakwe masing-masing. Ada yang datang hendak ‘high' dan mabuk.

Beza konsert zaman dulu tidak ada diedarkan kondom dalam pek ringkas dengan tema ‘Party Hard, Party Safe, Take Care’. Perbezaan paling nyata ialah sekarang ada penonton mati overdose di tapak konsert!

Apakah perbezaan ini diketahui oleh pihak penganjur, promoter dan pihak berkuasa tetapi masih menutup sebelah mata atas sebab untuk menarik pelancong?

Ahad, 23 Mac 2014

Suatu petang di pejabat FINAS

FESTIVAL Filem Malaysia ke-6 berlangsung pada 14 Disember 1986 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Salah satu dari filem-filem yang dipertandingkan ialah filem arahan aku, Kembara Seniman Jalanan (KSJ) terbitan ZSA Film Production Sdn Bhd.

Kalau tidak silap aku filem KSJ dicalonkan untuk kesemua kategori. Filem yang dinobatkan filem terbaik tahun itu ialah filem Tsu Feh Sofiah arahan Rahim Razali.

Ketika festival itu berlangsung, aku sedang mengarah filem kedua Rozana Cinta 87. Filem ini terbitan syarikat Amir Communication Sdn Bhd. Syarikat ini dipunyai oleh Allahyarham Harun Hassan (lebih mesra dengan panggilan Pak Harun), bekas wartawan dan penulis novel.

Novel beliau berjudul Bukan Salah Ibu Mengandung pernah diadaptasikan oleh Jins Shamsuddin untuk filem arahan pertamanya tahun 1969.

Pada malam penyampaian anugerah festival filem itu, ketua juri membuat pengumuman pada saat-saat akhir di atas pentas yang mengejutkan aku dan semua yang terlibat dalam filem KSJ.

Semua pencalonan filem KSJ ditolak atas sebab pelakon utama filem arahan aku itu, M Nasir bukan rakyat negara ini. Ketika itu, M Nasir belum memohon kerakyatan untuk menjadi rakyat Malaysia.

Reaksi pertama dan spontan aku adalah marah. Kenapa pengumuman dibuat pada saat-saat akhir? Kenapa kami tidak diberitahu awal-awal lagi. Lagipun syarat berkenaan tidak pernah dimaklumkan dari awal kepada aku dan produser KSJ, Zarul AlBakri.

Kenapa syarat ini tidak dimaklumkan kepada semua produser yang ada filem mereka dipertandingkan?

Aku menganggap ini satu tindakan yang tidak adil. Semua yang terlibat dalam produksi KSJ berasa dianiaya oleh penganjur dan pihak yang bertanggungjawab dalam penjurian festival filem itu.

Terlalu banyak persoalan yang menghantui minda aku ketika itu. Aku boleh terima tindakan panel juri itu jika pencalonan untuk M Nasir sahaja dibatalkan kerana dia bukan rakyat negara ini ketika itu. M Nasir dicalonkan untuk anugerah pelakon lelaki terbaik, penataan muzik dan kalau tidak silap aku pencalonan untuk skrip asal terbaik.

Kenapa pencalonan-pencalonan lain yang tidak melibatkan M Nasir turut dibatalkan? Kenapa aku dan tenaga produksi yang lain menjadi mangsa?

Pencalonan untuk pengarah terbaik, fotografi terbaik, suntingan terbaik, penataan seni terbaik, screenplay terbaik dan pencalonan pelakon wanita terbaik serta pelakon pembantu wanita terbaik menjadi mangsa. Begitu juga pencalonan pelakon pembantu lelaki terbaik yang mencalonkan Pyan Habib turut dibatalkan.

Ironinya, Pyan Habib diumumkan pemenang anugerah pelakon pembantu lelaki terbaik melalui filem Tsu Feh Sofia. Pyan naik ke pentas bukan untuk menerima tetapi untuk menolak award itu.

Menurut Pyan watak yang diperankannya dalam Tsu Feh Sofia terlalu kecil untuk membolehkannya memenangi award tersebut berbanding dengan watak Osman Tikus yang diperankannya dalam KSJ.

Pada keesokan harinya, tersiar dalam akhbar-akhbar berita jemaah juri mengatakan filem KSJ adalah karya plagiat dan bukan karya asli. Aku dituduh menciplak cerita KSJ pula!

