Ahad, 29 Mei 2016

Empat dekad kepergian P Ramlee

HARI ini 29 Mei 2016 genap 43 tahun pemergian Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Tokoh ikonik bangsa Melayu khasnya dan anak semua bangsa Malaysia amnya.

P Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh meninggal dunia pada 29 Mei 1973 ketika berusia 44 tahun. Tokoh seni tersohor negara ini masih dikenali sebagai penyanyi, pemuzik, pelakon dan pengarah filem walaupun kepergiannya sudah melebihi empat dekad.

Ketika hidupnya, beliau telah menghasilkan 66 buah filem dan mencipta ratusan lagu. Zaman kegemilangannya ketika beliau berkarya dalam bidang seni suara, muzik dan perfileman di Singapura di antara era 50-an sehingga awal 60-an.

P Ramlee memenangi anugerah dan dinobatkan Pelakon Versatile - Pelakon Serba Boleh lewat filem Ibu Mertuaku di Festival Filem Asia ke-10 di Tokyo, Jepun pada 1963.

Populariti P Ramlee mula menurun bila beliau berpindah ke Kuala Lumpur pada 1964. Filem-filem arahan beliau semasa di Studio Merdeka, Hulu Kelang (tapak Finas sekarang) kurang mendapat sambutan. Kesemua 18 filem arahan beliau di Malaysia gagal menjadi filem pecah panggung berbanding filem-filem arahannya ketika di Jalan Ampas, Singapura.

Kemunculan televisyen dan perubahan cita rasa muzik generasi muda ketika itu merupakan penyumbang kepada kejatuhan dan era gelap beliau sebagai seorang seniman serba boleh dan popular.

Selain faktor-faktor di atas, perkembangan filem-filem serantau terutamanya filem-filem keluaran Indonesia yang sudah bertukar kepada filem berwarna berbanding filem-filem kita yang masih dalam bentuk hitam putih. Penonton kita lebih tertarik dan teruja untuk menonton filem-filem daripada Indonesia.

Impian P Ramlee sebelum meninggal dunia ingin menerbitkan dan mengarah filem dalam bentuk warna. Sayang impian beliau tidak kesampaian.

Penghujung usia beliau adalah suasana amat berbeza dan bertentangan dengan zaman kegemilangannya ketika beliau mula mencipta nama sebagai penyanyi, pelakon dan pengarah filem di Singapura. Dua keadaan yang amat kontras dan ironik. Beliau dicemuh dan disisihkan. Lagu-lagu beliau ditolak dan diboo ketika mengadakan pertunjukan. Filem-filemnya gagal menarik penonton ke panggung. P Ramlee mengakhiri hidupnya dengan episod dipenuhi kepedihan, kesedihan dan kepiluan.

Sehinggakan ramai tidak percaya P Ramlee meninggalkan kita dalam keadaan daif tanpa berduit dan pokai – a very sad ending buat seorang seniman dan karyawan besar dan sehebat beliau. Pengakhiran hidup yang sungguh tragis!

Dokumentari tentang P Ramlee yang disiarkan lewat History Channel pada 2010 arahan Shuhaimi Baba banyak menyentuh dan membongkar tahun-tahun terakhir hidup P Ramlee setelah kembali semula ke tanah airnya sendiri pada 1964.

Dipaparkan dalam dokumentari ini bagaimana P Ramlee dinafikan peluang untuk mendapat dana bagi membuka syarikat filemnya sendiri.

Kertas kerja beliau tidak mendapat sokongan daripada pihak bank dan kerajaan. Beliau disisih oleh RTM. Lewat dokumentari ini, kita mengetahui insiden P Ramlee terpaksa menunggu di kantin Angkasapuri, sementara isterinya, Saloma menjalani rakaman rancangan hiburan di studio RTM. Layanan yang pastinya bukan untuk seorang seniman agung. Tanpa diberi peluang untuk muncul di kaca televisyen ketika beliau dihimpit kesempitan hidup.

Menonton dokumentari ini, kita akan dapat informasi daripada orang-orang yang pernah bersama P Ramlee ketika zaman kejatuhannya. Pengisahan first hand terus dan jujur terutamanya daripada anaknya sendiri, Allahyarham Nasir P Ramlee.

Buku tulisan, Daniyal Abd Kadir berjudul ‘Membedah P Ramlee’ juga ada menceritakan tentang kekecewaan P Ramlee di penghujung hayatnya. Daniyal menyertakan dalam bukunya satu keratan akhbar temu bual di antara pemberita dengan P Ramlee. Dalam temu bual tersebut, P Ramlee menyatakan kesedihannya tentang penolakan orang-orang Melayu terhadap filem dan lagu-lagu ciptaannya. P Ramlee meluahkan rasa sedih dan kurang senang hatinya tentang sikap orang Melayu berpendidikan Inggeris yang kononnya punya status dan kelas yang tinggi tidak menghargai hasil karyanya.

P Ramlee juga meluahkan kekesalannya terhadap generasi muda ketika itu yang lebih meminati filem-filem Barat dan Hindustan. Mereka memandang rendah filem Melayu. Secara sinis beliau juga menyatakan bahawa peminat-peminatnya sudah tua dan tidak tengok wayang lagi sebab mereka sudah ‘sembahyang’.

Kenapa pada hari kita memperingati 43 tahun pemergian seorang Seniman Agung kebanggaan negara dan ikon bangsa Melayu, aku lebih banyak menceritakan episod sedih dan kesengsaraan hidup di penghujung hidup P Ramlee?