Aku mengesyaki wujud satu usaha untuk sabotaj filem arahan aku itu. Apatah lagi ketika itu aku sedang sibuk dengan penggambaran Rozana Cinta 87. Penumpuan kerja mengarah aku terganggu dengan tidak cukup tidur dan ditambah dengan tekanan mengejar masa untuk menyudahkan penggambaran.

Aku berpendirian jemaah juri tidak konsisten dalam menjalankan pengadilan. Mereka membatalkan semua pencalonan KSJ kerana isu M Nasir bukan warga Malaysia, tetapi filem Suara Kekasih terbitan Amir Communication yang turut sama dipertandingkan tidak pula dibatalkan penyertaan, sedangkan pengarahnya Ida Farida, warganegara Indonesia! Kenapa juri bersikap double standard?

Mengenai isu ciplak yang dibangkitkan sehari selepas malam anugerah itu menambahkan lagi kecelaruan juri-juri untuk menjustifikasikan tindakan mereka membatalkan pencalonan KSJ.

Untuk mendapat kepastian tuduhan ciplak itu, aku bertanya M Nasir apa yang terjadi sebelum dia berjumpa dan meminta aku menulis screenplay dan mengarah KSJ.

Menurut M Nasir, dia ada meminta Hamzah Hussain untuk menulis screenplay filem KSJ berdasarkan skrip dan idea asalnya sebelum berjumpa dengan aku. Hamzah ialah penulis veteran - skrip filem, novel, cerpen dan juga seorang penyelidik filem yang berpengetahuan luas tentang sejarah dan perkembangan filem Melayu dari zaman Shaw Brothers dan Cathay Keris.

Mengikut M Nasir, dia tidak berpuas hati dan menolak screenplay yang dihasilkan oleh Hamzah. Aku rasa ini terjadi kerana ketiadaan keserasian idea orang lama dengan idea generasi muda. Kebanyakan kami ketika itu rata-ratanya berusia lewat dua puluhan dan awal tiga puluhan.

Cerita asal KSJ mengisahkan perjuangan seorang anak muda dari kampung datang ke bandar untuk menjadi penyanyi. Selepas mengharungi berbagai kesulitan dan dugaan, akhirnya dia berjaya mencapai impiannya.  

Aku menghasilkan screenplay KSJ berdasarkan skrip asal M Nasir yang tidak ada langsung menyentuh tentang isu cetak rompak.

Isu cetak rompak menjadi sebahagian dari naratif KSJ setelah aku, M Nasir, Ito dan Zarul Albakri berbincang dan setuju untuk isu itu dijadikan subplot filem KSJ.

Jadi di mana logiknya yang pihak juri mengatakan aku menciplak? Kami tidak memandang rendah ketokohan Hamzah. Tapi kami yakin dan pasti Hamzah tidak berupaya untuk membawa isu cetak rompak dalam screenplay yang dihasilkannya itu.

Aku tidak pernah meminta daripada M Nasir untuk membaca screenplay tulisan Hamzah itu. M Nasir juga tidak pernah menunjukkan kepada aku screenplay tersebut. Kami juga mendapat maklumat Hamzah merupakan salah seorang juri Festival Filem Malaysia ke-6 pada tahun itu.

Untuk pengetahuan - Hamzah Hussain meninggal dunia pada 21 April 2007 ketika berusia 80 tahun. Al-fatihah untuk rohnya.

Akhirnya, aku membuat keputusan untuk bertemu dan meminta penjelasan daripada Ketua Pengarah FINAS ketika itu, Zain Hamzah (Datuk). Ditemani pengurus produksi Rozana Cinta 87, aku ke pejabat FINAS yang ketika itu terletak di Jalan Ampang bersebelahan bangunan kedutaan Perancis sekarang.

Kami tiba lebih kurang jam 2.30 petang. Aku mahukan penjelasan kenapa KSJ dibatalkan kesemua pencalonannya pada saat akhir dan kenapa aku dituduh menciplak cerita KSJ. Mana bukti KSJ adalah hasil karya plagiat atau ciplak.

Aku kecewa apabila Finas ketika itu gagal memberi penjelasan dengan alasan tidak tahu menahu mengenai perkara tersebut. Aku akui perasaan ketika itu bercampur baur antara marah, sakit hati dan geram. Aku memaki hamun, meluru keluar dan ketika itu seorang pegawai cuba masuk campur, dia cuba memukul aku dengan sebuah fail berkulit keras. Aku berjaya menepis dan menolaknya ke dinding. Kemarahan aku telah sampai peringkat maksimum.

Aku terus keluar untuk bertemu dengan pengurus produksi aku yang menunggu di luar pintu masuk utama. Aku ternampak batu-bata di atas rumput di depan pintu utama. Aku terfikir lebih baik aku pecahkan pintu kaca utama Finas itu daripada aku pecahkan muka-muka mereka. Aku ambil sebiji batu, tetapi pengurus produksi menghalang dengan memegang dan memeluk aku dari belakang. Kami terjatuh tetapi aku berjaya lepaskan diri. Dengan sebiji batu di tangan kanan aku terus melontar ke pintu kaca itu, prang... berderai dan berkecai serpihan ke lantai.

Pengurus produksi menarik aku masuk ke dalam kereta. Kami balik ke pejabat Pak Harun meneruskan penggambaran Rozana Cinta 87 untuk hari itu.

Keesokan harinya tersiar di akhbar kejadian itu. FINAS buat laporan polis. Maka bermulalah sejarah pertembungan antara aku dengan FINAS.

Ahad, 16 Mac 2014

KSJ tutup peluang mengarah

MINGGU lalu aku ada berjanji untuk menceritakan kenapa aku sehingga sekarang hanya mampu mengarah dua fi lem sahaja iaitu Kembara Seniman Jalanan (1986) dan Rozana Cinta 87 (1987).

Cukuplah aku menceritakan secara jujur apa yang pernah aku alami selama ini. Aku bukan mahu menghukum atau membalas dendam. Aku hanya mahu menceritakan sejujur yang boleh tentang apa sebenarnya terjadi - the truth!

Aku manusia yang berpegang pada prinsip berani kerana benar! Aku berpegang kuat dan yakin pada katakata novelis tersohor dunia, Ernest Hemingway – ‘Manusia berprinsip mungkin boleh dibinasakan tetapi tidak boleh dikalahkan!’

Hampir 30 tahun telah berlalu filem Kembara Seniman Jalanan (KSJ) ditayangkan.

Filem inilah yang memperkenalkan M Nasir yang memainkan peranan watak utama Bujang dan Jebat. Filem ini jugalah yang menampilkan kumpulan rock Search buat pertama kalinya sebelum meletup dan menjadi ikon muzik rock Malaysia.

KSJ membuka ruang untuk aku menjadi pengarah filem. Dalam masa sama fi lem ini juga boleh aku katakan seperti menutup ruang untuk aku terus berkarya dan mengarah. Pelik bunyinya kan?

Tapi itulah kenyataan yang terpaksa aku hadapi dan lalui. Aku terpaksa melalui satu perjalanan hidup seni yang sungguh memeritkan sejak dari tahun 1988 hingga sekarang.

Satu keperitan untuk berjuang mendapatkan hak dan peluang bagi aku terus berkarya.

Memang benar attitude iaitu sikap, pandangan dan prinsip hidup seseorang karyawan seni itu pasti akan terpercik secara langsung atau tidak, dan secara sedar atau tidak dalam karya-karyanya.

Attitude yang dibawa dan cuba dilahirkan melalui KSJ adalah attitude melawan, sikap menentang ketidakadilan dan sikap berani menuntut hak dan kebenaran seni seorang seniman.

Isu yang diangkat oleh KSJ adalah mengenai cetak rompak. Cetak rompak, terutama lagu-lagu Melayu merupakan isu yang telah berlarutan sejak dari tahun 60an. Sejak zaman Allahyarham P Ramlee lagi.

Memang benar sebelum KSJ, tidak ada langsung filem-filem Melayu yang menyentuh atau cuba memaparkan isu ini.

Aku dan M Nasir, Ito (Blues Gang), Zarul Albakri (produser) yang terlibat memproduksikan filem KSJ ketika itu berasakan sudah sampai masanya isu cetak rompak ini diketengahkan dalam filem kita.

Bangsa Melayu perlu disedarkan. Selama ini karyawan-karyawan Melayu ditipu dan ditindas oleh lanun cetak rompak yang menghisap darah mereka. Nasib mereka tiada pembelaan daripada pihak berwajib.