Aku membesar dan melalui era P Ramlee ketika beliau di puncak kegemilangannya pada awal 60-an ketika aku masih di sekolah rendah. Aku juga melalui dan melihat serta tahu bagaimana P Ramlee menempuh zaman kejatuhannya pada lewat 60-an sehingga awal 70-an.

Aku menonton hampir kesemua filem flopnya di panggung Lido, Melaka. Di antaranya, filem pertama arahannya di Merdeka Studio, Si Tora Harimau Jadian. Diikuti filem-filem Sesudah Subuh, 6 Jahanam, Ragam P Ramlee, Sabarudin Tukang Kasut, Do Re Mi, Anak Bapak, Keluarga 69, Gerimis dan filem terakhirnya Laksamana Do Re Mi.

P Ramlee meninggal dunia ketika aku di alam remaja dan sedang menuntut di tingkatan enam atas. Aku juga melihat bagaimana P Ramlee selepas pemergiannya buat selama-lamanya meninggalkan kita, tiba-tiba disanjung dan dipuja semula oleh bangsanya. Sungguh ironis dan kontradik dengan layanan diterima ketika beliau masih hidup.

Insan yang ketika penghujung hidupnya seperti tidak dirasai kewujudannya oleh bangsanya sendiri tetapi ketiadaannya tiba-tiba diratapi dan ditangisi.

Aku jujur dengan apa aku tuliskan kerana semua ini adalah pengalaman peribadiku. Aku tidak perlu kajian ilmiah untuk menulis tentang P Ramlee. Aku melihat, merasa dan membesar dengan apa sahaja yang berkaitan dengan P Ramlee – baik filem-filem dan lagu-lagunya.

Pada aku P Ramlee adalah seniman terpinggir dan dipinggirkan oleh bangsanya sendiri. Beliau menepati kata-kata sang bijak pandai – bagaikan lilin membakar diri sendiri demi menerangi yang lain!

Penghargaan dan sanjungan hanya diberikan kepada P Ramlee selepas kematiannya.

Nama Jalan Parry di tengah-tengah ibu kota, Kuala Lumpur ditukar kepada Jalan P Ramlee pada 1982. Hanya selepas 9 tahun selepas kematiannya usaha ini dilakukan bagi mengingati sumbangan dan jasa beliau kepada seni hiburan tanah air.

Tetapi jalan yang sepatutnya merupakan penghormatan kepada beliau sekarang dicemari dengan deretan bar dan dihuni pelacur daripada segenap pelosok dunia mencari pelanggan setiap malam. Apa sudah jadi?

Paling ironik, tidak sampai 1 kilometer dari penghujung jalan ini, terletaknya pusara Allahyarham P Ramlee di kawasan perkuburan Ampang. Jika kita jujur menghargai dan sayangkan P Ramlee, renung fikirkanlah sendiri, apa rumusan dan andaian boleh kita peroleh dari senario ini.

Selepas 13 tahun kepergiannya, pada 1986 sebuah Memorial P Ramlee telah dibina di rumah peninggalannya di Setapak, Kuala Lumpur. Usaha ini sebagai penghormatan terhadap jasa dan sumbangannya kepada seni dan hiburan Malaysia.

Selain nama jalan dan bangunan diberi persalinan nama gah P Ramlee, banyak pihak dan juga individu menganugerahkan pangkat darjat dan gelaran kepada beliau.

Selepas 17 tahun P Ramlee meninggal dunia, Kerajaan Malaysia menganugerahkan gelaran kehormatan Tan Sri kepada beliau pada 1990.

Kerajaan Negeri Sarawak pula memberi penghormatan kepada P Ramlee selepas 36 tahun pemergian beliau dengan anugerah gelaran kehormatan ‘Datuk Amar’.

Paling terkini, pada 24 Mei lalu lewat laporan berita Bernama, diumumkan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) pula akan dinaik taraf sebagai universiti selewat-lewatnya Oktober ini.

Nama baharu Aswara ialah Universiti P Ramlee. Al-Fatihah buat roh Allahyarham Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh AKA P Ramlee.

Ahad, 22 Mei 2016

Ke Cannes, apa pilihan kita?

UNTUK pertama kalinya, minggu lalu aku gagal melunasi rutin mingguanku menulis untuk kolum Lantera. Aku dihambat oleh kesibukan peribadi yang tidak dapat dielakkan. Maaf kepada pembaca setia kolumku ini.

Sepanjang minggu lalu dan sebelumnya aku terbaca berita tentang beberapa filem kita dipilih untuk tayangan di Cannes Film Festival 2016. Festival berprestij dan tersohor dunia ini berlangsung daripada 11 sehingga hari ini, 22 Mei, 2016.

Cannes Film Festival yang berlangsung di bandar peranginan laut di Cannes, Perancis ini punya sejarah panjang. Bermula pada 1947 dengan penyertaan dari 16 negara. Tahun ini festival sudah berusia 69 tahun.

Dari mula aku berkecimpung dalam bidang perfileman sejak tiga dekad lalu, aku lihat peluang penyertaan di Cannes Film Festival menjadi cita-cita serta impian hampir semua pengarah dan pembikin filem tanah air dan rantau ini. Bahkan ia impian hampir semua pengarah dan pembikin filem seantero dunia. Mereka mengimpikan peluang filem-filem arahan mereka ditayangkan di festival tersebut. Walaupun belum ada filem-filem negara kita berjaya bertanding untuk merebut anugerah utama Palme d’Or tetapi penghormatan untuk penyertaan tayangan khas dalam acara Director’s Fortnight sudah dikira satu kejayaan.

Siri Director’s Fortnight ini bermula dari 1969 merupakan acara bukan kompetitif. Acara ini lebih kepada tayangan filem arahan pengarah baharu dan berpotensi daripada serata dunia. Acara ini juga cuba membantu dan membuka ruang kepada pengarah dan penerbit mencari pembekal dan pengedar untuk pengedaran filem-filem mereka ke seluruh dunia.

Selain itu harapan dengan penayangan di acara Director’s Fortnight membuahkan peluang mencari dana yang lebih luas daripada pelabur-pelabur untuk produksi filem-filem mereka seterusnya.

Pengarah dan filem Malaysia pertama diberi peluang menyertai acara Director’s Fortnight ialah pengarah Uwei Hj Shaari lewat filemnya, Kaki Bakar pada 1995.

Filem ini asalnya merupakan produksi telefilem untuk tayangan stesen televisyen. Telefilem ini dirakam menggunakan format Beta video tetapi dinaiktarafkan ke bentuk filem. Atas sebab-sebab tertentu telefilem ini tidak ditayangkan lewat slot stesen televisyen.

Uwei telah mengambil usaha menaik tarafkan telefilem tersebut ke format filem 35mm melalui proses di Australia.

Filem Kaki Bakar dilakonkan oleh Khalid Salleh dan Azizah Mahzan telah mengangkat nama Uwei sebagai pengarah Melayu pertama mendapat penghormatan filemnya ditayangkan di acara Cannes Film Festival. Pengarah Uwei adalah perintis dan pembuka jalan untuk karya pembikin-pembikin filem lain dan anak semua bangsa Malaysia mula diterima di Cannes Film Festival. Tahniah dan terima kasih Uwei!

Selepas 14 tahun Uwei dan Kaki Bakarnya, sebuah lagi filem Malaysia berjaya ditayangkan lewat acara Director’s Fortnight ialah filem arahan Chris Chong, Karaoke (2008) di Cannes Film Festival ke-62 pada 2009.

Tahun ini ada lima filem Malaysia dipilih menyertai acara Goes To Cannes atas daya usaha Finas di bawah kelolaan Ketua Pengarah Finas, Datuk Kamil Othman. Negara-negara lain yang pernah menyertai acara Goes To Cannes sebelum ini ialah Dubai, United Arab Emirates dan Guadalajara, Mexico.

Ini adalah pertama kali Malaysia menyertai acara Malaysia Goes To Cannes. Program ini diwujudkan sebagai inisiatif untuk membolehkan penerbit filem mempamerkan filem-filem mereka kepada ejen jualan dan pengedar filem untuk pasaran global. Ini merupakan langkah awal untuk filem-filem kita menembusi pasaran antarabangsa.

Acara Malaysia Goes To Cannes berlangsung pada 17 Mei 2016. Filem-filem ini akan diperkenalkan oleh pengeluar dan pengarah filem yang terlibat. Keratan atau promo filem-filem tersebut berdurasi 15 minit setiap satu akan ditayangkan pada majlis di Palais.

Lima filem terpilih untuk program Malaysia Goes To Cannes ialah filem arahan Saw Teong Hin, You Mean The World To Me; filem berbahasa Hokkien, Pekak - arahan Mohd Khairul Azri; Cho We Jun dengan filem Taiping Adagio; Redha arahan Tunku Mona Riza dan filem dokumentari Hoka Hey, A Good Day To Die oleh Harold Monfils, seorang pengarah dan pembikin filem bebas berbangsa Belanda. Beliau telah menetap di Malaysia sejak 1995.

Terkini filem Tamil tempatan, Jagat dan filem pecah panggung arahan Syamsul Yusof, Munafik turut tersenarai dalam program tersebut. Filem Jagat juga terpilih untuk Festival Filem Asia New York tahun ini.

Filem-filem ini dipamer dan ditayangkan di Marche du Film – salah satu acara terbesar jual beli filem atau film market.

Pastinya perkembangan terkini ini memberi suntikan semangat kepada pembikin filem tanah air untuk menghasilkan karya-karya lebih bermutu dan bertaraf dunia. Aku tertarik membaca pandangan serta respons pembikin dan pengarah filem tanah air terhadap perkembangan terkini ini.

Pandangan daripada dua tokoh perfileman tanah air, Datuk Yusof Haslam dan Datuk Rosyam Nor menarik juga untuk direnungi. Yusof berpandangan pembikinan filem tanah air masih perlu mengambil perkiraan nilai komersial tanpa menyisihkan keperluan dan nilai seni dalam berkarya. Beliau lebih mahu melihat filem Melayu dan Malaysia menjadi ‘raja’ di negara sendiri dahulu sebelum mengejar impian untuk ke luar negara.

Aku secara peribadi tidak ada masalah dengan pendapat beliau itu. Cuma aku rasa usaha untuk mencari pasaran luar dan dunia perlu dilakukan seiring dengan usaha menjadi ‘raja’ di negara sendiri dengan kadar segera. Pemikiran, perancangan pemasaran dan tenaga berkarya kreatif untuk menembusi pasaran antarabangsa semestinya setara dengan usaha me‘raja’kan filem dalam negara.