Manifestasi penentangan kami terhadap kegiatan lanun cetak rompak ini kami garapkan melalui filem KSJ. Kami tidak berselindung. Kami berterus terang dengan protes kami itu.

Cuba perhatikan dialog-dialog yang dilontarkan oleh Bujang/Jebat dalam salah satu babak di penghujung filem KSJ –“Pencipta lagu... Melayu, pengubah lagu Melayu, penyanyi Melayu, pemuzik Melayu... pembeli pun Melayu! Tapi yang untung siapa?”

“Lanun mata sepet!”

Aku dapati apabila KSJ ini ditayangkan pada umum mulai Februari 1986 maka banyak pihak yang terasa panas punggung dan terasa pedas bagai termakan cili.

KSJ disabotaj tayangannya. Aku bersama beberapa kawan membuat serbuan di pawagam-pawagam di bandar-bandar Pulau Pinang dan Alor Star selepas mendapat aduan penonton yang tidak puas hati dengan jalan cerita terputus-putus.

Mereka merungut tidak faham jalan cerita KSJ.

Kami dapati ada pihak yang cuba sabotaj tayangan KSJ. Modus operandi mereka adalah dengan mempercepatkan pertukaran reel dari satu projektor ke satu lagi projektor.

Semua pawagam akan menggunakan dua projektor untuk menayangkan filem. Cara ini memudahkan pertukaran reel filem yang sedang ditayangkan supaya penonton akan terus dapat menonton tanpa menunggu si pengendali projektor menukar reel jika hanya satu projektor digunakan.

Kami dapati si pengendali projektor diarah oleh tauke panggung untuk menukar reel yang sedang diputar melalui projektor pertama sebelum reel itu tamat dan ditukar ke reel di projektor kedua.

Apa yang terjadi ialah ada babak yang sepatutnya muncul di penghujung reel di projektor satu contohnya tidak dapat ditonton oleh penonton kerana telah ditukar kepada reel baharu di projektor kedua sebelum tiba masanya.

Apa yang terjadi kepada penonton ketika itu? Hasil sabotaj terancang ini menyebabkan mereka tidak dapat mengikuti perjalanan cerita KSJ dengan tersusun. Ada babak demi babak ditebuk sehingga jalan cerita jadi kelam kabut dan terputus-putus.

Akhirnya, penonton jadi tidak faham dan kalut. Apa yang kami dapati kebanyakan babak melibatkan watak-watak lanun cetak rompak.

Ini adalah insiden-insiden yang kami dapat kesan berlaku di Pulau Pinang dan Alor Star. Bagaimana di bandar-bandar lain? Aku yakin sabotaj ini berlaku kerana kami menerima juga aduan daripada penonton-penonton dari bandar-bandar lain.

Kami tidak mampu untuk pergi ke setiap bandar dan ke semua panggung yang menayangkan KSJ ketika itu.

Hambatan masa dan masalah logistik menjadi penghalang.

Tetapi di pawagam Coliseum di Kuala Lumpur tidak pula berlaku. Aneh dan menghairankan juga. Mungkin dalang sabotaj ini berasakan kami semua bermastautin di Kuala Lumpur dan peluang untuk mengesan mereka lebih mudah.

Mungkin ada pembaca yang tertanya sama ada aku ada buat laporan polis atau tidak. Aku masih ingat kami buat laporan polis di Pulau Pinang.

Tetapi hingga ke hari ini tiada tindakan dan perkembangan, senyap dan terus ditelan masa sudah hampir 30 tahun!

Aku juga terpaksa berdepan dengan kerenah wartawan media cetak (ramai di antara mereka kini sudah bersara).

Mereka memprotes babak di mana watak wartawan hiburan, Ana yang diperankan oleh Khatijah Ibrahim cuba disogok dengan suapan wang dalam sampul surat oleh tauke syarikat rakaman Encik Johan yang diperankan oleh Majid Salleh.

Zaman itu ada golongan wartawan hiburan (bukan semua) yang dikenali sebagai wartawan ‘envelope’ atau wartawan sampul surat.

Ini panggilan popular untuk wartawanwartawan yang sanggup menerima rasuah untuk menaikkan artis-artis dari syarikat rakaman tertentu.

Aku kurang pasti sama ada golongan wartawan dan aktiviti seperti itu masih wujud lagi atau tidak sekarang.

Jelas dalam babak itu watak Ana tidak membuat aksi mengambil sampul surat yang diberikan oleh Encik Johan. Aku pun tidak memberi arahan mengambil sampul surat itu.

Babak itu aku akhiri dengan watak Ana teragak-agak mahu ambil atau tidak sampul surat itu. Aksi atau action yang tergantung.

Isu itu telah membuat hubungan aku dengan sebahagian wartawan hiburan ketika itu menjadi kurang mesra. Aku diboikot oleh sebahagian wartawan hiburan yang majoritinya dari satu syarikat akhbar tertua di negara kita ini. Namun aku bersyukur masih ramai lagi wartawan hiburan dari syarikat lain yang faham apa aku cuba sampaikan.

Kemuncak kepada semua ini adalah apabila KSJ ditolak pencalonannya pada saat-saat akhir di Festival Filem Malaysia 1987. Insiden inilah punca yang mencetuskan penentangan dan konfrontasi antara aku dengan FINAS.

Aku rasa senario atau latar belakang suasana yang aku ceritakan di atas sudah cukup setakat ini bagi pembaca memahami titik mula aku berdepan dengan situasi yang menghalang aku terus mengarah filem.

Aku akan ceritakan tentang pertembungan aku dengan FINAS ini minggu depan, insya-ALLAH.

Ahad, 9 Mac 2014

3 dekad karyawan 'rebel'

PERTAMANYA aku ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kumpulan Media Karangkraf dan sidang pengarang Sinar Harian kerana memberi aku peluang dan ruang untuk menulis dalam kolum/ruangan pojok Zass ini. Terima kasih banyak.

Selepas temu ramah melalui telefon mengenai perkembangan terkini aku dalam bidang seni terutamanya dalam pengarahan filem tersiar dalam keluaran Sinar Harian bertarikh 10 Februari 2014, aku seperti dikejutkan dari tidur yang panjang.

Tanpa aku sedari sudah hampir tiga dekad aku mengharungi dunia seni tanah air dalam kapasiti seorang karyawan filem – seorang pengarah filem dan seorang ‘film maker’.

Kepada pembaca yang berumur bawah 40 tahun, mungkin ramai tidak mengenali siapa aku dan filem-filem serta kerjakerja seni yang pernah aku hasilkan.

Bagi mereka yang berumur 40 tahun ke atas rasanya akan tahu dan sekurangkurangnya pernah mendengar kalau tidak berkesempatan menonton filem-filem yang pernah aku arahkan.

Aku pasti ramai diantara golongan ini yang tahu apa yang aku pernah tempuhi dan alami selama ini melalui berita dan artikel-artikel tentang aku di media cetak dan elektronik.

Aku sering dicap sebagai karyawan dan pengarah filem yang kontroversial, panas baran, kaki melawan - seorang ‘rebel’.

Mengapa dan kenapa aku melawan dan ‘rebel’ tidak siapa yang mahu tahu atau bertanya kepada aku. Apa sebab yang boleh membuat aku bertindak demikian? Aku pula tidak pernah diberi ruang dan peluang untuk memberi penjelasan.

Dengan peluang menulis dalam kolum ini, aku harap dapat memberi penjelasan dan membetulkan tanggapan negatif yang dilontar dan dilabelkan pada diri aku selama ini. Insya-ALLAH.

Sepanjang perjalanan hidup seni aku selama ini, aku lebih banyak mengalami pengalaman seni yang pahit dari yang manis selama hampir 30 tahun yang lalu. Keadaan ini masih belum berubah. Tetapi aku terus bertahan dan yang pasti aku mahu terus berkarya dan mengarah filem.

Aku hanya mampu mengarah dua filem sehingga setakat ini. Filem "Kembara Seniman Jalanan" (1986) dan "Rozana Cinta 87" (1987). Kenapa? Bila ada pihak seperti Sinar Harian yang mahu menemu bual dan bertanya khabar terkini tentang diri aku dan perkembangan kegiatan seniku, aku jadi terkejut dan juga bersyukur. Masih ada pihak yang ingat aku lagi. Terima kasih.

Renjatan kejutan ini seperti melontar aku jauh ke ruang imbas kembali atau ‘flashback’.

Aku mula berfikir tentang apa yg telah aku lalui selama tiga dekad yg lalu. Diam tak diam jauh juga perjalanan hidup aku dalam seni hiburan tanah air.