Aku berpandangan kita tidak ada masa yang lumayan kerana hampir tiga dekad tiada usaha konkrit pihak berwajib membantu pembikin filem tempatan menghasilkan filem kita yang bertaraf dunia. Banyak masa dan sumber dana telah terbuang dan terbazir. Dalam mengejar impian tiada istilah gopoh. Hanya ada cepat atau lambat – siapa cepat dia dapat, siapa lambat dia tertinggal. Dunia tidak akan menunggu kita!

Pandangan Rosyam juga tidak kurang menarik untuk direnung fikirkan oleh karyawan filem kita. Menurut beliau menghasilkan filem adalah untuk meraih pulangan modal dan pelaburan. Sememangnya inilah tujuan asas dan utama para pelabur melabur dalam pembikinan sesebuah filem. Kenyataan ini tidak boleh dinafikan – ini adalah realiti. Setiap peniaga mahukan keuntungan. Produser filem adalah peniaga. Noktah.

Aku paling setuju dengan pandangan Rosyam -  filem yang baik akan ‘bergerak’ dengan sendiri untuk mendapat pengiktirafan dan mempunyai perjalanan yang tidak perlu diatur. Filem yang baik akan ada ‘nyawa’nya tersendiri.

Kedua ikon filem Melayu ini tidak menyimpan cita dan impian untuk karya mereka dibawa ke Cannes. Aku pasti mereka ada alasan tersendiri. Pendirian mereka ini membuat aku teringat pandangan dan pendapat seorang pengkritik filem yang lantang dan amat tidak disenangi oleh sebahagian penggiat filem kita. Si pengkritik ini pernah menyatakan pandangannya tentang festival filem peringkat antarabangsa seperti Cannes Film Festival yang punya agenda tersembunyi.

Menurut beliau untuk membawa filem kita terutamanya filem-filem negara dunia ketiga, hasilkan filem memaparkan kemiskinan, sokong pengaruh seks sejenis dan penentangan terhadap Islam. Angkatlah isu-isu ini untuk mendapat peluang menyertai festival bertaraf antarabangsa.

Sejak kebelakangan ini, filem-filem yang menang anugerah di festival-festival filem antarabangsa seperti Cannes ada kecenderungan ciri-ciri ini.

Tiada yang mustahil dalam filem. Renungkanlah!

Ahad, 8 Mei 2016

Oliver Stone jadikan tokoh politik hero filem

MINGGU ini aku ingin menulis tentang perkembangan terkini salah seorang pengarah filem dunia tersohor paling aku minati karya-karyanya. Tokoh ini juga merupakan inspirasi kepada aku daripada aspek sikap dan attitudes beliau dalam menghasilkan dan mengangkat sesuatu isu dan tokoh untuk dijadikan tema filem-filem arahannya.

Pengarah yang aku maksudkan ialah William Oliver Stone, lebih dikenali sebagai Oliver Stone. Berusia 70 tahun.

Aku mula mengenali filem-filem arahan beliau bermula dengan filem Salvador (1986) dan Platoon (1986). Kedua filem ini aku tonton lewat pita video VHS aku sewa daripada kedai sewaan video yang tumbuh bagai cendawan lepas hujan pada era 80-an. Alat perakam dan pemain pita video VHS baharu muncul di pasaran ketika itu.

Era awal sehingga akhir 80-an filem-filem bukan berarus perdana Hollywood mampu diperoleh di kedai sewaan pita VHS sahaja. Itu pun bukan semua kedai sewaan video punya filem-filem sebegini untuk disewa.

Hampir semua filem yang rare ini hanya terdapat dalam bentuk rakaman pita VHS cetak rompak. Filem-filem seperti ini juga tidak dan jarang ditayangkan di pawagam tanah air. Boleh dikatakan tiada langsung ketika itu.

Walaupun aku ‘berdosa’ menonton kedua filem arahan Oliver Stone ini lewat pita video versi cetak rompak tetapi ia memberi kesan mendalam kepada aku tentang apa boleh dilakukan serta sikap boleh diambil dan dianuti oleh seseorang pembikin dan pengarah filem terhadap isu-isu politik.

Stone boleh aku anggap pengarah yang pakar dalam mengangkat isu-isu politikal dan kontroversial dunia terutamanya yang melibatkan Amerika Syarikat.

Bermula dengan isu penglibatan Amerika melalui kegiatan CIA di negara-negara dunia ketiga lewat filem Salvador (1986). Stone dengan berani mengupas lewat naratif filem ini tentang perang saudara antara kerajaan disokong dan dibantu dari segi ketenteraan oleh Amerika semasa era pentadbiran Jimmy Carter dan Ronald Reagan dengan puak gerila pemisah FMLN (Farabundo Marti National Liberation Front). Konflik ini berlarutan daripada 1979 sehingga 1992.

Stone jelas menyatakan sokongan dan simpatinya kepada puak gerila FMNLF lewat watak utamanya, Richard Boyle, wartawan dan penulis buku, The Flower of the Dragon: The Breakdown of the US Army in Vietnam(1972).

Stone berkolaborasi dengan Boyle menghasilkan skrip dan lakon layar filem ini berdasarkan pengalaman Boyle membuat liputan konflik perang saudara di El Salvador.

Filem ini membolehkan James Wood, pameran watak Richard Boyle dicalonkan untuk pelakon lelaki terbaik dan Stone dicalonkan untuk anugerah lakon layar terbaik pada Academy Award 1987.

Filem kedua arahan Stone, Platoon (1986) berdasarkan pengalamannya sendiri ketika bertugas di Vietnam ketika Perang Vietnam. Di antara 1967 sehingga 1968, beliau bertugas di bahagian infantri dan pernah dua kali mengalami kecederaan ketika bertugas. Stone dianugerahkan dengan pingat Bronze Star dan Purple Heart atas jasa dan keberaniannya.

Tetapi bila balik ke Amerika, pandangan beliau terhadap perang Vietnam berubah. Stone mula mempersoalkan kerelevanan penglibatan negaranya dalam perang tersebut. Stone melihat perang tersebut daripada sisi lain.

Ternyata kerajaan Amerika lebih merupakan penceroboh daripada penyelamat rakyat Vietnam Selatan dalam perangan dengan Vietnam Utara yang berideologi komunis.

Sekembali dari Vietnam, Stone melanjut pelajaran dalam bidang filem di New York University dan memperoleh ijazah dalam bidang filem pada 1971. Beliau memulakan kerjayanya dalam bidang filem sebagai penulis lakon layar.

Lakon layarnya untuk filem Midnight Express (1978) arahan Alan Parker membolehkan beliau memenangi anugerah Academy Award 1979 lakon layar terbaik.

Berbalik kepada filem Platoon, aku secara peribadi menyenaraikan filem ini sebagai di antara sepuluh filem favourite aku sepanjang masa. Melalui filem ini, aku lihat segala macam rasa protes Stone terhadap penglibatan Amerika dalam perang Vietnam.

Dengan berbekalkan pengalaman peribadi first hand beliau, filem Platoon menelanjangkan hipokrasi Amerika sebagai kononnya kuasa besar penyelamat dunia dan demokrasi.

Filem Platoon memenangi anugerah Academy Award untuk filem terbaik dan pengarah terbaik 1986. Filem ini juga diangkat oleh American Film Institute pada 1998 sebagai di antara 100 filem terbaik dunia.

Stone sememangnya seorang kaki protes dan penentang ketidakadilan, campur tangan yang dilakukan oleh Amerika di negara-negara dunia ketiga. Protes beliau terhadap perang Vietnam diteruskannya sepanjang akhir 80-an sehingga awal 90-an lewat filem-filem arahannya seperti Born on the Fourth of July (1989) dan Heaven and Earth (1993).

Stone juga menghasilkan filem-filem melibatkan tokoh-tokoh presiden Amerika dengan pendekatan dan perspektif yang luar daripada kebiasaan.

Bermula dengan filem JFK (1991), Stone mengupas peristiwa pembunuhan presiden Amerika ke-35, John F Kennedy pada 3 November 1963. Siasatan kerajaan Amerika melalui Warren Comission mendapati seorang bekas tentera marin Amerika, Lee Harvey Oswald yang punya rekod berpaling tadah ke Soviet Union (Rusia) pada 1959 sebagai penembak – sniper yang membunuh Presiden Kennedy. Oswald menafikannya dan menyatakan beliau dijadikan kambing hitam dalam konspirasi pembunuhan tersebut.

Filem JFK merupakan usaha sinematik Stone membongkar teori konspirasi melibatkan Presiden Lyndon B Johnson (1908-1973) dalam kes pembunuhan Kennedy ini. Johnson adalah Timbalan Presiden Amerika ketika Kennnedy dibunuh dan Johnson seterusnya menggantikan  Kennedy sebagai Presiden Amerika ke-36.

Untuk informasi generasi muda sekarang, tanah rancangan Felda L.B. Johnson, Negeri Sembilan mendapat namanya sempena lawatan Presiden Lyndon B. Johnson ke kampung itu pada 1966.

Filem-filem lain arahan Stone melibatkan tokoh-tokoh presiden Amerika adalah Nixon (1995) dan W. (2008). Kedua filem ini merupakan filem genre biografi.

Watak Presiden Nixon diperankan oleh pelakon tersohor, Sir Anthony Hopkins. Untuk filem W. berdasarkan secara longgar kisah hidup Presiden George W Bush, watak ini diperankan oleh Jush Brolin.

Kedua filem ini mengisahkan kehidupan presiden Amerika yang lebih peribadi sifatnya berbanding dengan apa diketahui umum lewat laporan media. Contohnya, ketagihan arak oleh Bush dan hubungan tegang antara Bush Senior dengan Bush Junior dalam menangani isu serangan dan penaklukan Iraq pada 2003.

Filem terkini Stone yang melibatkan tokoh dunia ialah filem Snowden yang bakal ditayangkan tahun ini. Filem ini mengisahkan Edward Snowden, rakyat Amerika merupakan pakar komputer yang membocorkan informasi sulit dan rahsia NSA (National Security Agency) kepada akhbar The Guardian pada 2013.

Sememangnya, Stone seorang pengarah filem paling banyak menghasilkan filem berkaitan politik dan tokoh-tokoh politik.

Aku terfikir jika aku berpeluang menghasilkan filem melibatkan tokoh politik seperti dihasilkan oleh Oliver Stone, siapakah tokoh politik pilihanku? Ada dua – Tok Guru Nik Aziz dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Insya-ALLAH.

Ahad, 1 Mei 2016

1 Mei, bagaimana nasib pekerja filem?

HARI ini, 1 Mei adalah Hari Pekerja atau Hari Buruh yang disambut oleh kaum pekerja di seluruh dunia. Hari ini juga dikenali sebagai Hari Pekerja Antarabangsa. Pastinya penggiat dan pembikin filem sama menyambut hari istimewa ini kerana mereka juga termasuk dalam golongan pekerja dan buruh.