Pastinya ‘flashback’ pertama menerpa minda aku ialah bila dan bagaimana aku mula terlibat dalam bidang filem. Seringkas mungkin aku akan cuba ceritakan latar belakang dan macam mana aku mula terlibat dalam bidang perfileman tanah air.

Aku adalah graduan dalam kursus Sebaran Am (Mass Communication). Aku berjaya memperoleh Diploma in Mass Communication (Advertising) dari Institut Teknologi Mara (ITM ) yang sekarang UiTM , Shah Alam pada tahun 1977.

Aku sempat bekerja di sebuah agensi iklan di antara pertengahan 1977 hingga 1978. Selepas itu aku mula terbabit dalam bidang perfileman mulai tahun 1978.

Aku memulakan kerjaya filem dengan terlibat dalam pembikinan filem-filem iklan. Aku menimba pengalaman di syarikat filem iklan bernama Producers Film Services Sdn. Bhd. atau singkatannya Profilm yg terletak di Jalan Gurney (sekarang Jalan Semarak) atau lebih dikenali jalan Simpang Flat oleh orang-orang lama KL.

Tokoh yang bertanggungjawab membimbing dan memberi aku peluang dalam bidang filem ialah Encik Othman Hafsham.

Beliau yang lebih dikenali dengan nama Hafsham merupakan sifu atau tok guru aku dalam filem. Beliau juga adalah salah seorang pemilik syarikat Profilm. Syarikat ini ditutup pada tahun awal 90an.

Sejak itu Hafsham menubuhkan syarikatnya sendiri Cinematic Sdn Bhd yang banyak menerbitkan program untuk stesen TV berbentuk sitkom seperti Pi Mai Pi Mai yang meletup dan popular di tahun-tahun akhir ‘80an dan awal ‘90an.

Di Profilm aku mendapat peluang mengarah filem iklan pertamaku iaitu iklan kereta terbaharu keluaran syarikat Nissan Datsun ketika aku berumur 25 tahun.

Selepas 4 tahun di Profilm, aku memberanikan diri untuk bergiat sebagai seorang freelancer dengan penumpuan kepada bidang ‘art direction’ dan bidang pengarahan sebagai penolong pengarah.

Senarai filem-filem yang aku terlibat sebagai penolong pengarah dan pengarah seni – "Kami" (1981) arahan Patrick Yeoh, "Mekanik" (1983) arahan Hafsham, "Matinya Seorang Patriot" (1984) arahan Rahim Razali dan "Maria" (1984) arahan Shuhaimi Baba untuk tayangan di TV3.

Tujuan utama aku melibatkan diri sebagai penolong pengarah dalam produksi filem-filem tersebut kerana aku ingin menimba sebanyak mungkin pengalaman dalam kerja-kerja pengarahan filem cereka walaupun aku sudah mula mengarah filem-filem iklan ketika itu.

Aku akan ceritakan pengalaman penglibatan aku dalam produksi filem-filem itu dalam tulisan-tulisan aku yang akan datang, insya-ALLAH.

Di antara pengarah-pengarah filem seangkatan dengan aku yang produktif pada tahun 80an dan awal 90an ialah Hafsham, Rahim Razali, Shahrom Mohd Dom, Shuhaimi Baba, Adman Salleh, Yassin Salleh, Yusuf Haslam, Aziz M Osman, Mahadi J Murat, Raja Ahmad Alauddin, Mansor Puteh dan Uwei Hj Shaari.

Ramai di antara mereka yang masih mengarah filem sehingga sekarang melainkan nama-nama seperti Shahrom Mohd Dom dan Yassin Salleh. Tidak ada filem terbaharu daripada Shahrom Mohd Dom selepas filem "Langit Petang" (1982) merupakan adaptasi dari novel dengan tajuk yang sama karya Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said.

Begitu juga dengan Yassin Salleh, seorang penulis, penyajak dan aktivis teater yang sehingga kini tiada lagi filem terbaru daripadanya selepas menghasilkan filem "Hanny" pada awal tahun 1993.

Kenapa aku tidak seproduktif pengarah-pengarah seangkatan dengan aku mengarah filem? Kenapa aku tidak mengarah filem selepas filem kedua aku – "Rozana Cinta 87" (1987)? Panjang ceritanya. Aku akan mula ceritakan dalam tulisan aku minggu depan.

Bertemu lagi minggu depan dengan ‘flashback-flashback’ yang lain.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...