Hari Pekerja mula disambut dan diisytiharkan sebagai cuti umum di Malaysia pada 1972. Ia merupakan hari peringatan untuk meraikan kejayaan pergerakan pekerja menuntut hak mereka dari segi pembayaran gaji dan masa bekerja.

Tema Hari Pekerja tahun ini ialah – Pekerja Berkemahiran Penggerak Ekonomi. Aku terpanggil untuk menulis kefahaman aku tentang tema pekerja berkemahiran penggerak ekonomi negara dalam konteks sebagai penggiat dan pembikin filem.

Seingat aku, pekerja bidang filem serta produksi drama dan program untuk televisyen paling ramai tidak dihargai sumbangan mereka oleh pihak majikan dari aspek bayaran dan masa kerja mereka. Sedangkan bidang seni filem ini memerlukan tenaga berkepakaran dan berkemahiran khusus, terutamanya tenaga kerja di belakang kamera.

Zaman bekerja sambil belajar daripada mereka lebih tua dan berpengalaman telah berlalu. Zaman – “abang dulu pernah jadi pelakon ekstra bawah P Ramlee masa kat Singapura!

Sekarang kat KL baru jadi direktor dik!” Ini dialog sering aku dengar daripada pengarah-pengarah yang mencari dan mendapat peluang mengarah filem pada lewat 70-an dan awal 80-an.

Ketika itu aku sedang mencari tapak dalam bidang filem. Tanpa sekolah filem yang khusus ketika itu, aku belajar filem lewat penglibatan aku dalam pembikinan filem iklan. Keadaan bidang perfileman cereka ketika itu tidak menuntut kepada tenaga pakar yang terlatih dan terdidik khusus. Senario ini sangat berbeza dibandingkan dengan bidang filem iklan yang aku ceburi ketika itu.

Tema Hari Pekerja yang bombastik sering dikitar semula seperti tahun ini mengingatkan aku satu tulisan oleh seorang penggiat dan pembikin filem muda lewat blognya tersiar awal tahun ini di alam siber.

Anak muda ini, Shuhaimi Zulkefli, ada pelajaran dan terdidik dalam bidang filem dari institusi pengajian tinggi tempatan. Aku tertarik dengan pandangan dan kupasannya tentang realiti berkerjaya dalam bidang pembikinan filem dan drama televisyen di negara ini. Pengalaman pahit maung dan segala macam tekanan terpaksa si anak muda daripada generasi pembikin filem sekarang ini lalui demi minat dan cintanya kepada bidang seni filem.

Ironinya, anak muda ini dan rakan-rakan segenerasinya mempunyai kemahiran dan juga kepakaran diperlukan oleh bidang filem tetapi mereka kecewa dengan keadaan industri perfileman dan penerbitan program televisyen di negara ini. Mereka ini merupakan sebahagian daripada ribuan graduan bidang filem dan audio visual yang ada kemahiran.

Menurut Shuhaimi, sekarang ini jumlah krew filem dan televisyen yang berdaftar ada 15,000 orang. Ini tidak termasuk yang masih ramai lagi menuntut universiti dan kolej dalam bidang filem. Mereka ini bakal keluar ke pasaran kerja.

Aku setuju dengan kenyataan anak muda ini - Kerajaan pula hanya tahu lahirkan penuntut ilmuwan filem, tapi tak reti jaga industri.

Jika pada era 70-an dan 80-an sehingga awal 90-an, kebanyakan filem Melayu lemah dari segi idea, skrip dan kemahiran memproduksikan sesebuah filem tetapi sekarang keadaan sudah berubah. Industri filem dilambakkan dengan ramai tenaga berkemahiran tetapi kenapa masih gagal mengerakkan bidang filem dan penerbitan televisyen sebagai penyumbang ekonomi negara?

Walaupun pulangan daripada segi upah berbanding masa kerja yang perlu dilalui amat tidak berbaloi tetapi ramai anak muda masih meminati kerjaya dalam bidang filem dan produksi drama untuk televisyen. Malahan sekarang, hampir semua universiti dan banyak kolej menawarkan khusus khas dan juga khusus berkaitan dengan bidang filem dan produksi televisyen.

Sejak aku mula menceburi bidang filem hampir 38 tahun sehingga sekarang rungutan daripada tenaga kerja yang tidak pernah selesai ialah bayaran atau upah kerja mereka. Kenapa isu bayaran masih belum dapat diselesaikan?

Jika hendak dikatakan bidang filem ini membuka ruang luas kepada mereka yang gila glamor, rasanya generasi sekarang yang terlibat dalam bidang filem dan produksi drama televisyen (tidak semua) sudah faham unsur-unsur glamor ini cuma satu penipuan umpama fatamorgana.

Aku berpandangan makin hari makin ramai anak-anak muda memilih bidang filem dan bidang berkaitan ketika melanjutkan pengajian di peringkat kolej dan universiti mereka kerana bidang ini sangat luas untuk diterokai potensinya. Mereka menimba ilmu dan kepakaran. Bidang filem sekarang makin memerlukan tenaga kerja berkemahiran dan berkepakaran baik di peringkat tempatan apatah lagi di peringkat dunia.

Tetapi bila kita membaca pengalaman Shuhaimi, kita akan berdepan dengan keadaan sebenar melanda industri filem dan produksi televisyen negara kita. Baik dari segi bayaran, keadaan dan masa bekerja. Kenapa jadi begini?

Menurut Shuhaimi, sikap stesen televisyen berkuasa penuh menentukan bahan-bahan kreatif yang mahu dijadikan drama berdasarkan rating penonton merupakan penyumbang kepada wujudnya cerita-cerita drama tv yang stereotaip.

Kuasa mutlak stesen televisyen yang berkiblatkan rating demi memastikan jumlah iklan yang bakal mereka peroleh sentiasa lumayan dan lebat. Persaingan untuk mendapat sebanyak mungkin iklan dan penajaan mencetuskan pemilihan pelakon dan artis yang ditentukan oleh stesen TV.

Persoalannya, betapa tinggi dan ampuhnya kemahiran tenaga karya seperti penulis skrip dan pengarah untuk memberi idea dan pendekatan lebih baharu dan berkonsep out of the box pasti ditolak ke tepi oleh stesen TV. Tenaga kreatif bagai lembu dicucuk hidung. Tuntutan untuk kelangsungan hidup mencari rezeki memaksa tenaga kreatif yang berkemahiran melupakan tugas sebagai manusia kreatif atau karyawan seni.

Penerbit drama pula dihambat dengan kos penerbitan yang tidak seimbang dengan bayaran daripada stesen televisyen. Aku terkejut bila membaca lewat tulisan Shuhaimi iaitu kos penerbitan sebuah telemovie ialah RM90,000 dan stesen TV menawarkan harga RM100,000. Aku terkejut kerana dari zaman aku mengarah drama TV pada lewat 80-an sehingga sekarang jumlah harga pembelian oleh stesen tv tidak berubah dan meningkat.

Tema Hari Pekerja 2016 - Pekerja Berkemahiran Penggerak Ekonomi. Bagaimana pekerja di bidang filem dan penerbitan drama televisyen hendak menyahut dan mempraktikkan tema tersebut jika isu paling asas iaitu bayaran upah masih gagal diselesaikan oleh stesen televisyen?

Aku ingin memetik kata-kata Shuhaimi -

“Tapi saya masih tetap di sini. Selagi manusia kiblatkan TV. Saya perlu mencelah apa yang perlu diisi. Ada perjuangan yang saya bawa di sini. Walau rindu ke lokasi membawa ke dalam mimpi setiap hari, dalam hati ada semacam: Saya masih lagi cintakan industri ini!”

Mari kita bersama fikir dan renungkan!

Ahad, 17 April 2016

Rasuah & politik dalam filem

AKU terbaca satu tulisan di internet oleh Hassan Muthalib, seorang penggiat, pengkaji dan pengkritik filem bertajuk Hypocrisy Abounds In Life and Cinema. Terjemahan ringkasnya - Hipokrasi Penuhi Kehidupan dan Filem.

Menurut Hassan, tulisannya itu diinspirasikan oleh artikel tersiar dalam The Sun Daily. Artikel, Key Officials Fail The Test tulisan Citizen Nades dalam akhbar itu tertumpu kepada kes pegawai kerajaan berpangkat tinggi didakwa terbabit dalam kes rasuah RM100 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan.

Seterusnya, artikel itu menyentuh mengenai kegagalan usaha dijalankan oleh jawatankuasa penyiasatan yang sering ditubuhkan untuk menyiasat bila berlaku kes-kes rasuah jutaan ringgit melibatkan pegawai-pegawai tinggi di agensi dan kementerian kerajaan.

Seringnya, laporan siasatan akan senyap begitu sahaja tanpa dibentangkan hasilnya untuk pengetahuan umum. Hasil siasatan kebanyakan kes rasuah hilang ditelan masa. Semua lupa sehingga timbul kes baharu lebih menggemparkan.

Apa kaitan artikel Citizen Nades yang tersiar pada 22 Mac 2016 dengan tulisan Hassan di internet pada 8 April, 2016? Apa pula kaitan kedua tulisan tersebut dengan aku dan kolumku ini? Isu yang diulas oleh mereka secara langsung dan tidak langsung ada hubungan dengan filem dan sinema tempatan mahupun dunia. Inilah yang ingin aku kongsikan bersama pembaca minggu ini.

Isu rasuah yang ditulis dan dikupas oleh mereka, kaitan mudahnya ialah semua ini berlaku kerana sikap hipokrit masyarakat kita. Dari peringkat bawahan (rakyat) sehingga ke peringkat paling tinggi (pemimpin).

Hassan menggunakan elemen filem dan sinematik dalam usaha mengupas kes-kes rasuah yang cuba dihilangkan daripada perhatian umum seperti ditimbulkan oleh artikel tulisan Citizen Nades itu.

Menurut Hassan, keadaan ini berlaku kerana ada unsur divertion dan distraction atau pengalihan perhatian dan pemesongan umum daripada isu utama lewat media cetak dan elektronik. Beliau mengesyorkan kepada yang berminat mengetahui dan mengesan taktik pengalihan perhatian dan pemesongan ini boleh mengguna pakai ilmu sinematik dan filem – teks dan subteks.

Dalam tulisannya, beliau menyentuh juga mengenai kekalutan dunia politik negara selain usaha memaparkan isu rasuah oleh pembikin filem tanah air lewat filem-filem arahan mereka.

Apa aku fahami setelah membaca tulisan Hassan dan Citizen Nades? Kefahaman aku dalam bahasa mudah atau bahasa orang biasa. Pertama, hidup kita lalui ini sebenarnya penuh dengan kehadiran manusia berperangai hipokrit atau munafik. Kedua, kemunafikan manusia di alam nyata khususnya di negara ini telah dan akan terus dijadikan bahan cerita oleh pengarah filem kita.

Setakat mana paparan kemunafikan ini berjaya difahami dan dikesan lewat filem-filem yang dihasilkan terpulang kepada penonton. Sekali lagi aku teringat kenyataan pedas Uwei Hj Shaari. Beliau perlukan penonton cerdik untuk buat filem cerdik. Begitu juga setakat mana keberhasilan paparan kemunafikan ini bergantung kepada kemampuan pengarah filem menghasilkannya. Secara subtle - halus, atau secara langsung - direct. Pilihan ada di tangan sang pengarah.

Isu-isu melibatkan rasuah dan pergolakan politik amat jarang disentuh dan dijadikan naratif oleh pengarah filem tempatan. Hambatan pihak penapisan filem dan kurangnya nilai tarikan untuk berjaya menghasilkan kutipan pecah panggung sering menghantui produser dan pengarah yang berminat menghasilkan filem genre begini. Ini adalah andaian paling longgar mampu aku fikirkan setakat ini.

Kepada Hassan, filem adalah satu bentuk seni yang mampu menggunakan tanda, penanda atau signifier untuk menyatakan makna tersirat dan tersurat sesesuatu kehidupan. Ini meliputi aspek teks dan sub-teks sesebuah filem. Tambahnya lagi, pembikin filem (juga novelis dan penggiat teater), dipengaruhi oleh apa yang berlaku dalam masyarakat dan negara mereka. Persekitaran hidup yang berlaku di sekeliling seseorang pengarah mempengaruhi dan memainkan peranan penting dalam proses pengkaryaannya. Secara sedar atau tidak, mereka akan cenderung untuk memasukkan komen dan kritikan mengenainya dalam kerja seni kreatif mereka.

Filem-filem memaparkan kepincangan dalam politik sesebuah negara tetap diusahakan kerana pengaruh keadaan sekeliling dialami dan dilalui pembikin dan pengarah filem negara tersebut. Kenyataan dan realiti kehidupan tidak dapat dielak, lambat laun ia pasti berlaku.

Setakat ini, hanya ada beberapa filem Melayu menurut, Hassan berhasil menghantar tanda atau signifier mengkritik keadaan dan isu keserabutan politik tanah air yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Dalam kehidupan seharian, perhatian kita terhadap isu-isu penting sering dialihkan dan dipesongkan - divert and distract oleh media massa.

Kedua elemen ini secara halus mula digunakan oleh pengarah filem kita untuk mengalihkan perhatian penonton yang selama ini hanya menikmati filem sebagai bahan hiburan sahaja. Tanpa disedari oleh penonton, sang pengarah mengalihkan perhatian mereka kepada isu-isu sensitif dan politikal yang merupakan inti pati naratif sesebuah filem arahannya. Pengarah-pengarah ini menggunakan taktik sama digunakan pihak berkuasa – alih dan pesong tetapi tujuan berlainan. Lebih kepada tujuan mendapatkan hasil positif dalam proses meningkatkan budaya dan tamadun bangsa.

Hassan memberi beberapa contoh filem dihasilkan bagi mencapai tujuan tersebut di atas. Di antaranya, filem arahan Mamat Khalid, Apokalips X (2014).

Dalam filem ini, isu perebutan kuasa di antara orang-orang politik di alam nyata politik negara ini dipesongkan oleh Mamat. Golongan pemimpin gila dan berebut kuasa ini dipaparkan lewat watak-watak Melayu di sebalik kostum dan lagak gaya watak-watak anime dan watak-watak samurai komik manga lengkap dengan pedang samurainya. Watak-watak ini dibahagikan kepada 4 kelompok ganas dan gila kuasa. Pastinya kelompok ini melambangkan pemimpin dan parti-parti politik yang sedang berebut kuasa di alam nyata.

Diwujudkan satu kelompok anak muda yang mahukan perubahan di tengah-tengah keberantakan 4 kelompok tadi. Kelompok anak muda ini melambangkan pemimpin masa depan negara ini. Dengan bimbingan dan asuhan nilai-nilai tradisional budaya Melayu lewat watak mahaguru atau pendeta diperankan oleh Pyanhabib, kelompok anak muda ini akan akhirnya membina dan mewujudkan dunia baharu yang lebih waras dan bertamadun.

Hassan juga mengambil filem arahan Namron, Gedebe (2003) sebagai contoh bagaimana situasi kalut, karut dan bobrok politik negara dipaparkan dengan menggunakan elemen pengalihan dan pemesongan perhatian penonton bagi menyampaikan tema – kewujudan pemimpin-pemimpin politik berperangai gangster sehingga sanggup bertindak ganas dan kejam semata-mata untuk memenuhi keinginan nafsu jahat serakah mereka. Namron menggunakan watak-watak kelompok budaya popular, punk dan skinhead bagi mewakili pemimpin dan ahli parti-parti politik bergaduh sesama mereka yang wujud di alam nyata.

Kesimpulannya, dalam berkarya seseorang pengarah sedikit sebanyak pasti dipengaruhi keadaan persekitarannya. Ini adalah fitrah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...